Wednesday, November 29, 2017

Mencari pelangi di Belitung.

Rombongan bersifat open trip yang pertama kali saya sertai waktu tingkatan 3. Komuniti di tempat tinggal kami menganjurkan lawatan ke Langkawi. Waktu itu ekonomi keluarga kami tidak mengizinkan seluruh keluarga ikut bersama. Jadi Emak kata, kalau nak ikut kena cari duit sendiri. Abah boleh tanggung Emak dan adik perempuan bungsu saja. Jadi saya dan abang sulung berusaha cari duit untuk sama-sama ikut berombongan.

Masih ingat lagi, rumah pangsa kami dikunjungi anak-anak sekitar situ yang nak main computer games. Sekali main 20 sen. Kami jalankan setiap hujung minggu sampai duit yuran bayar rombongan cukup. Satu-satunya harta abah waktu itu yang kami manipulasi buat meniaga. Selain saya menjual karipap dan roti sesej di sekolah. Kenangan ke Langkawi dengan duit keringat sendiri, menjadi memori termahal dalam sejarah hidup kami adik-beradik.

Apabila Zulhabri cadangkan untuk bikin open trip ke Belitung, perca-perca ingatan di Langkawi kembali lagi. 40 orang dalam satu bas, dengan pelbagai watak dan sikap, ia sebenarnya memberi pengalaman berharga. Saya ingat lagi betapa riuhnya dalam bas bila driver bus mencari stesen minyak sebab saya nak melepaskan hajat saya. Semua orang cuma mententeramkan saya yang dah pun menangis-nangis menahan pundi kencing. Hehe. Apabila saya selamat melepaskan hajat, satu bas bertepuk tangan. Saya senyum kemalu-maluan. Sampai ke hari ini, album gambar kami ke Langkawi masih saya belek tanpa jemu. Wajah setiap anggota rombongan itu masih saya ingat walaupun kami sudah tidak bersua lagi atas faktor penghijrahan tempat dan usia.

Kembara ini diberi nama Kembara Laskar Pelangi bersama saya. Walaupun nama saya dijadikan modal di poster, tetapi ia bukanlah sandaran utama. Saya sendiri pun belum pernah ke Belitung. Jadi saya cuba mempromosikan kembara ini mengikut tentatif yang telah diatur dan juga dari bacaan saya. Tidak perlu diperkenalkan lagi, Pulau Belitung mulai terkenal dengan keunggulan penulisan Andrea Hirata yang; Laskar Pelangi. Begitu juga dengan filemnya yang menjadi fenomena seluruh dunia. Justeru, ahli rombongan ini rata-rata penggemar dan pencinta Laskar Pelangi, dan kami semua sebulat suara berusaha mencari dan menjejak warna-warninya.

26 Oktober 2017 (Hari pertama) - Kuala Lumpur - Jakarta - Belitung.

Kami bertemu buat pertama kali di KLIA2 jam 5 pagi untuk penerbangan ke Jakarta. Ada beberapa wajah yang saya familiar, iaitu Encik Khair pengarah ITBM bersama isterinya dan juga Elin iaitu kawan kepada adik bungsu saya. Elin pun saya baru tahu ikut rombongan itu ketika di airport. Yang lain adalah wajah-wajah baru dan kami berkenalan ketika mahu check-in iaitu Ain, Zaza, Neja, Piz, Effa, Nazmi. Vovin atau Nazri M.Anuar penulis dan sahabat kami yang ikut sama. Zulhabri sebagai pengurus rombongan dan jurucakap. Saya dan Amar. Maka lengkaplah kami 13 laskar menuju ke Jakarta sebagai kota transit sebelum ke Pulau Belitung.

Kami menaiki Air Asia dari Kuala Lumpur ke Jakarta. Lebih kurang sejam perjalanan. Transit dalam sejam lebih di airport Jakarta. Kemudian naik Sriwijaya Air untuk ke Pulau Belitung. Buat masa ini belum ada direct flight ke Belitung. Dengarnya sedang diaturkan.

Meninjau Belitung dari atas awan kelihatan banyak sekali lopak-lopak berwarna biru dan hijau. Sejak berzaman, Belitung dikenali sebagai kawasan bijih timah yang merupakan perusahaan dan komoditi terbesar di Indonesia. Kami tiba di lapangan terbang Belitung dijemput 2 sahabat sebagai tour guide kami sepanjang perjalanan ini¬¬–Eko dan Doyok. Kami dibawa terus ke penginapan untuk check-in.

