Wednesday, September 28, 2016

Berdamai dengan kelawar di Taman Rimba Kenong.

Malam sebelum menjejak Taman Rimba Kenong (TRK), aku gelisah tak boleh lena. Hanya dapat lelap dalam sejam dua saja, itupun tidur-tidur ayam. Aku ni kalau tak cukup tidur rasa nak mengamuk aje. Tak cukup makan tak apa, jangan tak tidur. Grumpy gila jadinya. Faktor umur gamaknya. Sepatutnya aku dan Amar bertemu dengan kumpulan yang akan sama-sama meneroka TRK jam 9 pagi. Tapi sebab kelesuan dan kerabakan aku, kami sampai ke kumpulan jam 9.30 pagi. Amar dah pesan, kalau tak larat tak payahlah ikut. Tapi takkan aku nak menangis tengok gambar yang confirm lawa-lawa, Mael akan upload nanti? Oh no! Lagipun rasanya lama benar tak buat aktiviti masuk hutan dan naik bukit. Rindu pula dengan bau hutan dan peluh-peluh yang merembes keluar. Sebuah rasa penat yang best. Jadi aku pergi juga berbekalkan keazaman yang membara, walaupun rabak teruk. 

Aktiviti kami dimulakan dengan menaiki bot ke Jeti Tanjung Kiara Sungai Kesong, dalam lebih kurang 20 minit. Arus sungainya tenang sekali. Mulalah muncul macam-macam dalam fikiran aku ni. Yelah, air yang tenang jangan disangka tiada buaya kan? Terbayanglah filem-filem seram dengan bayangan buaya dan ular besar yang muncul makan lutut aku. Haha. Imaginasi melampau. Sampai saja di jeti, kami mula berjalan kaki meneroka TRK secara official. Kami 13 orang kesemuanya, bersama seorang penunjuk arah dan penjaga kami, abang Ubi. 

Kami perlu melintasi denai, hutan juga perkampungan di situ. Cuaca agak panas hari itu. Air yang kami bawa tak banyak. Sebab sesungguhnya, aku berfikir bahawa TRK ini tempatnya santai dan leisure saja. Rupanya sangkaan aku salah. Ia mengambil masa lama untuk berjalan dari satu gua ke satu gua, juga dari hentian ke hentian yang lain, sekitar 2 jam setiap satu. Lenguhnya kaki hanya Tuhan yang tahu. Ada dalam 4-5 gua kami sampai dan teroka, dan selebihnya berjalan-berjalan dan berjalan saja. Sambil berjalan, abang Ubi tunjukkan daun-daun, ulam serta bunga yang boleh dimakan untuk survive dalam hutan. Abang Ubi juga menunjukkan tapak kaki binatang seperti babi hutan dan beruang yang lalu di sepanjang kami melangkah. Abang Ubi mematikan ke'cuak'an kami. Binatang aktif pada waktu malam, so dont worry katanya. Kami beruntung sebab abang Ubi sememangnya seorang penjaga yang sangat baik dan profesional. 20 tahun dalam bidang ini, sudah sebati dalam jiwanya. Abang Ubi tak lokek ilmu dan sentiasa tenang dengan senyuman. Dalam usianya yang mungkin mencecah 60 tahun, tubuhnya masih steady dan fit. Sedangkan aku, rasa dah nak pengsan di hujung-hujung perjalanan. Such a loser. 

Menurut abang Ubi ada lebih 20 gua dalam TRK. Biasanya tourist yang datang suka bermalam di dalam TRK dan lepak sampai 3 hari 2 malam gitu. So kalau kami cuma ambil masa satu hari, ada beberapa gua saja yang sempat kami masuk. The best part of this adventure, aku paling suka dapat masuk Gua Buta. Di dalamnya sungguh gelap tak ada sebarang cahaya melainkan dari torchlight dan lampu handphone kami. Kami harus mendaki dalam gelap. Dan di atas langit-langit Gua Buta ada beribu-ribu kelawar yang lena. Apabila disuluh, makhluk comel itu bergantungan macam buaian dan ada yang tiba-tiba sedar, terus terbang melayang. Aku seram juga takut kena gigit, tapi kecomelan mereka membunuh ketakutan aku. Dan ye setahu aku kelawar tak menggigit. Selepas melepasi pintu keluar Gua Buta kami harus menuruni cerun-cerun tinggi yang penuh batu cengkerang yang tajam. Bahaya dan sungguh menggerunkan. Pergh, aku ingat takde hiking, rupanya ada juga. Akhirnya sebelum pulang kami mandi di air terjun yang comel dan jernih iaitu Lubuk Puteri. Aku tak mandi sebab aku tak bawa apa-apa persalinan. Maka lengkaplah aktiviti di dalam TRK ni. Naik bot, berjalan berjam-jam, susur denai-hutan-kampung, masuk-keluar gua, tengok kelawar, naik-turun bukit dan mandi air terjun. Sempurna. 

Sebelum pulang kami singgah di sebuah rumah kenalan abang Ubi. Makan durian, dodol & aneka kuih-kuih kampung. Maklumlah sehari selepas Aidiladha. Makanan tentu banyak lagi. Tak pasal-pasal dalam kepenatan dan kelenguhan kaki serta muka tak-boleh-blah-masam-peluh-menjejes, masih ada lagi yang sudi melayan kami. Sungguh baik hati orang kampung di TRK. Kami semua sampai semula di jeti Kuala Lipis, tepat azan maghrib berkumandang. Masuk kereta, on aircond, buka kasut, aku sempat terlelap sebentar sebelum Amar ketuk tingkap kereta. Sebelum semua pulang ke rumah masing-masing, kami makan malam di restoran mamak. Malam tu aku tidur sehingga terlepas Subuh. Ish. 

Sesiapa yang berminat ke TRK, kalau boleh aku kongsikan sedikit tips persediaan. Jangan jadi macam aku.

1) Cari guide yang betul. The best person ialah Abang Ubi. Dia handal dan tahu setiap inci pelosok TRK. Kalau takde abang Ubi memang kami sesat teruk. Sebab kat dalam tu takde sign/petunjuk yang proper.

2) Research dan bacalah pengalaman orang lain dari blog atau artikel yang ada di sosial media. Sekurang-kurangnya tahu dan faham serba sedikit tempat yang ingin dituju.

3) Bawalah air yang secukupnya. Biarlah berat beg dengan air. Sebab memang akan dahaga dan perlukan banyak air untuk tenaga. Juga bawalah makanan untuk tak mati kelaparan dalam tu nanti. Kat dalam tiada orang jual makan dan minum. Jadi segala-galanya kena bawa sendiri.

4) Pakai kasut yang sesuai. Dan stoking yang sederhana tebal. Sebab kaki memang akan sakit dan lenguh kat dalam tu. Sebab berjalan lama dan jauh. Juga ada beberapa siri pendakian bukit dan curam nanti.

5) Tidur dan rehatlah secukupnya malam sebelum menjejak TRK. Seriously, akibat badan lesu dan mata yang rabak, aku terasa terlalu penat dan hampir give up. Tak pernah aku rasa sepenat ini. Waktu naik Gunung Irau hari tu pun, penatnya tak macam ni.

6) Bawa torchlight untuk masuk gua nanti.

7) Bawalah camera. Abadikanlah kenangan yang takmungkin anda lupakan.

8) Oh ye, aku lupa nak beritahu bahawa jangan lupa untuk warm-up. Dah sampai hujung perjalanan baru aku terfikir yang rupanya kami tak buat apa-apa senaman sebelum mula berjalan. Mungkin dalam kepala otak kami, TRK hanya sebuah taman yang leisure dan tak memerlukan terlalu banyak energy. Sangkaan kami silap besar. Bersenamlah dulu. Longgarkan urat-urat kaki, bahu dan seluruh anggota tubuh. Kemudian bersiap sedialah untuk berdamai dengan alam.

