Bulan merdeka yang lalu, aku dan Amar memenuhi hari-hari kami dengan keluar merakam kisah wanita-wanita sebagai inspirasi rakyat Malaysia. Mereka cuma perlu menyarungkan pakaian koleksi Godabyfazleena. Sebuah projek yang santai, bersahaja dan sungguh impromtu. Kami merakam menggunakan iphone dan edit juga dengannya. Sementara aku menulis write-up kisah perjuangan mereka. Mereka ini dipilih dikalangan sahabat yang aku kenal, kenalan atas kenalan dan ada juga yang aku approach di media sosial. Aku gembira dapat berkongsi kisah mereka kepada khalayak. Sekecil dan sebesar manapun peranan mereka sebagai wanita di atas muka bumi ini, tentunya membawa kepada kebaikan kepada masyarat dan persekitaran secara tidak langsung.
Aku sendiri yang menyenaraikan wanita-wanita ini mengikut kepada kerjaya, status dan lifestyle mereka. Cara mereka raikan hidup yang aku utamakan. Aku mencari inspirasi di balik inspirasi. Mereka ini walaupun ada yang pernah berada dalam kehidupan lalu yang penuh liku, namun sentiasa tersenyum dan kekal positif. Di mulut mereka tiada istilah putus asa. Hidup untuk hari ini dan masa depan. Bukan mengingati masa lalu yang penuh kepahitan. Itu lambang wanita merdeka pada aku. Terimakasih kerasa sudi merealisasikan impian kecil aku. Aku percaya Godabyfazleena bukan semata-mata perniagaan, ia ruang meraikan persaudaraan. Di sini aku turunkan semua kisah-kisah wanita godabyfazleena yang menginspirasikan. Secara sedar atau tidak sedar, aku sebenarnya merakam impian aku yang mungkin tak pernah termakbul. Aku cemburu dengan kebolehan mereka, ketabahan dan inner-self mereka, aku ingin jadi seperti mereka. Jadi bila aku berpeluang mendekati dan menyelami jiwa mereka, aku rasa sebahagiaan impian itu sudah menjadi nyata. Terimakasih atas kepercayaan awak semua. Wanita inspirasi saya. Dan mungkin seluruh dunia. Terimakasih sekali lagi.
"Bidang muzik tiada masa depan!" Itulah kata-kata yang menjadi pembakar semangat buat Ramlah atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu vee, yang merupakan Pengasas dan pengelola Vee Music Centre @veemusic83 sejak 2015. Pengalaman muzik Vee sangat luas. Pernah membuat persembahan bersama Kris Dayanti sempena Hari Raya di Dewan Merdeka pada tahun 1999. Bermain bersama Chambers Orchestra, Malaysian Philharmonic sekitar tahun 2000-2001. Bertugas sebagai guru violin dan 'structured performing art' di Sekolah Sri KDU dan pada masa yang sama menjadi tenaga pengajar di Yamaha Music School Setia Alam. Semangat Vee pada violin tidak pernah berhenti apabila mengambil inisiatif memberi perkhidmatan mengajar violin dari rumah ke rumah, sehingga memberanikan diri membuka dan memiliki perniagaan muziknya sendiri hari ini.
Setiap hari Vee berusaha mengkaji dan memperbaiki sistem pengurusan, agar dapat menjadi contoh yang baik untuk wanita-wanita yang berminat membuka perniagaan muzik sepertinya. Muzik bagi Vee bukan saja mendidik seseorang individu itu berdisiplin, tetapi kreatif dan sensitif terhadap persekitaran. Vee sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik dan meningkatkan potensi diri agar kerjaya dalam bidang muzik dipandang tinggi. Harapannya untuk meluaskan empayar Vee Music Centre ke tahap yang lebih membanggakan, serta menjadi sebuah 'Music Centre' yang sempurna di masa hadapan.
Gesekan biola selalu mendamaikan, semoga impian Vee dipeluk Tuhan. Vee adalah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Afiza Asram, graduan bidang seni teater dari Aswara (2009-2010) ini merupakan pengasas dan penerbit Cube Arts Stage yang kini aktif membangunkan produksi teater di sekitar ibu kota. Pernah berkerja sebagai penolong penerbit dan wartawan penyiaran di KliaTv dan The R&D Studio. Kini pada usia 26 tahun beliau memilih bergerak bebas sebagai aktivis seni sebagai penerbit, penulis skrip, pelakon dan pengurus produksi.
