Monday, October 3, 2016

Anak-anak Chow Kit & Syria ke Kidzania : Sebuah pengalaman memahami personaliti & persekitaran.

"Rehat betul-betul you. Esok nak kerja kuat. Layan budak-budak. Selamat malam."

Pesanan whatsapp dari Zamir itu aku balas dengan; "I okay dengan budak-budak. I suka. Night. Jumpa esok!" Jam 7.30 pagi Amar hantar aku ke Chow Kit. Tempat berkumpulnya anak-anak Chow Kit dan sukarelawan yang akan mengiringi pengembaraan kami hari tu. Separuh pasukan sukarelawan lagi berada di Wangsa Maju menguruskan anak-anak Syria dari Sekolah Jasmine. Destinasi kami ialah ke Kidzania, di The Curve Mutiara Damansara. 

Kidzania berasal daripada Mexico, yang merupakan sebuah kota khas dibina untuk memberi pengalaman pembelajaran dunia pekerjaan dan hiburan secara interaktif kepada kanak-kanak. Aku baca artikel di internet, Kidzania selain Kuala Lumpur, ada juga di Jakarta, Tokyo, Seoul, Lisbon Portugal dan Dubai. Jadi kunjungan ini bertujuan mendedahkan mereka bagaimana menjadi dewasa kelak. Memilih pekerjaan, berkerja keras cari duit dan kemudian bagaimana membelanjakannya dengan bijak. 

2 bas pagi tu membawa lebih kurang 80 orang budak bersama tak lebih dari 20 sukarelawan. Pagi aku sampai di Chow Kit, aku mula buat kawan dengan seorang adik ni yang datang dari Batu Pahat, semata-mata untuk merasa pengalaman membuat kerja sukarelawan. Katanya, dia teringin betul nak join dan takpernah punya kesempatan. Bila Musa Nuwayri, penulis buku 'Lelaki Terakhir Menangis di Bumi' yang juga Ketua Projek dan koordinator organisasi Tangisan Syria di Bumi Jordan, membuka penyertaan di facebook untuk mana-mana sukarelawan terlibat dalam projek membawa anak-anak Chow Kit & Syria ke Kidzania, adik perempuan nama Erni ni terus daftarkan namanya. Dia naik bas sorang-sorang dari Batu Pahat dan harus pulang petang itu juga kerana esoknya dia berkerja. Peh! Semangat gila. Masa dalam bas kami duduk bersebelahan, aku pun sembang-sembang sama Erni macam mana boleh ada sama pagi tu. Aku memang dah lama nak join aktiviti macam ni, cuma selalu tak berpeluang. Samaada masanya tak kena ataupun, sekarang ni baru ada kesedaran. Ha begitulah. Selalu nampak Zamir pos gambar aktiviti kemasyarakatan dia, dan hati ni teringin betul. Cuma selalu clash dengan pekerjaan lain. Jadi bila Zamir dah beritahu date awal-awal, aku terus kosongkan jadual untuk hari tu. Waktu akan selalu ada untuk orang yang tak beralasan.  

Di kalangan sukarelawan Region of Love (ROL) yang menjaga dan memberi pendidikan kepada anak-anak Chow Kit, aku cuma kenal Hussin Sajad. Sebab kami sama terlibat dalam acara EdTalk 0.1 anjuran TFTN baru-baru ni. Pagi tu sebelum naik bas ke Kidzania, aku ditemukan dengan sahabat lama Faiz Zaini. Happy aku dapat jumpa Faiz. Dekat 5-6 tahun juga tak jumpa. Kami pernah berkerjasama dalam short film Sinkronis arahan dan karya Jaja Kadir. Waktu kami masih muda dan mentah. Eceh. Faiz rupanya sudah hampir 3 tahun ikut ROL bersama Hussin dan beberapa sukarelawan yang lain. Pagi tu aku berjaya memujuk cashier 7E agar berikan beberapa plastik untuk standby. Salah seorang sukarelawan dari Chow Kit, risau anak-anak ini akan muntah. Kecenderungan untuk pening dan akhirnya keluar segala isi perut itu sangat tinggi, kata dia. Perasaan teruja mungkin menutup segala rasa mual, anak-anak ini steady saja sampailah ke Kidzania. 