Rupanya selain kesedapan Pulut Jamil, ada khazanah berharga di Kuala Lipis yang menawan. Tak sia-sia kahwin dengan orang Lipis. Muahahaha.














Tuesday, September 27, 2016

Bercakap untuk diri sendiri atau untuk komuniti?

Pada 17 September 2016, aku dijemput untuk bercerita pengalaman mengendalikan 10 orang anak-anak yatim untuk pementasan teater Kota Kelip-Kelip yang lepas. Terimakasih Teach For The Needs (TFTN) dan terutamanya Zf Zamir kerana memberi peluang untuk aku berkongsi pengalaman ini. Masa bercakap diberi hanya lebih kurang 20 minit, jadi manakan mampu aku bercakap mengenai Kota Kelip-Kelip dalam masa sesingkat itu. Prosesnya saja mengambil seumur hidup aku untuk dicetak menjadi pengalaman. Secara peribadi, ia merupakan pengalaman paling besar dalam senarai produksi yang pernah aku terlibat. Bercakap dihadapan ramai aktivis kemanusiaan serta guru-guru seluruh Malaysia yang hadir, membuatkan aku gugup. Namun semangat dan kerinduan terhadap anak-anak luarbiasa ini membunuh gementar itu perlahan-lahan. Sedikit sebanyak, aku berharap mereka yang hadir mendapat manfaatnya. Kota Kelip-Kelip akan dipentaskan sekali lagi di Penang Pac pada 24-25 Disember ini. Dan aku tak sabar nak peluk setiap seorang dari mereka. 

Selepas aku membuat perkongsiaan, Husin Sajad merupakan presiden Region of Love (ROL) yang mengendalikan anak-anak Chow Kit mengambil tempat. Sebelum bercerita lebih lanjut tentang aktiviti komunitinya, Husin secara tegas memberitahu. Ia lebih kurang berbunyi begini : Aktivis kemanusiaan harus bercakap mewakili komuniti, bukan diri sendiri. Ada kalanya, kita sebagai aktivis hanya bercakap tentang diri kita sahaja. Bercerita tentang kelebihan diri sendiri dan apa yang sudah kita lakukan untuk komuniti. Aktivis sebenar tidak bercakap tentang dirinya, ia bercakap mewakili komunitinya. Kelebihan dan kelemahan yang ada dalam kumpulan itu untuk terus melakukan tindakan memperbaikinya.

Seolah terpukul dengan kata-kata Husin Sajad, aku dalam diam mengakuinya seratus-peratus. Ada kalanya kita rasa sudah terlalu banyak dan besar yang sudah kita lakukan pada komuniti sehingga tanpa sedar, kita mula rasa diri hebat. Kita asyik nak 'up' diri sendiri sampai lupa tujuan sebenar kita terhadap komuniti. Aku rasa kata-kata itu relevan bukan saja kepada aktivis yang aktif terlibat dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, tapi juga kepada diri sendiri. Selalu bersikap humble dan ikhlas. Biarkan komuniti yang bersuara tentang siapa kita. Takperlu bercerita tentang siapa kita, dan apa yang kita lakukan. Kerja-kerja yang kita lakukan akan selalu menghargai kita, they will speak on behalf of us. Always. 

Thank you TFTN. Thank you Zamir. Thank you Husin Sajad. I learn a lot from EdTalk 0.1. I will definitely join again. :)



Wednesday, September 21, 2016

Pekak atau buat-buat Pekak?

Kalau aku boleh mencium nostalgia, antara yang paling aku rindukan adalah sewaktu kehidupan aku dan keluargaku di sebuah pangsapuri kos rendah di Bandar Baru Bangi. Abah ditukarkan kerja dari pejabatnya di Petaling Jaya ke Bangi. Sebelum kami tinggal di rumah flat yang abah beli tu, kami tinggal di perumahan murah di Segambut. Orang panggil setinggan. Aku ingat lagi rumah tu. Kecil sekali. Hanya ada satu bilik. Dindingnya masih kayu. Tapaknya saja batu-bata. Seingat aku dari aku lahir hingga masuk tadika, kami sekeluarga tinggal di situ. Bila kami perlu berpindah ke Bangi, aku perlu meninggalkan teman-teman sepermainan dan jiran-jiran yang baik hati sekitar situ. Aku juga tinggalkan kekasih kecilku yang bernama Helmi. Satu-satunya kawan lelaki yang paling rapat dengan aku. Melindungi aku kalau ada teman lain yang mengejek atau menghina (Aku masa kecil kulit gelap, rambut kerinting, dan comot sekali. Insecure gila aku masa kecil). Helmi satu-satunya yang sayang aku. Kami makan sama-sama, main sama-sama. Hermm, entah mana Helmi sekarang agaknya. Aku ingat lagi waktu kami bergerak meninggalkan rumah di Segambut, aku dan Helmi berpelukan dalam hiba. Emak pun menangis melihat kami. Apa agaknya yang ada dalam fikiran kami pada waktu itu agaknya. Budak berusia 5 tahun apa yang mereka tahu? Cinta tak pernah ada penjelasannya. Sampai sekarang aku masih ingat rupa Helmi. Senyuman, mata sepet dan rambut perangnya. Ah! Semoga kau bahagia di mana saja kau berada Mi. 

Bermulalah episod kami tinggal di rumah pangsapuri di Bandar Baru Bangi. Masa tu Bangi aman saja. Belum ada pembangunan menyeluruh. Tak sesak macam sekarang. Belum ada fenomena tudung Fareeda. Hehe. Aku pun baru masuk darjah 1. Masa tu adik perempuan bungsu kami baru saja dilahirkan. Sekarang ajun pun dah masuk 30 tahun. Dah kahwin dah pun. Bayangkanlah aku tinggal di rumah flat kami tu dari aku darjah satu hingga ke tingkatan 6. Lepas tingkatan 6 baru aku pindah ke Bangi lama. Naik taraf sikit ke rumah teres setingkat. Punyalah lama. Dari flat tu kami saja yang tinggal, sampailah semua blok penuh. Kiranya famili aku antara penduduk awal flat tu. Rumah flat tu cuma ada 2 bilik. Sewaktu kami kecil, kami tak faham apa erti rumah kecil atau rumah besar. Selagi boleh bersama satu keluarga, sudah cukup dan bahagia. Satu bilik untuk mak dengan abah. Satu bilik lagi kami kongsi tidur adik-beradik ramai-ramai. Bila semakin besar dan masuk sekolah menengah, adik beradik lelaki semua tidur luar. Aku dengan adik perempuanku ajun yang tidur di dalam bilik. Kami cuba faham kondusi abah. Emak tak kerja. Anak-anak masih belum boleh berdikari. Jadi kekangan unutk mendapatkan rumah yang lebih besar itu mungkin payah di saat itu. Sesekali memberontak juga. Bergaduh, tarik rambut, tendang-terajang juga kami adik-beradik dalam rumah kecil tu, tapi sikap garang Emak dan toleransi Abah, buat kami bertahan. Walaupun emak tak kerja, dia gigih bantu abah. Mak bela anak orang. Mereka yang bekerja hantar pada emak untuk jaga. Dapatlah emak sekitar 2-3 ratus sebulan untuk bantu abah menampung kehidupan kami sekeluarga.