Darah seni telah mengalir dalam tubuhnya sejak kecil. Ia bercambah dan mengalir pekat apabila menjejak dewasa. Bagi Afiza, "Cita-cita adalah hak mutlak setiap manusia, jadi jangan pernah berhenti mengenggamnya." Persepsi orang sekeliling tentang seni-budaya yang negatif, bukanlah syarat wajib untuk menghalang impiannya bergelar anak seni yang berjaya. "Bidang seni tidak wajar dijadikan kerjaya, ia hanya hobi untuk kaum wanita!" Kata-kata seperti ini sudah lama dibuang jauh-jauh dalam setiap langkahnya, demi memastikan beliau terus fokus mencapai impian.
Afiza membayangkan dapat memiliki sebuah ruang persembahan yang minimal dan sederhana, untuk memberi peluang masyarakat terus berkarya. Di Malaysia, ruang melakukan persembahan seni (terutama teater) amatlah terhad dan kosnya mahal. Impian Afiza itu pastinya membuka ruang lebih luas untuk anak-anak seni melahirkan karya-karya yang lebih baik di masa hadapan. Semoga seni Malaysia akan terus berkembang dengan semangat dan kegigihan warganya, seperti mana Afiza dan cita-citanya. Afiza Asram lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Sejak kecil aktiviti keusahawanan sudah sebati dalam jiwa Nur Zafirah bt. Md. Hider. Susur galur keluarganya yang menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan dan cara hidup, memberikan impak yang besar pada gadis berusia 23 tahun ini. Pemegang Diploma dalam bidang Kulinari di Food Institute Of Malaysia, Kelana Jaya ini membangunkan ZH Little Kitchen @zhlittlekitchen sebagai permulaan untuk beliau menjadi usahawan yang berjaya satu hari nanti. Zafirah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan kos sendiri bersama ZH Little Kitchen, dengan menyewa tempat di kafe atau restoran yang memberikan ruang niaga kepadanya. Melalui cara ini, beliau yakin setiap pengalaman yang ditempa hari ini, menjadikan impian untuk memiliki sebuah kafe atau restoran akan menjadi nyata.
Perniagaan berasaskan makanan memerlukan seseorang itu sentiasa kreatif dan rajin membuat penyelidikan tentang citarasa masa kini. Kepuasan pelanggan adalah keutamaan. Zafirah selalu mengingatkan dirinya untuk--sediakan makanan seperti mana yang dirinya sendiri mahu makan. Tiada istilah tamak atau kedekut. Meniaga dengan penuh keikhlasan, kerana rezeki semua di tangan Tuhan.
Meneruskan hasrat arwah ayahnya yang mengimpikan sebuah restoran untuk dihadiahkan buat ibu tercinta, Zafirah berjanji untuk terus berusaha dan berkerja kuat agar ianya terlaksana. Pelbagai cabaran yang dihadapi, pelbagai kekalahan yang pernah dia tempuhi, namun jerit Zafirah; "Jangan takut pada kegagalan, jadikan ia sebagai obor kekuatan." Zafirah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
"Sebuah buku ialah impian yang berada dalam genggaman." Kata-kata dari Neil Gaiman, penulis kegemaran Nur Munirah bt. Zahari ini, menjadi semangat untuk beliau menerokai industri buku. Setelah memperolehi Ijazah Pengurusan Perniagaan di sebuah Universiti tempatan, dalam usia 26 tahun, beliau kini meneruskan kerjaya sebagai Pembantu Pengurus Jualan di Dubook Press. Sebelum ini Munirah menjalani latihan industri di tempat yang sama. Minat yang mendalam pada buku serta ingin belajar selok-belok perniagaan, Munirah setia bersama Dubook Press yang merupakan antara penerbitan buku berkaliber di Malaysia.
