Sunday, July 10, 2016

Tekanlah butang kebahagiaan.


"Ring the bells that still can ring. Forget your perfect offering. There is a crack, a crack in everything. That's how the light gets in." — Leonard Cohen

Semasa aku mengikuti kelas pengajian psikologi kaunseling di UKM, seorang lecturer aku selalu berpesan–Setiap orang mempunyai satu 'button' di tubuhnya. Button itu berfungsi mengikut apa yang kita mahukan. Jika kita mahu sukses, positif, gembira, tegar mencapai impian –kita sentiasa boleh menekan butang itu. Jadilah apa yang kita mahu jadi. Jika sebaliknya, kita juga boleh membiarkan button itu tidak ditekan sehingga selama mana yang kita suka. Semuanya terpulang pada diri kita sendiri. Kita bertanggungjawab atas segala-gala yang melibatkan diri kita. Jika aku merasa sedih, kecewa, depresi dan negatif, aku akan segera teringat bahawa ditubuhku sentiasa mempunyai button yang boleh menukar emosi itu menjadi seperti apa yang aku mahu. 

Di sini aku kongsikan secara random beberapa kes kaunseling yang pernah aku handle ketika berkerja sebagai kaunselor di sebuah unit kaunseling di ibu kota. Kes ini tak diturunkan secara terperinci kerana ia private & confidential. Cuma aku berikan ringkasan ceritanya saja tanpa mendedahkan keseluruhan. Kes ini penting untuk perjalanan keseluruhan entry ini.

Kes 1 :

Seorang wanita cina menelefonku. Dia berhentikan keretanya dalam kesibukan di sebuah highway. Dia mengaku sedang minum arak dengan beberapa botol lagi di sisinya. Dia buntu. Tak tahu apa yang mahu dilakukan. Dia baru saja tahu yang suaminya curang, ada perempuan lain. Pada ketika itu dalam fikirannya, dia cuma mahu bunuh diri.

Kes 2 :

Seorang remaja melayu walk in ke bilik kaunselingku. Berpakaian sekolah lengkap dengan tudung. Dia terus menangis sebelum mengeluarkan kata-kata. Dia buka tudungnya. Memegang perutnya yang buncit. Katanya – Kak, saya hamil. Ibu bapa saya belum tahu. Apa yang patut saya lakukan?

Kes 3 :

Seorang wanita cina berusia dalam lingkungan lewat 30-an. Kusam dan lesu ketika dia masuk ke bilik kaunselingku. Ibu bapanya meninggalkannya di rumah anak yatim sejak dia kecil. Bila besar, mereka tak mahu menerimanya. Dia berusaha pelbagai cara, untuk mendapat pekerjaan. Tapi selalunya gagal. Katanya dia tiada pendidikan, tiada juga rupa paras. Setiap kali menerima pekerjaan baru, rakan sekerja akan membulinya. Mencuri duit, memaki-hamun dan membelasahnya. Jarang berkerja lama di satu-satu tempat. Selalu bertukar tempat kerja. Kawan langsung tiada. Tinggal menyewa di sebuah bilik sempit d ibu kota. Sudah berpuluh kali cuba membunuh diri. Makan racun, terjun bangunan, berdiri tengah jalan, kelar nadi. Namun tak mati-mati. Cedera parah hingga di bawa ke hospital, tapi masih tak mati lagi. Dia mempersoalkan kenapa dia masih belum mati, sedangkan sudah tiada apa lagi yang tinggal untuk dia kecap kehidupan. Mengapa Tuhan tidak bagi dia mati?

Kes 4 :

Seorang lelaki india sedang berada di atas atap sebuah bangunan tinggi. Katanya dia tidak mahu hidup lagi. Hutang keliling pinggang. Kehidupan tak pernah stabil. Hidup isteri serta anak-anaknya bergantung pada dia. Sekarang dia dikejar ALONG pemungut hutang, kerana meminjam wang dari mereka. Setiap hari diugut dengan parang dan keluarganya pernah diikat dan diacah dengan pisau dan pistol. Mungkin dengan membunuh diri segala masalahnya itu akan selesai.

