Thursday, November 23, 2017

Young Changemakers 2017 : Agen pengubah dunia.

"Faz, berminat tak untuk direct salah satu video Young Changemakers 2017?" Tanya Nora. Tanpa perlu fikir lama, aku mengangguk setuju. Nora orang kuat KakiSeni yang aku kenal sebagai seorang pengarah filem pendek, dokumentari yang baik. Dia juga pelaku seni yang sangat humble dan peramah. 

Tahun sebelumnya aku pernah terlibat menjadi salah seorang fasilitator untuk projek yang sama. Aku diminta membantu seorang adik perempuan yang berjuang melawan penyakit leukemia tahap 4. Perlu diasingkan dan dirawat di hospital bagi mengikuti rawatan. Namun kekuatan untuk belajar sangat tinggi. Maka dia belajar di hospital sehingga boleh kembali ke sekolah dan kemudian ambil exam macam pelajar lain. Dia dipilih menjadi salah seorang Young Changemakers 2016 kerana kekuatan semangat dan kegigihannya untuk belajar dan berjuang melawan penyakit. Ketika melihat dia membentangkan kisah hidupnya di hadapan pelajar lain, aku menangis. 

Aku diberi peluang membantunya membuat presentasi. Menghilangkan gugupnya di atas pentas dan ketakutannya berdiri di hadapan beratus pelajar dalam dewan yang besar. Namun sebenarnya anak ini tak perlukan aku. Dengan segala yang telah dijalani–menghadapi malam-malam yang sunyi seorang diri, bangkit melawan segala kuman yang memakan organ dalamannya, melihat satu-satu rambutnya gugur, terbaring lesu melihat muntah sendiri setiap kali selesai kimoterapi, menjenguk anak-anak sihat bermain dan belajar dengan gembira, menangis mengenangkan perlaburan yang dilakukan oleh ibu-bapanya, menghidu bau ubat dan lantai hospital lebih separuh hayatnya, menahan sebak kerana tidak mampu menelaah pelajaran dengan baik seperti anak-anak normal lainnya. Siapakah juara sebenarnya? Bagi aku sebelum dia membuat pembentangan, dia sudahpun menang. 

Untuk projek Young Changmakers 2017, aku diberi peluang untuk mengarahkan video presentasi kempen Bye-Bye Buli Malaysia dari SMK Inderapura Jerantut Pahang. Sebuah program membenteras buli di kalangan pelajar sekolah. Team ini menjadi finalis dari 10 yang terpilih. Aku, Amar, Vovin dan Sufian ke sekolah Jerantut untuk membuat kerja-kerja penggambaran. Seluruh tenaga pengajar, pengetua dan pelajar memberikan kerjasama yang sangat baik. Malah mereka menghimpunkan pelajar bagi membuat lakonan semula mengenai projek yang telah dijalankan sebelum ini. Semangat mereka memang luarbiasa. Walaupun ada di kalangan anak-anak ini tidak fasih berbahasa Inggeris, cikgu pengasas kempen ini iaitu Puan Rizna menggalakkan anak-anak ini bercakap dalam bahasa Inggeris di depan kamera. Agar kempen ini dapat disebarkan dengan lebih meluas. Kesungguhan mereka harus dipuji. Walaupun durasi video ini cuma sekitar 2 minit sahaja. Petang itu sebelum pulang kami dijamu dengan ikan patin masak tempoyak oleh warga sekolah dan singgah membeli murtabak ferry yang menjadi kebanggan orang Jerantut. Kemudiannya menyesal sebab beli 2 keping saja. Tak cukup rupanya. 

22 November 2017. Hari anugerah Young Changemakers 2017. Aku, Vovin dan Amar meluangkan masa untuk beri sokongan. Malam sebelum tu, Cikgu Rizna mesej dia perlukan aku untuk lihat latihan presentasi, kerana semua finalis akan membuat pembentangan projek di depan juri untuk diadali. Juga di hadapan semua tetamu jemputan yang mungkin berminat untuk menaja projek ini di masa hadapan. Kami buat latihan di MarkasKD. 

Cikgu Rizna seorang yang sangat ambitious. Aku nampak kegigihannya. Dia nakkan kemenangan. Sebagai cikgu bahasa Inggeris, dia menulis nukilan berbentuk puisi sebagai mewakili persembahan team Bye-Bye Buli yang dianggotai oleh 5 pelajarnya. Aku tidak mengubah apa-apa dari yang telah cikgu Rizna telah gubah–aku cuma mempercantikkan gerakan dan meletakkan perasaan di dalamnya. Walaupun aku tahu ia masih sukar untuk anak-anak ini. Ia tidak lahir dari hati mereka. Seolah-olah seperti dipaksa. Apatah lagi skill bahasa Inggeris yang kurang baik. Tetapi dari satu sudut lain, aku cuba faham pendirian dan semangat seorang guru. Dia tentu lebih tahu apa yang dia mahukan. Jadi latihan 2 jam itu hanya membantu dari segi perletakkan emosi yang betul dan penghayatan pentas. 

Kami tiba di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun sekitar jam 3pm. Acara sudah dimulakan. Selain teruja melihat video yang kami shooting tempohari, kehadiran Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara juga penting untuk kami.  MashaAllah punyalah cantik. Inilah imaginasi aku sejak kecil tentang seorang Princess. Semua kriteria yang dia ada, dari hujung rambut ke hujung kaki–layaknya seorang puteri raja. 