Penginapan kami hanya 5 minit dari lapangan terbang Belitung. Hotel Hanggar 21 sememangnya pilihan yang sangat baik. Ruang tidurnya luas, selesa dan sangat bersih. Ada sebuah kafe yang dibuka hingga 10 malam untuk menikmati makan minum ala Belitung. Juga ada kawasan yang sangat luas untuk beriadah. Boleh sewa basikal untuk bersantai di sekitarnya. Setelah mengikuti perjalanan naik turun kapal terbang yang agak memenatkan, Hanggar adalah pilihan yang menggembirakan. Rata-rata kami puashati dengan penginapan ini.

Kami makan tengahari di sebuah restoran yang menyajikan makanan asli penduduk Belitung yang diberi nama Bedulang. Pemilik dan pekerja Restoran Wan Bie sudah menunggu kami dengan deretan tudung saji yang bersusun atas meja. Sambil menunggu mereka panaskan lauk, kerana tiba lewat sedikit dari waktu yang dijanjikan, kami mendengar cerita mengenai keunikkan makan bedulang ini. Satu dulang boleh dinikmati 3-4 orang. Hingga ke hari ini masyarakat Belitung masih mengamalkan makan bedulang, kerana ia mewujudkan suasana harmoni dan penuh keakraban.

Lauknya dihidangkan dalam dulang yang beisikan makanan khas Belitung. Menu utamanya Gangan - sejenis sup bewarna kuning menggunakan ikan merah masak gulai tanpa santan direneh dengan ketumbar dan kunyit hidup. Ayam kerutuk ala-ala rendang. Bebola ikan dan ulam-ulaman. Sedap sangat. Sambalnya pedas. Sampai berasap kepala. Tapi saya tambah sampai 3 kali.

Pulau Belitung terbagi kepada2 wilayah iaitu wilayah Belitung, ibukotanya di Tanjung Pandan dan Belitung Timur beribukota Manggar. Sepanjang perjalanan kami di pusat kota Belitung, saya perhatikan permandangan dan suasananya seperti di kampung. Ada feel seperti di Taiping dan Melaka. Bentuk rumahnya saling tak tumpah seperti di Malaysia. Seolah berada di kampung sendiri. Penduduk Pulau Belitung terdiri dari suku Melayu (bertutur dengan bahasa melayu Belitung) dan juga kaum Tionghoa, Hokkien dan Hakka.

Destinasi pertama yang kami kunjungi adalah Danau Kaolin. Merupakan kawasan tinggalan kaolin yang kini menjadi salah satu tarikan pelancong di negeri Laskar pelangi ini. Airnya berwarna sensasi baby blue yang menawan. Kaolin merupakan mineral sebagai bahan industri seperti kosmetik, kertas, makanan dan ubat gigi. Sifatnya halus, putih, kuat dan berdaya tahan. Kononnya warna dari air kolam terbentuk dari paparan radiasi logam radioaktif hasil galian timah. Kawasan sekitar danau ini dipalang dengan pagar kayu, kerana tidak digalakkan untuk mendekati airnya atau berenang di dalamnya.

Kecantikan Danau Kaolin sememangnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Namun secara tidak sedar, ia adalah kecantikan yang menyakitkan. Bak kata Eka Kurniawan–Cantik itu Luka. Aktiviti perlombongan timah tanpa ada tindakan mengawalnya akan membawa kerosakkan kepada alam sekitar. Danau Kaolin adalah salah satu implikasinya. Entah mahu bersyukur atau tidak, keindahan itu mungkin membawa malang kepada lingkungan dan kehidupan generasi kita akan datang.

Saya sempat menulis tentang Danau Koalin yang berbunyi :

Danau Kaolin yang indah rupawan.
Cuma boleh dilihat takboleh diselam.
Sama macam hati perempuan.
Boleh ditinjau dari kejauhan, tapi takboleh disentuh sembarangan.
Samada kau mati tenggelam atau terminum bisa racun.
Pilihlah.

