Thursday, August 18, 2016

Bakso Idaman.

Kembara selalu berikan kejutan. Tak akan ada kembara yang serupa, walaupun kita ke tempat yang sama. Pengalamannya pasti berbeza. Setiap 2 bulan, aku akan ke Jogja, tuntutan bisnes. Walau cuma 3-4 hari, aku pastikan kembara itu terisi dengan pelbagai perkara baru. Seharian diambil untuk urusan belian stok dan sebagainya, dan selebihnya terisi dengan melawat tempat baru, menonton persembahan seni & mengopi bersama teman. Aku rasa kalau berjuta kali ke sana sekalipun, sudah tentu ada saja tempat baru yang menarik untuk diterokai. Harapan aku agar bisnes Goda walaupun tak hebat, tapi tak sampai bangkrup. Supaya aku boleh terus ke Jogja. Haha.

Kejutan kembara aku ke Jogja sebelum ini, bertemu Aan Mansyur. Tak semena-mena, ada sebuah acara meraikan Aan Mansyur yang ketika itu sedang hangat dengan buku terbarunya Tiada New York Hari ini. Untuk tidak ketinggalan, aku ikuti hampir semua instagram yang menyatakan info-agenda terkini serta acara yang berlangsung. Ia memudahkan aku mengetahui apakah acara yang ada di sana ketika kunjungan. Sewaktu acara bersama Aan, aku bukan saja dapat mendengar diskusi tentang puisi, pengalaman menulis dan bagaimana membangunkan seni dan persekitarannya, malah dapat duduk bersama Aan secara lebih intim dan dekat. Bergambar bersama, itu sudah pasti. Aku  juga dapat berkenalan dengan komuniti Jual Buku Jogja (JBS) yang aktif membuat jualan buku indie di ruang mereka dan acara seni lainnya. Silaturrahim yang terjalin sebegini amatlaha ku hargai.

Sebuah kejutan lagi datang memeluk aku. Kembara kali ini, aku bertemu antara penulis wanita kegemaran–Djenar Maesa Ayu. Aku mengenal Djenar setelah menonton filem arahan pertamanya  "Mereka Bilang Saya Monyet" pada tahun 2009. Seorang teman membelikan dvd-nya dari Jakarta. Setelah itu aku mencari semua karya-karyanya. Hampir semuanya aku ada. Mungkin terlambat mengenalnya, namun tulisan serta tema di dalam karyanya menjadi inspirasi besar pada aku sehingga sekarang. Kisah-kisah perempuan dan lingkungan persekitaran selalu menginspirasikan aku. Seksi Ovari juga lahir atas inspirasi dari tulisan dan suara Djenar. Bagi aku Djenar penulis yang berani menyatakan pemikiran dan perasaannya. Menulis kisah-kisah perempuan secara terbuka tanpa pergi-mampuskan sama taboo dan persepsi masyarakat. Kerana aku juga terlibat dalam bidang lakonan dan filem, justeru sosok Djenar menambahkan lagi kedalaman cinta aku pada dia. Beliau hebat bukan saja sebagai penulis, malah membintangi filem juga menulis serta mengarahkan filemnya sendiri. Pakej yang bagi aku sungguh Wow!

Apabila tahu ada tayangan filem terbaru Djenar iaitu 'Nay' di Jogja, aku melompat bukan main–ia tepat tarikh aku ke sana. Kerana ia ditayangkan di sebuah villa yang privasi dengan tuntutan RSVP, aku mesej sendiri Dusun Village Jogja (pihak/tempat penganjuran) dan minta untuk di-reservekan kerusi untuk aku dan Amar. Rupanya hanya 5 minit ke Villa itu dari penginapan kami. Bertambah tinggi loncatan aku.  Malam sebelum terbang, ketika mengemas keperluan untuk dibawa, aku mengumpulkan semua buku-buku koleksi tulisan Djenar, dengan harapan yang berbunga-bunga ia akan dilengkapi dengan tandatangan penulis kegemaranku. Kami tiba tepat waktu tayangan. Ketika melintasi kolam renang sebelum masuk ke ruang tayangan, aku nampak sosok Djenar sedang menaip di laptopnya. Dari belakang sudah aku kenal empunya diri. Aduh, bergegar jantung aku. Terus di sapa dengan mesra pegawai acara yang manis bernama Retno yang menjawab mesej aku dan sudi reserve-kan tiket khas buat aku dan Amar. Di dalam bilik tayangan, 80 minit kisah berjalan, tubuh aku seperti berada di awang-awangan, jiwa aku luluh berantakan. Aku percaya sebuah filem yang baik ia memberi rasa yang–menggelisahkan. Buat kita berfikir, berfikir dan terus berfikir. *Aku akan ceritakan perjalanan menonton kisah Nay di lain post. Tunggu okay.

Kami berkumpul di ruang kolam renang untuk sesi diskusi filem dan q&a santai bersama sutradaranya. Sepanjang diskusi itu mata aku tak lepas pandang pada Djenar, seperti mata pasangan sedang di lamun cinta. Ada banyak yang mahu aku kongsikan & tanyakan. Ada sesekali aku cuba beranikan diri untuk angkat tangan bertanya soalan, namun mulut kelu menahan. Apabila sesi bergambar, aku orang terakhir. Terkepit dan ersipu-sipu aku di situ. Aku hulurkan buku-buku yang dibawa untuk ditandatangan. Ada 5-6 semuanya. Punyalah menggelabah sampai tersasul-sasul dibuatnya. Sekejap panggil mbak, kejap panggil mas. Haha. Djenar ajak aku dan Amar duduk di kolam renang dan berbual lebih lanjut secara intim dan berdekatan. Tetang sekitar diri sendiri, penulisan, filem, cinta, semuanya. Bertukar no telefon & wefie menggunakan telefonnya. (Amar pun terjebak wefie bersama. Haha.) Ya ampun, rasa macam dalam mimpi. Sureal. Sureal. Antara perbualan dan pertemuan yang paling manis dalam sejarah kehidupan saya. Perbualan malam itu menjadi darah yang akan terus mengalir dalam tubuhku. Aku takboleh ceritakan secara terperinci, ia terlalu peribadi buat aku. 

Aku senyum sepanjang perjalanan pulang. Masa atas motor beberapa kali aku bagitahu Amar–I rasa macam mimpi. I rasa macam mimpi. Malam itu aku tidur lena tanpa bermimpi. Sebab mimpi aku sudah menjadi realiti. Terimakasih Djenar Maesa Ayu, atas setiap ilham dan inspirasi. Moga setiap perjalananmu demi hidup dan cinta–akan terus mewangi.

Apa lagi kejutan yang menanti aku dalam kembara ke Jogja akan datang? Aku cuma...tak zabarr.





No comments:

Post a Comment

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...