Wednesday, March 21, 2018

Semuanya kerana puisi.

Sempena sambutan hari puisi sedunia tahun ini, rasa nak throwback pengalaman naik pentas dan baca puisi. Ia perjalanan yang sangat panjang, melelahkan tapi berbaloi. Ramai adik-adik muda yang datang dan bertanya, "Macam mana kak Faz bermula?" "Apa caranya nak tembus scene puisi?" Selalunya aku akan diam lama dan jawab, "Ia proses yang panjang dan berterusan." 

Acara puisi dulu dan sekarang banyak bezanya. Sekarang setiap minggu ada acara baca puisi. Kadang-kadang terlalu banyak sampaikan dalam satu masa boleh ada beberapa acara yang clash. Aku bercakap dalam area Lembah Klang dan sewaktu dengannya. Jadi bila ada yang kata tak tahu nak cari acara puisi kat mana, aku rasa nak jegil biji mata dan angkat kening Ziana Zain. Herotkan mulut sikit dan jeling tajam. Come on. Jangan menunggu, ikhtiarlah. Berusaha cari informasi. Semuanya ada di hujung cari sekarang ni. Terlalu ramai yang ingin membaca di pentas, ingin dikenali, mahu puisinya diperdengarkan,  tetapi malas. Apa benda pun kita buat dalam dunia ni, memang kena usaha. Semuanya harus kita bayar dengan tenaga, keringat dan pengorbanan. Tak ada yang percuma. 

Zaman aku dulu, punyalah payah nak cari acara puisi. Yelah puisi belum betul-betul in lagi masa tu. Adalah seketul acara yang muncul iaitu Rantai Art Fest, yang mana mengumpulkan acara-acara seni dari pelbagai cabang. Semua orang bergasak nak join Rantai. Aku pun emel ke penganjur Rantai untuk terlibat baca puisi, walaupun takut juga tak diterima. Yelah, kita bukannya siapa-siapa. Tapi disebabkan perasaan yang memuncak nak berpentas dan berkongsi puisi pada khalayak, beranikan diri juga. Acara pertama aku baca puisi secara rasmi adalah di acara Rantai 2006 ke 2007 (tak berapa ingat). Masa tu di The Red Bungalow KL. Bangunan tu pun dah diruntuhkan sekarang ni. Acara tu dianjurkan secara DIY dan totally independent. Jadi memang tak ada pembayaran dibuat. Tapi itu bukanlah soalnya. Nilai dan harga pertama kali membaca puisi di hadapan khalayak, memang takboleh dibayar dengan apa pun. Perasaannya besar. 

Selepas acara Rantai, aku mula mencari apa saja acara baca puisi. Berkenalan dengan penganjur acaranya, berada dalam lingkungan dan kemudian secara tak langsung mengendeng untuk menyelit di acara mereka. Ada yang diterima, ada juga yang tolak. Kadang-kadang ada dibayar token RM50-RM100. Dan kebanyakkannya memang tak dibayar. Tapi aku okay saja. Waktu tu, acara puisi memang susah nak dapat bajet, jadi mostly memang acara dibikin secara sukarela saja. Jiwa tengah muda masa tu, duit belakang kira. Yang penting dapat naik pentas dan menunjukkan apa yang kita ada. 

Aku semakin berani berkongsi puisi, kadang-kadang ditemani adik lelaki yang iring main gitar atau minta tolong kawan-kawan jadi peneman (baca secara berduet atau iring dengan alat muzik). Kalau lama tak naik pentas, rasa kosong. Selepas Rantai, ada beberapa kolektif wujud menyemarakkan lagi scene puisi. Antaranya Frinjan. Frinjan pun dah tak ada sekarang. Jadi dengan penyertaan aku dalam acara yang dianjurkan Rantai dan Frinjan, nama aku mula dikenali. Walaupun ada masanya aku terima undangan, namun aku masih lagi kekal dengan sikap pergi ke acara seni, berkenalan dengan komunitinya, berbagi cerita, hidup dalam lingkungan tu, meraikan persahabatan dan sentiasa mencari peluang menyelinap masuk ke acara-acara itu untuk membaca puisi. Orang kata muka tak malu, aku peduli apa. Yang penting aku tahu apa niatku. Peluang memang tak datang dengan senang. Membina nama bukanlah cuma sehari. Bertahun lamanya. Kalau dikira balik dari 2006 sampai 2018, kalau aku ada anak, dia pun dah masuk form 1. Kakaka. Tua betul rasanya. 