Selesai bergambar di Danau Kaolin, kami menjejak matahari terbenam di Pantai Tanjung Pendam. Kami tiba tepat pada saatnya. Matahari sedang meluncur turun perlahan-lahan mencium laut. Kami berlari-lari keluar dari van sebelum mentari hilang dan tenggelam. Sebagai penggemar laut dan penangkap senja, tidak pernah tidak saya berusaha menangkap wajah sunset setiap kali ke pantai. Ternyata semua itu berbaloi. Hari pertama di Belitung, saya telah merakam antara senja yang paling indah dalam hidup saya.

Setelah selesai merakam senja, kami pulang semula ke hotel membersihkan diri dan keluar untuk makan malam. Malam itu kami makan malam di restoran SS yang popular di sekitar Indonesia. Sempat lepak dan minum kopi di kafe Hanggar. Tidur awal kerana esok aktivitinya lebih padat dan dijangka memenatkan.

27 Oktober 2017 - Island Hoping

Rencana paling besar hari kedua adalah menikmati pantai dan mandi-manda. Sebelum kami naik bot dan menikmati laut, kami singgah ke Rumah Adat Belitung. Sebuah istana kayu yang agam, mengandungi sejarah dan adat budaya Belitung. Seterusnya kami meneruskan misi utama menjejak pantai. Kami tiba di Tanjung Kelayang untuk tukar baju sebelum menaiki bot untuk aktiviti island hoping.

Bangka Belitung dikenali dengan keindahan pantai dan pulaunya. Menurut Eko (tour guide kami) terdapat sekitar 470 pulau, namun hanya 50 pulau yang berpenghuni. Ciri khas pantai di Belitung sangat terkenal dengan pasir putih, air jernih, serta batu-batu granit yang bertebaran di pinggir pantai hingga laut.

Perjalanan kami menaiki bot sangat tenang dan mendamaikan. Ombaknya mengalun perlahan. Ia tak seperti laut di Bali atau di Phuket. Kerisauan saya memikirkan tentang Amar yang mudah mabuk laut, dihapuskan apabila melihat gelombang laut yang penuh nyaman. Kami berhenti mandi-manda di Pulau Burung. Dinamakan Pulau Burung karena di pulau ini ada sebuah batu geranit besar yang menyerupai kepala burung.

Aktiviti kami diteruskan dengan snorkeling di satu spot yang biasa dikunjungi untuk melihat keindahan hidupan dalam laut. Ini sebenarnya pengalaman pertama kali saya snorkeling di tengah lautan. Selalunya hanya bermain sekitar pinggir pantai saja. Tak berani. Tapi bila tengok ikan-ikan cantik yang berkerumun mengunyah biskut yang dicampakkan, rugi pula kalau tak mencuba. MasyaAllah, terus rasa nak ambil lesen menyelam. Punyalah cantik. Rasa macam dalam akuarium mahal yang penuh dengan ikan dan terumbu karang yang cantik-cantik belaka.

Selesai snorkeling, kami menuju ke Pulau Lengkuas. Ia popular dengan mercu tanda rumah api. 18 tingkat yang merupakan peninggalan penjajahan Belanda tahun 1882 dan masih aktif berfungsi. Ia dijadikan sebagai juruarah lalu lintas kapal yang melewati atau keluar masuk Pulau Belitung. Cuma ketika kami tiba, rumah api itu sedang direnovasi. Tiada rezeki. Tandanya kami harus ke sana lagi nanti.

Secara spesifik, lokasi dari Pulau Lengkuas ini berada di sebelah utara Pantai Tanjung Kelayang di Kepulauan Belitung. Tak dinafikan, keindahan panoramanya yang dihiasi dengan batu-batu granit yang unik, pasir putih dan air laut yang jernih.

Saya tertanya-tanya sampai sekarang, warna apakah air laut ini. Ia campuran warna biru dan hijau yang tak boleh dimengertikan dengan kata-kata. Terlalu jernih hingga terlihat setiap butiran pasirnya yang putih menawan. Pulau dan pantai di sini masih belum dinodai oleh tangan-tangan yang rakus dan haloba. Masih kekal dengan aturan alami. Bukti kebesaran yang Esa. Tiada taranya.

