Berkali-kali Wati berkata, memujuk hatinya –Mimpi itu satu petunjuk atau paling tepat isyarat. Mimpi itu bukan sekadar mainan syaitan. Wati yakin benar tentang itu. Mimpi itu isyarat Tuhan padanya. Agar dia bangkit dan memperjuangkannya.
Hampir setiap malam Wati bermimpi. Dia tinggal di sebuah pondok di dalam hutan, ditemani seorang suami penyayang dan anak-anak yang comel. Jauh dari keramaian manusia. Sunyi dari peradaban kota. Rutin hariannya–menemani anak-anak mengenal alam, bersahabat dengan haiwan dan mencintai kesederhanaan. Bukankah bahagia itu sederhana?
Sejak didatangi mimpi itu, Wati hanya mahu tidur. Setiap kali terjaga dari mimpi, dia mahu tidur kembali. Realiti hidup tidak seindah mimpi. Hidup terlalu sibuk dengan hal-hal yang takpernah habis. Semuanya bergerak pantas. Sehingga adakalanya dia tak sempat bernafas. Dia semakin lelah. Realiti terlalu memenatkan. Sehinggakan anak-anak tidak lagi diurusi. Makan minum suami tidak terjaga lagi. Rumah berantakan. Yang difikirkan dia hanya mahu hidup dalam mimpi. Hanya dalam mimpi.
Satu hari sebelum tidur, Wati meminta izin dari suaminya untuk terus tinggal di dalam mimpi. Suaminya terkejut dan menangis. Dia memujuk Wati agar jangan pergi. Saya akan berusaha dan membahagiakan awak. Saya janji. Kata suaminya dengan sepenuh hati. Wati menggelengkan kepalanya. Dia sudah bertekad. Dia tidak mahu lagi hidup dalam dunia sebenar. Dia hanya akan bahagia di dalam mimpi. Suaminya pasrah. Memanggil anak-anaknya dan mereka memeluk Wati sambil menangis hiba. Suami bisik ke telinga Wati – jika satu hari nanti, mimpi tidak seenak realiti, kembalilah. Kata-kata itu tidak dihiraukan. Dirangkul anak-anaknya satu persatu, mengucapkan selamat tinggal dan memejamkan matanya.
Wati tiba di dalam hutan dengan sebuah beg pakaian. Dia berjalan meredah kegelapan malam. Ditemani bulan penuh. Wati menyanyi riang. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia merasa bebas. Hatinya girang apabila ternampak sebuah pondok seperti yang ada dalam mimpinya. Dia mengetuk pintunya. Muncul seorang lelaki. Wati senyum meleret. Tak syak lagi. Inilah watak suami yang sering muncul dalam mimpinya. Wati memperkenalkan namanya. Saya Wati. Isteri awak dalam mimpi saya. Lelaki itu memandang Wati lama. Dia tenung Wati tembus. Lelaki itu tiba-tiba merentap tangan Wati masuk ke dalam rumah. Wati terkejut, tapi menurut. Dia membawa Wati terus ke kamarnya. Wati kaget, tapi masih mengikut. Sekujur tubuh sedang tidur di atas katil. Mirip wajahnya. Lihat! Lihat! Apa yang sudah kau lakukan padanya! Lihat! Lelaki itu menjerit sekuatnya. Kau telah mencuri hidupnya. Kembalikan. Aku tidak perlukan kau. Jerkah lelaki itu. Matanya merah. Ada air yang bertakung dalam kolam matanya. Anak-anak comel yang seringkali mencuit hati setiap kali dia bermimpi, memegang kakinya sambil menangis. Pulangkan Ibu kami. Pulangkannnn! Jantung Wati bagai direntap. Hampir putus. Dia menghampiri tubuh yang kaku terbaring di atas katil itu. Dia cuba menggerak-gerakkannya. Wanita itu tetap bisu begitu.
Bersama beg pakaian, bersama airmata yang berlinangan, Wati berlari ke tengah hutan. Di balik pohon yang rimbun, dia bersandar keletihan. Menutup matanya rapat-rapat. Dia mahu segera tidur. Agar boleh kembali ke alam realiti. Namun semakin dia cuba menutup matanya, semakin kuat bunyi serigala melolong. Awuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu. Awuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu.
Tercapailah cita-citanya. Dia kini hidup di dalam mimpi. Mimpi yang ngeri.
No comments:
Post a Comment