'Berdua lebih baik' mungkin analogi pembikin dan idea yang melatari filem ini. Sebagai manusia yang mempunyai nafsu dan kehendak, mempunyai pasangan antara senarai impian dalam hidup seorang manusia. Siapa saja yang mahu hidup sunyi di dunia ini?
Sebuah hotel di bina untuk mereka yang single. Mereka mempunyai 45 hari untuk mencari pasangan. Jika peraturan itu tidak dituruti, masyarakat tidak boleh menerima. Dan individu yang tiada pasangan ini akan di-transform menjadi binatang, mengikut pilihan mereka sendiri. Kemudian akan dihantar ke dalam hutan menjalani hidup kesunyian. Namun begitu, mereka diberi tambahan hari untuk menginap di hotel itu, dengan cara memburu individu yang single di dalam hutan. Dalam mencari pasangan hidup, setiap mereka harus mempunyai satu sifat dan personaliti yang sama. Contohnya, seorang perempuan yang kerap mempunyai pendarahan di hidungnya, perlu mempunyai pasangan lelaki yang sama juga. Pasangan ini akan dikahwinkan dan mereka boleh meneruskan hidup di kota dengan bahagia.
Seorang lelaki (David lakonan Collin Farrel) ditinggalkan isterinya yang curang dengan lelaki lain. Dia masuk ke hotel dan mengikuti segala peraturan dan syarat yang perlu diikuti sekiranya tidak mahu end up menjadi binatang. Dia berjaya menipu seorang wanita yang heartless (tidak punya perasaan) dengan percubaan menjadi heartless juga. Mereka berkahwin, tetapi sebagai seorang lelaki normal, dia tak berjaya menyembunyikan penipuan itu. Insiden itu akhirnya menyebabkan dia terpaksa lari ke dalam hutan dan tinggal bersama mereka yang single. Golongan ini dipanggil Loner. Di dalam hutan dia bertemu dengan seorang wanita (Rachel Weist) yang mempunyai pesamaan dengannya iaitu masalah short-sighted/penglihatan jarak dekat. Dia yakin wanita itu sempurna menjadi pasangan hidupnya. Mereka menjalin hubungan dengan menggunakan bahasa isyarat kerana peraturan di situ tidak mengizinkan mereka mempunyai sebarang hubungan dengan loner yang lain. Satu hari perhubungan mereka diketahui oleh Ketua Loner dan telah membawa kekasih David ke hospital untuk membutakan matanya. Di hujung cerita, David berjaya pengsankan Ketua Loner dan membiarkan dia digigit anjing serta berjaya membawa keluar kekasihnya keluar dari hutan. Mereka singgah ke sebuah restoran, dan David membuat keputusan untuk membutakan matanya.
Betapa teruk dan dasyatnya menjadi orang yang tidak mempunyai pasangan. Sehingga kita terpaksa memenuhi dan conform kepada masyarakat kita. Prejudis dan diskriminasi terhadap mereka yang takpunya pasangan, bercerai atau andartu atau bujang terlajak sebenarnya tak akan pernah habis. Ada yang sanggup berkahwin tanpa cinta, minta keluarga carikan, masuk forum jodoh demi mencari pasangan. Memilih hidup sendirian seperti satu hukuman dan akan dihina masyarakat. Kenapa orang lain pula yang menentukan nilai bahagia kita? Mengapa tuntutan masyarakat itu menjadi beban pada setiap langkah kita? Itulah persoalan dan permasalahan dalam cerita ini. Selepas habis menonton pun, aku dan Amar sama-sama berdiskusi dan mencari pemikiran di dalamnya. Ia sebenarnya takkan pernah habis, sepertimana persoalan tentang jodoh, memilih pasangan dan takdir.
Fitrahnya manusia berubah dengan banyak faktor yang melingkarinya. Kita mencintai hari ini, bukan bererti kita mencintai selamanya. Mempertahankan hubungan juga perlu kemahiran. Cinta takkan selamanya mekar berkembang, menjaganya perlukan kesabaran. Yang sedang seorang, itu bukan bermakna perlu merasa tersisih dan malu berdepan dengan masyarakat. Raikan masa-masa sendiri. Mungkin masanya belum tiba. Selalulah percaya - True love waits.
Di dalam cerita ini, David memilih menjadi Lobster jika dia takmampu mencari pasangan sepanjang hidupnya. Katanya lobster hidup lebih lama, bertelur dan secara peribadi dirinya sendiri yang sukakan laut. Jika nanti kita terpaksa sunyi-sendiri di akhir kehidupan kita, binatang apa yang kita mahu jadi?
No comments:
Post a Comment