Thursday, June 30, 2016

Dendam yang harus dibayar tuntas.

6 filem pendek yang berdiri sendiri. Tiada hubungan antara satu sama lain. Kecuali temanya. Tentang bagaimana dendam menguasai manusia. Bagaimana seseorang individu melepaskan kemarahan dan kekecewaannya dan bagaimana pula mereka mengawalnya.

Cerita dibuka sebagai intro atau iklan seolah memberitahu bahawa kita akan berhadapan dengan filem yang intense dan menekan. Seorang wanita menaiki pesawat dan di dalamnya ia berbual dengan seseorang yang duduk di sebelahnya, yang mengenali bekas kekasih yang pernah ditinggalkan. Hampir semua orang dalam kapal terbang itu mengenali bekas kekasihnya bernama Pasternak. Pasternak menjadi mangsa dalam kisah setiap dari mereka. Tiba-tiba mereka semua menyedari bahawa tiket kapalterbang yang mereka naiki itu diberikan oleh seseorang secara percuma. Kebetulan. Tiba-tiba enjin kapalterbang bermasalah. Dalam kekalutan ia menjunam ke bumi.

Intro pun dah gila kan? Okay kisah pertama tentang seorang pelayan di sebuah restoran yang didatangi seorang lelaki yang merupakan mimpi ngerinya. Lelaki tersebut pernah menyebabkan kematian keluarganya sewaktu dia kecil. Dengan gaya yang kurang ajar dan sombong lelaki itu mahu pelayan menghormati dan melayannya dengan baik. Pelayan itu buntu dan bercerita dengan seorang teman atau tukang masak di dapur. Perempuan tua tukang masak itu dengan selamba, meminta pelayan itu letakkan racun tikus ke dalam makanan si gangster tadi. Inilah masanya. Pelayan itu tak buat begitu walaupun di desak oleh wanita tukang masak. Akhirnya tanpa pengetahuan pelayan wanita itu, tukang masak masukkan juga racun tikus ke dalam makanan lelaki gangster tadi. Pelayan wanita itu cuba menghalang dan terkejut, namun nampaknya tidak terjadi apa-apa yang buruk. Lelaki itu makan dengan tenang. Mereka sedar bahawa racun tikus itu mungkin sudah expired. Kemudian anak lelaki gansgter itu datang join bapanya makan. Dia tiba-tiba rasa sedikit tidak selesa pada perut dan tekaknya. Wanita pelayan itu rasa tidak adil jika anak gangster itu yang mati, dia pergi hentikan dan terbalikkan meja makan. Lelaki gangster marah dan memukul wanita pelayan. Tiba-tiba datang tukang masak dan menghunus parang ke dada lelaki gangster. Beliau mati. Darah memenuhi restoran. Polis menangkap tukang masak. Pelayan dan anak si gangster buntu dan sedih.

Kisah kedua boleh kita relate dengan cerita kita dan masyarakat ketika di jalanraya. Seorang lelaki korporat bergaya memandu kereta mewah di sebuah kawasan gunung-ganang. Yang tak banyak kereta lalu lalang. Dalam perjalanan dia dihalangi oleh sebuah kereta marhein yang buruk dan berkarat seolah-olah mempermainkannya. Bila dia mahu memotong ke kanan, mamat kereta buruk melencong ke kanan. Bila nak ke kiri, dia juga ke kiri. Lelaki korporat merasa marah dan kemudian setelah berjaya memintas lelaki marhein, dia sempat tunjuk fuck dan memaki mamat tu. Muka mamat tu selamba saja senyum sinis. Benda nak jadi, tiba-tiba tayar belakang kereta lelaki korporat pancit. Dia berhenti betul-betul di tepi sebuah jambatan. Dia call tow truck sebab buntu nak menukar tayarnya sebab kereta itu baru saja dibeli. Sambil menunggu dia menukar juga tayar itu sendiri. Ketika nak masukkan skru terakhir mengetatkan tayar, kereta mamat marhein tiba. Dia yang kalut terus masuk ke dalam kereta. Mamat itu marah dan kata dia pengecut. Tanpa disangka, mamat itu ambil spanar dan ketuk cermin depan keretanya. Tapi sebab kereta mahal, tak pecah. Dia juga buka seluarnya, berdiri atas depan kereta mahal lelaki korporat dan berak atasnya. Eyew, disgusting gila. Dia tambah lagi dengan kencing. Lelaki korporat hanya mampu menjerit-jerit dalam kereta, tapi sedikitpun tak dipedulikan. Mamat marhein terus masuk dalam keretanya. Tapi belum sempat keretanya bergerak, lelaki korporat start enjin keretanya dan menolak kereta mamat marhein yang ada di depannya jatuh ke bawah jambatan. Hampir masuk ke dalam air. Lelaki korporat boleh saja terus pergi meninggalkan mamat marhein yang sudah cedera parah di bawah jambatan, namun rasa dendam terus mengusainya. Ketika mamat marhein cuba naik dari bawah jambatan ke atas, dia mahu mengejar lelaki korporat, lelaki itu meusingkan keretanya dan cuba melanggar mamat marhein. Ketika dia cuba membelok untuk melanggar mamat marhein, keretanya dengan tayar yang tidak stabil tersasar. Dia terus masuk ke bawah jambatan tempat yang sama kereta mamat marhein berada. Mereka bergelut sehingga akhirnya kereta mereka berdua terbakar. Ketika tow truck sampai, mayat mereka hangus berpelukan.

