Tuesday, January 27, 2015

Nostalgia bunga raya

Sewaktu kecil, kami sekeluarga pernah tinggal di rumah flat. Rumah kami tingkat paling bawah dan paling hujung. Mak memang suka berkebun. Adalah tanah sejemput di belakang rumah untuk mak tanam pokok-pokok bunga kesayangannya. Antaranya pokok cili, bunga raya dan lidah buaya. Mak selalu guna lidah buaya dan daun bunga raya untuk kecantikan rambut dan kulitnya. Kami adik-beradik dari kecil memang mak selalu tonyoh kulit kepala kami untuk lebatkan rambut, hilangkan kelemumur dan jugak sebagai penawar kalau ada luka-luka di badan. Mak percaya tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok yang kita tanam dan jaga dgn baik, akan selalu memberi manfaat pada kita satu hari nanti.

Selain untuk semua manfaat diatas, mak juga mengunakan batang bunga raya sebagai rotan untuk membantai anak-anaknya yang degil tak dengar cakap. Kami adik-beradik akan lari keliling flat bila mak dah mula mencari pokok bunga rayanya dan mencabut semua daun-daun dari batang. Batang yang bogel dilentur-lenturkan menjadi rotan. Kami boleh nampak muka mak yang merah, menyinsingkan lengan dan kain batiknya untuk mula mengejar kami, sambil diangkat tinggi batang bunga raya ditangan kanannya.

Zasss zasssss! Kami kena bantai. Atas sikap-sikap nakal seperti ponteng mengaji, curi duit tabung nak beli aiskrim, membohong, pukul anak jiran, tak jaga adik sebab nak main dengan kawan, mengelinjang waktu maghrib dan macam-macam lagi siri kenakalan waktu kecil. Berbirat sana sini. Kadang-kadang, sebelum waktu tidur, kami adik-beradik kira sesama sendiri jumlah birat yang timbul di punggung, kaki dan badan. Kami ketawa dan mengejek satu sama lain. "Tengokkkk kau kena lagi banyak dari akuuuu. Huhu." Dan kami sentiasa seronok membilang das-das sebatan mak bila salah seorang dari kami yang kena hukum.
Bila dewasa, birat-birat sebatan mak sudah lama hilang. Yang tinggal kini, cuma kerinduan. Rindu riak wajah mak yang merah padam bila kami melakukan kesilapan, rindu jeritan mak di waktu maghrib menjemput anak-anak pulang, rindu melihat debaran mak memetik batang bunga raya kesayangannya, rindu menyaksikan mak mengalirkan airmatanya melihat kesalahan dan kenakalan anak-anak, rindu mak dengan nafas naik turunnya demi memanusiakan kami adik-beradik.

Entah berapa besar sayang mak pada kami. Sekarang ni dah besar takde sapa nak tegur bila buat salah lagi.

Nostalgia kena rotan menggunakan batang bunga raya kekal kukuh menjadi pemanis ingatan dalam hubungan kami adik-beradik.


Kami kena rotan --- dan kami okay!

No comments:

Post a Comment