Friday, October 21, 2016

Pondok Puisi edisi ke-4.

Edisi ke-4 Pondok Puisi di acara Iskarnival berjalan seperti yang dirancang. Sebelum ini edisi 1 & 3 di Rumah Titi Kuala Lumpur & edisi 2 di Dubook Press Bangi. Alhamdulillah Pondok Puisi juga sudah sampai di Johor Bharu.

Kami mengucapkan ribuan terimakasih terutamanya pada Seyn Jukey dari Projek Rabak kerana sudi mengundang dan amat bertimbang-rasa untuk ikut segala permintaan kami. Warga Iskarnival atas penganjuran & semua peserta yang sudi datang dari jauh-dekat untuk mendengar perkongsian kami. Semoga mendapat manfaat daripadanya. InshaAllah.

Pondok puisi merupakan bengkel penulisan & persembahan puisi secara intim & fun. Wani Ardy berkongsi tentang proses penulisan puisi & aku sendiri berkongsi sekitar persembahan puisi.

Kami sedang merancang Pondok Puisi yang akan datang di Bandaraya Ipoh. Sekiranya sesiapa yang berminat untuk mendapatkan Pondok Puisi di tempat anda boleh pm (page facebook kami) untuk maklumat lanjut. Sekolah, universiti, kolej, badan kesenian-kebudayaan, komuniti seni dan lain-lain yang berkaitan amat digalakkan.

Semoga puisi akan selalu menyuburkan jiwa-jiwa kita yang ketandusan.






Thursday, October 20, 2016

Run Fazleena Run!

Sesekali aku dipanggil menjadi emcee untuk acara larian. Sejarah menjadi emcee larian ini bermula dengan undangan dari kawan aku, Adam. Waktu tu Adam kerja dengan satu company event larian yang establish kat Malaysia. Adam suggest nama aku pada bos dia. Job pertama aku kalau tak silap acara larian anjuran Tesco. Boleh tahan banyak juga acara larian yang aku terlibat selepas tu sebagai emcee. Sekarang Adam pun dah tak kerja lagi kat company larian tu, tapi aku masih dipanggil oleh bos-bos mereka. Syukur.

Terbaru aku dijemput untuk acara larian 21km sempena Hari Sukan Negara. Bergandingan dengan Mr. Bani. Pernah satu event sebelum ni kami berkerjasama. Aku suka sekali bila dapat tahu yang Mr. Bani sebagai partner aku. Dia ada pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang pengacaraan dan live event. Jadi aku memang kecil sangat kalau nak dibandingkan. Dengan dia aku belajar banyak benda.

Sebenarnya menjadi emcee acara larian perlukan sifat-sifat yang energetik, friendly, sentiasa warm dan selalu peka serta spontan. Seorang emcee larian juga harus bersemangat dan sentiasa memberi kata-kata positif kepada para peserta larian yang terlibat. Perlu bersedia dengan skrip yang akan diubah serta-merta. Ada banyak perkara yang tak dijangka akan berlaku seperti vip yang sepatutnya melepaskan peserta tidak hadir, senarai vip yang mengiringi berubah setiap masa, banyak informasi serentak diberi sewaktu acara berlangsung dan hal-hal kecemasan serta random yang berlaku tanpa kawalan. Kau perlu sentiasa peka. Laju untuk bergerak dan bertindak. Tak ragu-ragu untuk memberikan informasi yang selamat dan tepat.

Secara jujurnya aku masih lagi lemah dan banyak yang perlu dipelajari dalam mengendalikan acara sebegini. Maklumlah jam 4 pagi dah kena ada di lokasi. Aku ni kalau ada acara pagi buta memang aku risau terlajak, jadi malamnya memang aku sejenis tidur-tidur ayam saja. Risau dan nervous sekaligus.

Pagi-pagi setibanya di lokasi dah mula bercakap, beri informasi dan membuat pembukaan kata-kata pada para peserta. Waktu tu juga pihak penganjur akan berulang-kali datang untuk mengingatkan info dan kemaskini tentang vip yang akan buat flag off. Waktu pagi yang hening macam ni, otak kau cuma mahu berehat atas bantal. Bila maklumat diterima terlalu banyak, kau akan jadi pening dan gelabah. Aku la tu. Jadi menjadi seorang emcee larian, kau memang harus bersedia mental dan fizikal. Harus sentiasa tenang dan mengawal keadaan. Semua informasi salah atau betul berada di tangan kau. Kerana kau adalah perantara kepada semua yang ada di acara itu.