Bagi Munirah, seorang wanita perlu tegas dalam memilih bidang kerjaya yang dicintai. Minat mendalam akan mendorong seseorang itu berdedikasi terhadap kerja dan sentiasa berusaha membangunkan potensi diri. Bergelumang dengan buku dan persekitarannya, bukan saja menambah ilmu pengetahuan, malah mendekatkan Munirah dengan hal-hal kemanusiaan. Semangat kerjasama dan toleransi menjadi prinsip Munirah dalam berkerja. Beliau berharap dapat terus maju bersama Dubook Press, kini dan pada masa akan datang.
Pegangan Munirah dalam menjalani kehidupan adalah, "Setiap orang sentiasa mahukan perubahan. Dan perubahan perlukan tindakan. Hanya diri sendiri yang boleh menentukan." Munirah adalah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Rozana Tumirin percaya ada pengorbanan yang perlu dilakukan demi kebahagiaan. Melepaskan impian sendiri, untuk kegembiraan insan-insan tersayang, selalu berbaloi dilakukan. Selepas menggenggam Diploma Pengurusan Pelancongan, Rozana telah mencuba pelbagai jenis pekerjaan untuk menimba pengalaman. Pernah berkerja di Taman Burung Kuala Lumpur sebagai show presenter dan customer service, telemarketer untuk AIG Insurance, HR di Petronas serta Pegawai Perlancongan di KLIA. Tidak pernah terfikir untuk menjadi surirumah sepenuh masa, namun kecederaan suaminya akibat ACL-anterior cruciate ligament, telah membuatkan Rozana nekad untuk mengurusi dan menjaga kebajikan rumahtangganya.
Kini dalam usia 29 tahun, Rozana bahagia bersama suami dan seorang anak perempuan comel bernama Anggun. Keinginan untuk kembali berkerja masih ada, namun keutamaannya kini lebih kepada menyediakan keperluan yang terbaik buat suami serta anaknya. Bagi Rozana, surirumah juga merupakan satu kerjaya. Masyarakat tidak seharusnya menganggap ianya tidak penting dan mudah untuk dilaksanakan. Hakikatnya, kerja menguruskan rumah dan keluarga tidak pernah habis. Individu yang paling awal bangun dan paling akhir masuk tidur.
Satu hari nanti, Rozana berharap beliau dapat membuka sebuah perniagaan sebagai kelangsungan minatnya terhadap dunia kerjaya. Wanita perlu merasa bahagia dengan pilihan yang mereka lakukan. Persepsi negatif dan mentaliti persekitaran, tak boleh kita kawal. Namun menjadi gembira adalah salah satu ubatnya. Kata Rozana, "Be happy. Even if you surrounded by unhappy people." Rozana lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Pemegang Sarjana Komunikasi Visual dan Sarjana Muda dalam Rekaan Grafik ini, menjadikan aktiviti menunggang motorsikal besar sebagai hobinya di waktu senggang. Aktiviti yang didominasi kaum lelaki ini, membuktikan Nur Aniza seorang yang kental dan sukakan cabaran. Kehidupan seharian Pensyarah di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka di UITM Shah Alam ini, begitu padat. Perlu melakukan tugasan mengajar, menguruskan anak lelakinya yang berusia 10 tahun, serta melaksanakan kerja-kerja grafik (separuh masa) sebagai mencari pengalaman dan menambah pendapatan. Nur Aniza juga sedang mengikuti pengajian Phd dalam kursus New Media. Tiada istilah merungut atau mengeluh dalam hidupnya. Nur Aniza percaya, kesibukan akan membuat seseorang itu bijak menguruskan masa dan memilih keutamaan.
Tiada siapa yang mengharapkan perkahwinan terputus di tengah jalan. Nur Aniza redha dengan aturan dan takdir yang telah ditentukan buatnya. Hari ini dan masa depan yang perlu diberikan perhatian kini. Kisah lalu yang pahit sudah lama ditinggalkan buat pedoman. Cabaran yang paling besar untuknya adalah mengimbangi di antara keluarga, anak, kerjaya serta impian diri sendiri. Namun dengan bersikap postif dan berfikiran optimis, ia akan memudahkan setiap jalan yang berliku.