Aku, Vovin dan Amar semua berpuas hati melihat video kami dimainkan. Editornya Khai telah menyusun video ini dengan sebaiknya, mengikut permintaan aku dan pengalamannya sendiri. Selesai video ditayangkan, team Bye-Bye Buli membuat pembentangan. Ia tak jadi smooth seperti latihan di MarkasKD. Mungkin dengan khalayak yang ramai, dengan lampu yang menyorot–mereka kelihatan sangat nervous. Ada pelajar yang lost beberapa kali. Aku mengerti perasaan mereka. Ini mungkin pertama kali mereka membuat pembentangan sebesar ini. Bagi aku mereka sudahpun melakukan yang terbaik. 

Melihat pembentangan dari finalis lain, memang sangat menginspirasikan. Pada usia kecil mereka telah melakukan sesuatu untuk pembangunan diri dan masyarakat. Bermain piano untuk membantu anak-anak autism, membuat projek penapisan air untuk membekalkan air bersih pada masyarakat setempat, mencari dana untuk melindungi penyu dari kepupusan, membina aplikasi internet untuk kemudahan awam, menjadikan lukisan sebagai ruang kreativiti dengan membantu anak-anak yang kurang bernasib baik, menggalakkan anak perempuan agar tahu tentang hak asasi dan kesamarataan. Allahu. Aku insaf. Pada umur sebegitu, entah apa yang aku lakukan. Dan sekarang ini pun tak banyak yang aku lakukan untuk masyarakat. Semuanya untuk kenyamanan diri sendiri. 

Pengalaman melihat anak-anak ini melakukan sesuatu demi masyarakat, mencelikkan mata aku bahawa galakan dan sokongan harus diberikan saat usia masih kecil. Tanya anak-anak apa yang mereka mahu lakukan dalam hidup selain belajar. Sebab aku percaya–perasan untuk berbakti pada masyarakat dan menggembirakan orang lain yang kurang bernasib baik bukan saja tanggungjawab orang dewasa. Kita tak boleh downgrade kebolehan mereka. Anak kecil harus dipupuk menjadi role model kepada anak-anak seusia mereka. Pengaruh mereka lebih besar. 

Petang itu juga kami berpeluang melihat pembentangan dari Kenkashan Basu yang merupakan tokoh Young Changemakers antarabangsa yang dibawa khas dari Dubai. Merupakan pemenang bagi International Children's Peace Prize tahun 2016. Sejak usia 8 tahun, Kenkashan melihat dunia ini harus diselamatkan. Anak-anak kecil dan generasi akan datang perlu mendapat persekitaran yang baik. Telah menjadi jurucakap termuda dalam kempen alam sekitar seluruh dunia. Pada usia 12 tahun–beliau menubuhkan Green Hope sebuah organisasi yang dinaungi kanak-kanak dalam penyembuhan alam sekitar. Kumpulan ini menjalankan aktiviti membersihkan laut dan sungai, kitar semula sampah, menanam pokok dan kempen di seluruh negara. Kini Kenkashan telah mejadi inspirasi kanak-kanak seluruh dunia. 

Memang gila. Beliau bercakap seperti tiada ketakutan langsung diwajahnya. Sekitar 10 minit di hadapan khalayak yang pelbagai status–semua yang ingin disampaikan terus menusuk ke dada kami semua. Terlalu yakin dan penuh dinamik. Aku kagum. Sangat kagum dan merasa insaf sekali. Bagaimana masalah dunia dapat dilihat dari mata anak kecil. Bagaimana dia berusaha menjadi agen pengubah untuk melihat dunia menjadi lebih baik dan baik. Bagaimana dia menyuntik inspirasi kepada anak-anak lain dan orang dewasa yang mungkin alpa dan leka. Kenkashan, kau memang hebat nak! Salute!

Seperti yang kami ramal, Team Bye-Bye Buli tidak diangkat menjadi pemenang pada majlis anugerah itu. Bukan kerana presentasi mereka, tetapi projek yang telah dijalankan mungkin belum betul-betul kuat memancing pengadilan juri berbanding dengan finalis lain. Kekuatan pemenang yang dinobatkan juara petang itu memang layak kerana mereka telah menyumbangkan sebahagian dari kehidupan kanak-kanak mereka untuk kehidupan masyarakat yang lebih baik. Namun begitu, di sudut hati paling dalam aku melihat kesemua 10 finalis ini yang telah dipilih dari beratus penyertaan seluruh Malaysia–sudahpun menang. Mereka telahpun menjalankan kewajipan dan tanggungjawab mereka sebagai individu demi kesejahteraan masyarakat setempat. Paling tidak memberikan kesedaran kepada khalayak umum. Itu sesungguhnya harus dipuji. 

Aku pulang dengan perasaan yang puas. Menjadi sebahagian dari perjalanan acara ini memberikan pengalaman yang berharga untuk aku. Melihat anak-anak ini bercakap di depan pentas, menyatakan idea dan pendapat, mengajak orang lain membuat kebaikan, menjadikan dunia ini lebih baik dari sebelumnya–ia amat dashat dan mengagumkan. Ia memberitahu aku bahawa kebaikan walau sekecil-kecil zarah sekalipun, tetap menyumbangkan sesuatu buat pedoman diri sendiri dan orang lain. Dan ia tak mengenal usia. 










No comments:

Post a Comment

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...