Waktu flag off aku jarang sekali mengemudi acara. Aku selalu mengharapkan partner aku yang buat. Sebab waktu ni banyak bermain dengan protokol. Kena panggil nama vvip bersama vip iringan yang akan sama-sama melepaskan peserta. Aduh. Aku memang gagal kalau melibatkan status vip ni. Aku risau kalau aku salah sebut nama official mereka. Yang berbahagia ke, Yang berhormat ke, Profesor Doktor ke, Tuan Haji apa ke. Aku memang ada masalah nak buat flag off sebab aku tak nak salah sebut. Kalau salah nanti ia akan beri kesan pada aku sepanjang acara. Aku akan rasa bersalah pada penganjur dan terutama sekali pada vip yang disebut nama tu. Jadi eloklah partner aku yang buat urusan protokol tu. Aku cuma mencelah sesekali.

Kelemahan ini aku harus atasi. Kerana ini kerja dan tanggungjawab aku. Aku di bayar untuk melakukan pekerjaan ini. Aku sepatutnya berusaha untuk berikan yang terbaik pada setiap perkara yang aku lakukan. Aku tak boleh sewenangnya berikan tugas itu pada partner aku. Kami patut sama-sama melakukannya. Seimbang. Nampak aku mengambil kesempatan pula atas kebaikan partner aku yang rata-rata tak kisah kalau mereka saja yang dominan waktu pelepasan. Namun akhirnya kepuasan sebenar bekerja atau pun berkarya terletak pada sejauhmana kita telah melakukan yang paling baik secara individu. Bukan kejayaan itu terletak daripada pandangan orang lain. Mungkin orang berkata kita telah lakukan yang terbaik, tapi kalau kita sendiri belum benar-benar  memberikan yang sepatutnya, maka ia bukanlah erti kejayaan sebenar.

Aku juga ada masanya takut-takut nak sebut nama pemenang dengan yakin. Aku risau tersasul. Sama juga jika ada peserta dikalangan atlet luar negara, aku segan-segan nak guna bahasa Inggeris. Aku takut salah sebut. Kebanyakkan masa aku serahkan pada partner aku untuk umumkan nama-nama yang aku rasa ada masalah nak sebut. Hurmm.

Semoga ada kesempatan untuk aku memperbaiki kelemahan aku. Tahun ni aku 37 tahun. Aku harap dapat undangan menjadi emcee acara larian sampai umur aku 47 tahun. Hehe. Jadi aku ada 10 tahun lagi pengalaman dalam memperbaiki kelemahan bagi mengendalikan acara besar sebegini.

Terimakasih kepada penganjur yang tak jemu dan percaya pada aku. Terutama sekali terimakasih pada pasangan emcee aku yang tak pernah negatif dan komplain atau buat muka masam bila aku tak seaktif dan se-energetik mereka. Kesungguhan dan kebaikan hati diorang akan aku kenang sampai bila-bila. Dan paling penting ia membantu aku merasa malu dan mahu mempertingkatkan diri aku menjadi emcee yang lebih baik dari semalam. InshaAllah.


Run Fazleena Run!





Wednesday, October 19, 2016

Gunung Nuang & benih-benih kejutan yang tertanam.

Kenapa tiba-tiba suka naik gunung? Apa yang buat kau start nak panjat-memanjat bukit ni? Sebenarnya soalan-soalan macam ni sampai sekarang pun aku tak boleh nak bagi jawapan yang tepat. Macam kau suka pada seseorang–adakah kau boleh beritahu secara terperinci kenapa kau suka dia? Susah. Macam cinta, manakan boleh kau himpun dengan kata-kata atau fakta. Ia terlalu besar untuk diterjermahkan. Makna dan rasanya hanya kau saja yang tahu. 

Sejak berjinak dengan aktiviti pendakian ni, aku dah naik bukit Broga, Bukit Batu Putih di Port Dickson, Bukit Tabur East,  Gunung Irau, Bukit Gasing, Taman Rimba Kenong dan yang terkini, Gunung Nuang via Janda Baik. Pada asalnya, Aloy ajak kami untuk bermalam dan berkhemah sewaktu perancangan naik Gunung Nuang. Cuma sabtu itu aku ada tugasan emcee larian sempena Hari Sukan Negara, jadi kami cuma boleh berharap naik gunung dengan memilih untuk balik hari. Biasanya sebelum mendaki, aku ringan mulut bertanya pada kawan-kawan yang dah naik Nuang dan baca beberapa artikel di internet mengenainya. Gunung Nuang ditahap sukar jika naik ikut Pangsun di Hulu Langat. Manakala untuk laluan Janda Baik, trailnya tidak sesukar Pangsun. Jadi eloklah kami yang beginner ni naik ikut Janda Baik saja. Walaupun aku dengar 2km sebelum sampai puncak, laluannya mencanak-canak tinggi. Maka kami dah set dalam otak yang trip kali ni memang akan tough. Jadi sedikit-sebanyak kami sudah bersedia.