Sebagai pendidik, Nur Aniza berjanji untuk memberikan yang terbaik buat anak bangsa. Kini aktif menjalankan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Baginya : "Hidup ini bukan tentang diri kita saja. Berilah sebanyak-banyaknya apa yang kita ada pada mereka yang memerlukan." Prinsip yang selalu dipegang Nur Aniza –bahagia itu positif. Hanya dengan positif kita boleh menikmati kebahagiaan. Pastinya motorsikal Nur Aniza akan terus menderum seiring semangatnya. Nur Aniza lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Kemunculannya sebagai Puteri Hang Li Po dalam pementasan 3 Ratu di Istana Budaya telah membuka lembaran baru. Namanya mula meniti di bibir peminat seni Malaysia. Mei Fen Lim pernah mendalami seni lakon selepas tamat SPM di Amerika Syarikat, terlibat dalam sebuah program realiti pencarian model, bekerja di belakang tabir pentas serta menjalankan perniagaan keluarganya. Namun, watak Hang Li Po akhirnya menyedarkan Mei bahawa bidang seni lakon yang paling kuat bertahta dalam hatinya. Mei pada 2015, mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya dalam bidang seni teater di Aswara.
Walaupun sibuk dengan pengajian, Mei masih mengambil tawaran berlakon di luar untuk membintangi filem, drama mahupun teater. Bagi Mei, industri seni lakon di Malaysia hanya untuk yang benar-benar rajin. Jika kita percaya pada bakat yang ada dalam diri, sentiasa berusaha mencari peluang untuk menyinar. Seperti prinsip dan motto hidup Mei; "Make dreams and take action!"
Pemenang pelakon tempat pertama di Beijing World Chinese Mirco Film 2014 melalui filem pendek The Exchanged ini bercita-cita ingin menjadi seorang penerbit. Impiannya untuk menghidupkan kembali kisah sejarah dan lagenda ke satu aras yang tinggi. Ingin namanya terpahat sebagai anak seni Malaysia yang membanggakan, Mei berusaha setiap hari memantapkan penggunaan bahasa melayu. Mei lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Pemenang 3 pingat emas di acara sukan SUKMA yang ke-18 di negeri Sarawak ini, tidak pernah bercita-cita menjadi atlet. Sejak kecil, impiannya mahu terbang di awan biru, berkhidmat sebagai pramugari. Namun ketika beliau bersekolah dalam darjah 5, salah seorang guru telah menghidu potensi yang besar dalam diri Saidatul Izati Suhaimi. Beliau telah memenangi semua acara dalam sukan tahunan sekolah. Sejak itu, Izatti tidak menoleh lagi. Kini beliau merupakan salah seorang atlet kebangsaan yang bakal menggegar.
Mengikuti program khas di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil selepas tamat sekolah, Izati sedang mempersiapkan dirinya untuk menyambung pelajaran dalam bidang komunikasi di UPM. Anak kelahiran Ipoh ini bercita-cita mewakili negara dalam sukan berprestij seperti Sukan Komenwel dan Olimpik. Kini beliau menjalani latihan intensif di dalam dan luar negara, bagi melayakkan dirinya dalam sukan SEA di Kuala Lumpur tahun hadapan.
Setiap kali beraksi, perkara yang sering menghantui dirinya adalah bagaimana menghilangkan rasa gugup. Di bahunya tersimpan jangkaan dan impian orang sekeliling yang mahu melihat dia berjaya. Keluarga, rakan-rakan, jurulatih dan seluruh rakyat Malaysia. Izati perlahan-lahan menyerap rasa gugup itu sebagai semangat untuk selalu memberikan yang terbaik. Bagi Izati, kepercayaan orang terhadap kemampuannya, adalah doa untuk melihat sejauhmana dirinya boleh berlari menggapai impian.