Syukur sekarang ini, aku masih boleh baca puisi. Masih diundang mengadakan persembahan. Malah sudah ada band bersama Fazleena & The Lasykar. Aku menghargai setiap pengorbanan yang aku buat sejak dulu. Aku tak pernah menyesal mencintai dunia ini. Pentas puisi menjadikan aku yakin dan berani membuat keputusan. Belajar menguruskan diri dalam dunia seni persembahan yang aku cintai sejak kecil. Membentuk hubungan baik dengan segala jenis manusia. Memperbaiki kelemahan dan ketidakmatangan diri. Menjadikan aku dekat dengan Pencipta. Mengajarkan aku tentang kelembutan dan sentiasa menunduk mengamati rumput di bumi. Menjadikan aku sensitif dengan persekitaran. Membuka banyak peluang dalam bidang-bidang lain yang boleh diterokai. Puisi telah bawa aku sejauh ini. Dan telah menjadi sebahagian dari hidup aku. 

Scene puisi berkembang dengan meriah sekarang ni. Aku seronok melihatnya. Wajah-wajah baru muncul dengan style masing-masing. Selagi kita terus saling menyokong, aku pasti scene ini akan terus bercahaya. 

Hampir setiap hari aku terima DM di media sosial tentang bagaimana untuk terlibat dalam scene puisi. Bagaimana caranya membaca puisi di pentas acara. Aku akan beritahu segala yang aku tahu, juga pengalaman aku memijak pentas sampai ke hari ini. Zaman sekarang lebih mudah kerana media sosial jadi agen penghubung. Di setiap acara boleh dikatakan ada open mic. Jangan malu bertanya atau emel penganjur. Turunlah melihat konsep acara itu. Berkenalan dengan orang-orang yang ada dalam lingkungan. Ia bukanlah tentang puisi itu tak cukup bagus, atau aku ni bukan siapa-siapa jadi susah untuk naik pentas atau menembusi scene. Tapi ia tentang sejauhmana usaha telah kita letakkan dalam mencapai impian itu. Cuba, cuba dan cuba. Jangan kata susah, selagi tak cuba bersungguh. Jangan takut dengan rejection. Itu sepatutnya jadi semangat untuk kita usaha lebih keras. Kalau bukan sekarang, mungkin nanti. Tapi jika betul niatnya, inshAllah Allah akan permudahkan. 

Walaupun aku sekarang lebih banyak menulis cerpen, tapi puisi tak pernah mati. Terus menyala-nyala dalam sanubari. Masih terus belajar dan belajar. Sebab tulis puisi ni payah. Puisi ini ia sangat personal. Harus ada rasa. Harus ada getarnya. Begitu juga ketika membacanya. Aku percaya puisi atau apa saja genre penulisan akan bergerak bersama kematangan usia. Kalau baca puisi aku yang lama-lama, memang rasa nak bakar je. Geli je rasa. Tapi semua penulis pun mengalami transisi hidup. Puisi akan evolve bersama peningkatan cara fikir, pembacaan, pemerhatian, gaya hidup dan persekitaran. Yang pasti jika memilih menjadi penulis, harus terus menulis. Akhirnya kita akan diingati dengan work kita. Penampilan, persembahan akan jadi perkara kedua atau ketiga. Yang penting rajin, konsisten dan penuh kesungguhan. 

Tulislah. Mungkin ia akan menghirismu. Mungkin jadi beban yang harus kau pikul berzaman-zaman. Tapi kau takkan tahu ia mungkin menyelamatkan orang lain.









3 comments:

  1. Kak. Adore with you :) Since 2015 lagi. Sampai sekarang masih lagi follow perkembangan Kak Faz. Teringin bergambar berdua, tapi ramai yang awal dulu mengerumun dan akhirnya sy segan nak dekat. Insyaallah lepas ni sy nak ada gambar berdua dengan akak. Terima kasih kak, buat saya minat pada puisi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mieza, terimakasih selalu sokong kakak. Janganlah segan jumpa saya. Saya bukannya makan orang. hehe. Next time mesti datang dan kita peluk-cium okay. :)

      Delete
    2. Insyaallah Kak Faz. Heee semoga terus berjaya dalam pembikinan karya ^_^

      Delete

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...