Kami berkumpul di tempat permulaan pendakian pada jam 8 pagi. Dalam jam 8.30 pagi mula bergerak perlahan-lahan untuk menjejak Nuang. Aku dan Amar, Aloy & Zakiah, Adam & Zuria serta Hilmiwee bersama dalam trip kali ni. Mereka semua kecuali aku dan Amar sedang dalam latihan ke Gunung Kinabalu hujung Oktober ini. Aku frust juga tak dapat ikut serta, tapi bila difikirkan balik aku perlu lebih latihan lagi untuk benar-benar bersedia ke Kinabalu. Mungkin tahun depan, inshaAllah. Jadi pendakian kali ni aku dan Amar seolah menemani mereka buat latihan. Bagi & ambil semangat kawan-kawan gitu. 

Perjalanan dimulakan dengan meredah kebun dan kampung orang asli yang tinggal di sisir gunung Nuang. Buah-buah serta tanaman segar terbentang di kiri dan kanan jalan. Kali ni aku bawa bersama tongkat sakti (trekking pole) yang baru aku beli di Decathlon dengan harga RM39. Aku rasa macam poyo juga, sebab aku satu-satunya yang guna tongkat tu. Orang lain macam tak hairan dan berlenggang kangkung berjalan. Tapi akhirnya di pertengahan jalan semua orang cari kayu dan dahan pokok untuk buat tongkat. Termasuk Amar. Aku gelak ajelah. Hahaha. Aku betul-betul menggunakan tongkat tu secara berkhemah. Tidak sesekali pun aku sangkut dan simpan dalam beg. Walaupun melintas air terjun, aku tetap gunakan ia. Memang betul-betul membantu. Aku meletakkan beban kepenatan aku pada tongkat itu sepanjang perjalanan. Kau akan faham kenapa orang yang sukar nak berjalan, buta atau sakit berjalan menggunakan tongkat. Kerana ia menunjukkan arah, mengapung berat tubuh dan menampung kepenatan. Terimakasih Tuhan kerana meniupkan keinginan aku untuk beli tongkat tu. Seperti berjalan dengan 3 kaki, ia benar-benar menyelamatkan aku.

Hampir 2 jam berjalan melalui kebun, kampung orang asli dan hutan yang diselang-seli dengan pokok-pokok buluh, kami akhirnya sampai di air terjun Chemperoh. Cantik sangat. Jernih dan sejuk sekali airnya. Kami singgah sebentar melepaskan penat dan kemudian meneruskan perjalanan untuk ke puncak. Aku sempat merendamkan kaki. Dan kami berjanji untuk kembali berehat di situ waktu perjalanan pulang nanti. Misi menawan puncak diteruskan. Menurut Adam, lebih kurang 2 jam lagi kami akan sampai ke puncak jika pace kami sederhana laju. Waktu ni aku dah bersedia sebab ramai kawan-kawan dah pesan, trek naik ke puncak selepas air terjun memang menegak sampai ke hujungnya. Peh! Memang benarlah seperti yang dikatakan. Treknya memang menduga mental. Mencanak tak ingat punya! Kaki, lutut semua menggeletar. Kami berehat beberapa kali juga sebelum sampai puncak. Aloy pun dah mengadu sakit dada. Risau juga tengok dia. Dalam 1km menghampiri puncak, kami mula rasa kedinginan. Ini belum sampai puncak lagi. Hilmiwee dan sibuk cakap–Sejuk woi. Sejukkkk! Perlahan-lahan kami sampai juga ke puncak gunung Nuang. Alhamdulillah. Syukur.

