Setiap kali bonda menangis, dia akan mengumpul airmatanya. Ditakung dengan mangkuk atau apa saja, asalkan boleh disimpan. Kalau dia menangis di dapur, dia gunakan cawan, gelas, piring, periuk, senduk. Apa saja, yang boleh dicapai waktu itu. Di kamar mandi, bonda jarang menyimpan airmatanya, kerana tiada benda yang boleh menakung. Jadi dia terngadah saja di pancuran air. Dan biarkan ia bersatu.
Di belakang rumah kami ada sebuah kebun kecil. Satu-satunya tempat yang membuat bonda bahagia. Kebun kesayangannya. Tanaman dan sayuran di situ ranum dan segar. Tiada siapa yang mengerjakannya, selain bonda. Setiap pagi dan petang bonda ke sana. Menguruskan kebun–menanam, memetik hasil, membersihkan, mencabut lalang-lalang, menabur baja dan menyiram. Tiada saluran paip di situ. Selain hujan yang turun secara alami, bonda menyejukkan tanah dan menyiram tanaman dengan airmatanya.
Satu hari bonda meninggal dunia mengejut. Sakit apa pun tidak diketahui. Laporan doktor juga menunjukkan bonda sihat sahaja, dan tiada kompilasi yang serius. Kami redha. Ini semua takdir. Kami kehilangan bonda yang dicintai.
Sejak bonda pergi, kebun di belakang rumah ditumbuhi lalang. Sayuran dan buah-buahan membusuk. Bukannya kami tidak ke kebun itu, hampir setiap hari. Sama seperti yang bonda lakukan. Cuma kebun itu seolah tidak menerima kehadiran kami. Sudah macam-macam baja yang kami taburkan. Sudah pelbagai cara yang kami kerjakan. Namun kebun itu tetap tidak menjadi. Semakin lama semakin lesu. Warnanya pudar, dan tidak berseri seperti dulu.
Satu malam kami berbincang adik-beradik. Bagaimanakah caranya menyelamatkan kebun bonda. Adik bungsu kami mengingatkan, yang bonda tidak menggunakan air lain untuk menyiram tanamannya. Dia cuma guna airmatanya. Jadi kami semua sepakat dan bersetuju bahawa itulah sebabnya kebun itu mati. Kerana dahagakan airmata bonda. Abang yang paling sulung mengesyorkan agar kami mengumpulkan airmata kami. Bukankah di tubuh kami ini, mengalir darah bonda? Justeru airmata kami ini juga milik bonda kan? Jadi malam itu kami sepakat mengumpulkan airmata kami, untuk menghidupkan kembali kebun kesayangan bonda.
Esoknya kami cuba menangis. Kami desak airmata kami keluar. Ada yang cuba mengingatkan kenangan pahit, ada yang sengaja memotong bawang, ada yang sengaja melanggar dinding, ada yang sengaja buat-buat terjatuh di tangga, ada yang meletakkan minyak panas di kelopak mata, ada yang mencucuh dan menekan mata sendiri dengan tangan. Apa saja, asalkan airmata mengalir. Tidak mudah rupanya mengeluarkan airmata. Mengapa bonda boleh menumpahkan airmatanya setiap hari? Apa yang bonda lakukan untuk mendapatkannya?
Sudah seminggu airmata yang kami paksakan keluar, terkumpul. Namun jumlahnya tak banyak. Tidak cukup untuk menyiram kebun. Cukup sebulan, masih belum mencukupi. Airmata kami sendiri tidak mampu dipaksakan keluar lagi. Kebun semakin sepi. Lalang tumbuh sehingga menggelapkan permandangan kami. Kami betul-betul buntu. Orang-orang di kawasan taman perumahan kami selalu mengata dan memaki. Ia membuatkan permandangan mereka terganggu. Anak-anak mereka takut bermain di luar. Risau kalau-kalau ada ular atau binatang berbisa keluar. Bahaya dan tidak selamat, kata mereka. Kami diminta pindah dari situ agar kawasan itu boleh dikemaskan. Atau paling tidak, bakarkan saja kebun itu. Semoga ia tidak mengganggu-gugat ketenteraman penduduk. Kami merasa sayu.
Dengan berbekalkan satu tong airmata yang kami kumpul selama 5 bulan, kami cuba menumpahkannya di kebun bonda. Mahu lihat apakah ianya berhasil. Kami memanjatkan doa setinggi-tingginya agar kebun itu subur semula. Agar airmata kami mampu membasuh duka nestapa kami saat itu. Asalkan kebun itu berseri semula. Itu saja harapan kami. Namun harapan hanya tinggal harapan. Kebun itu tidak memberikan reaksi apa-apa. Kami bungkam.