Awal pagi di Alka Ria Chow Kit suasananya sungguh riuh. Mak-bapak juga kelihatan menghantar anak-anak mereka sehingga naik bas. Diorang tumpang kegembiraan anak-anak. Kalau nak tunggu mereka sendiri bawa anak-anak ke Kidzania tak tahu bila. Bayaran sebanyak RM80 (walk-in) untuk seorang kanak-kanak berusia 4-17 tahun, dan ibu bapa juga dalam RM30. Walaupun mak-bapak tak boleh main bersama, tetap dikenakan bayaran. Syukurlah rombangan hari itu, tiket masuk ditaja sepenuhnya oleh Kidzania. Juga beberapa sumbangan lain dari individu & komuniti seperti makan-minum, transportation dan lain-lain. Alhamdulillah. Terimakasih rakyat Malaysia yang prihatin dan penuh kasih sayang.

Ada 99 jenis pekerjaan dalam Kidzania. Sebagai permulaan anak-anak ini diberi cek bernilai 50 kidzo seorang untuk ditukar kepada cash di bank yang telah tersedia. Ada pekerjaan yang kena keluar duit, ada juga yang tak perlu bayar, malah dapat gaji. Hampir semua jenis pekerjaan ada. Dari sekecil-kecil pekerjaan kepada yang paling besar. Sebenarnya bukan kanak-kanak aje yang teruja dengan persekitaran yang dicipta Kidzania, kitaorang yang tua bangka ni pun seronok. Anak-anak ini berlari-lari dan berebut nak kerja. Sebab diorang tahu yang setiap kali berkerja, mereka akan dapat duit. Sehingga di penghujung waktu, apabila mereka semua dikumpulkan untuk pulang, duit sorang-sorang ditangan punyalah tebal. Mereka berkerja dan berkerja, tapi tak spent. 


Di Kidzania, ada tempat untuk beli barangan dengan duit yang mereka ada, tapi barangannya terlalu mahal. Ia seolah tak berbaloi dengan nilai duit yang mereka dapatkan dengan berkerja. Jadi Zamir nasihatkan agar duit itu dikumpulkan dan bawa kembali apabila mereka datang semula ke Kidzania. Ada dikalangan mereka yang tak mahu pulangkan duit ke Zamir kerana mereka sedar yang entah bila pula akan datang lagi. Mereka faham betapa susahnya cari duit, dan tak senang untuk mengumpulkan duit sebanyak itu apabila berada di alam realiti nanti. Aku terdengar beberapa anak-anak bercakap sesama sendiri. "Kalaulah ni duit betul, kan best?." Aku sebak.

Ada anak-anak kecil yang berusia 4-5 tahun yang sudah terbaring atas pangkuan kakak dan abang volunteer. Penat sangat, seronok berlari ke sana ke mari. Aku pun merasa mendukung beberapa orang anak yang ketiduran. Boleh tahan juga lenguh rasa kaki dan badan. Baru aku faham mesej Zamir tu. Kena cukup rehat untuk menjaga anak-anak kecil. Suka kanak-kanak saja tak cukup. Harus cinta.


Aku perasan satu perkara, anak-anak ini dari mulanya perjalanan ke Kidzania dari Chow Kit, mereka sungguh bising dan tak berhenti bercakap. Riuh rendah suara mereka tak berhenti sampailah ke akhirnya. Aku lihat wajah-wajah sukarelawannya tenang dan begitu lembut menuturkan kata-kata. Tak marah dan tak bertindak garang. Aku kagum. Kerana aku punya rasa nak menjerit juga bila mereka terlalu bising dan tidak mendengar arahan, tapi bila memandangkan wajah sukarelawan mereka sendiri yang sudah bertahun-tahun bersama dengan mereka, aku jadi hormat. Aku respect gila. Aku kagum dengan kesabaran dan ketenangan mereka. Semasa aku mengendalikan Kota Kelip-Kelip, aku berhadapan dengan anak-anak yatim. Rasanya berbeza. Anak-anak yang tinggal di rumah anak yatim mungkin sudah terbiasa dengan disiplin dan aturan yang telah ditetapkan di rumah kebajikan masing-masing. Mereka lebih mudah dan faham untuk mendengar arahan. Persekitaran membentuk personaliti dan kendiri seseorang individu. Aku petik kata-kata Helen Bee :