Sekarang ni bila difikirkan kembali, aku tak nafikan ada sifat keras dan rebel dalam diri anak-anak yang tinggal di kawasan perumahan murah. Perkara ini aku relate dengan diriku sendiri. Kami semua rebel kerana kami faham yang ibu bapa kami tak mampu menyediakan rumah yang lebih besar. Pergi sekolah jalan kaki, duit belanja aku ingat masa sekolah rendah Emak hanya bagi 50sen. Naik sekolah menengah dapatlah satu ringgit. Cemburu dengan rakan-rakan yang boleh belanja sesuka-hati. Boleh beli jajan setiap kali balik sekolah. Tukar kasut dan beg setiap tahun. Memberontak terhadap sesuatu yang kita tak berupaya mendapatkannya. Naluri anak-anak. Naluri remaja. Masa muda masa yang berapi-api, kata Rhoma Irama. Aku masa zaman sekolah agak naif dan introvert. Malu dan tak pandai bersosial. Bila masuk sekolah menengah aku ikut satu kelompok geng yang popular kat sekolah. Popular dengan agenda kenakalannya. Aku ikut geng ni lompat pagar untuk ponteng sekolah, hisap rokok, hisap gam (bodo gila aku, haha), mencuri, bercinta dengan mat rempit mana entah, toreh kereta cikgu yang bajet bagus, menipu mak abah cakap pergi tuishen tapi pegi tengok wayang dengan boyfriend. Ish. Budak remaja baru nak up katanya. 

Geng-geng ni terdiri dari latar yang berbeza. Ada anak orang kaya tinggal rumah banglo, ada yang dari kampung sekitar Bangi, seperti di Sungai Buah dan Sungai Ramal, juga di Kampung Abu Bakar Baginda, dan juga yang tinggal di kawasan rumah pangsa, macam aku. Jiwa remaja yang rebel bukan kau boleh dapat hanya di rumah pangsa atau kawasan terpinggir, tapi di mana-mana sekalipun. Karina, paling hot dan paling kaya antara kami. Masa sekolah rendah, dia belajar di Amerika. Tinggal di rumah banglo dengan 3 orang gaji. Hari-hari driver hantar ke sekolah. Beg sekolahnya bertukar setiap hari. Kaya gila. Karina seolah macam ketua di kalangan kami. Aku adore gila dengan dia. Cantik, pandai & kaya. Karina selamba je bercium dalam kelas dengan budak lelaki waktu cikgu mengajar kat depan. Panjat pagar sekolah waktu perhimpunan. Pakai walkman masa exam. Pakai kasut warna-warni dengan kain singkat. Karina sengaja mencari pasal. Semacam satu keseronokkan pada dia melanggar disiplin. Dia suka cikgu marah dan rotan dia. Tapi result dia selalu gempak. Aku pun tak faham. Pernah sekali dia bawa kami semua pergi rumah dia. Ya Allah macam istana. Dia keluarkan semua permainan dan dress dia. Kami semua berangan satu hari jadi princess. Jadi bila aku lihat Karina dengan status kehidupan dia, aku mulai faham–jiwa memberontak remaja bukan kerana persekitaran dan ekonomi keluarga semata-mata. Tapi kerana jiwa mereka sendiri yang sedang keliru dan mencari hala tuju. Dan perkara itu normal. Sikap terbentuk melalui persekitaran. Tapi persekitaran tidak pernah memaksa menurutinya. Menjadi baik atau jahat adalah tentang pilihan.

Di kawasan rumah flat kami, ada macam-macam jenis manusia. Keluarga yang punya anak kecil berderet-deret, ibu tunggal dengan anak-anaknya, buruh-buruh indonesia, pelajar, makwe-makwe bujang, lelaki bujang. Aku ingat lagi, di atas rumah kami tinggal satu keluarga cina dengan 2 orang anak kecilnya. Rapat sekali hubungan kami. Anak kecilnya selalu aku bawa keluar bermain. Jadi rutin kami bila tiba hari raya akan menjamu mereka makan lemang dan ketupat, begitu juga bila perayaan tahun baru cina. Bertukar juadah, main mercun sama-sama dan saling berkunjung. Bila aku balik kampung, rumah kami akan dijaga oleh Uncle Chong dan isterinya, begitu juga sebaliknya. Keluarganya dan keluarga aku saling melindungi satu sama lain. Di sebelah rumah keluarga cina itu ada seorang kakak yang sudah berusia hampir 40 tahun dan tidak berkahwin. Orang flat situ panggil dia andartu kaya. Aku selalu diajak jadi teman bila hari minggu. Rumah dia cozy gila, kami selalu masak dan tengok dvd bersama. Seorang lecturer, ada duit banyak tapi mungkin sedikit sunyi. Dia selalu kata lelaki takut nak kahwin dengan dia. Kakak Bibi aku panggil dia. Menemani Kak Bibi sesuatu yang menyeronokkan bagi aku. Kepadatan dalam rumah aku membuatkan aku rasa lebih bebas di rumah Kak Bibi.

Ada seorang ibu tunggal dengan 2 anak perempuannya tinggal di tingkat 4 rumah flat kami. Aku tak pasti apa masalah makcik ni, tapi dia seolah macam tak suka Emak. Padahal Emak selalu menyapa dan ajak berkawan. Secara tak langsung, anak-anaknya pun memberikan respond yang sama pada aku dan adik-beradik aku. Mereka kasar dan kurang ajar. Selalu ludah merata-rata sehingga beberapa kali kena motor abah. Buang air cuci ayam/ikan selamba je kat dapur belakang rumah, sampai terpercik ke dapur rumah kami. Emak pula yang kena membersihkan sampah dia. Pernah satu kejadian, entah apa yang dia tak puas hati, anak perempuannya yang sebaya aku menjerit kat depan muka emak dan cakap Makcik Babi. Makcik Babi! Aku apa lagi, bergusti la dengan dia. Sampai berdarah dan luka-luka juga. Sampai kami pindah dari situ, perang antara kami tak pernah habis. Dari kisah tu, aku belajar satu perkara. Kebencian ini boleh terhasil tanpa alasan. Manusia boleh saja benci pada orang lain tanpa perlu orang itu melakukan sesuatu yang menyakitkan hati dia. Kebencian adalah pilihan.

Jadi bila aku menonton filem Pekak, ingatan tentang kediaman flat yang menjadi habitat aku bertahun-tahun lamanya, merembes dengan laju memenuhi fikiran. Apabila filem itu cuba mengambil realiti penduduk dan watak-watak di perumahan PPRT, aku sedikit terkesan. Persekitaran kediaman itu penting untuk mewujudkan watak-watak dalam keseluruhan filem itu. Sejauhmana Dara dan Melor berkawan, dan berapa lama mereka tinggal di kawasan flat itu? Melor yang berlakon depan bapak Dara kononnya memakai tudung, sopan, tapi selamba saja merokok dan buang rokok di depan pintu rumah Dara.  Apa jiran-jiran di situ tak pernah nampak perbuatan Melor dan tak beritahu pada bapa Dara? Kenaifan Dara cuba diperah-perah oleh pengarah dan penulis skrip filem ini. Kenaifan Dara tak real. Terlalu dibuat-buat. Remaja memang mempunyai sifat dan perasaan ingin tahu. Tapi watak Dara dilukis seolah terlalu bodoh dan menurut. Ada babak dia hisap rokok, tapi ada babak dia tak selesa dengan asap rokok. Apa tu?  Bila kita ada keinginan untuk melakukan sesuatu, dan mahu mencuba, kita jarang menolaknya, dan paling penting kita cuba adapt. Problem paling besar ialah mereka mahu merakam kehidupan anak-anak remaja miskin dan terpinggir, tapi tidak merakam persekitarannya. Itu problem bai!

