Thursday, June 30, 2016

Tiada alasan untuk tidak jatuh cinta berkali-kali.

Apabila kita mencapai usia matang, atau merangkak menuju senja, kebanyakkan kita memilih untuk berada dalam keadaan selamat dan selesa. Tidak mahu keluar dari zon sejahtera dan merasa sudah cukup apa adanya. Kita hanya mahu meneruskan hidup dan meraikannya tanpa mahu diganggu-gugat dengan risiko atau cabaran baru. Hari ni entah kenapa aku terasa mahu berkongsi pengalaman pertama mencintai sesuatu yang bukan berada dalam forte aku. Iaitu mendaki. Takpernah aku bayangkan satu hari nanti aku akan gemarkan aktiviti mendaki bukit dan gunung. Ia seolah takpernah wujud dalam kamus hidup aku. Aku melihat aktiviti ini bukanlah jiwa aku. Sehinggalah satu hari aku mencuba. 

Kata orang yang biasa mendaki, Bukit Broga adalah bukit untuk pemula. Kalau kau mahu try melihat keupayaan dan minat kau terhadap mendaki, bukit ini sesuai. Aku ajak Amar. Walaupun Amar sedikit sangsi pada awalnya. Dia pernah naik dulu zaman bujang dengan kawan-kawan serumahnya. Susah juga, kata Amar. Kalau tak fit, memang barai. Aku kata takpe, asalkan bersama. Semuanya akan jadi ok. Lagipun dalam usia macam ni, aku mahu ada Amar untuk setiap langkahku. Buat apa saja bersama. Apa salahnya. Bukankah kita nak tua bersama? Ya, memang kedengaran agak cheesy. Tapi bukankah peribahasa 'Gunung sama didaki, lurah sama dituruni' menyimpulkan segala-galanya tentang perhubungan. Gittew. 

Jadi kami sepakat naik Broga pada 17 April 2016. Malam itu kami beronggeng menonton konsert Changcuters di Lim Kok Wing. Esoknya jam 5 pagi, kami sudah terpacak di kaki Bukit Broga. Aku teruja. Tak cukup tidur, tapi bersemangat. Melalui pembacaan aku di blog, Broga memang tersangatlah popular hingga digelar 'Broga Mall'. Sungguhlah waktu kami tiba, orang sudah ramai. Ada yang datang berombongan. Ada keluarga juga, siap pakej mak-bapak-anak-anak. Ada juga nenek dan datuk. Tak kira bangsa. Sebelum naik, kami melakukan sedikit senaman ringan. Ada rasa debaran juga di dada aku. Perkara yang paling sukar adalah memulai.  Jadi untuk pengalaman pertama ni, aku teruja dalam debaran. 

Kami naik perlahan-lahan. Berhenti sesekali bila keletihan. Aku tak banyak cakap. Sebab aku nak control pernafasan aku. Bila banyak bercakap, nafas akan naik turun. Jadi aku diam saja dan memerhati. Di awal pendakian, ada sedikit rasa sesak nafas. Perut rasa tak sedap. Amar beberapa kali ingatkan–Yang, kat atas sana takde tempat berak kencing tau. Jadi aku cuba kawal perut aku. Walaupun sesekali ia bergolak. Aku fikir angin pagi yang dingin masuk ke dalam perut. Ia terkejut, jadi akan mengganggu sistem badan. Kami membawa bekal coklat dan air mineral. Di beberapa perhentian kami berhenti, dan makan coklat. Ia betul-betul menghilangkan rasa lelah dan menumbuhkan rasa damai. Jalan ke Broga aku fikirkan mendatar saja, rupanya tidak. Memang perlu mendaki. Stamina dan ketenangan diperlukan. Kami bawa torchlight. Semua orang pun. Jalan gelap. Sebab ramai yang mendaki, jadi setiap orang berkongsi cahaya dari neon torchlight masing-masing. Ada beberapa tempat, jalan tegak dan perlu naik sorang demi sorang. Aku sebenarnya suka dengan kemeriahan ni. Di tempat yang gelap dan tinggi, tapi kau tak kesunyian. Aku mendengar perbualan-perbualan di antara kawan-kawan, pakwe-makwe, suami-isteri, anak-anak dengan mak bapak, cikgu dengan anak murid, datuk dengan cucu, nenek dengan datuk. Kata-kata motivasi untuk jangan give up, sikit lagi, nak sampai. Kita akan dengar bertalu-talu. Sama juga datangnya dari Amar. Sikit lagi yang...sikit lagi. Ini indah. Kita cuma mahu mencapai puncak yang kita tak tahu apa ada di atasnya, tapi kata-kata semangat di mana-mana saja. Proses mencapai sesuatu itu memang memerlukan inspirasi dan motivasi dari yang tersayang, dari yang paling hampir dengan kita. 