Kami makan tengahari di Pulau Lengkuas ala piknik. Seronoknya makan tepi pantai. Makanannya enak sekali seperti makan di rumah. Bertambah-tambah kami makan akibat menyelam bagai tak ingat dunia. Eko dan Doyok menyediakan semuanya. Selesai makan, Zulhabri minta buat sesi taaruf dengan semua anggota rombongan secara santai. Dalam bulatan, dengan pohon kelapa yang melambai-lambai, deru angin yang menampar lembut, bunyi ombak menderu dan pasir-pasir lembut yang berselerakkan–kami membina ikatan persahabatan.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke pantai Tanjung Tinggi. Tempat di mana penggambaran filem Laskar Pelangi dijalankan. Semuanya teruja mencari jejak anak-anak laskar pelangi yang bermain di pantai itu. Kami sempat menjelmakan watak Ikal, Lintang, Mahar, Sahara, A Kiong, Syahdan, Kucai, Borek, Trapani, Harun serta Bu Mus dan mengambil posisi terbaik merakam gambar agar kekal tersimpan menjadi memori manis apabila pulang nanti.

Sebelum meninggalkan Tanjung Tinggi, saya sempat menikmati langit senja Belitung di pantai itu. Saya mula faham kenapa ia dipanggil Negeri Laskar Pelangi. Dada langitnya menjelang senja terlalu indah. Ada pelbagai warna yang teradun, sehingga kita tak boleh meneka warna sebenarnya apa. 2 hari di pulau itu, saya berpeluang merakam senjanya yang sangat mempesonakan–dalam ketikan kamera dan kekal berpaut dalam ingatan. Betapa besarnya kurnian Allah SWT kepada kita semua. Diberikan langit sebagai bumbung. Menjadi pelindung dan peneduh. Menuangkannya pula dengan warna-warna bahagia. Apa lagi yang mahu kita dustakan?

Makan malam kami di sebuah restoran atas bukit yang sangat cantik dan amat-amat luas. Kata Eko, tempat itu baru saja dibuka oleh usahawan kaya Belitung yang juga memiliki perniagaan yang sama sebelum ini. Ini lebih kepada versi extended. Namanya Rumah Makan Kampung Belitong Timpo duluk yang membawa maksud Kampung Belitung Zaman dulu. Dekorasinya sangat klasik dan sekaligus mewah. Kami makan Bedulang lagi di sini.

Rumah Makan Kampong Belitong juga ada disediakan rumah membeli ole-ole, ada ruang adat perkahwinan Belitung, dindingnya dihiasi dengan karikatur kisah dongeng Belitung serta wajah-wajah tokoh tersohor negeri itu. Ada juga pondok muzik untuk karaoke dan akustik. Kami kagum dengan restoran sebesar itu. Macam istana. Entah berapa ramai pekerjanya. So far, sepanjang di Belitung makanan yang disajikan memang tip top. Semua tempat yang dipilih tour guide kami memang terbaik.

Kami pulang kekenyangan. Sehari suntuk mengadap laut, mata cepat betul mahu berlabuh. Esok adalah hari yang ditunggu. Menjejak laskar pelangi yang selama ini menginspirasi kami.

28 Oktober 2017 - Jejak Laskar Pelangi.

Perjalanan ke Belitung Timur mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Rencana pertama hari ke-3 di Belitung adalah melawat replika SD Muhammadiyah Gantong yang pernah menjadi latar untuk filem yang diangkat dari novel fenomena Laskar Pelangi karya Andrea Hirata. Replika ini didirikan pada tahun 2012 atas keprihatinan masyarakat Desa Lenggang, dibangunkan diatas kawasan desa yang dulunya merupakan bekas lombong timah.

Inilah tempat 10 orang anak-anak miskin disebut Laskar Pelangi menuntut ilmu bersama Ibu Mus sebagai guru pendamping. Gambaran replika ini sangat real seperti difilemnya. Terdapat 2 kelas yang berhimpitan, dinding papan yang bercat lusuh, atap yang berlubang, ruang kelas beralaskan tanah dari pasir pantai. Dihiasi kerusi dan meja kayu juga papan tulis. Dinding kelas ditampal foto-foto pahlawan nasional. SD Muhamadiyah Gantung yang sebenar telah diganti dengan bangunan permenan dengan dinding batu-bata yang disimen. Kedhaifan dan kemiskinan tidak membuatkan hati sang pemimpi untuk menakluk dunia. Inilah buktinya.