Kes 5 :

Ini ketika aku bertugas sebagai kaunselor di sebuah sekolah menengah. Seorang pelajar dari kelas sains dilaporkan tidak bersosial dan selalu menyendiri. Tiada kawan dan tidak bercakap di dalam kelas. Namun pelajar ini cukup bijak. Cikgu kelasnya yang menghantar kepada aku. Kes ini begitu kompleks sehingga aku menjadikan ia sebagai kajian dalam thesisku. Beliau pengidap skizofrenia. Seringkali melakukan perkara-perkara seperti–mencederakan diri sendiri, percubaan membunuh diri, bercakap seorang, bertingkahlaku abnormal. Dengan beliau, kaunseling yang aku lakukan, bukan saja terlibat secara serius dan berperingkat, malah turut membawa sekali ibu bapanya untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan terapi. Terlalu bergantung kepadaku sehinggakan selepas aku selesai praktikal dia masih mahu bertemu dan berbual dengan aku. Dia selalu menegaskan padaku, dia tidak gila. Sedangkan semua orang menganggapnya begitu. Walau belajar dalam bidang sains, dia sukakan filem dan komunikasi. Ia amat kontradik dengan personalitinya, namun melalui seisi kaunseling ini kami memfokuskan pada apa yang dia mahu jadi. Syukur akhirnya dia berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang mass com di sebuah IPTA.

Kes-kes di atas menyedarkan aku tentang banyak perkara. Hidup ini memang diciptakan kejam dan penuh dengan dugaan. Agar kita belajar untuk membuat keputusan, belajar memperbaiki kehidupan, belajar menyelesaikan masalah, belajar untuk berani berhadapan dengan persekitaran yang mendesak, belajar berdikari dan paling penting belajar untuk tidak putus asa. Kadang-kadang apabila aku mendengar masalah-masalah manusia yang datang bertemu atau menelefonku, aku sendiri takmampu untuk menanggungnya. Ia terlalu berat sehinggakan jika aku berada di dalam kasut mereka, aku belum tentu boleh melangkah dengan tenang.

Sewaktu menerima tugas menjadi kaunselor, aku dinasihatkan mengambil cuma 5-6 kes sehari. Jika lebih dari itu, aku pasti tak boleh tidur, otak aku berserabut memikirkan masalah orang. Lecturer aku selalu pesan –Empati Fazleena, bukan simpati. Kadang-kadang kita terlalu mahu membantu orang lain menyelesaikan masalahnya, sehingga kita tidak lagi bersikap profesional. Kita menjadi kasihan padanya. Ia buat kita hanyut dengan masalah mereka dan bersungguh-sungguh mahu membantu. Namun begitu, sebagai kaunselor kita tak berhak menentukan jalur mana yang mereka patut pilih. Kita tak menentukan A atau B pada pilihan mereka. Jika kita menentukan pilihan dan keputusan mereka, kita berdosa. Biarlah mereka pilih sendiri demi kesejahteraan dan kebahagian mereka. Bantulah mereka untuk membuat keputusan dan membuka potensi-potensi yang lebih baik terhadap setiap keputusan yang mahu dibuat. Sehingga satu hari nanti, mereka tidak lagi meminta bantuan dan tahu membuat keputusan sendiri.

Menurut Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Dr Ruzita Jamaluddin–Penyakit mental dijangka menjadi penyakit ke-2 tertinggi yang dihidapi oleh rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada tahun 2020 nanti. Pada tahun 2008, kira-kira 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan. Jadi 80 percent dari rakyat Malaysia akan mengalami gangguan mental pada tahun 2020 yang tak lama saja lagi.

