Kali ini pelancaran buku saya akan diadakan di Publika sempena acara Beauty & The Brain. Acara yang dirangka meraikan wanita dari pelbagai industri. Saya bertuah, buku terbaru saya akan dilancarkan di sini. Tari Pasar Perempuan, ditujukan untuk semua wanita tanpa mengira usia dan lapangan. Cerita-cerita yang tertulis di dalamnya mengangkat citra wanita Malaysia secara sedar atau tidak sedar. Setiap wanita saya fikir akan berjuang untuk membela nasibnya–bezanya mungkin cara dan pilihan masing-masing.
Saya memilih Raiha Bahaudin kerana pengenalan kami yang lama dan panjang. Bukan saja kerana dia penulis yang bagus, guru yang ikhlas mendidik, aktivis kemanusiaan yang konsisten, tetapi ia lebih dari itu. Seorang pemimpin yang berhati waja, isteri yang sentiasa menyokong suami, juga ibu penyayang kepada anak-anaknya. Dia seorang kakak yang jujur mengkritik dan tegas dalam meletakkan pendiriannya. Dia mengikuti perkembangan saya dari awal. Melihat jatuh bangun saya. Penting untuk saya dapat dengar pendapat dan kritikannya. Untuk saya belajar menulis dengan lebih baik lagi.
Pemilihan Leaism pula kerana saya suka dengan energy-nya setiap kali melakukan persembahan pentas. Dia tak pernah memberikan sekadar-sekadar saja. Sering saja membuatkan khalayak terpukau dengan persembahannya. Kita boleh faham dan rasa setiap emosi yang dicetuskan lewat lirik dan gerak tubuhnya ketika menyanyi. Suaranya gemersik indah sekali. Bertahun-tahun membuat persembahan di jalanan, Leaism membuktikan bahawa passion adalah segala-galanya. Dia akan pergi jauh. Jauh dari apa yang kita bayangkan. Saya yakin.
Walaupun ianya hanyalah sekadar pelancaran buku, tetapi pemilihan untuk setiap watak yang akan dimunculkan lewat naskah ini sangatlah penting. Wanita-wanita kuat dan berdiri dengan kepercayaan untuk selalu memberikan yang terbaik. Seperti mana saya cerewet dalam menyiapkan manuskrip ini, memilih illustrator, memastikan sampul depannya seperti apa yang saya bayangkan, membuat promosi yang berterusan, begitu juga dengan majlis pelancarannya. Apa saja yang kita lakukan, walau sehalus-halus hama, ia harus menemukan kepuasan. Sekurang-kurangnya untuk diri sendiri.
Jemput hadir ke pelancaran rasmi buku Tari Pasar Perempuan di Publika Solaris Dutamas, 7 April (sabtu) 12 tengahari. Saya akan berkongsi proses kreatif buku ini bersama Yani Mahmud, Illustrator buku saya. Jika mahu membeli, buku juga pasti akan di jual di sana. Jemput datang bawa seisi keluarga.
Sesungguhnya kehadiran awak semua memberi makna yang besar untuk saya.
Tahniah kak.
ReplyDelete