Mahadi merupakan vokalis kugiran alternatif rock yang
terkenal. Dia mengorbankan seluruh hidupnya demi muzik. Jatuh bangun
berkali-kali. Namun perjuangan tetap perjuangan. Diserahkan seluruh kudratnya
untuk mengukuhkan kugirannya. Dia menulis lagu-lagunya sendiri. Dia mencipta
semua melodi dan lirik. Bahasanya puitis dan penuh manusiawi. Bagi Mahadi,
muzik sama seperti makanan. Bagaimana mahu hidup tanpa makan? Dan siapa pula
yang mahu makanan yang tak sedap, atau kurang berkhasiat? Setelah hampir 10
tahun bermain muzik dan mempunyai sekelompok peminat, lagunya mendapat tawaran
bermain di sebuah filem. Filem itu meletop. Kugirannya yang bernama 'Lampu Lirih'
mendapat undangan bermain di merata tempat. Dalam dan luar negara. Duit seperti
hujan yang jatuh. Kehidupan kugiran mereka berubah 360 darjah. Segala-galanya
kini mewah. Dikenali dan kaya raya. Apa lagi yang lebih baik dari itu?
Satu malam, Mahadi bermimpi. Dia didatangi seorang pendeta.
Pendeta itu telah berbisik sesuatu kepada Mahadi. Sewaktu sedar dari mimpinya,
Mahadi menangis teresak-esak. Bini disebelahnya terkejut dan cuba
mententeramkannya. Mimpi mainan syaitan, sayang – kata bininya. Mahadi bangun,
mandi dan bersembahyang. Bininya terkesima. Memerhati Mahadi dengan rasa yang
bercampur-baur. Perbuatan yang dilakukan Mahadi itu terlalu asing buatnya. Buat
mereka berdua.
Satu mesyuarat tergempar diadakan. Mahadi mengumumkan kepada
seluruh ahli kugiran Lampu Lirih untuk berhenti menjadi vokalis. Perjuangannya
sudah tamat. Semua ahli terkejut, campur marah. Mereka sedang dalam kembara ke
beberapa buah kota untuk sebuah filem baru. Kontrak sudah diikat. Dan banyak
lagi aktiviti dan projek lain yang sudah termaktub dalam jadual. Penuh sehingga
tahun depan. Manakan semudah itu dia menarik diri. Ruang bilik mesyuarat itu
penuh dengan wap-wap kemarahan. Setiap ahli kugiran merasakan Mahadi tidak adil
memperlakukan mereka begitu. Mahadi itu tunggak Lampu Lirih. Seperti lampu,
Mahadi yang memegang cahayanya. Siapa lagi vokalis selayak Mahadi? Mereka
bungkam.
"Ketika aku membuat persembahan, anak-anak muda di
hadapan aku meloncat dan menari-nari. Adakah mereka faham dan tahu moral dari
lagu-lagu aku? Sebagai khalifah di muka bumi Allah, aku perlu menyampaikan
dakwahku agar masyarakat dapat mencari jalan kebenaran."
Ada air jernih yang terbit dari kelopak matanya. Itulah
satu-satunya alasan yang boleh diberikan ketika semua ahli kugiran menembaknya
bertalu-talu dengan soalan 'Kenapa?' Pemain drum yang paling muda dalam
kumpulan iu bangun dan memegang kedua bahu Mahadi.
"Bukan tugas kau untuk bagitahu mereka semua untuk
faham maksud lirik-lirik kau. Kau dah jalankan tugas kau. Kenapa kau risau
orang tak faham kau? Ha? Kenapa?"
Mahadi diam. Dia hanya menjawab dengan memeluk pemain drum
itu. Dan kemudian beralih memeluk, dari seorang ahli ke seorang ahli. Ruang itu
terlalu sunyi dirasakan. Hanya kedengaran bunyi tangisan.
Lampu Lirih membuat ujibakat segera mencari vokalis. Di dada
akhbar penuh dengan cerita tentang misteri kehilangan Mahadi. Surat saman
bagaikan halilintar yang datang menerpa. Kumpulan Lampu Lirih berdepan dengan
bencana. Namun mengapa dan kenapa Mahadi menghilang, dibiarkan tersimpan di
dalam saku. Isteri Mahadi yang tidak sanggup bertahan, menfailkan penceraian.
Di atas sebuah puncak gunung. Yang entah di mana-mana.
Mahadi kelihatan sedang menyanyi. Dan di sisinya seorang pendeta menari-nari.
No comments:
Post a Comment