Skizofrenia, Bipolar Disorder, Psikopat, OCD, Anorexia, Multiple Identity Disorder, Self harm, ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder), Homosexual, Stress, Depresi dan lain-lain dikategorikan sebagai penyakit mental. Di sini aku tak akan menguraikan satu-persatu jenis penyakit mental ini. Secara umumnya, semua orang mempunyai penyakit mental, cuma bezanya; major atau minor. Setiap orang mempunyai kadar stress/depresi mereka sendiri, tanpa disedari. Jika mereka berkesempatan untuk membuat diagnosis, itu bagus untuk mereka kenalpasti sindrom dan cuba merawatnya. Yang di sekeliling kita ini, yang kita nampak serba serbi normal, belum tentu tiada penyakit mental. Dan bukanlah niatku untuk berkongsi secara detail tentang isu penyakit mental ini. Aku cuma terpanggil mahu berkongsi pengalaman dan perasaan aku. Kes yang melihatkan Arlina Banana yang hangat diperkatakan, memberi reaksi yang pelbagai dari masyarakat. Aku juga tidak terkecuali. Sebagai seorang pengamal pendekatan psikologi, aku cuba untuk mengenal personaliti dan sikap orang lain. Semua orang unik dan tersendiri. Cuba melihat dari sudut yang lebih genuine. Tidak judgemental. Dan cuba sedaya upaya untuk empati. Itu prinsip seorang kaunselor.

Di zaman teknologi dan serba-serbi pantas ini, manusia sudah tidak lagi berkomunikasi. Mereka memilih untuk memendam perasaan. Paling tidak menulis atau berkongsi di laman sosial. Yang rata-rata tidak mereka kenali. Stranger. Mengharapkan stranger untuk memberikan compliment, dan pelukan virtual jika mereka dilanda masalah. Menjadikan facebook, twitter, blog dan instagram untuk berkongsi kesedihan dan perasaan mereka. Di media sosial saat ini, siapa yang benar-benar ikhlas memberikan pertolongan? Tiada. Kita semua akan kembali kepada mereka yang 'real'. Keluarga, sahabat, cikgu, saudara-mara dan teman-teman yang benar-benar wujud. Melalui kes Arlina, media sosial bukanlah tempat terbaik untuk dia luahkan perasaan dan emosinya. Jangan stay jika tak mahu dan tak tahan dengan pembulian. Jauhkan perkara-perkara yang menyebabkan dirinya sakit hati dan kemudian depresi dan memilih untuk mencederakan diri. Jangan. Carilah keluarga, teman yang boleh dipercayai dan pinjamlah bahu mereka jika dilanda depresi. Jangan kongsi pada stranger. Mereka takkan pernah faham.

Melihat pada kes-kes kaunseling yang aku kongsikan di atas, mereka-mereka seperti ini, walaupun sedang berada di atap bangunan atau di tengah highway untuk tujuan membunuh diri, namun mereka masih mencari seseorang untuk bercerita. Nampak? Betapa orang yang punya masalah bertimpa-timpa, sehingga seolah sudah tiada jalan keluar, masih mahu tahu "apakah cara yang terbaik untuk menyelamatkan masalah ini?" Bunuh diri bukanlah penyelesai masalah. Mereka tahu pasti ada solusi dan cahaya dari setiap kegelapan. Carilah sampai jumpa. Jangan tenggelam di dalamnya.

Setiap hari aku berdepan dengan kisah masyarakat di sekelilingku yang begitu memilukan. Dari sekecil-kecil kepada yang paling besar. Isteri yang dipukul suami setiap kali baran suaminya tiba, suami yang tahu isterinya berselingkuh dengan orang lain, isteri yang berusaha 10 tahun mahu ada anak, tapi suaminya relaks-relaks aja, suami yang tenang berpoligami tanpa faham perasaan isteri, pasangan yang ingin bercerai tapi keluarga menghalang, perebutan anak bila sudah berpisah, masalah kecelaruan sexual, personality disorder, buang anak, rogol, jenayah, pembunuhan, kemiskinan, gelandangan, bencana, perang. Semuanya kita dengar setiap hari masalah-masalah yang mengecewakan. Menyedihkan. Yang menakutkan. Semua orang akan dilanda masalah. Semua orang mempunyai kisah sewaktu kecil yang memberi kesan kepada dirinya sekarang. Semua orang ada potensi untuk mencederakan dirinya kerana stress dan depresi. Semua orang pada satu tahap merasa tak cukup udara untuk bernafas. Semua orang pada satu titik merasa sangat lemah untuk bangun dan mencelikkan matanya. Semua orang ada waktunya lebih suka menyendiri dan melayan kesepiannya. Dan semua orang berhak untuk menentukan yang terbaik buat hidupnya.

