Saturday, July 5, 2014

Tat Nenas Emak

Aroma tat nenas yang datang dari dapur, sungguh mengujakan. Membuatkan asid kembali berfungsi dan meratah dinding-dinding perut yang kosong. Bulan puasa begini buat air liur mula kecur. Menoleh ke arah jam. Baru 5 petang. Aku melangkah menghayun kaki membawa hidung mencari bau wangi yang dijeritkan oleh perut tadi. Bau tat nenas Emak.

Sesampai saja di dapur, kelibat Emak sedang membuka oven yang dipenuhi dengan 2 talam tat nenas yang baru saja masak. Biskut warna emas kekuningan dengan bentuk bunga matahari buat aku telan liur berkali-kali. Emak nampak bayang aku yang berdiri memegang bucu oven, dia angkat muka dan senyum. Aku senyum kembali. Emak kemudian beritahu yang sekejap lagi dia akan masak, tanpa aku tanya. Seolah Emak dah tahu yang aku akan tanya "Emak, dah pukul 5pm ni, tak masak ke?" Emak tetap Emak. Dia tahu apa yang ada dalam hati anak-anak. Anak-anak saja yang jarang nak tahu apa ada dalam hati Emak. 

Aku melihat oven panas yang mengadap muka Emak. Peluh menitis di celah-celah kulit Emak. Rambut  yang semakin putih dan jarang itu juga berendam peluh. Tapi Emak masih senyum sambil bercerita yang tahun ni dia rancang nak pakai sedondon satu keluarga, yang mana ia tak pernah berlaku dalam keluarga kami. Tempahan kueh tat juga banyak, kata Emak. Aku memerhatikan betapa lajunya tangan Emak mengasingkan kueh tat nenas yang dah masak ke dalam bekas besar, sebelum ia di masukkan ke dalam balang. Sesekali Emak mengaduh panas dan sesekali meniup jari-jemarinya yang terkena haba kueh yang masih panas. 

Aku melihat kueh-kueh tat nenas Emak yang sudah dialihkan ke dalam bekas besar. Setiap kueh tat nenas itu mewakili  baju-baju melayu baru untuk adik-adik lelaki aku yang belum lagi belajar untuk berpijak di atas kaki sendiri. Sebagai hadiah baju kurung dan tudung untuk anak-anak perempuan walaupun aku dan adik perempuan aku tak perlu kerana kami mampu adakannya sendiri. Ia juga mewakili kebanggaan Emak untuk beritahu Abah yang dia masih boleh berdikari dengan titik peluh dia sendiri. Untuk Abah tahu yang dia selalu ada untuk membantu Abah meringankan beban keluarga. 

Aku duduk perlahan-lahan dan menolak lembut tangan Emak. Mengambil tempat Emak. Memasukkan tat nenas ke dalam bekas yang lebih besar. Emak senyum sambil berkata, Terima kasih Angah. Mak masak dulu ye. Aku angguk, senyum dan menahan air mata dari menitis. 

Emak macam tat nenas. Manis dan punya hati emas. 

2 comments:

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...