"Kefahaman tentang perkembangan manusia bukan hanya dilihat dari segi genetik sahaja, tetapi merangkumi kefahaman yang menyeluruh tentang persekitaran sekeliling manusia dibesarkan, seperti tahap pendidikan, peranan yang dimainkan oleh keluarga, ekonomi keluarga, rakan sebaya dan lain-lain"- Helen Bee, ahli psikologi & penulis.

Dalam artikel yang banyak ditulis oleh Hussin Sajad, beliau selalu menyebut bahawa ramai orang mahu membantu anak-anak Chow Kit dan anak-anak terpinggir, tetapi tidak cuma memahami persekitaran mereka. Tinggal dan hidup di jantung kota, dengan segala kedhaifan, kekurangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan pembelajaran serta masalah-masalah lain yang berkaitan. 

Dihujung acara, anak-anak dibawa ke Taman Lembah Kiara TTDI untuk menikmati makan petang KFC tajaan pasukan Pink Squad. Team ini juga datang ke Taman untuk meraikan anak-anak ini yang diketuai oleh Kak Pnut. Petang itu juga Musa sempat menghubungi Aizat dan Noh Hujan untuk datang menghiburkan anak-anak ini. Aizat pun nyanyilah beberapa lagu, tapi tak berapa diendahkan. Mungkin kerana mereka dah terlalu penat. Yang tertidur terus tertidur, dan ada yang dah merengek-rengek nak balik. Yang menjerit dan bertepuk tangan untuk Aizat cuma wakil sukarelawan. Tapi geram juga si Aizat tak nyanyi lagu Sungai Lui. Herm. Noh Hujan lambat sikit, jadi persembahannya terpaksa dibatalkan. Anak-anak semua bateri dah out. Sorry Noh. 

Sebelum pulang ke rumah aku menghantar adik Erni yang akan naik nas ke Batu Pahat di OU. Saudaranya akan ambil dia dari OU dan bawa ke terminal bas. Erni aku lihat menggunakan masa di Kidzania dengan menekuni anak-anak ini dari mula hingga ke akhirnya. Dan orang yang paling banyak mendukung budak, sampai ke taman pun dia dukung. Hebat! Tak mengeluh dan sentiasa bersopan. Bukan Erni saja, semua sukarelawan yang terlibat aku perhatikan ada nur di wajah mereka. Banyak hal yang berlaku di Kidzania, antaranya yang paling aku ingat ada seorang budak terbuang air besar sebelum sempat ke toilet. Habis baju dan seluarnya kena calit dengan yak' dia. Kami semua kelam-kabut cari baju untuk adik tu. Akhirnya hanya ada lebihan tshirt rombongan dan dia pakai tshirt besar itu dengan pampers tanpa seluar. Kiut gila. Kiut tu satu hal, tapi yang paling aku salute ialah semangat dan ketenangan para sukarelawan yang terlibat. Aku boleh nampak keletihan di wajah setiap seorang sukarelawan, tapi keikhlasan lebih besar mengambil tempat dalam hati mereka. Ia terpancar bagaikan bintang. Bernyala-nyala terang. Mereka melayan anak-anak ini ibarat keluarga sendiri.

Terimakasih untuk pengalaman ini. Melalui aktiviti begini, aku dapat berkenalan dengan sahabat baru, dapat melihat perspektif lain dalam hidup, mengenal diri sendiri dan persekitaran, menyuntik keteguhan mental, menumbuhkan pohon-pohon sabar, dan paling penting, mulai faham bahawa wang bukanlah segala-galanya. Ada cara lain untuk bahagia. Kerana hidup bukan tentang diri sendiri saja. Hidup adalah untuk memberi sebanyak-banyaknya.











1 comment:

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...