Tips yang mungkin aku boleh kongsikan. Yang juga aku praktikkan jika aura negatif atau depresi mula berhembus.

1) Jangan minta orang lain faham.

Ya benar semua orang ada masalah. Tapi jangan minta orang lain untuk memahaminya. Mereka takkan faham. Mereka pun ada masalah sendiri. Kita sendiri yang benar-benar faham masalah kita. Kita sendiri tahu apa yang kita nak. Dan kita sendiri tahu jawapan dan penyelesaiannya. Try to figure out. Deal with it.

2) Senaraikan tujuan hidup.

Setiap hari tulis apa yang ingin dicapai. Cuba untuk memenuhinya. Contoh :

-Hari ini aku mahu pergi ke taman permainan melihat orang bermain dan naik buaian.

Petang-petang pergilah singgah ke taman. Penuhi tujuan yang ditulis tadi. Dan kita akan rasa happy apabila berjaya melaksanakannya. Try dengan impian-impian kecil. Jadikan rutin. Kemudian beralih pada impian yang lebih besar.

3) Be positif.

Ini memang nampak mudah. Tapi ia sukar dilakukan. Kadang-kadang kita rasa kita 'fake' dan tidak true pada perasaan kita. Kita sebenarnya tidaklah happy sangat, tapi kita buat-buat gembira. Tapi apabila lama kelamaan kita jadikan ia rutin, kita akan cuba untuk selalu menjadi positif walau di mana saja kita berada. Cuba dengan perkara yang simple. Seperti upload gambar yang positif dan menggembirakan di instagram. Supaya orang lain yang melihatnya akan senang dan gembira juga. Jangan mengheret perasaan kita yang negatif kepada orang lain. Jangan mengharapkan orang lain untuk bertanya : Are u okay? Awak nampak tak OK, ada perkara yang awak sembunyikan? No! Jangan membuka persepsi orang lain ke dalam masalah kita. Jangan! Tepuklah bahu sendiri dan cakap "I'm Okay. And I am gonna be okay!" Dan sharelah kegembiraan. Bukan kesedihan. Alihkan masalah kepada perkara lain yang menggembirakan. 

4) Mencuba hal yang baru.

Jangan statik. Depresi atau mental illness biasanya disebabkan tiada aktiviti yang dilakukan, dan kebosanan itu membunuh. Isikan dengan kesibukan. Bila bosan kita akan termenung dan memikirkan masalah diri. Cari hobi baru setiap hari. Lakukan perkara baru yang takpernah kita lakukan. Cabar diri untuk ambil risiko. Cuba berkebun, menjahit, bersenam, menonton persembahan yang jarang kita lihat, hiking, belajar berenang, pergi duduk dengan orang tua dan kanak-kanak dan melakukan banyak aktiviti kebajikan.

5) Jangan hanyut dengan nostalgia. Move on!

