Kelmarin Mak telefon dan beritahu satu berita gembira. Kakak
iparku yang baru saja menikah dengan Along (abang kandungku),3 bulan yang lalu disahkan
pregnant. Ada getaran yang syahdu dari corong telefon. Syahdu yang manis. Suara
yang mencairkan. Jika aku berada bersama mak secara jasad bertemu jasad, sudah
tentu hangat peluk mak yang sedang kurasai. Hujan rahmat pasti akan turun
dengan lebatnya, membasahi bumi dan kontang mata. Pastinya tetesan yang dingin
dan menggembirakan.
Wajah emak terus melintas dalam imaginasiku. Mata sepet mak
semakin hilang, urat-urat mukanya berombak melanggar satu sama lain, membuah
kelopak senyum yang mekar. Dada aku bergetar, perasaannya bercampur-baur. Aku
menjerit keriangan memberi sokongan kepada kegirangan emak. Tiada yang paling
bermakna dalam hidup ini selain melihat sinaran wajah dari insan-insan
tersayang. Doa mak dimakbulkan. Impian yang sudah lama bersarang, sudah
diterangkan oleh berita tersebut. Impian semua ibu di dunia ini, mahu menimang cucu
sendiri.
Setelah tamat perbualan bersama mak, aku pandang suami di
sisi yang faham dan tak perlu menebak emosi aku saat itu. Dia memberi isyarat
menggunakan mata, tanpa diucapkan; Takpa
yang, jangan sedih. Tuhan belum bagi rezeki lagi. Ada kepiluan dalam dada.
Air mata aku yang dari tadi bergenang, jatuh menitik. Aku mengalihkan pandangan
membelakangi lelaki di depanku. Betapa aku tak mahu dia melihat ketidak-kuatan
aku saat itu.
Ada 2 jenis perasaan besar yang sedang meledak dalam
tubuhku. Yang pertama, gembira tentang berita itu. Kedua sedikit terkilan
kerana bukan aku yang berikan mak dulu kegembiraan itu.
Ada suara dari dalam kalbu yang perlahan-lahan berbisik; Sabar, tenang. Semuanya akan okay! Berulang-ulang
kali. Aku menarik nafas panjang dan mengadap suami yang masih terus memandang aku.
"I okay yang. Nanti kita cuba lagikan?" Laju ia keluar dari mulutku. Entah ayat
yang keluar itu untuk memujuk dia atau hatiku sendiri.
Suasana bising kiri dan jalan di kedai makan itu, tiba-tiba
seolah angin yang berdesup perlahan. Aku tarik dan genggam tangan suamiku.
Menyedut semua kesabarannya dan mengisi penuh dalam pundakku. Agar kami boleh
menanggungnya bersama. Selamanya. Jika diizinkan-Nya.
Tiada istilah siapa cepat atau siapa lambat yang
menghadiahkan kotak gembira pada seseorang. Kegembiraan selalu boleh
dipinjamkan.
Suamiku mengusap lembut telapak tanganku. Terima kasih atas kesabaranmu sayang. Kami
sama-sama mengucapkannya tanpa menggerakkan mulut, membiarkan mata yang
bercakap.
No comments:
Post a Comment