Tuesday, January 27, 2015

Nostalgia bunga raya

Sewaktu kecil, kami sekeluarga pernah tinggal di rumah flat. Rumah kami tingkat paling bawah dan paling hujung. Mak memang suka berkebun. Adalah tanah sejemput di belakang rumah untuk mak tanam pokok-pokok bunga kesayangannya. Antaranya pokok cili, bunga raya dan lidah buaya. Mak selalu guna lidah buaya dan daun bunga raya untuk kecantikan rambut dan kulitnya. Kami adik-beradik dari kecil memang mak selalu tonyoh kulit kepala kami untuk lebatkan rambut, hilangkan kelemumur dan jugak sebagai penawar kalau ada luka-luka di badan. Mak percaya tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok yang kita tanam dan jaga dgn baik, akan selalu memberi manfaat pada kita satu hari nanti.

Selain untuk semua manfaat diatas, mak juga mengunakan batang bunga raya sebagai rotan untuk membantai anak-anaknya yang degil tak dengar cakap. Kami adik-beradik akan lari keliling flat bila mak dah mula mencari pokok bunga rayanya dan mencabut semua daun-daun dari batang. Batang yang bogel dilentur-lenturkan menjadi rotan. Kami boleh nampak muka mak yang merah, menyinsingkan lengan dan kain batiknya untuk mula mengejar kami, sambil diangkat tinggi batang bunga raya ditangan kanannya.

Zasss zasssss! Kami kena bantai. Atas sikap-sikap nakal seperti ponteng mengaji, curi duit tabung nak beli aiskrim, membohong, pukul anak jiran, tak jaga adik sebab nak main dengan kawan, mengelinjang waktu maghrib dan macam-macam lagi siri kenakalan waktu kecil. Berbirat sana sini. Kadang-kadang, sebelum waktu tidur, kami adik-beradik kira sesama sendiri jumlah birat yang timbul di punggung, kaki dan badan. Kami ketawa dan mengejek satu sama lain. "Tengokkkk kau kena lagi banyak dari akuuuu. Huhu." Dan kami sentiasa seronok membilang das-das sebatan mak bila salah seorang dari kami yang kena hukum.
Bila dewasa, birat-birat sebatan mak sudah lama hilang. Yang tinggal kini, cuma kerinduan. Rindu riak wajah mak yang merah padam bila kami melakukan kesilapan, rindu jeritan mak di waktu maghrib menjemput anak-anak pulang, rindu melihat debaran mak memetik batang bunga raya kesayangannya, rindu menyaksikan mak mengalirkan airmatanya melihat kesalahan dan kenakalan anak-anak, rindu mak dengan nafas naik turunnya demi memanusiakan kami adik-beradik.

Entah berapa besar sayang mak pada kami. Sekarang ni dah besar takde sapa nak tegur bila buat salah lagi.

Nostalgia kena rotan menggunakan batang bunga raya kekal kukuh menjadi pemanis ingatan dalam hubungan kami adik-beradik.


Kami kena rotan --- dan kami okay!

Friday, January 16, 2015

Memeluk kegembiraan.

Kelmarin Mak telefon dan beritahu satu berita gembira. Kakak iparku yang baru saja menikah dengan Along (abang kandungku),3 bulan yang lalu disahkan pregnant. Ada getaran yang syahdu dari corong telefon. Syahdu yang manis. Suara yang mencairkan. Jika aku berada bersama mak secara jasad bertemu jasad, sudah tentu hangat peluk mak yang sedang kurasai. Hujan rahmat pasti akan turun dengan lebatnya, membasahi bumi dan kontang mata. Pastinya tetesan yang dingin dan menggembirakan.

Wajah emak terus melintas dalam imaginasiku. Mata sepet mak semakin hilang, urat-urat mukanya berombak melanggar satu sama lain, membuah kelopak senyum yang mekar. Dada aku bergetar, perasaannya bercampur-baur. Aku menjerit keriangan memberi sokongan kepada kegirangan emak. Tiada yang paling bermakna dalam hidup ini selain melihat sinaran wajah dari insan-insan tersayang. Doa mak dimakbulkan. Impian yang sudah lama bersarang, sudah diterangkan oleh berita tersebut. Impian semua ibu di dunia ini, mahu menimang cucu sendiri.