Teori realiti. Berpijak di bumi yang nyata. Cuba berusaha meninggalkan kenangan lalu yang merantai kakimu. Bergerak menuju masa depan. Cintailah apa yang ada sekarang. Nasihatku, jangan stalk ex-bf/ex-gf (doakan kebahagiaannnya, walaupun dia pernah menyakiti). Tinggalkan terus kenangan cinta lalu yang tak akan kembali. Jangan ulang-ulang menonton movie yang sama, yang mungkin mempunyai nostalgia yang berat pada kita. Tengoklah movie lain, ada berjuta movie lain lagi yang boleh membantu kita move on. Bacalah buku baru setiap hari, menulis diari atau keluar bertemu sahabat untuk bersembang. Move on sebenarnya tak susah. Nak atau taknak saja. Ia akhirnya jatuh pada "adakah kau mahu berubah?" atau "adakah kau mahu diselamatkan?" Kalau kau mahu, ayuh move on! Itu saja caranya.

6) Melihat potensi diri.

Senaraikan semua kebolehan dan potensi diri yang kita ada. Dan senaraikan juga kelemahannya. Pastikan kebolehan diri lebih banyak dari kelemahan. Cuba untuk menghapuskan kelemahan itu perlahan-lahan. Menurut Rogers melalui pendekatan Teori Psikologi Humanistik : Semua orang mempunyai potensi untuk berubah. Setiap individu mempunyai cara kreatif untuk menyelesaikan masalahnya. Berubahlah ke arah kebaikan. Berubahlah menuju kebahagian.

Contohnya :

Kebaikan/potensi diri :
-Berpendidikan
-masih mempunyai ibu bapa & keluarga
-ada kerjaya sendiri
-boleh berdikari
-berbakat

Kelemahan :
-berfikiran negatif
-insecure
-selalu risau tanggapan orang lain

**Tulis dan tampal di dinding. Ingatkan bahawa kelemahan itu perlu dihapuskan. Dan akhirnya yang tinggal cuma potensi dan kebaikan diri.

7) Jangan hidup dengannya.

Jika kita merasakan dan sudah didiognis mengidap penyakit mental, jangan biarkan terus hidup dengannya. Filem Beautiful Mind, kisah sebenar John Nash yang mengidap Skizofrenia. Antara penyakit mental yang paling kritikal. Struggle untuk hidup dalam dunia khayalan & realiti. Ada watak-watak yang hidup dalam pemikirannya dari dia kecil sehingga dia tua. Watak-watak ini terlalu real sehingga menggangu kehidupan sehariannya. Dalam ketakutan dan kesakitannya mengidap skizo, dia Pemenang nobel dalam bidang ekonomi pada tahun 1994. Kena buang kerja, isteri tinggalkan dia, kawan-kawan menyisih tapi sebab dia mahu sembuh, dia pilih untuk tidak menghiraukan gangguan itu. Dia cuma mahu pulih. Kita kena percaya gangguan mental, terjadi dari kelemahan mental kita sendiri. Jika mental kita kuat, kita pasti boleh mengatasinya. Ada sesetengah dari kita aku tak pasti samaada bangga atau beria-ia mempertahankan bahawa : Tolonglah faham, aku ada masalah mental. Masalah mental ni penyakit, sejenis gangguan pada otak. Bukan saja-saja nak meroyan atau buat-buat sakit. Faham tak? Hurmm, aku tak tahu kalau sesetengah orang suka untuk hidup terus dengan penyakit ini dan merasa dia 'istimewa' kerana telah didiagnos dengan mental illness, tapi tidakkah dia mahu keluar dari situ? Mengapa mahu terus hidup dengan penyakit itu jika ia boleh diubati. Tidakkah dia mahu sembuh?  Yeah, tepuk dada tanya selera.

8) Berkongsi dan berceritalah pada yang boleh dipercayai.

Ceritalah pada keluarga, mak bapak yang masih ada. Suami atau sahabat yang boleh kita percayai. Mereka mungkin tak boleh menyelesaikan atau memberi apa yang kita mahu,  tapi mereka boleh mendengar. Jangan underestimate orang lain tak faham dan tak mahu mendengar kita. Cuba. Cari pertolongan. Percayalah, dengan bercerita dan diperdengarkan kita akan rasa lega. Kalau malu, carilah profesional. Seek for help. Ada banyak tempat perundingan dan unit kaunseling seluruh Malaysia yang boleh membantu. One to one. Jangan cerita di laman sosial. Ia tak membantu. Malah memudaratkan.