Sewaktu di pertengahan bukit aku ada nampak seorang wanita bertongkat yang dikepit pada kedua belah ketiak. Gigihnya dia. Sentiasa tersenyum saja dan bersemangat. Kaki aku yang sihat ni pun ada rasa lenguh, aku takboleh bayangkan kaki dia. Ada beberapa teman yang membantu wanita bertongkat itu naik. Aku respect. Amar cakap, sebenarnya dengan keadaan dia begitu, dia mungkin akan menyusahkan ramai orang. Yeah, orang harus menunggunya, membantu dan memimpin. Tapi berbekalkan kecekalan hatinya, tiada siapa yang boleh menidakkan impian dia. Kalau jiwa dan minda kuat, dia boleh menakluk apa saja. Sebagai orang yang secara fizikalnya kuat, aku merasa sungguh rendah diri. Jiwa dan minda aku selalu rapuh.

Kami tiba di puncak lebih kurang 50 minit mendaki. Suasana masih gelap, namun dinginnya mencucuk hingga ke tulang. Kami memilih duduk di atas seketul batu besar, sementara menunggu matahari naik. Langit sungguh cantik. Oren, kuning dan sedikit merah jambu terpercik  ke awan. Macam kanvas dengan lukisan yang indah. Sungguh memukau. Bangunan dan bandar dari atas kelihatan seperti ribuan mancis yang dibakar serentak. Puncak meriah seperti sambutan perayaan. Keluh kesah, bunyi nafas dan kepenatan telah terbakar dan diganti dengan suara kegembiraan. Semua orang berpelukan, bergambar, ketawa, berteriak - Yeah, we did it! Semua orang ucap tahniah satu sama lain. Dari atas batu, aku memeluk Amar dari belakang. Meletakkan dagu aku ke bahunya. Peluh kami bersatu. Terasa nyaman bila ekor rambutnya sesekali menampar wajahku. Thankyou Yang, bisik aku perlahan. 

Kami duduk menikmati keindahan puncak Broga dengan memerhati gelagat orang. Seronok. Seperti tepi pantai pula, ada yang berkelah menikmati sarapan pagi. Ada yang tidur di atas batu-batu besar. Kami merakam gambar kenang-kenangan. Meminta seseorang yang berdekatan kami untuk mengabadikannya. Semua orang di atas puncak seolah bersaudara. Mengucapkan selamat pagi tanpa perlu mengenali. Stranger become friends. Ketika matahari mula naik perlahan-lahan, wajah Broga kelihatan seperti sebuah padang hijau yang luas. Lalang-lalangnya bersinar kekuningan apabila disuluh mentari. Burung-burung begitu dekat seolah boleh ditangkap. Angin pagi menghembus sampai ke jantung. Aman dan mendamaikan. Aku pulang dengan senyuman yang puas. Dan berjanji untuk mendaki lagi. Perlahan-lahan aku mengerti istilah cinta pada pendaki tegar, terhadap aktiviti ini. Ada keajaiban yang takmungkin dapat kau terangkan.

Takpernah terlambat untuk kita mencuba sesuatu yang bukan berada di luar lingkungan harian kita. Kita selalu rasa takut dan malas serta tidak mahu mengambil risiko untuk sesuatu yang tidak familiar untuk kita. Dunia ini terlalu luas untuk mencuba satu perkara saja. Ternyata alam memberi banyak inspirasi dan cerita yang menyedarkan diri kita bahawa hidup ini sementara saja. Raikan dan nikmati dengan sebaik-baiknya. Ada yang menganggap aktiviti mendaki ini satu trend. Sekarang semua orang mendaki, kau pun nak mendaki. Apahal? Aku tak melihat ia sebagai sesuatu yang salah pun. Malah kalau trend itu sesuatu yang bermanfaat, untuk tubuh, jiwa dan minda kau, buatlah. Hidup ini terlalu singkat untuk memikirkan apa orang kata tentang kita. Just do it. Setelah mendaki, aku bersemangat menulis kembali, kuat bekerja, positif, mahu menjadi lebih baik setiap hari. Kalau dengan mendaki boleh membuat aku begini, mengapa aku tidak lakukannya?

Aku jatuh cinta lagi. Untuk kesekian kali. Buat pertama kali untuk aktiviti mendaki. Seperti cinta pandang pertama. Kau takmungkin melupakannya. Kau patah hati tapi kau takkan berhenti mencari. Cinta pertama mengajar kau menjadi lebih faham dan mengerti. Cinta tidak semestinya memiliki. Namun jatuh cinta pada bukit dan gunung lebih SAKTI lagi, kerana ia tak tahu melukai. 

Jatuh cintalah berkali-kali.








No comments:

Post a Comment

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...