Puncak Nuang cantik dengan kabus penuh. Angin mencucuk tubuh, dingin. Kami disambut dengan 3 ekor anjing yang katanya menjaga puncak itu. Aku ni dahlah fobia dengan anjing. Naik segala bulu roma bila dia duduk hanya beberapa meter dari aku. Bila kami buka bekal makan, anjing-anjing ni semua mula mengerumuni. Nasib ada Adam, dialah yang melayan anjing-anjing ni. Dia suruh kami makan di tempat lain. Keadaan agak tak selesa, sebab anjing-anjing ni masih datang ke arah kami. Ditambah pula dengan insiden dimana sekumpulan orang asli ni datang ke puncak dengan membawa beberapa ekor anjing mereka. Tak tahu kenapa mereka ke situ. Jadi ke-3 anjing penjaga puncak Nuang mula menyalak sekuat-kuatnya. Mereka jadi tak tentu arah. Berlari ke sana ke mari. Suasana di Nuang itu jadi tak tenteram. Walaupun kaki masih penat, Aloy bagi arahan supaya kami semua memulakan perjalanan untuk mendaki pulang. Kami sempat berehat dalam satu jam saja. Ambil gambar laju-laju dan turun kembali. 

Perjalanan turun aku rasa lebih parah. Kerana ia curam sama seperti canaknya masa naik tadi. Kaki dan lutut mula rasa sakit. Badan rasa lesu. Hujung jari kaki dah mula kebas-kebas. Selalunya soalan yang muncul seperti–kenapalah aku sibuk nak naik gunung ni? Lepak rumah atau tengok wayang lagi okay kan? akan muncul bertalu-talu dalam otak kau. Akhirnya setelah 2 jam menuruni, kami sampai semula di air terjun tadi. Amar ambil masa untuk nap, sebab dia dah mula rasa nak tertidur masa berjalan turun. Aku, Zuria dan Hilmiwee rendam kaki, oh rasa lega betul. Si Adam terus buka baju dan tenggelam dalam kolam air terjun. Aloy dan Zakiah paling lewat sampai. Katanya Aloy beberapa kali terpaksa berhenti sebab sakit dada. Aku nampak muka Aloy agak down juga. Mungkin macam-macam yang difikirkan. Ada juga hasrat nak membatalkan trip ke Kinabalu aku dengar, sebab keadaan dia yang sebegitu. Aku suruh Aloy check-up dulu nanti sebelum naik hujung bulan ni. Yelah, risau jugakan. Kesihatan ni jangan buat main-main. Sebelum memulakan perjalanan balik, aku habiskan bekal nasi goreng sardin yang aku bawa. Kami semua masak sendiri kat rumah atas suggestion Aloy. Memang kena bawa bekal nasi. Kalau tak pasti kebulur. Perjalanan mengambil masa satu hari juga untuk pergi dan pulang. Syukur dengan nasi goreng sardin, coklat dan 2 botol air,  aku survived. 

Kami sampai dalam jam 7 petang di tempat parking. Aloy dan Zakiah sampai dalam setengah jam selepas itu. Sebelum masing-masing pulang ke sarang, kami bersantap dulu di R&R Karak. Penatnya hanya Tuhan saja yang tahu. Masing-masing bersetuju mengatakan yang Gunung Irau lebih mudah dari Gunung Nuang. Aku pun setuju. Jika di Irau, aku banyak juga merakam gambar dan video. Tapi untuk Nuang, kami tak sempat bergambar sangat. Sebab masing-masing fokus memanjat. Nak keluarkan kamera pun tak mampu. Hanya bergambar di Puncak dan air terjun saja. Aku tak boleh bayangkan mereka yang mendaki ikut Pangsun. Fuhhh. Malam tu sampai saja rumah, Amar terus tidur tanpa mandi. Penat sangat gayanya. Aku pula sempat mandi, cuma esoknya tertidur tak sedar sampai tengahari. Hehe.  

Beberapa hari belum pun sempat kaki kami sembuh dari kesakitan memanjat Nuang, Aloy buat pengumuman bahawa Zakiah mengandung. Pergh. Dan Zakiah membatalkan penyertaan untuk naik Kinabalu. Aku happy dan sebak sekaligus dengar berita itu. Aloy ni macam adik-beradik aku sendiri. Kami bersahabat dah lama dan buat teater sama-sama. Zakiah pula aku anggap macam adik aku. Alhamdulillah. Bolehlah aku menumpang manja anak diorang nanti. Kebahagiaan selalu saja boleh dipinjamkan kan? :) 

Inilah yang aku suka dengan pendakian. Kerana setiap prosesnya berbeza. Setiap bukit, gunung dan hutan yang kau telusuri, kenikmatannya berbeza. Perjalanan yang kau akan tempuh totally lain dari yang sebelumnya. Kau boleh tengok gambar orang dan merasa teringin untuk melakukannya, atau kau membaca pengalaman orang dan cuba merasainya, tapi ia tak sama bila kau menikmatinya sendiri. Ada kejutan yang tercipta dalam setiap pendakian. Ada cerita yang kau tak boleh ceritakan semuanya pada sekelian. Sebab itu kau harus menerokai dan mengalami sendiri misteri alam.