9) Beri peluang.

Adakah hidup ini sudah tiada ertinya sehingga mahu mencarik kebahagiaan diri sendiri? Mengapa mahu menamatkan hidup jika ada lagi ruang untuk memperbaiki dan mengejar impian itu? Selalulah bagi peluang untuk diri sendiri. Atau sekurang-kurangnya beri peluang kepada insan-insan di sekeliling kita yang menyayangi kita. Jika ada anak, berbahgialah untuknya. Jika ada suami/isteri, berbagilah kasih bersamanya. Jika ada ibu bapa, hiduplah demi mereka. Percayalah, bahawa hidup ini bukan tentang diri kita saja.

10) Bersyukur.

Segala nikmat yang ditaburkan dalam dunia ini memang tak akan pernah cukup. Sedar diri dan sedar ruang agar kita sentiasa rasa cukup kerana dunia ini hanya sebuah perlabuhan sementara. Impian dan harapan milik setiap orang, tapi kuasa yang menentukan hanya ada pada Pencipta. Ada sesetengah orang tidak ada apa yang kita ada. Sentiasa ingatkan diri kita, jika kita sakit dan menderita, ada yang lebih sakit lagi. Jika hati kita sengsara, ada hati yang mungkin lebih merana lagi. Selalu merasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Usahalah jika mahu jaya. Doa dan tawakal semoga dipermudahkan jalannya. Jika belum sampai, usaha lagi. Jika tak kunjung tiba, anggaplah itu bukan rezeki kita.

Arlina ada banyak potensi dan aset yang boleh memberikan inspirasi pada orang lain. Dengan sikapnya yang positif, dia diberi peluang menjadi social influencer, diberi peluang menerbitkan buku motivasi, menjadi speaker dan motivator untuk acara-acara kecemerlangan belia. Ia sesuatu yang memberangsangkan untuk individu yang ada perasaan insecurity yang tebal dan pernah didiagnos dengan masalah mental illness. Arlina tak patut putus asa hanya dengan komen dan makian masyarakat di media sosial. Dia sepatutnya menjadi lebih kuat. Jangan buang masa memikirkan apa yang orang lain fikir terbaik untuk kita. Hiduplah demi diri kita. Bukan dengan persepsi atau ekspektasi orang lain.  Arlina darling, jangan putus asa dengan hidup. Perjuangan mu masih panjang. Cekal dan tabah melaluinya.

Sewaktu kecil aku sudah mengalami anxiety dan depresi, kerana terlalu merasa rendah diri dengan fizikalku. Aku pasti menyorok dalam bilik atau tandas jika saudara mara datang bertandang. Aku fobia dengan pertanyaan dan usikan mereka kepadaku. Kulitku gelap berbeza dengan adik beradikku yang lain. Sikap rendah diri dan merasa takut menhadapi hari-hari mendatang, menyebabkan belajar aku juga slow. UPSR aku teruk. Jadi aku dibeza-bezakan dengan sepupu-sepupu perempuanku yang lebih bijak. Hidup sentiasa dalam tekanan. Ia membawa sehingga ke sekolah menengah. Belajar masih lemah. PMR aku teruk. Masalah pergaulan dengan rakan sebaya menjadikan aku terlibat dengan gejala-gelaja tak baik. Mak memang garang. Kena pukul tu perkara biasa. Kami adik beradik tak boleh keluar berjalan dengan kawan-kawan hujung minggu. Nak ada kawan lelaki apatah lagi. Semuanya kena ada alasan yang kukuh. Jadi kami biasanya menipu. Semua perkara-perkara nakal aku cuba, akibat pengaruh rakan sebaya. Juga tekanan waktu remajaku. Kawan-kawan pergi sambung diploma di Uni, aku terheret ke form 6. Menghabiskan STPM dengan rasa yang tertekan dan penuh rendah diri. Apabila masuk Uni, aku mula dapat sedikit hidayah. Mahu belajar dengan baik dan bantu keluarga. Keluargaku bukan orang senang, sampai sekarang abah masih bekerja menampung hidup kami sekeluarga. Adik-adik lelakiku tak boleh berdikari. Aku dan adik perempuanku yang selalu ada buat keluarga. Ketika aku mula berkerja, abah tiba-tiba berkahwin satu lagi. Keluarga kami berantakan. Bertahun-tahun kami hidup dalam fobia, depresi dan dendam. Ikatan kekeluargaan kami renggang. Pada peringkat ini aku mencuba macam-macam. Cuba merokok yang kemudian jadi habit, bersosial tanpa fikir risikonya. Aku juga sering menghabiskan waktu dengan mengenang dan risau tentang keselamatan dan kesejahteraan mak. Rasanya inilah puncak di mana terlalu banyak cabaran dalam satu masa. Mak sakit. Dia mengalami depresi yang kronik. Bergantung dengan medikal. Adik-beradik lelaki stress sehingga ambil drugs. Relationship dengan orang yang aku cintai, selama 6 tahun hancur begitu saja. Hidup tak tentu arah. Dan yeah macam-macam lagi. Tidak perlulah aku cerita setiap incinya.

