Friday, April 13, 2018

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanjang penglibatan dalam bidang seni dan penulisan. Soalan-soalannya bijak, ulasannya juga bernas. Ia menterjemahkan kata-kata saya dengan lancar dan sangat genuine. Terimakasih Bissme kerana sudi menulis tentang Tari Pasar Perempuan. Saya amat menghargainya. Oh ya, Bissme juga menghadiahkan saya sebuah replika Eiffel Tower bersalut cat keemasan dengan loceng-loceng comel ketika hari pelancaran buku Tari Pasar Perempuan. Akan saya sangkutkan di depan sliding door rumah dan ketika angin berhembus, loceng-loceng itu akan berlaga dan menghasilkan bunyi ting ting taka ting ting ting. Macam lagu Comel Pipi Merah, nyanyian Siti Nurhaliza buat puterinya Siti Aafiyah. Semoga dentingan itu menguatkan semangat saya untuk menulis dengan lebih baik lagi dan menggerakkan saya untuk terus menghasilkan bunyi. Lebih nyaring, berani dan merdu. Terimakasih Bissme. I love you.

Bermula dengan premis.


Cerita-cerita yang saya tulis selalu bermula dengan pemasalahan. Keresahan terhadap sesuatu perkara, benda, kejadian, manusia, persekitaran akan mencetuskan idea untuk dicurahkan menjadi dongeng dalam tulisan. Premis lokasi atau tempat menjadi pasangannya. Tanpa dua perkara ini, saya tak mampu untuk melukiskan penceritaan yang baik.

Kembara bukan saja sebagai terapi setelah penat bekerja, tetapi ia adalah inspirasi terbesar saya untuk mencipta imaginasi. Husband saya tahu benar sikap dan tabiat saya yang memang tak boleh duduk diam di rumah. Bontot ni sentiasa gatal nak berjalan. Terpuruk di rumah adalah perkara terakhir yang akan saya buat kalau diberi pilihan. Melainkan saya sakit dan perlu berehat. Pernah saya shooting selama sebulan, 2-3 hari saja berehat di rumah saya mula resah. Bawalah saya keluar dan berjalan. Pergi kedai mamak pun tak apa. Asalkan dapat keluar menghirup udara dan melihat orang.

Tak mampu nak kembara jauh-jauh lagi, walaupun saya teringin sekali melawat Mekah, India, Jepun dan Turki. Saya cuma sempat berjalan ke beberapa negara tetangga sepanjang hidup. Selainnya, saya cuma berjalan dalam negara. Hujung minggu saya pastikan terisi dengan aktiviti melawat galeri,  muzium, acara seni-budaya dan juga bersosial bersama teman-teman. Ia penting kerana melaluinya saya mencuri ilham untuk dipinjamkan ke dalam tulisan. Mungkin teman penulis lain boleh duduk di rumah dan menulis, tetapi saya tidak. Sepanjang menyiapkan manuskrip Tari Pasar Perempuan, hampir setiap hari saya menumpang di kafe-kafe, order secawan teh/kopi dan menulis. Ada kalanya ke library. Rumah terlalu selesa untuk menulis. Saya perlu nampak orang lalu-lalang, saya mahu lihat senyuman barista yang melayan pelanggan, saya suka diganggu dengan perbualan-perbualan manusia yang ada di sekeliling.

Circa 2016, saya menjalani penggambaran sebuah dokumentasi tentang tokoh-tokoh sejarah yang menyumbang kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Saya diberi tanggungjawab menjadi pengacara. Kami berkelana selama lebih kurang sebulan ke seluruh pelusok Semenanjung, Sabah Sarawak dan juga Singapura.

Pulau Gaya merupakan lokasi terakhir sebelum kami menutup kembara itu. Sebuah perkampungan air di Sabah, yang terpencil mencetuskan inspirasi yang besar kepada saya untuk menulis sebuah cerita yang termuat dalam kumpulan cerpen Tari Pasar Perempuan. Perbualan saya bersama sekumpulan anak-anak yang berumah di lautan, mencetuskan kegelisahan sehingga ketika pulang meninggalkan perkampungan itu dada sebal dan jiwa saya resah bergelora.Hanya dengan menuangkannya dalam bentuk tulisan, saya sedang berusaha melepaskan segala yang terbuku. Sebuah dongeng tentang buih-buih harapan, tentang keadilan, tentang kemiskinan, pendidikan, kekuasaan, kedamaian dan cinta. Proses menulis dongeng ini panjang sekali. Sehingga saat-saat akhir saya masih kekal menyunting dan menyusunnya. Semoga ketika buku ini tiba pada awak nanti, kita semua mampu menyerap semangat dan kekuatan anak-anak terpencil dan terpinggir. Mudah-mudahan.

Di dalam Tari Pasar Perempuan, premis lokasi merupakan perkara yang sangat saya titik-beratkan. Saya cuba berada di setiap lokasi itu untuk merasakan perasaan dan sikap watak yang saya hidupkan. Ia mungkin cuma di dalam sebuah rumah atau ruang makan malam sebuah keluarga, tetapi saya berusaha untuk tenggelam ke dalamnya. Saya harap anda dapat melihat premis-premis ini sedang berteriak meluahkan isi hatinya. Semoga.