Ketika kami tiba, ada 3 orang anak lelaki remaja yang berada di depan replika itu. Mereka lengkap berhias dengan daun-daun dan gendang serta mencalit cat pada tubuh. Kami berpeluang menari bersama mereka tarian rimba dari filem Laskar Pelangi. Anak-anak ini melakukan aktiviti ini hanya ketika waktu libur dan cuti sekolah. Dapatlah mereka wang saku atas pemberian ikhlas. Mereka seronok melayan warga Malaysia kerana alur bahasa yang hampir serupa.

Perjalanan diteruskan ke rumah Ibu Muslimah. Guru inspirasi Laskar Pelangi. Namun kami sempat singgah dulu di River Safari yang belum siap sepenuhnya. Menurut Eko dan Doyok, kita dapat menyusuri Sungai Lenggang Gantung dari Dermaga Kirana menuju Padang Savana (pulau kecil di Sungai Lenggang yang eksotik). Mata kami tertangkap pada rumah-rumah yang dibuat dari anyaman rotan. Di bawahnya ada danau yang cantik sekali dengan perahu berwarna-warni.

Meneruskan perjalanan ke Muzium Kata Andrea Hirata yang merupakan satu-satunya muzium sastera di Indonesia. Muzium Kata Andrea Hirata didirikan oleh penulis novel Laskar Pelangi itu sendiri. Lokasinya di Desa Gantong, Pulau Belitung yang tidak jauh dengan lokasi SD Laskar Pelangi. Hal pertama yang dilihat di sini adalah warna-warni bangunannya. Setiap ruang dalam muzium ini tersusun rapi dengan nuansa klasik dan dekorasi yang begitu kreatif. Muzium ini menggunakan rumah yang sudah berusia 200 tahun.

Andrea Hirata membangunkan Muzium Kata di kampung halamannya sendiri pada tahun 2010. Museum yang dipenuhi berbagai kesusasteraan dari dari kanak-kanak, filem, seni, muzik dan banyak lagi. Ada banyak kata-kata mutiara yang bertebaran di tembok-tembok muzium ini. Foto-foto dari filem Laskar Pelangi yang tergantung di dinding, menggamit semula perasaan kami terhadap kisah anak-anak yang berusaha menggapai mimpi melalui pendidikan. Setiap sudut di muzium ini sesungguhnya memberikan inspirasi.

Sekolah Gratis Andrea Hirata turut didirikan di dalam muzium ini. Rekaannya sama seperti Sekolah Laskar Pelangi, SD Muhamadiyah Gantung. Cuma lebih kemas dan tersusun. Dijadikan sekolah percuma untuk anak-anak di sekitar kawasan itu datang belajar.

Di bahagian belakang muzium ini, ada sebuah kedai kopi kecil diberi nama Kupi Kuli dengan interior yang klasik. Air dimasak di atas tungku arang. Walaupun tak minum kopi, saya mencuba juga sesisip. Ternyata kopi Belitung enak sekali. Ada rasa lemak yang tersendiri. Harumnya semerbak menusuk hati.

Seterusnya kami bergerak menuju ke rumah Bu Muslimah. Tiada temujanji yang dibuat oleh tour guide kami, hasrat bertemu langsung dengan guru manis, cekal dan penggerak utama kisah Laskar Pelangi ini menjadi kenyataan. Syukur. Kami menunggu sekitar 5 minit, Bu Mus keluar dengan wajah ceria dan memeluk kami setiap seorang dengan mesra sekali. Rasanya sungguh surreal. Melihat guru sebenar yang kami tonton cuma berkali-kali di layar lebar atau membaca di internet, kini berada di depan mata.

Bu guru Muslimah ini bukan saja menginspirasi dunia pendidikan secara keseluruhan, malah lebih besar nilai-nilai kemanusian dalam dirinya yang akan terus diingati sebagai guru sejati. Tak terkira beratus ribu orang yang telah datang berkunjungnya selepas fenomena filem Laskar Pelangi. Kedatangan setiap orang disambut dengan senyuman taklekang dari bibir dan keramahan yang mempersonakan. Paling tidak sejam dua juga dia melayan pertanyaan serta berkongsi pengalamannya sebagai guru Laskar Pelangi yang melahirkan penulis besar dunia hari ini. Walaupun mungkin soalan yang sama setiap kali, namun beliau melayaninya dengan berlapang dada.