Ada kawan ajak ke Gunung Ledang bulan depan? Aku tengah pujuk Amar ni. Doakan ye. 










Tuesday, October 18, 2016

Wednesday, October 12, 2016

Membikin filem pendek adalah sebuah escapism.

Membikin filem pendek merupakan antara perkara yang menyenangkan aku. Kalau aku tak buat apa, dan ada masa free, aku jarang tolak kalau ada orang panggil untuk terlibat. Aku tak sure dah berapa banyak short film aku berlakon sejak 2007. Berpuluh-puluh, tak terkira. Aku enjoy buat short film sebab bekerja dengan kumpulan yang tak berkerja untuk duit. Semata-mata sebab passion.

Orang tak buat short film untuk buat duit, melainkan dia target nak masuk pertandingan dan fokus untuk menang. Kalau menang tu rezeki. Bagi aku medium short film adalah ruang untuk pembikinnya berekspresi tanpa apa-apa kekangan terutamanya idea dan pemikiran. Cerita mungkin simple, tapi makna filem tu mungkin besar. Begitulah.

Prosesnya short film adalah sederhana. Tak perlu team yang terlalu besar, minimal barang-barang keperluan teknikal dan pelakon yang boleh bekerja dengan minima bajet, atau mungkin percuma atas negotiation. Ambil kawan-kawan atau volunteer yang sudi. Melalui kekangan ini pembikinnya berusaha untuk mengadunkan semua eleman kesederhanaan itu ke dalam satu acuan yang dia mahu. Kerjasama dan toleransi adalah paling utama.

Baru-baru ni aku terlibat dengan pembikinan short film Ridhwan Saidi aka Binfilem. Tajuknya Roti Tisu. Dengan Ridhwan, sudah 3 short film hasilnya yang aku terlibat. Aku suka berkerja dengan Ridhwan sebab ceritanya yang confirm berbeza serta shooting yang menyeronokkan dan prosesnya cepat sebab dia selalu tahu apa dia nak buat. Ridhwan yang aku panggil Wan, aku susah nak mengatakan tidak, sebab aku yakin end productnya pasti baik. Wan memang talented. Serba-serbi. Otak dia genius. Seniman gila. Terimakasih atas peluang ini.

Jadi Roti Tisu akan ditayangkan dalam masa terdekat di acara tertutup. Aku tak sabar melihat hasilnya.


God Will Hunting kali yang entah ke berapa.



Berkali-kali menonton filem ini pun, tak pernah bosan, tak-pernah-tak-nangis. Dalam saat kerapuhan dan kegelisahan hidup, filem ini menyembuhkan. Terimakasih Good Will Hunting. Thank you Dr. Sean Maguire (Robin William). My real therapist. I miss you. <3
Entah kenapa entah rajin. Kali ni aku tulis ingatan-ingatan bermakna yang aku jumpa dalam filem ini. Enjoyyyy. :)

1) Kita semua sedang mencari tujuan hidup. Sesetengah mengambil masa yang lebih lama dari orang lain. Sedikit bantuan dan gesaan (push) kepada direction yang tepat diperlukan, untuk melajukan proses itu.

2) Dalam menentukan perjalanan, kita perlukan sahabat yang telus dan motivator untuk menggerakkannya. Cepat atau lambat progress bergantung kepada sejauhmana kita respond dan bertindak terhadap pendapat dan nasihat itu.Sayangnya ramai orang yang tidak berpeluang bertemu dengan seseorang yang boleh menggerakkannya. Dan akhirnya yang paling menyedihkan adalah kebanyakkannya membuat sesuatu yang jauh dari apa yang sepatutnya ia lakukan.

3) Kita menghabiskan terlalu banyak masa memikirkan apa yang orang lain fikir dan lihat tentang kita, yang akhirnya kita kehilangan jejak siapa kita sebenarnya.

4) Pendidikan adalah over-rated. Melainkan kita mempunyai bakat dan cita-cita untuk menyokong teori tersebut.

5) Pengetahuan adalah kuasa. Ilmu pengetahuan boleh datang dengan pelbagai cara dan boleh didapatkan di mana-mana. Dan bilik darjah boleh mengajar macam-macam perkara yang mungkin hidup di luar tidak ada, selagi kita mahu belajar dari semua benda dan semua orang yang berada di sekeliling kita. Yang penting, keinginan untuk belajar saja!