Pelari kebangsaan dalam acara 400 meter berpagar ini tidak bimbang masa remajanya hilang begitu saja di padang balapan. Izati percaya bidang sukan mempunyai masa depan yang cerah dan mendidiknya menjadi seorang yang berdisiplin dan positif. Izati lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Cinta yang mendalam terhadap seni tari telah membawa Nadhirah Razid terbang jauh. Langkah tarinya telah menjejak tanah Korea, Singapura, China dan Indonesia. Sejak 2009 lagi, Nadhirah telah banyak terlibat dengan produksi tari di acara berprestij dan korporat seluruh Malaysia, juga di program tv tempatan. Pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Kareografi dan Diploma Seni Tari dari Aswara ini, kini bergelar jurulatih Permata Seni di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Selalu menerapkan isu-isu wanita dalam karyanya, Nadhirah merasakan penting untuk suara wanita didengar dan baginya 'Hanya wanita yang akan menyelamatkan wanita.' Karya Madu 4 yang merupakan arahan dan hasil kareografinya mendapat anugerah 'Outstanding Contribution' di dalam pertandingan Short & Sweet Dance Malaysia 2014. Bagi Nad– "Seni menghidupkan jiwa. Tanpa seni, manusia boleh hidup, namun seolah-olah hidup tanpa jiwa."
Pada usia 25 tahun, Nadhirah kini berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Terinspirasi dari air tangan ibunya sendiri, Nadhirah menubuhkan perniagaan RASA yang menjual produk makanan kering yang diberi nama Sambal Goreng Cili Padi Ibu & Pucuk Ubi Goreng Mama. Keadaan ekonomi yang tidak menentu, Nadhirah merasa perlu menyediakan bekalan untuk masa depan.
Sering memasak dan membawa bekal untuk menjamu rakan-rakan ketika sesi latihan adalah rutin Nadhirah ketika di Universiti. Sokongan dan galakan teman-teman menguatkan pilihan Nadhirah untuk membuka perniagaan. Nadhirah bercita-cita untuk membuka sebuah restoran yang turut menyediakan pentas bagi anak-anak muda melakukan persembahan. Nadhirah juga berhasrat ingin mengambil bekas banduan wanita sebagai pekerja.
Rentak tari Nadhirah takkan berhenti, seperti jiwanya yang takkan pernah mati. Nadhirah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Ainul Shariza yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Senilukis & Senireka di UITM Shah Alam ini memulakan kerjaya sebagai pereka grafik setelah tamat pengajian.
Setelah hampir 2 tahun bekerja, dia membuat keputusan mengambil diploma pendidikan di Institut Perguruan Ilmu Khas dalam bidang seni visual. Keputusan yang merubah dunianya 100% dan menjadi titik permulaan kehidupannya sebagai seorang pendidik. Kini Ainul sudah 10 tahun berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane Perkasa.
Menurut Ainul, di era modenisasi ini, seorang guru harus kreatif dan tidak hanya mengajar berpandukan buku semata-mata. Istilah 'chalk & talk' sudah tidak relevan digunakan kepada generasi muda hari ini.
Mempelbagaikan kaedah pembelajaran adalah sangat penting agar pelajar tidak bosan. Perlu ada komunikasi dua hala. Pendapat pelajar perlu didengar dan guru perlu lebih bertoleransi. Sekolah tidak boleh dilihat sebagai institusi yang membebankan. Ainul mahu para pelajarnya seronok menimba ilmu.
Guru sepatutnya menjadi kawan bukannya lawan. Persekitaran pembelajaran yang harmoni perlu sentiasa diwujudkan.
Mahu kekal dengan gelaran 'Cikgu Ainul' di masa hadapan, hasratnya agar dapat menyampaikan ilmu yang bermanfaat buat anak-anak bangsa. Zaman berubah seiring dengan sikap serta pemikiran. Gelaran guru merupakan anugerah yang tidak semua mampu memikulnya.
Justeru, seorang guru harus bersikap positif dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Ainul lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Pemulihan Carakerja atau Occupational Therapist merupakan bidang pilihan Zuhairah Mohamed semasa menuntut di Uitm Puncak Alam. Selepas tamat belajar, beliau menimba pengalaman selama 4 tahun berkerja sebagai Occupational Therapist (OT) di sebuah pusat pemulihan kanak-kanak istimewa, seperti down syndrome, cerebral palsy dan autism. Kini hampir setahun Zuhairah ditempatkan di Hospital Pantai, Bangsar di Jabatan Hand and Upper Limb (tangan dan lengan). Bidang ini mengajarnya untuk sentiasa sabar dan bertoleransi. Rutin berjumpa dengan pesakit setiap hari, memerlukan sikap yang positif serta motivasi yang tinggi.
