Friday, July 15, 2016

Kembara kemaafan.

Sudah menjadi rutin. Menjelang lebaran dia akan menghantar kad raya kepada mantan kekasihnya. 3 orang semuanya. Dia takpernah cerita pada sesiapa, kecuali dengan Mama. Mamanya marah. Tak baik berhubungan dengan lelaki lain apabila sudah jadi isteri, kata Mama. Bukankah memutuskan silaturrahim itu lebih jahat Mama? Mama bungkam. 

Sepanjang 10 tahun dia berusaha menghantar kad ucapan kemaafan pada ketiga mantan kekasihnya, hanya dua dari mereka yang menjawab. Tidak pernah tidak. Balasan itu menjawab setiap permintaan maafnya. Selamat menyambut aidilfitri. Maaf zahir dan batin. Kosong-kosong. Mereka balas. Dia kira setiap salah-silapnya sudah dimaafi. Tapi 2 saja belum cukup lengkap. Dia tidak menerima apa-apa perkhabaran dan balasan dari mantannya yang seorang lagi. Dia tertanya-tanya. Adakah nilai kemaafan terlalu mahal?

Dia bukanlah seorang kekasih yang baik. Dia tahu. Selalu saja mencetuskan pergaduhan. Cemburu. Tidak menyokong apa yang dilakukan sang kekasih. Selfish. Tidak setia. Curang. Tidak berusaha mempertahankan perhubungan. Dan semua ciri-ciri yang tidak sihat untuk sebuah perhubungan. Tapi itu tidak bermakna dia terlalu jahat sehingga tidak sedar setiap tingkahlakunya. Setiapnya yang mungkin menyebabkan hidup orang lain porak-peranda. Atau sakit hati. Marah. Kecewa dengannya. Dia betul-betul ikhlas memohon maaf. Lagipun dia sudah berubah secara total. Tanyalah pada suaminya, pasti lelaki itu akan mengkelaskan dirinya sebagai 'wife material'. Isteri mithaali. Tulang rusuk yang sempurna. 

Pagi itu seperti kebiasaan dia membuka jendela dan merenung ke langit. Menebak warna langit, adakah biru laut, biru seragam polis, biru sungai, biru jeans atau biru buah blueberry. Sebelum dia habis meneka warna langit, awan-awan bergerak dengan laju membentuk pergerakan. Dia memerhati dengan tekun. Wajah mantan kekasihnya yang takpernah membalas kemaafannya, terlakar di atas kanvas langit. Sempurna dengan rambut kerinting kasar dan kumis yang tebal melingkar. Seketul tahi lalat di hujung kening kanannya. Dan mata yang tajam. Dadanya seperti ditumbuk. Sebal. Hujan luruh dari kelopak matanya dan tenggelam membasahi wajah. Dia tahu dia perlu berbuat sesuatu.

Esoknya selepas meminta izin dari suami, berbekalkan alamat yang ada dia menggunakan waze untuk ke rumah mantan kekasihnya. Misinya cuma satu, memohon kemaafan. Perjalanan mengambil masa 5 jam. Sepanjang masa dia berdoa tak henti-henti. Semoga Tuhan memberkati perjalanannya. Inilah kali pertama dia keluar tanpa suami di sisi. Semoga usahanya dilindungi Tuhan dan mantan kekasihnya akan terharu dengan kedatangannya. Seterusnya memberi maaf dengan percuma.

Sebuah rumah sederhana besar dengan rumput menghijau menghiasi permandangan. Dia memberi salam. Disambut oleh seorang anak perempuan. Lebih kurang 5 tahun usianya. Comel sekali. Bermata coklat dan berbulu mata lentik. Persis barbie. Dia terkejut bila anak kecil itu memberitahu namanya Dahlia. Sama seperti namanya. Dia senyum. Petanda yang baik. Nampaknya impak cinta bapa Dahlia kecil itu kepada dirinya, masih utuh. Kalau tak, manakan sanggup diberikan nama mantan kekasihnya kepada anak perempuannya sendiri? Dia senyum dan mengusap kepala anak itu. Dahlia persis barbie berlari masuk ke dalam rumah. Dia menjerit kecil, "Mamaaa. Mamaaaa. Ada orang datang."

Seorang wanita sebayanya membuka pintu dan menyapanya mesra. Memperkenalkan dirinya sebagai isteri mantan kekasihnya. Wajahnya manis sekali. Menyambut kehadirannya dengan penuh ramah dan sentosa. Dia merasa terharu dipeluk wanita itu. Bertuah mantan kekasihnya kerana hidup dikelilingi bidadari, bisiknya. Dia dipelawa duduk di ruang tamu, sementara wanita itu ke dapur menyediakan minuman. Juga berjanji memanggil bersama suaminya. Hatinya bercampur-baur apabila tiba di ruang tamu. Ruang itu dipenuhi kad-kad raya yang tergantung indah. Dia membelek setiap satunya. Kad kirimannya juga ada terselit di dinding rumah itu. Diserikan bersama lampu-lampu kecil berwarna-warni. Betapa lega hatinya apabila kad-kad yang dikirim selamat sampai. Ada masanya dia berfikir mungkinkah kad itu tidak sampai kepada mantan kekasihnya itu. Berpindah rumah? Posmen salah hantar? Atau apa saja kebarangkalian yang mungkin terjadi. Kini dia berada di rumah empunya diri, masanya sudah tiba untuk dia bertanya terus. One to one. Berdepan.