Monday, April 2, 2018

Pelancaran Tari Pasar Perempuan

Seksi Ovari dilancarkan di Annexe, Central Market. Ketika itu saya menyampaikan beberapa buah puisi dari buku itu bersama iringan tiga orang adik lelaki (bukan kandung) iaitu Anas, Ajie dan Ken. Buku Bibir Ceri Melati pula di Red Bungalow KL, dilengkapkan dengan persembahan dari Primary (kugiran hubsbaby saya), band saya sendiri Fazleena & The Lasykar (tanpa saya) dan juga Ana Raffali. Saya masih ingat lagi kehangatan kedua buah majlis itu. Khalayak yang datang ramai sekali. 

Kali ini pelancaran buku saya akan diadakan di Publika sempena acara Beauty & The Brain. Acara yang dirangka meraikan wanita dari pelbagai industri. Saya bertuah, buku terbaru saya akan dilancarkan di sini. Tari Pasar Perempuan, ditujukan untuk semua wanita tanpa mengira usia dan lapangan. Cerita-cerita yang tertulis di dalamnya mengangkat citra wanita Malaysia secara sedar atau tidak sedar. Setiap wanita saya fikir akan berjuang untuk membela nasibnya–bezanya mungkin cara dan pilihan masing-masing. 

Saya memilih Raiha Bahaudin kerana pengenalan kami yang lama dan panjang. Bukan saja kerana dia penulis yang bagus, guru yang ikhlas mendidik, aktivis kemanusiaan yang konsisten, tetapi ia lebih dari itu. Seorang pemimpin yang berhati waja, isteri yang sentiasa menyokong suami, juga ibu penyayang kepada anak-anaknya. Dia seorang kakak yang jujur mengkritik dan tegas dalam meletakkan pendiriannya. Dia mengikuti perkembangan saya dari awal. Melihat jatuh bangun saya. Penting untuk saya dapat dengar pendapat dan kritikannya. Untuk saya belajar menulis dengan lebih baik lagi.

Pemilihan Leaism pula kerana saya suka dengan energy-nya setiap kali melakukan persembahan pentas. Dia tak pernah memberikan sekadar-sekadar saja. Sering saja membuatkan khalayak terpukau dengan persembahannya. Kita boleh faham dan rasa setiap emosi yang dicetuskan lewat lirik dan gerak tubuhnya ketika menyanyi. Suaranya gemersik indah sekali. Bertahun-tahun membuat persembahan di jalanan, Leaism membuktikan bahawa passion adalah segala-galanya. Dia akan pergi jauh. Jauh dari apa yang kita bayangkan. Saya yakin.

Walaupun ianya hanyalah sekadar pelancaran buku, tetapi pemilihan untuk setiap watak yang akan dimunculkan lewat naskah ini sangatlah penting. Wanita-wanita kuat dan berdiri dengan kepercayaan untuk selalu memberikan yang terbaik. Seperti mana saya cerewet dalam menyiapkan manuskrip ini, memilih illustrator, memastikan sampul depannya seperti apa yang saya bayangkan, membuat promosi yang berterusan, begitu juga dengan majlis pelancarannya. Apa saja yang kita lakukan, walau sehalus-halus hama, ia harus menemukan kepuasan. Sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. 

Jemput hadir ke pelancaran rasmi buku Tari Pasar Perempuan di Publika Solaris Dutamas, 7 April (sabtu) 12 tengahari. Saya akan berkongsi proses kreatif buku ini bersama Yani Mahmud, Illustrator buku saya. Jika mahu membeli, buku juga pasti akan di jual di sana. Jemput datang bawa seisi keluarga.

Sesungguhnya kehadiran awak semua memberi makna yang besar untuk saya. 


Sunday, April 1, 2018

Pra-Pesan Tari Pasar Perempuan

Sepanjang menulis, inilah naskah yang paling sukar saya kerjakan. Selepas beberapa tahun tidak mengeluarkan buku–cabaran menyudahkan kumpulan cerpen ini penuh liku dan ranjau berduri. Banyak airmata yang tumpah, keringat yang meluncur basah juga bersama titisan darah. Saya mengabadikan masa, tenaga dan segala-gala yang saya ada demi menghasilkan yang terbaik. Prosesnya lama, berhati-hati dan penuh kesabaran.

Saya tak pasti penerimaan masyarakat, saya juga berteka-teki tentang apakah tulisan saya masih sudi dibaca, namun saya benar-benar puas mengerjakannya. Ini hadiah buat pembaca setia yang menunggu tulisan-tulisan saya, juga untuk semua penikmat buku seluruh semesta. Hadiah kecil ini ikhlas dari sanubari. 

Dengan terbitnya buku ini, saya sudah bersedia dan berlapang dada menerima sebarang kritikan dan respon dari anda semua. Agar saya dapat memperbaiki tulisan saya dan paling penting untuk terus menulis. Ini adalah semangat besar sebagai transisi saya menulis novel. InshaAllah. 

17 cerita pendek yang disisipkan bersama ilustrasi dari artis muda yang berbakat dan merbahaya–Yani Mahmud. Saya bertuah bekerjasama dengan seseorang yang tidak pernah dikenali, tetapi telah memberikan seluruh jiwanya dalam menterjemahkan tulisan saya. Lukisan-lukisanya penuh magis dan mempersona. 

Ia diterbitkan oleh Roman Buku. Mereka telah memberikan sokongan yang besar dan kerjasama yang tidak boleh saya bayar dengan wang ringgit. Saya harap dengan lahirnya naskah ini, saya dapat membalas kepercayaan mereka dan membantu Roman Buku agar terus sukses menerbitkan buku-buku yang berkualiti. 

Pra pesanan buku ini boleh dilakukan sekarang sehingga 6 April. Majlis pelancaran akan berlangsung sekitar awal April. Nanti saya kongsikan posternya. 







4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...