Tuesday, July 26, 2016

Malaikat tidak bersayap di Short Term 12.



Zaman belajar di UKM dulu, aku pernah terlibat menjadi fasilitator untuk sebuah program di Melaka. Di Sekolah Tunas Bakti, pusat pemulihan akhlak anak-anak remaja perempuan. Kami pergi satu kumpulan yang rata-rata mempunyai latarbelakang teater. Seorang senior kami, namanya abang Andika. Dia sedang membuat ijazah sarjana dalam bidang Psikodrama di luar negara. Jadi abang Andika ajak kami untuk sama-sama terlibat dalam proses penyelidikannya. Tak silap aku, Abang Andika mengkaji tentang bagaimana pendekatan psikodrama dapat membantu anak-anak bermasalah di negara kita. Aku sendiri masa tu tak tahu dan tak faham apa itu psikodrama. Walaupun masa tu aku sudah mula belajar dalam bidang psikologi kaunseling. Ia memang biasa dipraktikkan di negara luar, tapi tidak di Malaysia.

Psikodrama adalah pendedahan psikologi menggunakan terapi drama atau lakonan. Ia dilakonkan di hadapan mereka yang bermasalah. Kemudian, mereka yang bermasalah ini boleh sama-sama terlibat menjadi pelakonnya. Menyatakan perasaan mereka, mencipta keputusan dan menyelesaikan permasalahan itu. Lebih kurang begini contohnya, pasangan yang bermasalah dan ingin bercerai di letakkan di dalam sebuah panggung sebagai penonton. Para pelakon akan memulakan babak dengan mencetuskan masalah-masalah yang sering terjadi dalam rumahtangga yang membawa kepada penceraian. Kemudian, pelakon boleh provok penonton agar mereka bangun dari tempat duduk dan melakonkan seperti apa yang mereka harapkan. Dari situ kita dapat lihat pandangan, personaliti dan perancangan mereka terhadap mencari solusi rumahtangga. Kita juga boleh lihat sejauhmana pasangan itu mahu rumahtangga mereka diselamatkan. Dan ada juga sebaliknya. Ia sebuah pendekatan yang kompleks, namun impak keberkesanannya baik untuk masyarakat. 

Ketika sampai di Tunas Bakti, anak-anak perempuan ini tidak mempedulikan kami. Ada sesetengah saja yang ingin merapati. Mereka lebih kepada–terpaksa–berkumpul di dewan itu atas arahan pihak sekolah. Apabila kami beritahu yang akan buat persembahan dan mereka boleh turut serta di dalamnya, mereka nampak teruja. Aku faham. Seni dan benda-benda kreatif memang selalu memberikan adrenalin yang baik untuk sesiapa saja. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan pengisian babak yang berbeza. Sepasang ibu bapa yang sibuk sehingga anak terbiar, bapa yang selalu mabuk dan ibu yang sakit, anak remaja yang terlibat jenayah berat, anak remaja dengan rakan-rakan yang bersosial dan menentang peraturan sekolah dan beberapa cerita lain tentang sekitar mereka. Sesuatu yang tak dapat kami bayangkan. Anak-anak ini belum sampai berapa minit ketika kami membawa watak kami, mereka sudah bangun mengangkat tangan dan menidakkan apa yang kami buat. Mengambil tempat kami dan terus melakonkan watak tanpa segan silu. Agresif dan dengan lantang mereka tenggelam menjadi watak-watak itu. Meluahkan segala yang terpendam tanpa ditahan-tahan. Begitu beremosi. Sehinggakan pentas itu basah dengan airmata.

Rogol, penderaan fizikal dan mental, hamil luar nikah, seks bebas, jenayah besar dan kecil – ini semua perkara yang menyebabkan mereka berada di sini. Kemiskinan, masalah mental & personaliti diri, keluarga yang berpecah-belah, ibu bapa yang takmengambil perhatian, pengaruh rakan sebaya – ini pula antara penyebabnya mereka melakukan perkara-perkara tersebut. Terlalu banyak faktor mengelilingi yang menyebabkan seseorang melakukan tindakan di luar kawalannya. Ada dari mereka yang melakukan kesalahan atas kerana mereka sendiri mahu melakukannya. Ada juga yang terpaksa menanggung kesalahan orang lain. Hidup. Itulah dia. Apa yang takmampu diubah adalah segala yang pernah berlaku. Namun masa depan masih ada pada yang mahu.