Senyumnya lebar apabila yang ditunggu-tunggu tiba. Lelaki yang wajahnya muncul di langit dari gumpalan awan. Lelaki yang membuatnya keluar kembara. Lelaki yang menjadikan tidurnya tidak lena. Lelaki yang membuatnya tertanya-tanya sepanjang hidupnya. Lelaki yang dia perlukan kata maaf. Dia lega apabila lelaki itu membalas senyumnya dan bertanya khabar dirinya seolah saat itu adalah pertemuan sahabat lama yang bertahun berpisah. Perbualan berkisar tentang kerjaya, keluarga dan kemaskini plot hidup sepanjang 10 tahun. Sangat casual, tenang dan menyeronokkan. Dia banyak ketawa saat mantannya itu mengingatkan kembali sejarah percintaan mereka. Dia sedar yang ada banyak potensi menarik dalam diri mantannya yang seorang ini, kenapa dia memilih menjadi kekasihnya satu waktu dulu. Positif, sentiasa ceria, murah dengan senyuman, berhati mulia, sangat merendah diri, lembut, penyayang. Sejenis insan berkualiti.

Hampir 2 jam mereka berbual tanpa sedar. Rancak dan cukup meriah. Isteri dan anak perempuan yang bernama Dahlia senang untuk mendengar sekali. Dahlia asyik ketawa mendengar kisah-kisah percintaan mereka. Gelaknya yang comel menyemarakkan suasana. Isteri mantannya sentiasa tersenyum. Sesekali menyampuk perbualan dengan mesra. Aura suasana ketika itu membahagiakan. Dia tidak sabar untuk pulang dan berkongsi kemesraan itu dengan suaminya, mama serta seisi keluarganya. Jika dia tahu dari dulu, penerimaan mereka begini sudah tentu dia tidak menunggu 10 tahun lamanya untuk melakukan apa yang sedang dilakukan kini. 

Sudah cawan ke berapa dia menghirup kopi. Tak terkira kuih raya yang sudah selamat berehat di perutnya. Matahari sudah hampir tenggelam. Dia perlu pulang. Janji pada suami harus ditunaikan. Jangan bermalam, lambat atau cepat, yang penting harus pulang. Itu bisik suaminya ketika dia mencium tangan mengucapkan selamat tinggal, sewaktu ingin memulai perjalanan. Dia perlu lunaskan segala-galanya pada hari ini juga. Sudah tiba masanya untuk memohon kemaafan. 

Kenapa tidak membalas kad raya yang aku kirimkan? Kau tidak maafkan aku? Soalan itu akhirnya keluar juga setelah terlalu lama terpendam. Wajah mantan kekasihnya berubah 360 darjah ketika soalan itu diajukan. Isteri dan anaknya juga begitu. Mereka memandangnya dengan mata yang merah seperti serigala yang mahu menerkam mangsanya. Dia kaget. Suasana rumah itu bertukar seperti mood filem-filem horor. Dia cuak, seram dan ketakutan. Salahkah soalannya itu? Apa yang menyebabkan mereka berubah jadi begitu? Dia tak faham. Mantan kekasihnya menggesa supaya dia memberitahu apakah kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan ketika mereka menjadi sepasang kekasih. Sila senaraikan satu-persatu. Dia menggelengkan kepalanya. Rasa takut telah mengusainya. Otaknya kosong. Lelaki itu naik berang. Kaki dan tangannya sudah menggeletar. Lelaki itu tidak semena-mena mengeluarkan sepucuk pistol dari saku seluar. Dia menangis apabila lelaki yang dia kenal sebagai seorang yang takpernah melukai, mengacukan pistol tepat di depan wajahnya. Dahlia tidak lagi menjadi comel seperti barbie apabila mengikat tangan dan kakinya dengan tali. Begitu rakus. Dia diterajang lantas terduduk di sebuah kerusi oleh isteri mantannya yang tidak lagi berwajah manis. Lelaki itu terus-terusan mendesak agar dirinya menyenaraikan setiap salah yang pernah di lakukan. Tapi dia takmampu. Dia betul-betul buntu. Setahunya dia pernah tidur dengan sahabat baik mantan kekasihnya itu sebanyak 8 kali. Itu yang paling dia boleh ingat. Ada lagi. Banyak. Tapi saat itu dia tak daya untuk mengimbau setiap dosa yang pernah merobek hati mantannya itu. Dia merayu. Bersungguh-sungguh. Tolong beritahu apa yang dia boleh lakukan untuk memulihkan keadaan itu. Tolong beritahu dia apa yang dia boleh lakukan untuk memohon maaf. Suaminya boleh datang untuk membawa wang jika itu yang mereka sekeluarga perlukan. Dia cuma mohon, untuk dilepaskan dan dimaafan.

Mereka bertiga berdiri di hadapannya. Mantan kekasih, isteri dan anak perempuan mereka bernama Dahlia. Merenung dia tanpa belas kasihan. Tanpa perasaan. Mantan kekasih mengacukan pistol tepat ke dahinya. Airmatanya berlinangan. Wajah suaminya muncul di sela-sela kesedihan. Picu ditarik tanpa kiraan. Darah tersembur bertaburan. Di mulutnya keluar perkataan –maaf, maaf, maaf. Tanpa henti.

1 comment:

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...