Siapa Melor ni? Apa yang menyebabkan dia pilih hidup rebel begitu? Apa yang persekitaran buat pada dia sehingga dia rela diri dia dirosakkan? Azman Picasso ni siapa? Asyik hisap dadah je, banyak sangat ke duit dia? Takkan sepupu dia si Iedil tu asyik sponsor dia saja? Kalau dia pelukis atau seniman pun aku fikir watak itu lebih ok. At least kita faham kenapa dia letak namanya 'picasso' dan hisap dadah macam orang gila. Yelah kononnya nak buat masterpiece katanya. Walaupun arca kat rumah ada seketul aje. Haha. Ni tak tahu apa yang dia buat dalam hidup dia, kecuali hisap dadah dan main dengan Melor. Watak Iedil aku taknak ulas. Sebab menyampah dengan watak tu. Entah siapa dia ni, apa dia buat, semua tak jelas. Yang tahu dia cuma nak main dengan Dara je. Tak habis-habis ON. Tak habis-habis man-man. Sekurangnya pengarah dan penulis kena bagitau kenapa dia nak sangat kat Dara ni sedangkan dia mungkin boleh main dengan siapa saja yang dia nak. Mesti ada keistimewaan Dara yang betul-betul membuatkan hati dia tertarik.

Dari awal sampai ke akhirnya aku tak percaya langsung pada lakonan Iedil. Apatah lagi nak percaya pada motif dia dalam keseluruhan cerita ini. Atau sebenarnya Iedil sendiri pun tak yakin malah tak faham dengan karektornya. Terlalu lemah. Terlalu. Tengok sajalah sewaktu watak Azman Picasso dah rembat Dara dia, dia masih duduk berteluku di situ sambil meratap hiba. Such a loser. Aduh. Last sekali, aku fikir cerita ini akan mengembangkan kisah Uda itu sendiri. Uda dengan perjuangan hidupnya. Apakah sebenarnya mision Uda ada kena mengena dengan orang tuanya yang meninggalkan dia kerana tahu yang dia pekak? Aku mahu ikut kisah Uda menjalani hari-harinya dalam menemukan kisah masyarakat di sekelilingnya. Bukannya sub plot watak Kamil yang tak habis-habis nak main dengan watak Dara. Dan perjuangan Azman dan Melor yang mahu membuat mission Kamil menjadi nyata. WTH! Aku terganggu dengan sub plot yang merampas kisah sepatutnya. Kenapa tidak fokus kisah Uda, dan kembangkan dengan sub plot lain yang membantu. Kenapa?? Hurm.

Watak perwatakkan penting gila. Watak perlu menyakinkan. Apatah lagi yang cuba diangkat ialah realiti kehidupan masyarakat. Turunlah ke flat PPRT, buatlah research, observe-lah masyarakat dengan mata kepala sendiri, kemudian barulah menulis dan bikin filem. Janganlah main agak-agak je. Kenapa Dara marah pada bapak dia kononnya bapak dia tak mendengar dia? Ada tak dalam cerita ini kita nampak bapak dia dera, rogol atau semua benda yang jahat pada watak bapak dia. Yang kita nampak, bapak dia kerja untuk menanggung keluarga, menjaga budi pekertinya, suruh mengaji dan selalu nak yang terbaik untuk dia. Apa lagi yang dia nak bapak dia dengarkan? Apa? Memberi kebebasan, pakai baju ketat, keluar dengan jantan dan hisap dadah banyak-banyak sampai mampus? Gitu?

Tak payah cerita pasal moral. Obviously kita faham dan tahu yang produksi dan tenaga kreatif dalam filem ini mahu beritahu pada khalayak tentang bahaya dadah. Audience tak bodoh. Kita semua membaca suratkhabar, mendengar berita, intim dengan sosial media. Pengkarya harus selalu anggap khalayak itu pandai dan tahu. Jangan underestimate. Kerja pengkarya ialah berkarya. Buatlah filem yang awak mahu, bukan buat filem sebab nak insafkan manusia dan beri mesej. Jika kita interested mahu mengetahui dunia PPRT dan dadah, buatlah research. Jangan malas. Jangan buat pekak.

Selain tahi lalat manis Zahiril Adzim, tak ada yang mampu menyelamatkan filem ini. Sorry.

Aku sebenarnya berharap ada forum untuk membincangkan filem Pekak untuk mendapatkan banyak pandangan. Positif-negatif. Melaluinya kita akan dapat hasilkan pembikin filem yang lebih peka, prihatin dan bersifat rasional. Tapi kat Malaysia, perbincangan seperti itu tak berlaku. Aku tak faham kenapa kita harus terus bersikap berdiam diri dan bercakap belakang. Diskusi akan selalu menghasilkan idea dan pemikiran. Pujian selamanya takkan membawa apa-apa perubahan.

Okay. Sudahlah tu. Sekarang ni aku dah rindu rumah flat aku. ):




Saturday, September 10, 2016

Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

Bulan merdeka yang lalu, aku dan Amar memenuhi hari-hari kami dengan keluar merakam kisah wanita-wanita sebagai inspirasi rakyat Malaysia. Mereka cuma perlu menyarungkan pakaian koleksi Godabyfazleena. Sebuah projek yang santai, bersahaja dan sungguh impromtu. Kami merakam menggunakan iphone dan edit juga dengannya. Sementara aku menulis write-up kisah perjuangan mereka. Mereka ini dipilih dikalangan sahabat yang aku kenal, kenalan atas kenalan dan ada juga yang aku approach di media sosial. Aku gembira dapat berkongsi kisah mereka kepada khalayak. Sekecil dan sebesar manapun peranan mereka sebagai wanita di atas muka bumi ini, tentunya membawa kepada kebaikan kepada masyarat dan persekitaran secara tidak langsung. 

Aku sendiri yang menyenaraikan wanita-wanita ini mengikut kepada kerjaya, status dan lifestyle mereka. Cara mereka raikan hidup yang aku utamakan. Aku mencari inspirasi di balik inspirasi. Mereka ini walaupun ada yang pernah berada dalam kehidupan lalu yang penuh liku, namun sentiasa tersenyum dan kekal positif. Di mulut mereka tiada istilah putus asa. Hidup untuk hari ini dan masa depan. Bukan mengingati masa lalu yang penuh kepahitan. Itu lambang wanita merdeka pada aku. Terimakasih kerasa sudi merealisasikan impian kecil aku. Aku percaya Godabyfazleena bukan semata-mata perniagaan, ia ruang meraikan persaudaraan. Di sini aku turunkan semua kisah-kisah wanita godabyfazleena yang menginspirasikan. Secara sedar atau tidak sedar, aku sebenarnya merakam impian aku yang mungkin tak pernah termakbul. Aku cemburu dengan kebolehan mereka, ketabahan dan inner-self mereka, aku ingin jadi seperti mereka. Jadi bila aku berpeluang mendekati dan menyelami jiwa mereka, aku rasa sebahagiaan impian itu sudah menjadi nyata. Terimakasih atas kepercayaan awak semua. Wanita inspirasi saya. Dan mungkin seluruh dunia. Terimakasih sekali lagi. 