Ketika membuat kembara bengkel pemantapan teater untuk anak-anak yatim di bawah seliaan Teach For The Needs (TFTN) sekali lagi aku bertemu dengan pengalaman begini. Bezanya kesemua anak-anak ini kebanyakkannya merupakan anak yang tiada ibu bapa. Atau salah seorang dari ibu atau bapa mereka sudah tiada. Faktor miskin, jadi mereka dihantar ke rumah kebajikan anak yatim. Ketika kami fasilitator bertanya pada anak-anak yang berusia 17 tahun–apa yang mahu dilakukan nanti bila keluar dari sini? Ada diantara mereka yang mahu terus tinggal di situ. Mereka seolah selesa dengan kediaman mereka sekarang dan takmahu mendekati atau mahu tahu masa depan mereka di luar. Takut untuk berdepan dengan cabaran-cabaran dan persekitaran baru.

Apabila menonton filem Short Term 12, aku seolah kembali membayangkan anak-anak yang aku jumpa di Sekolah Tunas Bakti & beberapa Rumah Anak Yatim yang pernah aku lawati. Wajah-wajah mereka muncul satu-persatu. Mana mereka sekarang? Bahagia atau tidak? Kerja macam-mana yang sedang mereka tekuni? Cuma ingatan dan doa yang mampu aku terbangkan, agar semuanya baik-baik saja buat mereka. Semoga Tuhan lindungi setiap seorang dari kalian. Perkara paling sakit adalah bila kau mahu menyelamatkan orang-orang yang kau ambil berat dan kau kasihi, tapi kau tak boleh membantu. Kau tak mampu. Orang-orang itu berada jauh dari ruang lingkup kau. Mereka watak-watak yang melintas di beberapa perlabuhan hidup kau. Kau mendengar keluhan mereka. Kau beri beberapa nasihat dan kemudian kau hanya mampu titip doa. Adakalanya kita mahu terlibat sebanyak-banyaknya dalam membantu, tapi apakan daya. Kita juga manusia biasa. Dan kita serahkan pada Allah untuk memeluk dan memayungi mereka dengan kasih sayangNya. InshaAllah.

Grace penjaga/kaunselor di sebuah rumah kebajikan penjagaan anak-anak remaja yang bermasalah. Dari hal-hal kecil kepada hal yang lebih besar seperti penderaan seksual dan fizikal. Grace dan beberapa tenaga kerja di rumah itu mendidik dan melayan anak-anak ini seperti sebuah keluarga. Menggunakan kekerasan bukanlah cara terbaik, jadi Grace dan malaikat-malaikat di rumah ini menggunakan kaedah reverse psikologi untuk mendekati anak-anak ini. Anak-anak di sini perlu keluar berdikari pada umur 18 tahun dan harus meninggalkan rumah itu. Satu hari kehadiran seorang penghuni baru–Jayden yang bersikap dingin dan memberontak memberi tamparan pada Grace. Sifat Jayden mengingatkan Grace kembali pada dirinya yang juga pernah mengalami apa yang Jayden sedang hadapi. Jayden didera oleh ayahnya sendiri. Ini membuatkan Grace bertindak agresif dengan pecah masuk ke rumah Jayden dan ingin membunuh ayah Jayden. Jayden menghalang dan akhirnya dia berjaya membawa Jayden kembali ke rumah kebajikan itu dan membuat aduan kepada pihak berkuasa. Kembali kepada kehidupan peribadi Grace sendiri, dia pernah dirogol oleh ayahnya sehingga pernah hamil dan menggugurkan kandungan itu. Kini dia mengandung hasil anaknya bersama kekasihnya yang juga bekerja di rumah kebajikan yang sama. Kekasih Grace seorang yang sangat menyokong dan menyayangi Grace tanpa diskriminasi. Dia tahu Grace pernah mengalami trauma dan kisah silam yang dasyat, tapi kehadirannya bukan untuk menghukum. Dia mahu jadi pelindung. Namun Grace merasa terkesan dengan kisah Jayden, apatah lagi bapanya hampir keluar dari penjara. Ini membuatkan dia ingin memutuskan perhubungan bersama kekasihnya dan merasa dia takmampu untuk membesarkan anak dalam kandungannya nanti. Namun setelah menyelamatkan Jayden, dan kata-kata Jayden yang membisikkan padanya bahawa–kau akan menjadi seorang ibu yang baik–benar-benar memberikan motivasi padanya. Dia kembali pada kekasihnya dan bersetuju untuk menjaga kandungannya sebaik mungkin.

Filem Short Term 12 begitu dekat dengan aku dan kisah-kisah dunia psikologi–kaunseling yang aku lalui. Aku percaya, semua orang boleh menjadi kaunselor pada orang lain. Dan semua orang boleh menjadi kaunselor kepada dirinya sendiri. Jika dia mahu dirinya–dibantu. 

No comments:

Post a Comment

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...