Wednesday, July 27, 2016

Lelaki patah hati dan jelmaan kucing oren di Selangor Mansion.

Perhatian saya terbelah. Antara merenung rakan yang sedang muram di depan, dengan seorang pakcik India muslim yang sedang busking. Dengan hanya menggunakan botol plastik untuk bergendang, persembahan pakcik itu memang memanah mata yang memandang. Kedai Mamak Selangor Mansion penuh melimpah sama seperti roti canai special banjirnya yang popular. Tanpa mic, pakcik itu steady menghiburkan tetamu. Saya yang berada dalam 5-6 meja jarak darinya, masih boleh dengar kejelasan suaranya. Lagu-lagu pilihannya boleh tahan. D'llyod, P.Ramlee, Search, M.Nasir, Hattan dan Alleycat. Suaranya memang persis vokalis Alleycat, David Arumugam. Saya memang pendengar lagu klasik. Jadi seleksi pilihan itu memang saya layan. 

Roti canai banjir saya sudah lama habis. Wajah di depan masih mencuka. Bila saya tanya–You okay? Dia jawab–Okay. Ada apa-apa you nak kongsi pada I? Kata saya lagi. Dia geleng. Saya cukup kenal kawan saya seorang ini. Dia suka bercerita. Jarang muram. Kelakar dan selalu buat orang ketawa. Malam tu sejak masuk dalam kereta, sampailah ke Selangor Mansion, mulutnya seperti berzip. Hanya dibuka untuk merokok. Seolah marathon. Tak berhenti. 

"Ah Fuck la! Kalau aku ajak kahwin, macam la kau nak!" Tiba-tiba dia yang senyap sunyi tadi menjerit. Saya tolak teh tarik kami berdua ke bahagian tengah. Risau jatuh. Bergegar juga meja disergahnya. Dia menyuakan handphonenya kepada saya. Gambar seorang pelakon janda cantik dan popular dengan caption–"Tiada lelaki nakkan saya." Saya senyum. Gelihati pun ada. Satu dengan reaksi kawan saya dan satu lagi dengan statement dari pelakon tu.

Pakcik India selesai busking. Dia menghampiri setiap meja dengan menghulurkan topinya. Pakcik tu patut diberi penghargaan. Karyawan sejati. Tenaga dan keberaniannya harus di puji. Kawan saya yang masih mengelegak itu juga menghulurkan beberapa keping not seringgit ke dalam topi pakcik itu. Kami berdua ucap–Terimakasih. Pakcik tu senyum dengan mempamerkan gusi. 

Kawan saya mencantumkan jari ibu dan jari telunjuknya. Dia menggerakkan tangannya seperti membuat garis lurus dari kanan ke kiri–betul-betul di hadapan muka saya. "Trust I pada perempuan dah tinggal banyak ni. Banyak ni je. Banyak ni je!" Ditekankan suaranya berulang-ulang. Ibu jari dan telunjuknya diluruskan berbentuk garisan, kali ini di depan mata saya. "Sekarang semua dah hancur." Membuat gerakan tangannya seperti ledakan bom. Dan mulutnya membentuk 'Pow'. 

Perasaan ditinggalkan atau meninggalkan, itu biasa. Tapi perasaan ditipu itu sakit. Itu yang sedang kawan saya rasai. Dan saya tak memberi apa-apa pandangan atau pendapat, saya cuma mendengar. Itu yang paling diperlukan saat ini, saya kira. Perhubungan antara lelaki dan perempuan harus diselesaikan antara mereka. Tak kira suami isteri mahupun pasangan kekasih. Dan saya yakin, kawan saya sudah cukup matang untuk menanganinya. 

Kami meninggalkan Selangor Mansion yang masih hingar dengan suara manusia yang mabuk teh tarik. Saya memerhati langkah longlai lelaki di sebelah saya. Memeluk bahunya dan berjalan beriringan. Sebelum sampai ke kereta, seekor kucing berwarna oren melintas. Kawan saya sempat mengusap ubun si kucing. Dia menggesel manja di tangan kawan saya. Kemudian ketika kami leka, dia tak semena-mena menggigit salah satu jari kawan saya dan berlari laju meninggalkan kami. Ouch! Jari kawan saya sedikit berdarah. Kami masuk ke kereta. Dan saya lekas-lekas berikan tisu padanya.

Jalan di Kuala Lumpur lengang. Kesejukan malam menusuk sampai ke tulang. Kawan saya membiarkan wajahnya di hembus angin. Semoga hatinya juga mencair dan dingin. Perlahan-lahan.

No comments:

Post a Comment