7) Kenyataan yang harus selalu diterima ---Ada orang yang dilahirkan lebih bijak dari orang lain. Lebih bijak dari kita. Jangan cuba lawan, tapi buat kawan.

8) Hanya dengan kembara kita belajar banyak perkara tentang kehidupan. Tapi malangnya kita selalu risau tentang esok dan masa depan hingga terlupa kita harus hidup untuk 'hari ini'.

9) Cinta itu sesuatu yang berbaloi. Tiada istilah menyesal untuk cinta. Di sepanjang perjalanan pasti kita akan putus asa dan melepaskan sesuatu, tapi cinta adalah alasan paling kuat untuk menggantikan peluang-peluang yang pernah terlepas.

10) Tiada yang sempurna di dunia ini. 2 orang yang tidak sempurna, mencintai satu sama lain boleh saja menjadi sempurna. Cara menghargai kelemahan dan kebaikan pasangan kita dan bagaimana kita saling 'fit' satu sama lain --itu cinta sempurna.

***Cinta adalah mencintai lebih dari kita mencintai diri sendiri. Untuk mencintai kita harus memecahkan tembok ketakutan yang ada dalam diri. Selagi orang yang kita cintai ada, ia akan selalu menyembuhkan jiwa kita.

Monday, October 3, 2016

Anak-anak Chow Kit & Syria ke Kidzania : Sebuah pengalaman memahami personaliti & persekitaran.

"Rehat betul-betul you. Esok nak kerja kuat. Layan budak-budak. Selamat malam."

Pesanan whatsapp dari Zamir itu aku balas dengan; "I okay dengan budak-budak. I suka. Night. Jumpa esok!" Jam 7.30 pagi Amar hantar aku ke Chow Kit. Tempat berkumpulnya anak-anak Chow Kit dan sukarelawan yang akan mengiringi pengembaraan kami hari tu. Separuh pasukan sukarelawan lagi berada di Wangsa Maju menguruskan anak-anak Syria dari Sekolah Jasmine. Destinasi kami ialah ke Kidzania, di The Curve Mutiara Damansara. 

Kidzania berasal daripada Mexico, yang merupakan sebuah kota khas dibina untuk memberi pengalaman pembelajaran dunia pekerjaan dan hiburan secara interaktif kepada kanak-kanak. Aku baca artikel di internet, Kidzania selain Kuala Lumpur, ada juga di Jakarta, Tokyo, Seoul, Lisbon Portugal dan Dubai. Jadi kunjungan ini bertujuan mendedahkan mereka bagaimana menjadi dewasa kelak. Memilih pekerjaan, berkerja keras cari duit dan kemudian bagaimana membelanjakannya dengan bijak. 

2 bas pagi tu membawa lebih kurang 80 orang budak bersama tak lebih dari 20 sukarelawan. Pagi aku sampai di Chow Kit, aku mula buat kawan dengan seorang adik ni yang datang dari Batu Pahat, semata-mata untuk merasa pengalaman membuat kerja sukarelawan. Katanya, dia teringin betul nak join dan takpernah punya kesempatan. Bila Musa Nuwayri, penulis buku 'Lelaki Terakhir Menangis di Bumi' yang juga Ketua Projek dan koordinator organisasi Tangisan Syria di Bumi Jordan, membuka penyertaan di facebook untuk mana-mana sukarelawan terlibat dalam projek membawa anak-anak Chow Kit & Syria ke Kidzania, adik perempuan nama Erni ni terus daftarkan namanya. Dia naik bas sorang-sorang dari Batu Pahat dan harus pulang petang itu juga kerana esoknya dia berkerja. Peh! Semangat gila. Masa dalam bas kami duduk bersebelahan, aku pun sembang-sembang sama Erni macam mana boleh ada sama pagi tu. Aku memang dah lama nak join aktiviti macam ni, cuma selalu tak berpeluang. Samaada masanya tak kena ataupun, sekarang ni baru ada kesedaran. Ha begitulah. Selalu nampak Zamir pos gambar aktiviti kemasyarakatan dia, dan hati ni teringin betul. Cuma selalu clash dengan pekerjaan lain. Jadi bila Zamir dah beritahu date awal-awal, aku terus kosongkan jadual untuk hari tu. Waktu akan selalu ada untuk orang yang tak beralasan.  