Cerita ketiga tentang seorang engineer perobohan yang terlepas harijadi anak perempuannya kerana terpaksa membayar saman dan keretanya di tarik kerana berada di petak kuning. Walaupun sebenarnya kereta beliau tidak salah dan tak berada di petak kuning. Beliau dipaksa bayar saman walaupun tidak bersalah, dia mengamuk di kaunter pembayaran dan ini mendapat liputan media meluas. Ia mengakibatkan dia hilang pekerjaan, hubungan dengan isteri berantakan dan seperti dirundung malang yang berpanjangan. Setelah beberapa minggu beliau menggunakan kepakarannya dalam hal-hal perobohan dengan menggunakan bom dinamit untuk menyedarkan birokrasi saman yang tak menentu di daerahnya. Dia dipenjarakan, namun masyarakat mengangkatnya menjadi hero.

Kisah seterusnya mengenai seorang hartawan dikejutkan oleh anak lelaki remajanya yang telah melanggar lari seorang perempuan hamil. Dia dan isteri mahu menyorokkan perbuatan anak lelaki itu dengan mengupah pekerjanya untuk mengaku melakukan kesalahan itu dengan menawarkan sejumlah wang yang besar. Seorang peguam yang sudah berkhidmat bertahun-tahun membantunya menyelesaikan masalah itu dengan merasuah polis yang hadir dan tahu bahawa anak lelakinya itu yang melanggar lari bukan pekerja yang diupah dan tidak bersalah itu. Keadaan semakin genting apabila peguam dan polis itu meminta bahagian yang lebih besar untuk bersubahat. Pergaduhan terjadi, dan hartawan itu merasa tidak adil dan mahu berkompromi sejumlah wang yang terlalu besar untuk diberikan sekadar menutup mulut dan anaknya tidak dipenjarakan. Sehingga akhirnya isteri hartawan cube mententeramkan keadaan dengan berbincang agar wang pertaruhan dikurangkan dan setiap orang mendapat hak sama-rata. Ketika dibawa keluar dari pintu rumah hartawan, media, polis dan orang awam sudah ramai berkumpul untuk mengetahui siapakah yang menyebabkan kematian wanita hamil yang tidak bersalah. Sejurus gate di buka, kita nampak watak pekerja yang diupah untuk menyembunyikan kisah sebenar dan mengaku bersalah melakukan kesalahan melanggar lari itu digari. Cerita dihabiskan dengan suami kepada wanita yang mati itu menghampiri watak yang digari dan memukulnya dengan benda keras.