"Bidang muzik tiada masa depan!" Itulah kata-kata yang menjadi pembakar semangat buat Ramlah atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu vee, yang merupakan Pengasas dan pengelola Vee Music Centre @veemusic83 sejak 2015. Pengalaman muzik Vee sangat luas. Pernah membuat persembahan bersama Kris Dayanti sempena Hari Raya di Dewan Merdeka pada tahun 1999. Bermain bersama Chambers Orchestra, Malaysian Philharmonic sekitar tahun 2000-2001. Bertugas sebagai guru violin dan 'structured performing art' di Sekolah Sri KDU dan pada masa yang sama menjadi tenaga pengajar di Yamaha Music School Setia Alam. Semangat Vee pada violin tidak pernah berhenti apabila mengambil inisiatif memberi perkhidmatan mengajar violin dari rumah ke rumah, sehingga memberanikan diri membuka dan memiliki perniagaan muziknya sendiri hari ini. 

Setiap hari Vee berusaha mengkaji dan memperbaiki sistem pengurusan, agar dapat menjadi contoh yang baik untuk wanita-wanita yang berminat membuka perniagaan muzik sepertinya. Muzik bagi Vee bukan saja mendidik seseorang individu itu berdisiplin, tetapi kreatif dan sensitif terhadap persekitaran. Vee sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik dan meningkatkan potensi diri agar kerjaya dalam bidang muzik dipandang tinggi. Harapannya untuk meluaskan empayar Vee Music Centre ke tahap yang lebih membanggakan, serta menjadi sebuah 'Music Centre' yang sempurna di masa hadapan. 

Gesekan biola selalu mendamaikan, semoga impian Vee dipeluk Tuhan. Vee adalah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya. 



Afiza Asram, graduan bidang seni teater dari Aswara (2009-2010) ini merupakan pengasas dan penerbit Cube Arts Stage yang kini aktif membangunkan produksi teater di sekitar ibu kota. Pernah berkerja sebagai penolong penerbit dan wartawan penyiaran di KliaTv dan The R&D Studio. Kini pada usia 26 tahun beliau memilih bergerak bebas sebagai aktivis seni sebagai penerbit, penulis skrip, pelakon dan pengurus produksi.
Darah seni telah mengalir dalam tubuhnya sejak kecil. Ia bercambah dan mengalir pekat apabila menjejak dewasa. Bagi Afiza, "Cita-cita adalah hak mutlak setiap manusia, jadi jangan pernah berhenti mengenggamnya." Persepsi orang sekeliling tentang seni-budaya yang negatif, bukanlah syarat wajib untuk menghalang impiannya bergelar anak seni yang berjaya. "Bidang seni tidak wajar dijadikan kerjaya, ia hanya hobi untuk kaum wanita!" Kata-kata seperti ini sudah lama dibuang jauh-jauh dalam setiap langkahnya, demi memastikan beliau terus fokus mencapai impian.
Afiza membayangkan dapat memiliki sebuah ruang persembahan yang minimal dan sederhana, untuk memberi peluang masyarakat terus berkarya. Di Malaysia, ruang melakukan persembahan seni (terutama teater) amatlah terhad dan kosnya mahal. Impian Afiza itu pastinya membuka ruang lebih luas untuk anak-anak seni melahirkan karya-karya yang lebih baik di masa hadapan. Semoga seni Malaysia akan terus berkembang dengan semangat dan kegigihan warganya, seperti mana Afiza dan cita-citanya. Afiza Asram lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya. 


Sejak kecil aktiviti keusahawanan sudah sebati dalam jiwa Nur Zafirah bt. Md. Hider. Susur galur keluarganya yang menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan dan cara hidup, memberikan impak yang besar pada gadis berusia 23 tahun ini. Pemegang Diploma dalam bidang Kulinari di Food Institute Of Malaysia, Kelana Jaya ini membangunkan ZH Little Kitchen @zhlittlekitchen sebagai permulaan untuk beliau menjadi usahawan yang berjaya satu hari nanti. Zafirah memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan kos sendiri bersama ZH Little Kitchen, dengan menyewa tempat di kafe atau restoran yang memberikan ruang niaga kepadanya. Melalui cara ini, beliau yakin setiap pengalaman yang ditempa hari ini, menjadikan impian untuk memiliki sebuah kafe atau restoran akan menjadi nyata. 

Perniagaan berasaskan makanan memerlukan seseorang itu sentiasa kreatif dan rajin membuat penyelidikan tentang citarasa masa kini. Kepuasan pelanggan adalah keutamaan. Zafirah selalu mengingatkan dirinya untuk--sediakan makanan seperti mana yang dirinya sendiri mahu makan. Tiada istilah tamak atau kedekut. Meniaga dengan penuh keikhlasan, kerana rezeki semua di tangan Tuhan.

Meneruskan hasrat arwah ayahnya yang mengimpikan sebuah restoran untuk dihadiahkan buat ibu tercinta, Zafirah berjanji untuk terus berusaha dan berkerja kuat agar ianya terlaksana. Pelbagai cabaran yang dihadapi, pelbagai kekalahan yang pernah dia tempuhi, namun jerit Zafirah; "Jangan takut pada kegagalan, jadikan ia sebagai obor kekuatan." Zafirah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.


"Sebuah buku ialah impian yang berada dalam genggaman." Kata-kata dari Neil Gaiman, penulis kegemaran Nur Munirah bt. Zahari ini, menjadi semangat untuk beliau menerokai industri buku. Setelah memperolehi Ijazah Pengurusan Perniagaan di sebuah Universiti tempatan, dalam usia 26 tahun, beliau kini meneruskan kerjaya sebagai Pembantu Pengurus Jualan di Dubook Press. Sebelum ini Munirah menjalani latihan industri di tempat yang sama. Minat yang mendalam pada buku serta ingin belajar selok-belok perniagaan, Munirah setia bersama Dubook Press yang merupakan antara penerbitan buku berkaliber di Malaysia.

Bagi Munirah, seorang wanita perlu tegas dalam memilih bidang kerjaya yang dicintai. Minat mendalam akan mendorong seseorang itu berdedikasi terhadap kerja dan sentiasa berusaha membangunkan potensi diri. Bergelumang dengan buku dan persekitarannya, bukan saja menambah ilmu pengetahuan, malah mendekatkan Munirah dengan hal-hal kemanusiaan. Semangat kerjasama dan toleransi menjadi prinsip Munirah dalam berkerja. Beliau berharap dapat terus maju bersama Dubook Press, kini dan pada masa akan datang.
Pegangan Munirah dalam menjalani kehidupan adalah, "Setiap orang sentiasa mahukan perubahan. Dan perubahan perlukan tindakan. Hanya diri sendiri yang boleh menentukan." Munirah adalah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

Rozana Tumirin percaya ada pengorbanan yang perlu dilakukan demi kebahagiaan. Melepaskan impian sendiri, untuk kegembiraan insan-insan tersayang, selalu berbaloi dilakukan. Selepas menggenggam Diploma Pengurusan Pelancongan, Rozana telah mencuba pelbagai jenis pekerjaan untuk menimba pengalaman. Pernah berkerja di Taman Burung Kuala Lumpur sebagai show presenter dan customer service, telemarketer untuk AIG Insurance, HR di Petronas serta Pegawai Perlancongan di KLIA. Tidak pernah terfikir untuk menjadi surirumah sepenuh masa, namun kecederaan suaminya akibat ACL-anterior cruciate ligament, telah membuatkan Rozana nekad untuk mengurusi dan menjaga kebajikan rumahtangganya.
Kini dalam usia 29 tahun, Rozana bahagia bersama suami dan seorang anak perempuan comel bernama Anggun. Keinginan untuk kembali berkerja masih ada, namun keutamaannya kini lebih kepada menyediakan keperluan yang terbaik buat suami serta anaknya. Bagi Rozana, surirumah juga merupakan satu kerjaya. Masyarakat tidak seharusnya menganggap ianya tidak penting dan mudah untuk dilaksanakan. Hakikatnya, kerja menguruskan rumah dan keluarga tidak pernah habis. Individu yang paling awal bangun dan paling akhir masuk tidur.
Satu hari nanti, Rozana berharap beliau dapat membuka sebuah perniagaan sebagai kelangsungan minatnya terhadap dunia kerjaya. Wanita perlu merasa bahagia dengan pilihan yang mereka lakukan. Persepsi negatif dan mentaliti persekitaran, tak boleh kita kawal. Namun menjadi gembira adalah salah satu ubatnya. Kata Rozana, "Be happy. Even if you surrounded by unhappy people." Rozana lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