Di kalangan sukarelawan Region of Love (ROL) yang menjaga dan memberi pendidikan kepada anak-anak Chow Kit, aku cuma kenal Hussin Sajad. Sebab kami sama terlibat dalam acara EdTalk 0.1 anjuran TFTN baru-baru ni. Pagi tu sebelum naik bas ke Kidzania, aku ditemukan dengan sahabat lama Faiz Zaini. Happy aku dapat jumpa Faiz. Dekat 5-6 tahun juga tak jumpa. Kami pernah berkerjasama dalam short film Sinkronis arahan dan karya Jaja Kadir. Waktu kami masih muda dan mentah. Eceh. Faiz rupanya sudah hampir 3 tahun ikut ROL bersama Hussin dan beberapa sukarelawan yang lain. Pagi tu aku berjaya memujuk cashier 7E agar berikan beberapa plastik untuk standby. Salah seorang sukarelawan dari Chow Kit, risau anak-anak ini akan muntah. Kecenderungan untuk pening dan akhirnya keluar segala isi perut itu sangat tinggi, kata dia. Perasaan teruja mungkin menutup segala rasa mual, anak-anak ini steady saja sampailah ke Kidzania. 

Awal pagi di Alka Ria Chow Kit suasananya sungguh riuh. Mak-bapak juga kelihatan menghantar anak-anak mereka sehingga naik bas. Diorang tumpang kegembiraan anak-anak. Kalau nak tunggu mereka sendiri bawa anak-anak ke Kidzania tak tahu bila. Bayaran sebanyak RM80 (walk-in) untuk seorang kanak-kanak berusia 4-17 tahun, dan ibu bapa juga dalam RM30. Walaupun mak-bapak tak boleh main bersama, tetap dikenakan bayaran. Syukurlah rombangan hari itu, tiket masuk ditaja sepenuhnya oleh Kidzania. Juga beberapa sumbangan lain dari individu & komuniti seperti makan-minum, transportation dan lain-lain. Alhamdulillah. Terimakasih rakyat Malaysia yang prihatin dan penuh kasih sayang.

Ada 99 jenis pekerjaan dalam Kidzania. Sebagai permulaan anak-anak ini diberi cek bernilai 50 kidzo seorang untuk ditukar kepada cash di bank yang telah tersedia. Ada pekerjaan yang kena keluar duit, ada juga yang tak perlu bayar, malah dapat gaji. Hampir semua jenis pekerjaan ada. Dari sekecil-kecil pekerjaan kepada yang paling besar. Sebenarnya bukan kanak-kanak aje yang teruja dengan persekitaran yang dicipta Kidzania, kitaorang yang tua bangka ni pun seronok. Anak-anak ini berlari-lari dan berebut nak kerja. Sebab diorang tahu yang setiap kali berkerja, mereka akan dapat duit. Sehingga di penghujung waktu, apabila mereka semua dikumpulkan untuk pulang, duit sorang-sorang ditangan punyalah tebal. Mereka berkerja dan berkerja, tapi tak spent. 


Di Kidzania, ada tempat untuk beli barangan dengan duit yang mereka ada, tapi barangannya terlalu mahal. Ia seolah tak berbaloi dengan nilai duit yang mereka dapatkan dengan berkerja. Jadi Zamir nasihatkan agar duit itu dikumpulkan dan bawa kembali apabila mereka datang semula ke Kidzania. Ada dikalangan mereka yang tak mahu pulangkan duit ke Zamir kerana mereka sedar yang entah bila pula akan datang lagi. Mereka faham betapa susahnya cari duit, dan tak senang untuk mengumpulkan duit sebanyak itu apabila berada di alam realiti nanti. Aku terdengar beberapa anak-anak bercakap sesama sendiri. "Kalaulah ni duit betul, kan best?." Aku sebak.

Ada anak-anak kecil yang berusia 4-5 tahun yang sudah terbaring atas pangkuan kakak dan abang volunteer. Penat sangat, seronok berlari ke sana ke mari. Aku pun merasa mendukung beberapa orang anak yang ketiduran. Boleh tahan juga lenguh rasa kaki dan badan. Baru aku faham mesej Zamir tu. Kena cukup rehat untuk menjaga anak-anak kecil. Suka kanak-kanak saja tak cukup. Harus cinta.