Setelah tamat perbualan bersama mak, aku pandang suami di sisi yang faham dan tak perlu menebak emosi aku saat itu. Dia memberi isyarat menggunakan mata, tanpa diucapkan; Takpa yang, jangan sedih. Tuhan belum bagi rezeki lagi. Ada kepiluan dalam dada. Air mata aku yang dari tadi bergenang, jatuh menitik. Aku mengalihkan pandangan membelakangi lelaki di depanku. Betapa aku tak mahu dia melihat ketidak-kuatan aku saat itu.

Ada 2 jenis perasaan besar yang sedang meledak dalam tubuhku. Yang pertama, gembira tentang berita itu. Kedua sedikit terkilan kerana bukan aku yang berikan mak dulu kegembiraan itu.

Ada suara dari dalam kalbu yang perlahan-lahan berbisik; Sabar, tenang. Semuanya akan okay! Berulang-ulang kali. Aku menarik nafas panjang dan mengadap suami yang masih terus memandang aku.

"I okay yang. Nanti kita cuba lagikan?" Laju ia keluar dari mulutku. Entah ayat yang keluar itu untuk memujuk dia atau hatiku sendiri.

Suasana bising kiri dan jalan di kedai makan itu, tiba-tiba seolah angin yang berdesup perlahan. Aku tarik dan genggam tangan suamiku. Menyedut semua kesabarannya dan mengisi penuh dalam pundakku. Agar kami boleh menanggungnya bersama. Selamanya. Jika diizinkan-Nya.

Tiada istilah siapa cepat atau siapa lambat yang menghadiahkan kotak gembira pada seseorang. Kegembiraan selalu boleh dipinjamkan.


Suamiku mengusap lembut telapak tanganku. Terima kasih atas kesabaranmu sayang. Kami sama-sama mengucapkannya tanpa menggerakkan mulut, membiarkan mata yang bercakap.

Kami lagakan gelas teh tarik. Tung! Kami sama-sama ketawa sambil meraikan kegembiraan dan kesabaran.

Tuesday, January 13, 2015

Rutin dan kelesuan hidup

Pernah berada pada satu keadaan dimana --- segala-galanya kelihatan sempurna, tetapi kau tak rasa happy?  Makan pakai cukup, duit ada, boleh pergi mana kau nak pergi, masa flexible dan kau tak sakit atau desperate. Kau juga dikelilingi bersama orang-orang yang kau sayang. Tapi kau tetap tak happy. Kau happylah, tapi happy yang dibuat-buat.

Sejak dua menjak ni saya rasa begitu. Bangun pagi pandang syiling, termenung lama kemudian mengeluh. Tengok handphone, update apa yang patut, baca apa yang perlu, kemudian termenung lagi. Bangun mandi, layan kucing, masak, makan, buat kerja-kerja yang tak selesai, tonton wayang atau dvd dan kemudian waktu malam minum bersama kawan, atau tengok tv di rumah saja. Masa banyak terisi dengan main handphone nampaknya. Entah apa hantu teknologi yang dah masuk dalam minda manusia kini. Handphone seperti melekat dengan tangan. Kebergantungan yang maha hebat.

Macam-macam perasaan yang muncul. Mix feeling. Saya rasa buntu, lesu, cepat marah, stress dan serba tak kena. Saya jenis orang yang tak boleh terlalu lama berada dalam satu situasi tertentu, tanpa berbuat apa-apa perkara baru. Saya perlu cari perkara-perkara atau aktiviti yang berbeza agar hidup saya lebih bermakna. Istilah 'hidup' bagi saya adalah melakukan banyak perkara dari duduk saja. Saya selalu cuba create dan cari benda-benda baru yang boleh saya buat, agar jiwa rasa hidup dan happy.

Sampai satu tahap, keselesaan akan membunuhmu. Membunuh saya, dan membunuh orang-orang yang rapat dengan saya. Rutin membuatkan kita rasa selesa dan tidak mahu mencabar diri kita untuk explore hidup. Kehidupan kita jadi statik. Tiada naik turun. Kita tak melihat perspektif yang baru setiap hari. Kita hanya mempertahankannya, tetapi tidak menambahbaik kualitinya.