Di malam resepsi perkahwinan sepasang pengantin baru diraikan di majlis yang penuh gilang-gemilang. Kisah penutup dari keseluruhan filem ini. Pengantin wanita itu paling gembira dan asyik ketawa sepanjang majlis sehinggalah dia dapat tahu sendiri bahawa skandal atau mungkin bekas teman wanita suaminya itu ada dalam majlis itu. Paling menyakitkan bila dia cuba bertanya pada sang suami, adakah dia pernah tidur dengan wanita itu, dia seolah-olah mengangguk iya. Wanita itu kecewa dan naik ke atas bumbung hotel tempat mereka diraikan. Menangis hiba. Seorang lelaki yang merupakan tukang masak secara kebetulan sedang merokok di atas bumbung cuba menenangkan dan menyakinkan bahawa, segala-galanya akan ok. Dia cuma perlu move on. Wanita yang sangat kecewa itu, terus memeluk lelaki itu seolah seorang malaikai diturunkan kepadanya untuk memberikan motivasi. Ketika sang pengantin lelaki tiba di atas bumbung, dia ternampak isterinya sedang berasmara dengan tukang masak yang entah siapa-siapa itu. Sebelum dia marah, isterinya itu terus memaki hamun dengan agresif seperti mendapat kekuatan dalaman yang luarbiasa. Kemarahan, sikap agresif dan hyper itu di bawa sehingga ke bawah. Dia turun semula ke majlis itu dan cuba berlagak seolah tiada apa yang terjadi dengan menari-nari tak berhenti, memasang lagu, meminta kawan-kawan turut sama menari bersamanya. Suaminya pelik dan keliru serta buntu dengan kejadian di atas bumbung tapi terpaksa melayan kerenah isterinya itu. Majlis menjadi kucar kacir apabila pengantin perempuan yang sedang disampuk hantu itu menarik skandal suaminya dan meminta dia menari bersama. Dia kemudian melepaskan perempuan itu ke dinding kaca dan wanita itu cedera parah. Walaupun keadaan di majlis itu sudah seperti acara pergaduhan yang hebat, namun tetamu tidak berganjak. Akhirnya sang suami seperti memujuk kembali isterinya dengan menangis dan menari bersama. Mereka turut melakukan sex di saksikan tetamu yang hadir.

Pengalaman menonton filem ini memang sentiasa dalam keadaan berdebar-debar. Tertekan gila. Pengarahnya Damian Szifron mengambil analogi haiwan dan manusia dalam filem ini. Beza haiwan dengan manusia ialah–manusia boleh mengawal kemarahannya. Binatang tidak. Apabila manusia itu tak boleh mengawal lagi, dia mungkin bertindak seperti binatang. Dendam selalunya berakhir dengan tragedi. Sebab itu kemaafan sangat bernilai di tengah kecelaruan manusia zaman ini. Segala-galanya pantas dan menyesakkan. Semua orang selfish. Semua pun mahu jadi juara. Semua mahu ambil kesempatan. Cinta tak lagi menyelamatkan. Kasih sayang datang dari rasa kasihan. Penderitaan menyala-nyala dalam jiwa setiap insan. Kegembiraan hanya lakonan.

Jantung aku berdenyut laju menonton filem ini dari awal sampai akhir. Aku boleh relate dengan setiap jalan ceritanya walaupun aku takpernah berhadapan dengan situasi dalam setiap kisahnya. Tapi aku boleh connect dengan emosi dari setiap watak dan pemainnya. Aku cuba letakkan diri aku dalam keadaan mereka. Kalau satu hari nanti aku perlu menyelamatkan siapa-siapa saudara atau adik kandung aku, atau insan-insan kesayanganku yang telah melakukan kesalahan. Apakah aku sanggup melakukan jenayah atau paling tidak menyembunyikan kesilapan mereka sehingga menggadaikan kemanusiaanku? Atau satu hari aku diberi kuasa untuk membalas dendam pada sesiapa saja musuh atau orang yang aku benci dan melihat mereka merana suatu kegembiraan buatku? Kita semua manusia-manusia terdesak yang mahu mencapai secebis kebahagiaan dunia, tapi adakah kita sanggup menanggung derita dari setiap tragedi hidup yang menduga kita? Wallahualam.


Kerana itu Allah memberitahu kita agar jangan marah dan sentiasa sabar ketika menghadapi dugaan hidup. Memberi hukuman bukanlah tugas kita sebagai manusia. Pembalasan dan dendam tinggalkan pada Tuhan menentukan.

Tiada alasan untuk tidak jatuh cinta berkali-kali.

