Tidak ada istilah terlambat untuk belajar. Selagi mata
celik, nafas masih berhembus, belajarlah. Tiada alasan yang logik bila aku mula
menghantar karya ke media cetak; kecuali satu tujuan–mahu belajar. Ada juga
cetusan ralat dalam hati nurani ini; kenapalah usia nak masuk 40 baru nak sibuk
hantar karya ke suratkhabar? Kalau 5 tahun lepaskan bagus. Ah! Nak buat macam
mana, kesedarannya hadir pada waktu begini. Raikan sajalah. Hihi. Manusia
memang selalu menyalahkan kesedaran. Begitulah.
Aku ni penulis yang malas. Tidak konsisten. Kadang-kadang
malu nak mengaku sebagai penulis. Disiplin tak ada. Tulis bila mahu tulis. Ikut
mood. Macam-manalah nak bagus menulis. Herm. Apabila aku cuba-cuba menghantar
karyaku ke media cetak, barulah aku sedar yang aku perlu serius. Serius untuk
menulis dan serius untuk jadi penulis. Ia menukar sudut pandang aku terhadap
dunia penulisan. Sebelum ni aku selesa. Cukup sekadar berada dalam ruang yang
aku tahu dan kenal saja. Bukankah keselesaan itu akan membunuhku? Dengan
tersiarnya tulisan aku di media cetak, aku menerima komen yang meluas. Dibaca
oleh ramai orang. Tak kisah dari kelompok mana. Mereka telus memberikan
pandangan. Walau terkadang sakit juga tuh di sini, tapi aku sedar ia penting
untuk memperbaiki penulisanku. Menjadi lebih baik dan baik lagi. Takkan
selamanya aku mahu pembaca indie saja yang menikmati tulisanku. Penulisan harus
evolve. Sejak aku menulis di media cetak, ramai penulis yang berada di
lain-lain penerbitan mahu menjadi kawan dan sama-sama memberi sokongan agar
terus menulis dengan baik. Akhirnya menjadi penulis yang baik adalah impian
ultimate untuk seorang penulis. Tak terkecuali aku.
Keseronokkan melihat karya sendiri terpampang di suratkhabar
atau majalah, tak boleh diluahkan dengan kata-kata. Perasaannya besar. Walaupun
sesetengah penulis suka menghantar karya mereka ke media cetak oleh sebab
disediakan wang saguhati, aku tak anggap itu sebagai dorongan utama. Aku suka
karyaku dibaca oleh ramai orang. Berkongsi cerita-cerita dan pengamatanku. Aku
menemukan sejenis kepuasan yang mendamaikan bila ia dicetak untuk seluruh
rakyat Malaysia menikmatinya. Zurinah Hassan pernah memberitahu padaku, apabila
aku bertanya kebaikan menghantar karya ke media cetak. Katanya; tulislah untuk
berkongsi. Dengan berkongsi kita akan mendapat feed-back. Melaluinya kita akan
menulis karya yang lebih baik.
Ada prosedur untuk menghantar karya ke media cetak. Setiap
media cetak mempunyai cara penilaian yang berbeza. Kebanyakkan penulis merasa
sikit terganggu dengan prosedur ini, lantas mengambil keputusan tidak
menghantar karya mereka. Jangan begitu. Di mana-mana pun ada peraturannya.
Ambil masa untuk study keperluan dan syarat yang perlu dipatuhi. Tak susah mana
pun. Aku dengan lapang dada berkongsi semua prosedur dan alamat media cetak
yang boleh dihantar kepada sesiapa yang berminat. Biasanya mereka ini penulis
baru dan juga pelajar-pelajar aku di Pondok Puisi dan bengkel penulisan yang
aku terlibat sebagai pengajar. Aku sebenarnya tak galakkan mereka menulis di
media sosial. Di twitter, facebook atau instagram. Benda-benda virtual ni tak
kekal. Dan mudah saja dirompak. Bahaya. Jadi tulis molek-molek, dan hantarlah
ke media cetak. Bila dah keluar nanti, potong keratannya dan simpan dalam album
atau file khas. Esok dah tua, boleh anak cucu tengok. Hihi.