Jadi saya seboleh-bolehnya cuba mengubah rutin saya. Kami bangun seawal pagi, breakfast di luar, pergi pasar pagi beli ikan segar, jogging di waktu petang, tukar kedudukan perabot dalam kamar tidur, kemas rumah bersama, mandikan kucing kami bersama, melakukan pekerjaan (menulis kebiasaannya) di cafe atau di mana-mana tempat yang menarik, mencuba tempat makanan baru, memasak makanan yang tak pernah dicuba, plan percutian dan berusaha mencari kebaikan-kebaikan kecil yang boleh diberi kepada makhluk, binatang atau apa saja setiap hari. Ye setiap hari.

Saya dapat merasakan yang adrenalin saya kembali mendesah. Senyum sudah mula terpakai kembali di wajah. Cinta saya semakin besar dan merah.

Saya bersyukur kerana punya pasangan hidup dan orang tersayang yang faham dan mahu bersama saya dalam misi membunuh rutin yang melesukan. Kami berdua belum lagi di anugerahkan oleh Allah SWT cahayamata, ini juga mungkin menambah kelesuan rutin yang ada, namun itu juga bukanlah alasan. Allah SWT tidak membiarkan kita mengeluh dan mengaduh tentang impian yang belum kesampaian. Namun Dia minta kita berusaha, bukan sekadar redha dan terima.

Hidup perlu diraikan.

Monday, January 12, 2015

Kuasa kebaikan

Baru-baru ini, di kawasan perumahan kami ada sistem pengurusan baru yang digubal untuk kesenangan penduduk. Ini kerana ketidakcukupan parking lot, menyebabkan kenderaan bersepah di luar kawasan perumahan apartment kami. Kebanyakan penghuni yang mempunyai lebih dari satu kereta terpaksa meletakkan kenderaan mereka jauh. Pengurusan baru menyebabkan kenderaan bersepah di luar dan pengguna terpaksa berjalan jauh untuk masuk ke kawasan kediaman. Saya dan suami tidak merasa sukar dengan pengurusan baru kerana kami mempunyai hanya satu kereta saja.

Pengurusan telah melantik pengawal keselamatan untuk mengawal kenderaan yang banyak dan bersepah di luar. Ini untuk memudahkan pengguna serta tidak menganggu orang awam yang lain. Jadi kalau sebelum ini post guard hanya satu di hadapan masuk kediaman, kini diletakkan seorang lagi guard yang menjaga di tengah-tengah antara jalan keluar masuk ke apartment kami, dan satu lagi guard house yang sedia ada. Namun mungkin kerana sistem ini baru saja beroperasi, maka tidak ada tempat khas seperti pondok yang dibina untuk guard yang menjaga di bahagian tengah-tengah itu. Penjaga yang harus menjaga di situ, dibekalkan dengan sebuah kerusi plastik sahaja.

Setiap kali kami keluar, saya perasan yang seorang pakcik India yang sama akan berjaga di situ. Suami saya yang selalu mengangkat tangan kepada pengawal-pengawal keselamatan kediaman kami, beritahu pada saya yang pakcik india itu pekerja baru. Pernah sekali, kami keluar rumah waktu hujan lebat, pakcik India itu duduk di bangku plastik warna biru itu sambil memegang payung. Luluh hati saya melihatnya. Pakcik itu langsung tidak berganjak dari kerusi biru itu dan terus menjalankan tugas menjaga kenderaan tanpa mempedulikan cuaca yang mungkin akan menggugat kesihatannya.

Satu hari adik perempuan saya yang tinggal bersama memberitahu yang ketika dia parking keretanya, pakcik itu mengejarnya. Dia lari ketakutan. Kemudian pakcik itu membuat isyarat 'makan' dengan tangannya sambil memegang perutnya. Adik saya yang dalam ketakutan berhenti dan terus membelikan sebungkus makanan kepadanya. Keesokkan harinya, saya dan suami mengambil keputusan untuk membawa apa saja makanan yang kami ada untuk diberikan kepada pakcik itu. Kalau boleh setiap hari. Tanpa jemu.

Saya ingat lagi ketika kali pertama kami memberikan beliau sebungkus biskut coklat, dia terkejut tetapi lekas-lekas senyum. Giginya sudah tiada, mengingatkan saya kepada ibu bapa saya yang sudah perlahan-lahan tua dan tidak kuat lagi. Bangga dan terharu sungguh dapat membantu walau dengan perkara yang kecil.

Sungguhlah hidup ini adalah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan selalu menerima dan berbesar bangga.

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...