Saturday, June 18, 2016

Festival Membaca 2016

Hari ni aku dijemput menjadi salah seorang pencerita buat kanak-kanak yang dijemput khas di acara Festival Membaca. Anak-anak ini datang dari seluruh pelusok kota dan desa. Acara diadakan di Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun di TTDI. Pelbagai program dirangka oleh komuniti Womengirls. Dengan rasa besar hati dan teruja aku melapangkan masa untuk menjadi sebahagian dari acara ini.

Acara ini dirangka untuk memberi peluang kanak-kanak beriadah dengan melakukan aktiviti membaca. Apa yang menarik tentang program ini adalah ia mengutamakan peluang dan ruang membaca untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik; cacat penglihatan, pendengaran, anak-anak yatim dan miskin serta yang kurang pendedahan mengenai buku dan pembacaan. Antara programnya adalah pertandingan membaca braile, melukis bersama pelukis Yusof Gajah, aktiviti Interaktif bersama poetry club, storytelling bersama selebriti/penulis juga agihan buku-buku percuma.

Aku diberikan 2 slot bercerita. Diberikan beberapa buah buku puisi untuk aktiviti ini. Namun aku fikir, aktiviti membaca saja mungkin membosankan. Jadi aku menambah acara ini dengan memberikan sedikit sebanyak perkongsiaan tentang bagaimana membaca puisi dan memahaminya. Ia tidak datang cuma dari aku saja. Mereka juga membaca bersama. Dengan cara ini, anak-anak ini bukan cuma menerima dan mendengar, malah mereka turut boleh mempratikkan apa yang telah dikongsikan. Serba sedikit ilmu mengenai apa itu puisi, cara pembacaan dan pemahaman dapat mereka kenali. 1 jam slot pastinya tidak cukup, aku tahu. Tapi pendedahan awal itu yang paling utama. Dari sudut hati kecil dan paling dalam,  aku berharap mereka akan terus menggali dan mencintai puisi di masa depan.

Slot pertama aku diberikan 10 orang anak-anak dari perkampungan orang asli di Grik dan Kelantan. Mereka terdiri dari pelbagai etnik; semai, temia, senoi, jakun dan banyak lagi. Anak-anak ini berusia dalam lingkungan 12 hingga 23 tahun. Kebolehan membaca mereka agak perlahan. Ada yang tak boleh mengeja langsung. Namun aku perhatikan sikap dan minat mereka terhadap puisi memberangsangkan. Ia agak sukar apabila ada di antara mereka yang takmampu mengeja langsung. Apa yang aku lakukan ialah dengan sedikit memaksa mereka mendengar dan fokus pada pembacaan kawan-kawan yang lain. Sekurang-kurangnya mereka mampu memahaminya. Aku minta mereka bereaksi dan meletakkan emosi pada setiap patah-patah puisi yang keluar dari mulut rakan-rakan yang lain. Kalau membaca tidak mampu dilakukan sekarang, tidak mengapa. Cukup sekadar menghayatinya dahulu. Sama seperti yang dilakukan oleh ibu bapa yang membacakan buku cerita pada anak-anak kecil mereka sebelum tidur. Mereka mendengar dan memahaminya. Perlahan-lahan beranjak dewasa, mereka akan cuba membacanya sendiri. Aku percaya. Hasilnya dihujung acara, anak-anak ini suka dan memberikan komitmen yang baik dengan membaca puisi di hadapan kawan-kawan yang lain. Meletakkan emosi yang betul dan memberi nafas pada bait-baitnya. Alhamdulillah, aku bersyukur.

Slot kedua-ku lebih mencabar lagi kerana aku harus berada bersama pasukan yang besar. Lebih kurang 30 orang. Ada yang apabila ditanya, memang mahu berada di slot aku. Aku happy. Mereka ini datang dari pelbagai tempat dan latarbelakang. Ada anak-anak yang belajar di sekolah swasta, kolej dan juga home schooling. Ada juga yang english speaking, tapi masih mahu berada di slotku yang sememangnya menggunakan bahasa malaysia sepenuhnya. Aku fikir untuk kumpulan besar seperti ini aku perlu membuat aktiviti yang lebih fun. Syukur kerana slot aku berada di luar dengan bertemankan air pancuran dan pohon-pohon menghijau di sekitarnya. Alam akan selalu memberikan lebih kenyamanan kepada aktiviti pembelajaran, terutamanya puisi. Simbolik dan metafora alam akan lebih jelas dengan melihat kepada persekitaran. Seorang penyair atau penulis puisi perlu menjadikan alam sebagai sahabat karib. Aku takpernah percaya dengan hanya berkurung di dalam bilik kedap bertemankan komputer riba dan dinding kosong yang menganga, inspirasi akan tiba. Tak ada yang paling baik belajar menulis puisi dengan melihat keindahan alam. Justeru, anak-anak ini aku berikan kebebasan untuk menterjemahkan puisi masing-masing dengan cara mereka. Setiap kumpulan perlu membuat persembahan dengan memilih salah satu puisi di dalam buku yang diberikan. Mereka perlu berkerjasama untuk membaca dan mevisualkan kata-kata dari puisi yang dibaca. Mereka seronok melakukannya. Dan aku betul-betul gembira.

Aku pulang dengan perasaan yang hidup. Anak-anak selalu saja mengisi ruang kesunyian. Mereka menghiburkan. Lately, aku selalu fikir yang mempunyai anak sendiri merupakan satu-satunya impian yang paling aku mahukan. Tidak yang lain. Namun apabila diberikan peluang beberapa kali mengajar dan mendekati anak-anak muda remaja sebegini, pastinya ada isyarat yang Tuhan mahu aku lakukan. Mungkin aku diciptakan memberi ilmu dan segala pengetahuanku buat anak-anak yang kurang bernasib baik. Memberi, memberi, memberi sebanyak-banyaknya sehingga satu hari nanti aku faham bahawa memberi adalah definisi terbaik menghidupi.



No comments:

Post a Comment

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...