Selain untuk tujuan memperbaiki tulisan, menghantar karya ke
media cetak juga bagus untuk tujuan penerbitan. Nanti bila dah banyak karya
yang tersiar, kumpulkan dan boleh dijadikan antologi untuk dihantar ke
mana-mana penerbitan. Itulah yang sedang aku lakukan sekarang ni. Tahun ini
juga aku berjanji menyiapkan antologi cerpen aku yang pertama, disertakan
bersama barisan karya yang pernah tersiar di akhbar. InshaAllah. Dengan
penerbitan mana? Haaa..rahciew. Tak boleh cerita banyak-banyak. Benda tak jadi
lagi kan? Nanti kalau tak jadi, maluuuu. Haha. Mana-mana tips penulisan pun
selalu ingatkan : Jangan bercerita sehingga ia jadi buku. Tulis dulu, kasi
siap, lepas tu ketuklah tabuh untuk umumkan pada seluruh jagat raya. Aku selalu
ingatkan diri aku benda ni. Jangan cerita apa-apa sampai ia betul-betul jadi.
Kita bukan saja membunuh harapan orang, kita sebenarnya sedang mengkhianati
diri kita sendiri. Manusia dipegang pada janji kan?
Ramadhan yang lepas, sebuah cerpen aku tersiar di Majalah
Wanita. Dan selepas seminggu raya puisi aku tersiar di Utusan Malaysia.
Alhamdulillah. Bulan puasa hari tu ada banyak waktu senggang yang aku isikan
dengan menulis. Banyak juga hasilnya. Agak produktif. Moga karya-karya itu akan
tersangkut di mana-mana media lagi nanti. Kalau boleh aku nak kekalkan momentum
menulis, dan mahu karya aku tersiar setiap bulan. Amboi sangat kan! InshaAllah.
Aku yakin dengan kesungguhan dan kerja keras (tulis dengan baik) ia berbaloi
untuk meletakkan harapan ke atasnya.
Majalah Wanita Bil 1701, 24-30 Jun 2016. Cerpen Bertenang
& Cium Ubun-Ubun Kucingmu : Sebuah cerpen tentang bagaimana kehidupan
dilihat dari mata seekor kucing. Aku selalu curious apa yang Teja & Wangi
fikir. Setiap kali mereka termenung, aku selalu cuba meneka-neka apa yang
bermain dalam hati mereka. Adakah kucing hanya dilahirkan sebagai kucing saja?
Betapa pentingnya Teja & Wangi dalam hidup aku. Mereka sudah macam
keluarga, macam anak. Peneman sunyi, terapi hati. Aku takboleh bayangkan
hari-hariku tanpa mereka.
Utusan Malaysia, Ruangan Sastera, 9 Julai 2016. Puisi Suatu
Petang di Klinik Kasut : Suatu petang di dalam sebuah bank, ketika menunggu
giliran Mak mengurusi akaunnya, aku melihat sosok anak muda yang sedang
menekuni kasut pelanggan. Di sisinya sebuah banner kecil yang tertulis
"Klinik Kasut". Begitu fokus & penuh penghayatan. Terimakasih
atas inspirasinya.
Terimakasih Ya Rabb atas inspirasi dan perlindunganMu. Terimakasih buat kawan-kawan yang selalu update jika karyaku
keluar. Aku sendiri selalu terlepas. Terimakasih teman penulis yang selalu
menolak aku keluar dari keselesaan, dan paksa menulis di media cetak, u know
who you are. Kekasihku yang selalu menjadi orang pertama mengedit tulisanku,
juga pembeli pertama jika karyaku tersiar ( i love you ayang). Dan semua pembaca
yang sudi. Tegur dan beritahu aku jika tulisanku tak bagus/belum cukup baik.
Aku sentiasa dahagakan komentar. Aku mahu terus belajar.
“You don’t start out writing good stuff. You start out
writing crap and thinking it’s good stuff, and then gradually you get better at
it. That’s why I say one of the most valuable traits is persistence.” — Octavia
Butler
No comments:
Post a Comment