Pada umur aku begini, sudah pasti  angin depresi itu selalu datang bertamu. Selepas berkahwin setahun, aku diishtiharkan mempunyai penyakit Endometriosis. Sehingga perlu menghadapi pembedahan. Pada usia begini, aku tentunya mahukan seorang anak mengisi kesepianku. Kerisauan tentang usiaku yang hampir mencecah 40-an, memikirkan suamiku yang mungkin juga menaruh impian yang sama, sudah pastinya. Ibu bapaku yang sudah semakin tua dan tak kuat lagi. Memikirkan masa depan, kerjaya, impian-impian yang belum jadi. Semuanya. Aku sama juga seperti perempuan-perempuan lain. Yang pastinya mempunyai harapan dan mahu mencicip kebahagian hidup. Aku juga bukan superman, aku juga bisa nangis. Bila sampai depresi, aku menangis tak kira masa, aku takmahu keluar dari selimut, asyik tidur sahaja, termenung, menyebabkan pergaduhan dengan suamiku dengan tak semena-mena, merungut dan berkeluh kesah sentiasa,  tak mahu bersosial, tak angkat telefon atau call,  tidak mandi dan rela kusam sepanjang hari. Aku akan berdiam dari laman sosial, dan hanya mengambil inisiatif bertenang dengan diriku sendiri saja. Menulis, membaca, menonton movie, dan cuba sedaya upaya untuk bangun kembali. Secepatnya. Sekali lagi, aku menulis ini untuk mengingatkan diriku sendiri. Agar sentiasa bersyukur dan cekal hadapi dugaan hidup. Sesusah mana pun kita, ada orang yang lebih susah lagi.

Kepada adik-adik, sahabat-sahabatku, yang sedang menekuni dan menangani masalah mental dan depresi, belajarlah dengan terbuka. Jangan blok atau tutup fikiran dan jiwa untuk menerima perubahan. Carilah pertolongan. Jangan biarkan ia hanyut dihempas gelombang. Aku di sini terbuka untuk mendengar sesiapa saja. Datang padaku dan berkongsilah. Hubungi aku. Aku sentiasa sudi dan berlapang dada.

Satu hari nanti jika kita hampir lemas, dan tidak boleh berenang–ada pelampung gunakanlah ia. Jika ada bot penyelamat, lambailah tangan kepada mereka. Mintalah bantuan. Carilah penyelamat. Jangan diam saja dan biarkan ombak menenggelamkanmu. Hanyut dan kemudian mati di bawa arus.


Percayalah, kita sentiasa boleh menyelamatkan diri kita.  

No comments:

Post a Comment

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...