Pemegang Sarjana Komunikasi Visual dan Sarjana Muda dalam Rekaan Grafik ini, menjadikan aktiviti menunggang motorsikal besar sebagai hobinya di waktu senggang. Aktiviti yang didominasi kaum lelaki ini, membuktikan Nur Aniza seorang yang kental dan sukakan cabaran. Kehidupan seharian Pensyarah di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka di UITM Shah Alam ini, begitu padat. Perlu melakukan tugasan mengajar, menguruskan anak lelakinya yang berusia 10 tahun, serta melaksanakan kerja-kerja grafik (separuh masa) sebagai mencari pengalaman dan menambah pendapatan. Nur Aniza juga sedang mengikuti pengajian Phd dalam kursus New Media. Tiada istilah merungut atau mengeluh dalam hidupnya. Nur Aniza percaya, kesibukan akan membuat seseorang itu bijak menguruskan masa dan memilih keutamaan.
Tiada siapa yang mengharapkan perkahwinan terputus di tengah jalan. Nur Aniza redha dengan aturan dan takdir yang telah ditentukan buatnya. Hari ini dan masa depan yang perlu diberikan perhatian kini. Kisah lalu yang pahit sudah lama ditinggalkan buat pedoman. Cabaran yang paling besar untuknya adalah mengimbangi di antara keluarga, anak, kerjaya serta impian diri sendiri. Namun dengan bersikap postif dan berfikiran optimis, ia akan memudahkan setiap jalan yang berliku.
Sebagai pendidik, Nur Aniza berjanji untuk memberikan yang terbaik buat anak bangsa. Kini aktif menjalankan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Baginya : "Hidup ini bukan tentang diri kita saja. Berilah sebanyak-banyaknya apa yang kita ada pada mereka yang memerlukan." Prinsip yang selalu dipegang Nur Aniza –bahagia itu positif. Hanya dengan positif kita boleh menikmati kebahagiaan. Pastinya motorsikal Nur Aniza akan terus menderum seiring semangatnya. Nur Aniza lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

Kemunculannya sebagai Puteri Hang Li Po dalam pementasan 3 Ratu di Istana Budaya telah membuka lembaran baru. Namanya mula meniti di bibir peminat seni Malaysia. Mei Fen Lim pernah mendalami seni lakon selepas tamat SPM di Amerika Syarikat, terlibat dalam sebuah program realiti pencarian model, bekerja di belakang tabir pentas serta menjalankan perniagaan keluarganya. Namun, watak Hang Li Po akhirnya menyedarkan Mei bahawa bidang seni lakon yang paling kuat bertahta dalam hatinya. Mei pada 2015, mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya dalam bidang seni teater di Aswara.
Walaupun sibuk dengan pengajian, Mei masih mengambil tawaran berlakon di luar untuk membintangi filem, drama mahupun teater. Bagi Mei, industri seni lakon di Malaysia hanya untuk yang benar-benar rajin. Jika kita percaya pada bakat yang ada dalam diri, sentiasa berusaha mencari peluang untuk menyinar. Seperti prinsip dan motto hidup Mei; "Make dreams and take action!"
Pemenang pelakon tempat pertama di Beijing World Chinese Mirco Film 2014 melalui filem pendek The Exchanged ini bercita-cita ingin menjadi seorang penerbit. Impiannya untuk menghidupkan kembali kisah sejarah dan lagenda ke satu aras yang tinggi. Ingin namanya terpahat sebagai anak seni Malaysia yang membanggakan, Mei berusaha setiap hari memantapkan penggunaan bahasa melayu. Mei lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

Pemenang 3 pingat emas di acara sukan SUKMA yang ke-18 di negeri Sarawak ini, tidak pernah bercita-cita menjadi atlet. Sejak kecil, impiannya mahu terbang di awan biru, berkhidmat sebagai pramugari. Namun ketika beliau bersekolah dalam darjah 5, salah seorang guru telah menghidu potensi yang besar dalam diri Saidatul Izati Suhaimi. Beliau telah memenangi semua acara dalam sukan tahunan sekolah. Sejak itu, Izatti tidak menoleh lagi. Kini beliau merupakan salah seorang atlet kebangsaan yang bakal menggegar.
Mengikuti program khas di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil selepas tamat sekolah, Izati sedang mempersiapkan dirinya untuk menyambung pelajaran dalam bidang komunikasi di UPM. Anak kelahiran Ipoh ini bercita-cita mewakili negara dalam sukan berprestij seperti Sukan Komenwel dan Olimpik. Kini beliau menjalani latihan intensif di dalam dan luar negara, bagi melayakkan dirinya dalam sukan SEA di Kuala Lumpur tahun hadapan.
Setiap kali beraksi, perkara yang sering menghantui dirinya adalah bagaimana menghilangkan rasa gugup. Di bahunya tersimpan jangkaan dan impian orang sekeliling yang mahu melihat dia berjaya. Keluarga, rakan-rakan, jurulatih dan seluruh rakyat Malaysia. Izati perlahan-lahan menyerap rasa gugup itu sebagai semangat untuk selalu memberikan yang terbaik. Bagi Izati, kepercayaan orang terhadap kemampuannya, adalah doa untuk melihat sejauhmana dirinya boleh berlari menggapai impian.
Pelari kebangsaan dalam acara 400 meter berpagar ini tidak bimbang masa remajanya hilang begitu saja di padang balapan. Izati percaya bidang sukan mempunyai masa depan yang cerah dan mendidiknya menjadi seorang yang berdisiplin dan positif. Izati lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