Selepas seminggu airmata yang kami siramkan di kebun bonda, ada buaian yang tergantung di sana. Talinya seperti diikat pada langit. Kami adik-beradik berkumpul di kebun dan melihat buaian yang tiba-tiba saja muncul. Entah dari mana puncanya, kami sendiri tidak pasti. Namun seperti ada rasa kelegaan dalam hati setiap dari kami. Apabila melihat sebuah buaian tergantung di sana. Kami cuba menaikinya. Berganti-ganti. Menghayun tinggi-tinggi. Kami merasa nyaman sekali. Seperti berada di pelukan bonda kami.
Kawasan kebun itu tidak subur lagi. Tanamannya sudah mati ditelan bumi. Namun keberadaan buaian itu membuatkan kami merasa sungguh bahagia. Kami membersihkan kebun itu, mencantas lalang-lalangnya dan menanamkan bunga di sekitarnya. Ia seperti sebuah taman permainan yang indah. Setiap petang kami akan berkumpul adik-beradik, bercerita, berkongsi tentang hidup, sambil menghayun buaian yang kami namakan 'Bonda' setinggi-tingginya. Hanya itu yang menyempurnakan hidup kami saat ini.
Satu hari, bapak datang. Sudah lama bapak tidak kami temui. Ketika bonda meninggal dunia, bapak berada jauh beribu batu. Di negara asing. Bapak sudah bertahun-tahun hidup di rantau orang. Saudagar seperti bapak memang hidup sering berpindah-randah. Kami sudah ditinggalkan bapak sejak berpuluh tahun yang lalu. Bapak sudah punya keluarga baru. Jadi kehadiran bapak, tidak mengubah apa-apa. Katanya – Bapak kebetulan ada di sekitar sini. Teringat pada kamu semua. Jadi bapak singgah. Bapak hadir bersama keluarga barunya. Anak-anaknya dan isteri. Kami melayan bapak seadanya. Adik bungsu kami yang teruja dan mungkin sedikit rindu dengan bapak, menunjukkan buaian di kebun bonda. Katanya, bonda tak mati, bonda cuma bertukar menjadi buaian. Kami cuma senyum-senyum saja. Tapi wajah bapak berubah. Isterinya lebih lagi. Anak-anaknya melompat-lompat mahu mencuba menaiki buaian bonda.
Kami berkumpul di kebun yang kini sudah menjadi taman permainan kami sekeluarga. Bapak dan keluarganya ada bersama. Seperti biasa, kami akan menaiki buaian bonda dan menghanyunnya setinggi yang boleh. Gelak-tawa kami berserakkan ke awan dan langit-langit. Ketika kami memegang tali buaian, seolah kami memaut kukuh pada lengan bonda yang kami cintai. Kerinduan pada bonda seolah terlerai. Bapak dan isteri hanya melihat. Cuma anak-anak mereka yang melompat-lompat mahu mencuba. Salah seorang anak bapak, menangis meronta-ronta mahu menaiki buaian. Isteri bapak memujuk bapak agar mengizinkan anaknya itu. Bapak tanpa meminta izin dan persetujuan dari kami, terus mengendong anak kecilnya dan mula menaiki buaian. Sebelah tangannya memegang tali dan sebelah lagi memaut anaknya. Buaian mula dihayun. Bapak kelihatan seronok dan bahagia. Ketika ia selamat turun, kami semua melihat dia mengusap airmatanya.
Isteri bapak juga kelihatan mahu mencuba setelah melihat bapak baik-baik saja menaiki buaian. Dia membawa bersama seorang anaknya. Kata bapak –hati-hati, pegang kuat-kuat. Ketika isteri bapak menaiki buaian bonda, langit bertukar merah. Kami merasa tidak tenteram. Bapak jerit– hayun tinggi-tinggi. Nikmatilah!! Isterinya itu terus menghanyun buaian bonda. Paling tinggi. Anak yang dipangku begitu sukahati dan gelak mengilai. Ketika mereka berada di paras tertinggi, sehingga boleh menyentuh awan, tali yang tergantung dari langit seolah-olah terputus. Buaian itu jatuh ke bumi. Isteri bapak dan anaknya terpelanting sehingga tembus ke dalam tanah. Bapak menangis tidak keruan. Airmatanya mencurah-curah. Dikore-koreknya tanah di kebun itu demi mendapatkan tubuh badan isteri dan anaknya yang sudah tidak bernafas. Bapak meraung sehingga terbang burung-burung yang berdekatan. Kami terkesima, tidak mampu berbuat apa-apa. Adik bungsu kami lari memeluk buaian yang jatuh. Menangis teresak-esak menyebut nama bonda bertalu-talu. Airmata kami membanjiri kebun itu. Untuk pertama kali kami menangis tanpa perlu dipaksa-paksa.
Keesokkan harinya, ketika kami menjenguk ke luar jendela, kebun kami ditumbuhi buah-buahan yang ranum dan sayuran yang segar. Kebun itu telah berseri semula.
No comments:
Post a Comment