Orangnya kecil molek, pinggangnya macam kerengga. Rombongan kami tak berhenti memuji tubuhnya yang bagaikan anak dara, sedang usianya sudah mencecah 65 tahun. Mesti waktu mudanya pandai jaga badan. Terimakasih Bu Mus. Semoga selalu dalam pelukan Tuhan. Ibu bukan saja menghidupkan peri pentingnya ilmu pengetahuan, malah yang paling besar lagi mengajar kami semua makna sebenar kehidupan.

Aktiviti seterusnya ke Muzium Belitung Timur atau nama khasnya Dinas Kebudayaan & Pariwisata. Kami sempat singgah di rumah Ahok atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama (bekas bupati daerah Belitung Timur yang jadi timbalan gabenor Jakarta) yang turut menjadi pusat tarikan pelancong di Belitung.

Kami disambut gadis manis bernama Bunga yang memberikan segala informasi di Dinas Kebudayaan & Pariwisata Belitung Timur. Tempat melihat sejarah Belitung juga kesenian-budayanya. Di sini juga kami berpeluang mengenal Tarsius–Monyet paling kecil di dunia. Merupakan monyet asli khas Belitung. Hanya sebesar tapak tangan. Makanannya serangga seperti cengkerik. Dikenali sebagai monyet hantu. Juga dipanggil mesra sebagai monmon. Encik Khair dan Amar sempat diurut oleh seorang pengamal tradisional yang juga memperkenalkan kami dengan batu yang boleh bergerak sendiri. Beliau menggunakan batu itu sebagai tujuan kesihatan.

Masing-masing berangan jadi Jack dan Rose dalam filem Titanic bila kami menikmati makan tengahari pada hari ketiga di Belitung. Rumah Makan Fega Resto namanya. Bangunan dibina berbentuk kapal dan berada di tepi tasik. Seolah-olah kita terapung di atas air. Luas sekali kawasan ini di tata dengan hiasan bunga dan pohon rimbun yang saujana mata memandang. Makanan yang disajikan berupa seafood. Segar dan sedap sekali. Sebelum malam, kami singgah ke pusat cenderamata untuk kenang-kenangan.

Malam terakhir di Belitung, kami dibawa bertemu seorang seniman yang menjadikan kedai kopinya bukan sekadar warung. Melukis sejak kecil, Pak Dharmawan tidak membataskan media apa yang harus dituangkan sewaktu melakukan proses kreatif. Lukisannya boleh ditemui di dinding, kertas suratkhabar, kayu, papan, batu, anyaman bambu dan banyak lagi yang mahu dicuba. Proses seni harus terus dieksplorasi, katanya.

Di warung kopinya yang dinamakan Bansai turut dijadikan galeri lukisan, disitu jugalah dia berkarya. Lukisannya boleh terus dibeli. Encik Khair minta dilukis gambar dia dan isteri di atas papan pemotong. Siap tak sampai satu jam. Boleh terus bawa pulang. Harganya amat berpatutan. Selain menikmati pelbagai jenis kopi, warung ini dilengkapi buku dan barangan antik. Juga sebuah pentas kecil untuk akustik dan bacaan puisi.

"Puisi dianggap aneh di sini. Ia sangat minoriti. Tak diraikan masyarakatnya sendiri. Penulis puisi dan penyair yang sebenar harus kuat dan terus bertahan." - Yudhie Guszara

Saya gembira kerana diberi kesempatan bertemu dan berbual sama karyawan Belitung yang rajin, berdedikasi dan kuat memperjuangkan puisi. Pak Yudhie selain menulis dan terlibat dalam membangunkan komuniti seni/budaya, turut mengajar anak-anak sekitar daerahnya menghargai puisi.

Saya bertanya pada Pak Yudhie : Apakah kesan pada kesusasteraan di Belitung setelah fenomena Laskar Pelangi? Adakah Andrea Hirata telah membuka kesusasteraan Belitung dengan lebih luas?

Pak Yudhie menjawab : Masyarakat di Belitung sendiri tidak menunjukkan apresiasi yang baik terhadap seni dan sastera. Jika Andrea Hirata lalu, mereka buat tak tahu saja. Penggiat seni dan sastera di sini harus berkerja kuat untuk meneruskan perjuangan. Membuka mata masyarakat untuk melihat kepentingan seni dan sastera setara industri lain.

Malam itu di warung kopi Bansai, saya bertuah dapat membacakan puisi dari buku yang dihadiahkan sendiri oleh Pak Yudhie, antalogi bersama beberapa pengamal seni Belitung yang bertajuk Mantra Kematian. Semoga ada kerjasama budaya antara Belitung-Malaysia satu hari yang indah nanti.