Cinta yang mendalam terhadap seni tari telah membawa Nadhirah Razid terbang jauh. Langkah tarinya telah menjejak tanah Korea, Singapura, China dan Indonesia. Sejak 2009 lagi, Nadhirah telah banyak terlibat dengan produksi tari di acara berprestij dan korporat seluruh Malaysia, juga di program tv tempatan. Pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Kareografi dan Diploma Seni Tari dari Aswara ini, kini bergelar jurulatih Permata Seni di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Selalu menerapkan isu-isu wanita dalam karyanya, Nadhirah merasakan penting untuk suara wanita didengar dan baginya 'Hanya wanita yang akan menyelamatkan wanita.' Karya Madu 4 yang merupakan arahan dan hasil kareografinya mendapat anugerah 'Outstanding Contribution' di dalam pertandingan Short & Sweet Dance Malaysia 2014. Bagi Nad– "Seni menghidupkan jiwa. Tanpa seni, manusia boleh hidup, namun seolah-olah hidup tanpa jiwa."
Pada usia 25 tahun, Nadhirah kini berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Terinspirasi dari air tangan ibunya sendiri, Nadhirah menubuhkan perniagaan RASA yang menjual produk makanan kering yang diberi nama Sambal Goreng Cili Padi Ibu & Pucuk Ubi Goreng Mama. Keadaan ekonomi yang tidak menentu, Nadhirah merasa perlu menyediakan bekalan untuk masa depan.
Sering memasak dan membawa bekal untuk menjamu rakan-rakan ketika sesi latihan adalah rutin Nadhirah ketika di Universiti. Sokongan dan galakan teman-teman menguatkan pilihan Nadhirah untuk membuka perniagaan. Nadhirah bercita-cita untuk membuka sebuah restoran yang turut menyediakan pentas bagi anak-anak muda melakukan persembahan. Nadhirah juga berhasrat ingin mengambil bekas banduan wanita sebagai pekerja.
Rentak tari Nadhirah takkan berhenti, seperti jiwanya yang takkan pernah mati. Nadhirah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya. 
Ainul Shariza yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Senilukis & Senireka di UITM Shah Alam ini memulakan kerjaya sebagai pereka grafik setelah tamat pengajian.
Setelah hampir 2 tahun bekerja, dia membuat keputusan mengambil diploma pendidikan di Institut Perguruan Ilmu Khas dalam bidang seni visual. Keputusan yang merubah dunianya 100% dan menjadi titik permulaan kehidupannya sebagai seorang pendidik. Kini Ainul sudah 10 tahun berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane Perkasa.
Menurut Ainul, di era modenisasi ini, seorang guru harus kreatif dan tidak hanya mengajar berpandukan buku semata-mata. Istilah 'chalk & talk' sudah tidak relevan digunakan kepada generasi muda hari ini.
Mempelbagaikan kaedah pembelajaran adalah sangat penting agar pelajar tidak bosan. Perlu ada komunikasi dua hala. Pendapat pelajar perlu didengar dan guru perlu lebih bertoleransi. Sekolah tidak boleh dilihat sebagai institusi yang membebankan. Ainul mahu para pelajarnya seronok menimba ilmu.
Guru sepatutnya menjadi kawan bukannya lawan. Persekitaran pembelajaran yang harmoni perlu sentiasa diwujudkan.
Mahu kekal dengan gelaran 'Cikgu Ainul' di masa hadapan, hasratnya agar dapat menyampaikan ilmu yang bermanfaat buat anak-anak bangsa. Zaman berubah seiring dengan sikap serta pemikiran. Gelaran guru merupakan anugerah yang tidak semua mampu memikulnya.
Justeru, seorang guru harus bersikap positif dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Ainul lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.


Pemulihan Carakerja atau Occupational Therapist merupakan bidang pilihan Zuhairah Mohamed semasa menuntut di Uitm Puncak Alam. Selepas tamat belajar, beliau menimba pengalaman selama 4 tahun berkerja sebagai Occupational Therapist (OT) di sebuah pusat pemulihan kanak-kanak istimewa, seperti down syndrome, cerebral palsy dan autism. Kini hampir setahun Zuhairah ditempatkan di Hospital Pantai, Bangsar di Jabatan Hand and Upper Limb (tangan dan lengan). Bidang ini mengajarnya untuk sentiasa sabar dan bertoleransi. Rutin berjumpa dengan pesakit setiap hari, memerlukan sikap yang positif serta motivasi yang tinggi.
Selain mempunyai rutin tetap sebagai seorang ahli terapi, Zuhairah juga sudah hampir 5 tahun mengendalikan @rumahtiti yang merupakan sebuah ruang aktiviti dan penganjuran acara kepada kolektif seni dan seluruh masyarakat yang memerlukannya. Banyak program yang direncanakan oleh anak-anak muda, namun kekurangan ruang atau dana kewangan menyebabkan perlaksanaan aktiviti yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Justeru, Rumah Titi mengalukan segala jenis program dianjurkan dan memberikan ruang ini secara percuma atau dengan sumbangan paling minimal. Sejak dibuka, Rumah Titi telah banyak berjasa memberi ruang bagi kegiatan yang bermanfaat kepada masyarakat.
Zuhairah yang dikenali sebagai 'Kak Long Rumah Titi' ini juga banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Program seperti Dapur Jalanan yang dijalankan secara berkala bersama kumpulan sukarelawan, memberikannya kepuasan yang tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Membantu gelandangan dan mereka yang tidak berkemampuan mengajar dirinya untuk selalu bersyukur dan memperbaiki diri menjadi lebih baik setiap hari. Bagi Zuhairah –Memberi dan berkongsi tidak pernah merugikan. Malah ia memberi kekayaan jiwa dan menambah kemurnian hati.
Wanita manis berjiwa besar ini berhasrat memiliki sebuah pusat terapi anak-anak istimewa serta melaksanakan bengkel pemahaman mengenainya. Kesedaran tentang penyakit dan pemulihan mengenai anak-anak istimewa ini baginya penting sebagai persediaan dan panduan kepada ibu bapa yang melalui cabaran membesarkan anak-anak istimewa. Zuhairah lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

Pada usia 12 tahun, bapanya pernah mencadangkan untuk belajar bermain piano. Melihat rakan-rakan perempuannya yang rata-rata memilih instrumen piano untuk dipelajari, Ariana Adnan tegar memilih gitar. Kini Ariana sudah bersama kugiran Couple sebagai pemain gitar, selama hampir 10 tahun.
Couple yang membawakan genre power pop dan rock & roll popular di arena seni underground sejak 1995, dan kini masih kekal aktif melagukan melodi mereka di dalam dan luar negara.
Sebagai satu-satunya pemain wanita, Ariana menyatakan perasaan senang dan selesa bersama Couple atas sikap dan toleransi setiap ahli kumpulannya. Couple bertahan kerana setiap seorang dari mereka, sentiasa positif, gembira dan faham peranan masing-masing dalam perjuangan muzik.
Sepanjang penubuhan Couple, tiada ahli yang pernah digugurkan, kecuali menarik diri atas keperluan komitmen. Ariana juga tampil bermain muzik bagi kugiran The Venopian Solitude dan Fazura and The Waklus.
Selain bermain muzik, Ariana menjadikan minatnya terhadap dunia kopi sebagai sumber pendapatan tetap. Ariana pernah bersama Berjaya Starbucks Coffee sejak 2005 hingga 2013, Artisan Coffee Bar pada tahun 2013, Eid & Ego (2013-2014) dan kini beliau mencari pengalaman di RGB & The Bean Hive dari 2014 hingga ke hari ini sebagai barista.
Bagi Ariana, menyediakan secawan kopi nampak mudah, namun ia memerlukan kemahiran dan kesungguhan. Melalui kerjaya ini, beliau bertemu dengan ramai manusia dari latarbelakang yang berbeza. Ariana belajar bagaimana disiplin sebuah perniagaan, bertoleransi dengan pelanggan yang berbeza setiap hari, juga mengawal emosi dan perasaan sendiri.
Kedai kopi ibarat sebuah sekolah bagi Ariana. Dan di situ dia mendapat ilmu dan pengajaran untuk dijadikan panduan melayari kehidupan.
Wanita yang sentiasa ceria dan positif ini, mempunyai diploma dalam bidang makanan dan minuman (food & beverages) di Berjaya University College of Hospitality pada 2012, serta diploma Sains Komputer (Teknologi Maklumat) di UTM pada 2004.
Impian Ariana mahu terus main muzik sehingga mampu dan mengembara sebanyak-banyaknya bersama teman seperjuangan. Prinsip yang sering ditanamkan ialah–Melakukan apa yang disukai dan selalu bersyukur dengan apa yang dimiliki. Laung Ariana "Turn the negativity upside down!" Ariana lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.