Aku perasan satu perkara, anak-anak ini dari mulanya perjalanan ke Kidzania dari Chow Kit, mereka sungguh bising dan tak berhenti bercakap. Riuh rendah suara mereka tak berhenti sampailah ke akhirnya. Aku lihat wajah-wajah sukarelawannya tenang dan begitu lembut menuturkan kata-kata. Tak marah dan tak bertindak garang. Aku kagum. Kerana aku punya rasa nak menjerit juga bila mereka terlalu bising dan tidak mendengar arahan, tapi bila memandangkan wajah sukarelawan mereka sendiri yang sudah bertahun-tahun bersama dengan mereka, aku jadi hormat. Aku respect gila. Aku kagum dengan kesabaran dan ketenangan mereka. Semasa aku mengendalikan Kota Kelip-Kelip, aku berhadapan dengan anak-anak yatim. Rasanya berbeza. Anak-anak yang tinggal di rumah anak yatim mungkin sudah terbiasa dengan disiplin dan aturan yang telah ditetapkan di rumah kebajikan masing-masing. Mereka lebih mudah dan faham untuk mendengar arahan. Persekitaran membentuk personaliti dan kendiri seseorang individu. Aku petik kata-kata Helen Bee :


"Kefahaman tentang perkembangan manusia bukan hanya dilihat dari segi genetik sahaja, tetapi merangkumi kefahaman yang menyeluruh tentang persekitaran sekeliling manusia dibesarkan, seperti tahap pendidikan, peranan yang dimainkan oleh keluarga, ekonomi keluarga, rakan sebaya dan lain-lain"- Helen Bee, ahli psikologi & penulis.

Dalam artikel yang banyak ditulis oleh Hussin Sajad, beliau selalu menyebut bahawa ramai orang mahu membantu anak-anak Chow Kit dan anak-anak terpinggir, tetapi tidak cuma memahami persekitaran mereka. Tinggal dan hidup di jantung kota, dengan segala kedhaifan, kekurangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan pembelajaran serta masalah-masalah lain yang berkaitan. 

Dihujung acara, anak-anak dibawa ke Taman Lembah Kiara TTDI untuk menikmati makan petang KFC tajaan pasukan Pink Squad. Team ini juga datang ke Taman untuk meraikan anak-anak ini yang diketuai oleh Kak Pnut. Petang itu juga Musa sempat menghubungi Aizat dan Noh Hujan untuk datang menghiburkan anak-anak ini. Aizat pun nyanyilah beberapa lagu, tapi tak berapa diendahkan. Mungkin kerana mereka dah terlalu penat. Yang tertidur terus tertidur, dan ada yang dah merengek-rengek nak balik. Yang menjerit dan bertepuk tangan untuk Aizat cuma wakil sukarelawan. Tapi geram juga si Aizat tak nyanyi lagu Sungai Lui. Herm. Noh Hujan lambat sikit, jadi persembahannya terpaksa dibatalkan. Anak-anak semua bateri dah out. Sorry Noh. 

Sebelum pulang ke rumah aku menghantar adik Erni yang akan naik nas ke Batu Pahat di OU. Saudaranya akan ambil dia dari OU dan bawa ke terminal bas. Erni aku lihat menggunakan masa di Kidzania dengan menekuni anak-anak ini dari mula hingga ke akhirnya. Dan orang yang paling banyak mendukung budak, sampai ke taman pun dia dukung. Hebat! Tak mengeluh dan sentiasa bersopan. Bukan Erni saja, semua sukarelawan yang terlibat aku perhatikan ada nur di wajah mereka. Banyak hal yang berlaku di Kidzania, antaranya yang paling aku ingat ada seorang budak terbuang air besar sebelum sempat ke toilet. Habis baju dan seluarnya kena calit dengan yak' dia. Kami semua kelam-kabut cari baju untuk adik tu. Akhirnya hanya ada lebihan tshirt rombongan dan dia pakai tshirt besar itu dengan pampers tanpa seluar. Kiut gila. Kiut tu satu hal, tapi yang paling aku salute ialah semangat dan ketenangan para sukarelawan yang terlibat. Aku boleh nampak keletihan di wajah setiap seorang sukarelawan, tapi keikhlasan lebih besar mengambil tempat dalam hati mereka. Ia terpancar bagaikan bintang. Bernyala-nyala terang. Mereka melayan anak-anak ini ibarat keluarga sendiri.

Terimakasih untuk pengalaman ini. Melalui aktiviti begini, aku dapat berkenalan dengan sahabat baru, dapat melihat perspektif lain dalam hidup, mengenal diri sendiri dan persekitaran, menyuntik keteguhan mental, menumbuhkan pohon-pohon sabar, dan paling penting, mulai faham bahawa wang bukanlah segala-galanya. Ada cara lain untuk bahagia. Kerana hidup bukan tentang diri sendiri saja. Hidup adalah untuk memberi sebanyak-banyaknya.











4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...