Terus rajin dan semangat menyebarkan puisi Pak Yudhie. Antara bait puisi Pak Yudhie yang saya bacakan--"Ia adalah sang pemimpi, yang memperjuangkan mimpi-mimpi, mimpi-mimpi besar, perjuangan-perjuangan besar." Sememangnya perjuangan ini tak mudah, tapi kita tak boleh mengalah. Kerana punya mimpi tak pernah salah.

29 Oktober 2017 - Belitung - Jakarta - Kuala Lumpur

Kami tinggalkan Negeri Laskar Pelangi seawal jam 7 pagi dan bergerak ke Jakarta. Kami ada sekitar 6-7 jam sebelum berangkat ke Kuala Lumpur. Rombongan kami terus ke Blok M sebuah Mall yang segala-galanya ada. Selepas minum pagi, Zulhabri melepaskan kami semua untuk jelajah sendiri Blok M dan bertemu kembali sekitar jam 5 petang untuk ke lapangan terbang. Di bawah Blok M ada syurga buku, piring hitam dan kaset lama yang boleh dibeli dengan harga murah. Boleh pengsan melihat koleksinya. Tak cukup sehari berjalan, harus datang lagi nanti.

Selain itu di Blok M juga boleh membeli ole-ole seperti kraftangan dan baju-baju batik. Kami sempat menonton filem Posesif yang khabarnya sedang meletop di Indonesia. Namun keluar panggung dengan rasa yang kecewa. Tapi tak mengapalah, ini pertama kali saya ke Jakarta. Jadi pengalaman menonton di panggungnya tetap menjadi kenangan terindah saya. Sebelum pulang kami membeli beberapa buah buku di Gramedia betul-betul di hadapan Blok M. Disebabkan saya penggemar karya Dee Lestari, kesempatan untuk duduk minum di Kafe Filosofi Kopi yang terletak seberang jalan Blok M harus diraikan. Penuh padat Kafe itu dengan pengungjung. Kami bergegas pulang ke lapangan terbang Jakarta dengan trafik yang menggila. Macet amat!

Selesai mengucapkan selamat tinggal kepada Tonto, tour guide kami di Jakarta, juga selamat jalan kepada Zulhabri dan Vovin yang meneruskan perjalanan ke Palembang. Selebihnya kami yang tinggal menaiki pesawat untuk pulang ke sarang.

Kembara ini menemukan saya dengan pelangi. Kejernihan air lautnya, keputihan dan kehalusan pasir pantai, langit senjanya dengan warna yang menggamit resah dan rindu, keenakkan makanannya, keluhuran setiap warganya juga keunggulan tulisan Andrea Hirata yang membuka negeri ini dengan segala keindahannya. 10 laskar yang datang dari pelbagai bidang dan kerjaya ditemukan dalam perjalanan ini. Walaupun tidak kenal secara dekat, kembara ini membuatkan nurani bertaut erat. Terimakasih atas setiap kebaikan dan kejujuran kalian. Semoga persahabatan ini berkekalan.

Terimakasih tak cukup saya kira untuk membalas jasa Zulhabri yang menjadi master mind untuk semua ini. Tahniah atas penganjurannya. Semoga semua yang direncanakan akan terus gemilang. Anda boleh mengikuti instagram @salambelitung untuk menempah trip anda atau hubungi +601121852938. Bersama kumpulan atau peribadi. Pasti akan memberikan pengalaman yang manis untuk dikenang.

Kami akan menggerakkan kembara (open trip) seperti ini secara berkala. Sudah dimasukkan dalam kalendar aktiviti. Antara tempat yang akan dijejaki seperti Borocay, Batam, Acheh, Bandung, Cebu, Palembang, Surabaya, Jogja, Medan, Bali dan banyak lagi. Akan dikemaskini dari masa ke semasa. Tunggu posternya nanti.

*Saya tidak menyenaraikan detail harga setiap aktivitinya kerana kembara ini bersifat open trip. Harga pakej termasuk tiket penerbangan, penginapan, makan minum dan semua aktiviti lainnya. Berharga cuma RM1,300. Ternyata lebih dari berbaloi dengan semua pengalaman ini.
















No comments:

Post a Comment

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...