Selain mempunyai rutin tetap sebagai seorang ahli terapi, Zuhairah juga sudah hampir 5 tahun mengendalikan @rumahtiti yang merupakan sebuah ruang aktiviti dan penganjuran acara kepada kolektif seni dan seluruh masyarakat yang memerlukannya. Banyak program yang direncanakan oleh anak-anak muda, namun kekurangan ruang atau dana kewangan menyebabkan perlaksanaan aktiviti yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Justeru, Rumah Titi mengalukan segala jenis program dianjurkan dan memberikan ruang ini secara percuma atau dengan sumbangan paling minimal. Sejak dibuka, Rumah Titi telah banyak berjasa memberi ruang bagi kegiatan yang bermanfaat kepada masyarakat.
Zuhairah yang dikenali sebagai 'Kak Long Rumah Titi' ini juga banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Program seperti Dapur Jalanan yang dijalankan secara berkala bersama kumpulan sukarelawan, memberikannya kepuasan yang tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Membantu gelandangan dan mereka yang tidak berkemampuan mengajar dirinya untuk selalu bersyukur dan memperbaiki diri menjadi lebih baik setiap hari. Bagi Zuhairah –Memberi dan berkongsi tidak pernah merugikan. Malah ia memberi kekayaan jiwa dan menambah kemurnian hati.
Wanita manis berjiwa besar ini berhasrat memiliki sebuah pusat terapi anak-anak istimewa serta melaksanakan bengkel pemahaman mengenainya. Kesedaran tentang penyakit dan pemulihan mengenai anak-anak istimewa ini baginya penting sebagai persediaan dan panduan kepada ibu bapa yang melalui cabaran membesarkan anak-anak istimewa. Zuhairah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Pada usia 12 tahun, bapanya pernah mencadangkan untuk belajar bermain piano. Melihat rakan-rakan perempuannya yang rata-rata memilih instrumen piano untuk dipelajari, Ariana Adnan tegar memilih gitar. Kini Ariana sudah bersama kugiran Couple sebagai pemain gitar, selama hampir 10 tahun.
Couple yang membawakan genre power pop dan rock & roll popular di arena seni underground sejak 1995, dan kini masih kekal aktif melagukan melodi mereka di dalam dan luar negara.
Sebagai satu-satunya pemain wanita, Ariana menyatakan perasaan senang dan selesa bersama Couple atas sikap dan toleransi setiap ahli kumpulannya. Couple bertahan kerana setiap seorang dari mereka, sentiasa positif, gembira dan faham peranan masing-masing dalam perjuangan muzik.
Sepanjang penubuhan Couple, tiada ahli yang pernah digugurkan, kecuali menarik diri atas keperluan komitmen. Ariana juga tampil bermain muzik bagi kugiran The Venopian Solitude dan Fazura and The Waklus.
Selain bermain muzik, Ariana menjadikan minatnya terhadap dunia kopi sebagai sumber pendapatan tetap. Ariana pernah bersama Berjaya Starbucks Coffee sejak 2005 hingga 2013, Artisan Coffee Bar pada tahun 2013, Eid & Ego (2013-2014) dan kini beliau mencari pengalaman di RGB & The Bean Hive dari 2014 hingga ke hari ini sebagai barista.
Bagi Ariana, menyediakan secawan kopi nampak mudah, namun ia memerlukan kemahiran dan kesungguhan. Melalui kerjaya ini, beliau bertemu dengan ramai manusia dari latarbelakang yang berbeza. Ariana belajar bagaimana disiplin sebuah perniagaan, bertoleransi dengan pelanggan yang berbeza setiap hari, juga mengawal emosi dan perasaan sendiri.
Kedai kopi ibarat sebuah sekolah bagi Ariana. Dan di situ dia mendapat ilmu dan pengajaran untuk dijadikan panduan melayari kehidupan.
Wanita yang sentiasa ceria dan positif ini, mempunyai diploma dalam bidang makanan dan minuman (food & beverages) di Berjaya University College of Hospitality pada 2012, serta diploma Sains Komputer (Teknologi Maklumat) di UTM pada 2004.