Gembira menjamu tetamu dan kenalan dengan air tangannya, telah membawa Maha Devi Perumal mengusahakan Nani Catering. Pekerjaannya sebagai guru sepenuh masa yang mengajar pendidikan moral di Sekolah Sri KDU selama hampir 14 tahun tidak menghalang minatnya menguruskan perniagaan.
Nani Catering yang diusahakan bersama suami dan dibantu keluarganya, telah beroperasi selama 2 tahun mendapat permintaan yang amat menggalakkan.
Nani Catering membekalkan makanan berasaskan 'Indian Cuisine' seperti capati, tosei, nasi beriyani, kari ayam dan kambing serta kuih-muih seperti muruku, kandi kelapa, vadey, alva, athirasam dan banyak lagi.
Walaupun Maha dan suaminya mengamalkan gaya hidup vegetarian, namun itu bukanlah halangan untuk mereka menyediakan makanan yang berasaskan daging. Bagi Maha, keikhlasan adalah faktor penting dalam penyediaan makanan.
Melihat pelanggan gembira adalah keutamaanya. Kepuasan sebenar adalah melihat senyuman di wajah pelanggan setiap kali merasa hidangan yang disediakan.
Maha Devi menyimpan hasrat untuk membina empayar perniagaannya sendiri bersama keluarga dan melihat Nani Catering terus berkembang maju.
Bagi dirinya, wanita harus berdikari dan perlu bersama-sama membantu keluarga mencapai kehidupan yang lebih baik. Maha Devi lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

Terdorong dengan azam dan cita-cita yang menggunung untuk bergelar seorang peguam, Nur Raihan Jasmani telah meyambung pelajaran dalam bidang guaman setelah tamat persekolahan.
Perit jerihnya berbaloi apabila berjaya mengenggam Sarjana Undang-Undang (Kepujian) sebelum kemudian mengambil Diploma Lanjutan Syariah (Amalan & Latihan). Kini dalam usia 28, Raihan sudah empat tahun bergelar peguam di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Malah beliau menyandang jawatan Naib Bendahari Persatuan Peguam Wanita Kuala Lumpur & Selangor (AWL).
Menjadi seorang peguam, apatah lagi peguam wanita seperti Raihan bukan mudah. Masyarakat yang masih lagi memandang peguam wanita sebagai pilihan kedua terutamanya dalam praktis undang-undang litigasi dan korporat.
Kaum lelaki dilihat lebih arif dan berkemahiran sedangkan dari segi latar belakang pendidikan, baik lelaki atau wanita adalah sama. Bagi Raihan stigma ini merupakan cabaran yang paling besar dihadapi oleh peguam wanita sepertinya namun ia tidak sekali-kali melemahkan semangat Raihan untuk terus berjuang dalam bidang yang dicintainya ini.
Bagi Raihan karier dalam bidang undang-undang adalah “Intelectually Rewarding”, kerana undang-undang sering berubah dan berkembang mengikut keperluan masyarakat setempat.
Ini membolehkan Raihan banyak mempelajari perkara baru dan menjadikan kariernya tidak statik. Ia adalah antara sebab bidang undang undang begitu istimewa di matanya.
Walaupun sibuk dengan tugas di firma, Raihan tetap aktif dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Beliau merupakan sukarelawan aktif untuk Teach of The Needs (TFTN) ; sebuah NGO yang giat menyediakan tuisyen dan kelas percuma kepada anak-anak yang yatim dan miskin seluruh Malaysia. Raihan yang menjadi sukarelawan sejak tahun 2012 kini merupakan Pengurus Dana bagi TFTN.
Pengalaman menjadi sukarelawan membolehkan Raihan melihat kehidupan dari sudut yang berbeza. Bergaul dengan anak-anak yang kurang bernasib baik ini, Raihan dapat menyelami pengalaman dan keperitan hidup mereka. Keluar dari zon selesa dan secara tidak langsung menjadikan dirinya insan yang lebih rendah diri dan menghargai kehidupan.
Berbekalkan Moto ; "Follow the yellow bricks road", yang diambil dari filem kegemarannya, The Wizard of Oz, Raihan berharap beliau dapat memberi dan terus memberi, tanpa menoleh ke belakang. Baik dalam bidang guaman atau program kemasyarakatan. Itu jugalah impiannya terhadap rakyat Malaysia.
Bagi Raihan, wanita yang merdeka ialah wanita yang bebas berfikir, berkata-kata dan bertindak benar, tanpa halangan atau momokkan yang ditetapkan oleh struktur sosial. Raihan lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

Kesedaran paling besar hadir sewaktu bapanya meninggal dunia dengan ketiadaan insurans dan faedah perubatan (medical benefit). Nurhuda Abdul Wahab kini sudah 3 tahun mendalami perniagaan insurans sebagai Consultant & Recruiter di Muqmeen Group, agensi yang mewakili Prudential & Prudential BSN Takaful.
Pemegang ijazah dalam Hospitality & Tourism Management di Managemant & Sciece University (MSU) ini mempunyai 7 tahun pengalaman dalam industri pengurusan acara. Terikat dengan masa kerja sehingga tiada masa buat dirinya, menyebabkan beliau mengambil keputusan menceburi perniagaan dalam bidang insurans.
Tidak semua yang gemarkan Ejen Insurans. Justeru Nurhuda belajar banyak dalam bidang ini. Antaranya kerja keras, disiplin dan kesabaran yang tinggi untuk menghadapi 'rejection'. Perniagaan adalah sunnah Rasulullah, dan melalui perniagaan insurans, Nurhuda yakin dia dapat membantu orang sekeliling untuk mendapatkan perlindungan.
2015, tahun yang mengejutkan. Nurhuda disahkan mengidap kanser payudara tahap ke-4 pada usia semuda 33 tahun. Beliau ialah seorang yang sentiasa aktif dan jarang sakit, justeru berita itu benar-benar memberikannya rasa yang bercampur-baur. Namun Nurhuda menerimanya dengan reda dan mengikuti semua rawatan yang telah dinasihatkan oleh pakar. Baginya tiada masa untuk bersedih. Bersedih tidak akan menyelamatkannya. Fokus pada positiviti dan teruskan dengan langkah merawat.
Beliau bersyukur dapat melalui semua fasa rawatan yang telah ditetapkan dengan baik. Bagi Nurhuda, sokongan dan dorongan orang disekeliling membuatkan dirinya kuat untuk menghadapi penyakit. Keluarga, sahabat jauh dan dekat, doktor, ahli komuniti Canser Support Group (SAMO) dan tentunya Prudential sendiri.
Kini sedang mengikuti rawatan susulan di Institut Kanser Negara, Nurhuda berpesan bahawa sakit perlu dilawan; bukan dengan kekerasan tetapi ketenangan. Jangan ditambah sakit yang sedia ada dengan pemikiran negatif dan memilih kesunyian. Harus keluar melakukan aktiviti sihat bersama teman dan keluarga, cari kumpulan sokongan yang diuji penyakit yang sama, berkawan rapat dengan doktor untuk kenal secara terperinci penyakit yang sedang dihadapi.
Nurhuda sedar bahawa kanser merupakan penyakit yang tidak dijangka dan dia sudah bersedia apa adanya. Beliau yakin pada takdir dan kuasa Allah SWT. Yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk terus berjuang.
Menurut Nurhuda, beliau mempunyai banyak impian. Namun setelah melalui fasa sakit, beliau memindahkan impian itu kepada orang lain. Keluarga, sahabat, teman dan seluruh masyarakat. Apa yang diharapkan adalah selagi hidupnya dikandung badan, beliau mahu terus memberi manfaat pada orang lain.
Pada Nurhuda, berjuang mesti melalui kesusahan. Kesakitan adalah ujian. Diberi peluang kedua untuk merasai kehidupan adalah kemerdekaan buatnya. Justeru dirinya harus bangkit dan terus melawan. Nurhuda lambang wanita merdeka. Wanita merdeka, wanita yang melakukan apa yang mereka percaya.

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...