Tuesday, July 19, 2016

Berlari untuk membunuh kesunyian.

Mereka bertemu di sebuah acara larian. Jatuh cinta dan berjanji hidup bersama. Hari mereka disatukan, beribu kasut lari di gantung di setiap khemah. Kasut mereka berdua seolah bunga segar yang digantungkan di pelaminan. Tanda simbolik penyatuan dan bibit-bibit pertemuan. 

Seperti mana kasut yang digantung di hari perkahwinan, rutin larian mereka juga seolah berhenti. Tiada lagi keterujaan mengisi borang larian secara online. Tiada lagi semangat bangun pagi-pagi untuk ke acara larian. Tiada lagi kegembiraan memakaikan bib nombor giliran pada tshirt masing-masing, tiada lagi rakaman video dan gambar-gambar, tiada kata-kata hikmah sepanjang berlari, tiada huluran air dan tuala kecil, tiada pelukan di akhir garisan. Semua itu tiada lagi. Mereka selesa tinggal di kediaman, melakukan perkara-perkara biasa seperti mana pasangan lain lakukan. Meraikan kebersamaan. 

Usia perkahwinan merangkak ke-5 tahun. Mereka mula merasa bosan. Hal-hal kecil dan kebiasaan tidak lagi menyemarakkan cinta. Mereka tertanya-tanya di manakah silapnya? Mereka cuba reflek kembali kisah-kisah percintaan mereka 5 tahun yang lalu. Larian telah mempertemukan mereka. Adakah larian akan menyatukan semula? Entah. Mereka tak tahu. Tapi mereka mahu mencuba.

Malam itu mereka daftarkan nama di satu acara larian. Membeli kasut dan pakaian sukan yang baru. Keterujaan kembali meresap ke tubuh mereka perlahan-lahan. Malam sebelum acara, mereka melakukan warm-up di ranjang. Mereka rasa bahagia. Setelah sekian lama.

Mereka bangun lebih awal dari kebiasaan. Memakaikan bib nombor masing-masing, menyediakan peralatan air dan tuala kecil, kemudian saling membisikkan kata-kata semangat. Sejurus tembakan dilepaskan, mereka berlari bergandingan. Selepas beberapa kilometer, mereka tidak mampu lagi berlari bersama. Salah seorang dari mereka berhenti dan mula berjalan, dan seorang lagi meneruskan larian. Mereka tak paksa. Mereka faham. Energy masing-masingkan berbeza. 

Ketika salah seorang sampai di garisan penamat, dia melihat pasangannya sedang berjalan dengan seseorang. Dia teringat tentang pertemuan pertama mereka dan pertanyaan yang keluar dari mulut mereka satu waktu dulu. Kenapa kamu berlari? Untuk membunuh kesunyian. Mereka menjawab yang sama. Untuk membunuh kesunyian. Ada beribu bintang yang menyuluh mata pasangannya itu, ketika menatap seseorang yang sedang beriringan dengannya. Bintang yang sudah lama tidak muncul. 

Dia senyum melihat kemesraan itu. Dia gembira untuk pasangannya. Kemudian berlari laju-laju meninggalkan. 

1 comment:

  1. Hari-hari bagaikan berlari, tiada sesaat berhenti, kata Wings. :p

    ReplyDelete

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...