Impian Ariana mahu terus main muzik sehingga mampu dan mengembara sebanyak-banyaknya bersama teman seperjuangan. Prinsip yang sering ditanamkan ialah–Melakukan apa yang disukai dan selalu bersyukur dengan apa yang dimiliki. Laung Ariana "Turn the negativity upside down!" Ariana lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Gembira menjamu tetamu dan kenalan dengan air tangannya, telah membawa Maha Devi Perumal mengusahakan Nani Catering. Pekerjaannya sebagai guru sepenuh masa yang mengajar pendidikan moral di Sekolah Sri KDU selama hampir 14 tahun tidak menghalang minatnya menguruskan perniagaan.
Nani Catering yang diusahakan bersama suami dan dibantu keluarganya, telah beroperasi selama 2 tahun mendapat permintaan yang amat menggalakkan.
Nani Catering membekalkan makanan berasaskan 'Indian Cuisine' seperti capati, tosei, nasi beriyani, kari ayam dan kambing serta kuih-muih seperti muruku, kandi kelapa, vadey, alva, athirasam dan banyak lagi.
Walaupun Maha dan suaminya mengamalkan gaya hidup vegetarian, namun itu bukanlah halangan untuk mereka menyediakan makanan yang berasaskan daging. Bagi Maha, keikhlasan adalah faktor penting dalam penyediaan makanan.
Melihat pelanggan gembira adalah keutamaanya. Kepuasan sebenar adalah melihat senyuman di wajah pelanggan setiap kali merasa hidangan yang disediakan.
Maha Devi menyimpan hasrat untuk membina empayar perniagaannya sendiri bersama keluarga dan melihat Nani Catering terus berkembang maju.
Bagi dirinya, wanita harus berdikari dan perlu bersama-sama membantu keluarga mencapai kehidupan yang lebih baik. Maha Devi lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Terdorong dengan azam dan cita-cita yang menggunung untuk bergelar seorang peguam, Nur Raihan Jasmani telah meyambung pelajaran dalam bidang guaman setelah tamat persekolahan.
Perit jerihnya berbaloi apabila berjaya mengenggam Sarjana Undang-Undang (Kepujian) sebelum kemudian mengambil Diploma Lanjutan Syariah (Amalan & Latihan). Kini dalam usia 28, Raihan sudah empat tahun bergelar peguam di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Malah beliau menyandang jawatan Naib Bendahari Persatuan Peguam Wanita Kuala Lumpur & Selangor (AWL).
Menjadi seorang peguam, apatah lagi peguam wanita seperti Raihan bukan mudah. Masyarakat yang masih lagi memandang peguam wanita sebagai pilihan kedua terutamanya dalam praktis undang-undang litigasi dan korporat.
Kaum lelaki dilihat lebih arif dan berkemahiran sedangkan dari segi latar belakang pendidikan, baik lelaki atau wanita adalah sama. Bagi Raihan stigma ini merupakan cabaran yang paling besar dihadapi oleh peguam wanita sepertinya namun ia tidak sekali-kali melemahkan semangat Raihan untuk terus berjuang dalam bidang yang dicintainya ini.
Bagi Raihan karier dalam bidang undang-undang adalah “Intelectually Rewarding”, kerana undang-undang sering berubah dan berkembang mengikut keperluan masyarakat setempat.
Ini membolehkan Raihan banyak mempelajari perkara baru dan menjadikan kariernya tidak statik. Ia adalah antara sebab bidang undang undang begitu istimewa di matanya.
Walaupun sibuk dengan tugas di firma, Raihan tetap aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Beliau merupakan sukarelawan aktif untuk Teach of The Needs (TFTN) ; sebuah NGO yang giat menyediakan tuisyen dan kelas percuma kepada anak-anak yang yatim dan miskin seluruh Malaysia. Raihan yang menjadi sukarelawan sejak tahun 2012 kini merupakan Pengurus Dana bagi TFTN.
Pengalaman menjadi sukarelawan membolehkan Raihan melihat kehidupan dari sudut yang berbeza. Bergaul dengan anak-anak yang kurang bernasib baik ini, Raihan dapat menyelami pengalaman dan keperitan hidup mereka. Keluar dari zon selesa dan secara tidak langsung menjadikan dirinya insan yang lebih rendah diri dan menghargai kehidupan.
Berbekalkan Moto ; "Follow the yellow bricks road", yang diambil dari filem kegemarannya, The Wizard of Oz, Raihan berharap beliau dapat memberi dan terus memberi, tanpa menoleh ke belakang. Baik dalam bidang guaman atau program kemasyarakatan. Itu jugalah impiannya terhadap rakyat Malaysia.
Bagi Raihan, wanita yang merdeka ialah wanita yang bebas berfikir, berkata-kata dan bertindak benar, tanpa halangan atau momokkan yang ditetapkan oleh struktur sosial. Raihan lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
Kesedaran paling besar hadir sewaktu bapanya meninggal dunia dengan ketiadaan insurans dan faedah perubatan (medical benefit). Nurhuda Abdul Wahab kini sudah 3 tahun mendalami perniagaan insurans sebagai Consultant & Recruiter di Muqmeen Group, agensi yang mewakili Prudential & Prudential BSN Takaful.
Pemegang ijazah dalam Hospitality & Tourism Management di Managemant & Sciece University (MSU) ini mempunyai 7 tahun pengalaman dalam industri pengurusan acara. Terikat dengan masa kerja sehingga tiada masa buat dirinya, menyebabkan beliau mengambil keputusan menceburi perniagaan dalam bidang insurans.
Tidak semua yang gemarkan Ejen Insurans. Justeru Nurhuda belajar banyak dalam bidang ini. Antaranya kerja keras, disiplin dan kesabaran yang tinggi untuk menghadapi 'rejection'. Perniagaan adalah sunnah Rasulullah, dan melalui perniagaan insurans, Nurhuda yakin dia dapat membantu orang sekeliling untuk mendapatkan perlindungan.
2015, tahun yang mengejutkan. Nurhuda disahkan mengidap kanser payudara tahap ke-4 pada usia semuda 33 tahun. Beliau ialah seorang yang sentiasa aktif dan jarang sakit, justeru berita itu benar-benar memberikannya rasa yang bercampur-baur. Namun Nurhuda menerimanya dengan reda dan mengikuti semua rawatan yang telah dinasihatkan oleh pakar. Baginya tiada masa untuk bersedih. Bersedih tidak akan menyelamatkannya. Fokus pada positiviti dan teruskan dengan langkah merawat.
Beliau bersyukur dapat melalui semua fasa rawatan yang telah ditetapkan dengan baik. Bagi Nurhuda, sokongan dan dorongan orang disekeliling membuatkan dirinya kuat untuk menghadapi penyakit. Keluarga, sahabat jauh dan dekat, doktor, ahli komuniti Canser Support Group (SAMO) dan tentunya Prudential sendiri.
Kini sedang mengikuti rawatan susulan di Institut Kanser Negara, Nurhuda berpesan bahawa sakit perlu dilawan; bukan dengan kekerasan tetapi ketenangan. Jangan ditambah sakit yang sedia ada dengan pemikiran negatif dan memilih kesunyian. Harus keluar melakukan aktiviti sihat bersama teman dan keluarga, cari kumpulan sokongan yang diuji penyakit yang sama, berkawan rapat dengan doktor untuk kenal secara terperinci penyakit yang sedang dihadapi.
Nurhuda sedar bahawa kanser merupakan penyakit yang tidak dijangka dan dia sudah bersedia apa adanya. Beliau yakin pada takdir dan kuasa Allah SWT. Yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk terus berjuang.
Menurut Nurhuda, beliau mempunyai banyak impian. Namun setelah melalui fasa sakit, beliau memindahkan impian itu kepada orang lain. Keluarga, sahabat, teman dan seluruh masyarakat. Apa yang diharapkan adalah selagi hidupnya dikandung badan, beliau mahu terus memberi manfaat pada orang lain.
Pada Nurhuda, berjuang mesti melalui kesusahan. Kesakitan adalah ujian. Diberi peluang kedua untuk merasai kehidupan adalah kemerdekaan buatnya. Justeru dirinya harus bangkit dan terus melawan. Nurhuda lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.
No comments:
Post a Comment