Apabila kita mencapai usia matang, atau merangkak menuju senja, kebanyakkan kita memilih untuk berada dalam keadaan selamat dan selesa. Tidak mahu keluar dari zon sejahtera dan merasa sudah cukup apa adanya. Kita hanya mahu meneruskan hidup dan meraikannya tanpa mahu diganggu-gugat dengan risiko atau cabaran baru. Hari ni entah kenapa aku terasa mahu berkongsi pengalaman pertama mencintai sesuatu yang bukan berada dalam forte aku. Iaitu mendaki. Takpernah aku bayangkan satu hari nanti aku akan gemarkan aktiviti mendaki bukit dan gunung. Ia seolah takpernah wujud dalam kamus hidup aku. Aku melihat aktiviti ini bukanlah jiwa aku. Sehinggalah satu hari aku mencuba. 

Kata orang yang biasa mendaki, Bukit Broga adalah bukit untuk pemula. Kalau kau mahu try melihat keupayaan dan minat kau terhadap mendaki, bukit ini sesuai. Aku ajak Amar. Walaupun Amar sedikit sangsi pada awalnya. Dia pernah naik dulu zaman bujang dengan kawan-kawan serumahnya. Susah juga, kata Amar. Kalau tak fit, memang barai. Aku kata takpe, asalkan bersama. Semuanya akan jadi ok. Lagipun dalam usia macam ni, aku mahu ada Amar untuk setiap langkahku. Buat apa saja bersama. Apa salahnya. Bukankah kita nak tua bersama? Ya, memang kedengaran agak cheesy. Tapi bukankah peribahasa 'Gunung sama didaki, lurah sama dituruni' menyimpulkan segala-galanya tentang perhubungan. Gittew. 

Jadi kami sepakat naik Broga pada 17 April 2016. Malam itu kami beronggeng menonton konsert Changcuters di Lim Kok Wing. Esoknya jam 5 pagi, kami sudah terpacak di kaki Bukit Broga. Aku teruja. Tak cukup tidur, tapi bersemangat. Melalui pembacaan aku di blog, Broga memang tersangatlah popular hingga digelar 'Broga Mall'. Sungguhlah waktu kami tiba, orang sudah ramai. Ada yang datang berombongan. Ada keluarga juga, siap pakej mak-bapak-anak-anak. Ada juga nenek dan datuk. Tak kira bangsa. Sebelum naik, kami melakukan sedikit senaman ringan. Ada rasa debaran juga di dada aku. Perkara yang paling sukar adalah memulai.  Jadi untuk pengalaman pertama ni, aku teruja dalam debaran. 

Kami naik perlahan-lahan. Berhenti sesekali bila keletihan. Aku tak banyak cakap. Sebab aku nak control pernafasan aku. Bila banyak bercakap, nafas akan naik turun. Jadi aku diam saja dan memerhati. Di awal pendakian, ada sedikit rasa sesak nafas. Perut rasa tak sedap. Amar beberapa kali ingatkan–Yang, kat atas sana takde tempat berak kencing tau. Jadi aku cuba kawal perut aku. Walaupun sesekali ia bergolak. Aku fikir angin pagi yang dingin masuk ke dalam perut. Ia terkejut, jadi akan mengganggu sistem badan. Kami membawa bekal coklat dan air mineral. Di beberapa perhentian kami berhenti, dan makan coklat. Ia betul-betul menghilangkan rasa lelah dan menumbuhkan rasa damai. Jalan ke Broga aku fikirkan mendatar saja, rupanya tidak. Memang perlu mendaki. Stamina dan ketenangan diperlukan. Kami bawa torchlight. Semua orang pun. Jalan gelap. Sebab ramai yang mendaki, jadi setiap orang berkongsi cahaya dari neon torchlight masing-masing. Ada beberapa tempat, jalan tegak dan perlu naik sorang demi sorang. Aku sebenarnya suka dengan kemeriahan ni. Di tempat yang gelap dan tinggi, tapi kau tak kesunyian. Aku mendengar perbualan-perbualan di antara kawan-kawan, pakwe-makwe, suami-isteri, anak-anak dengan mak bapak, cikgu dengan anak murid, datuk dengan cucu, nenek dengan datuk. Kata-kata motivasi untuk jangan give up, sikit lagi, nak sampai. Kita akan dengar bertalu-talu. Sama juga datangnya dari Amar. Sikit lagi yang...sikit lagi. Ini indah. Kita cuma mahu mencapai puncak yang kita tak tahu apa ada di atasnya, tapi kata-kata semangat di mana-mana saja. Proses mencapai sesuatu itu memang memerlukan inspirasi dan motivasi dari yang tersayang, dari yang paling hampir dengan kita. 

Sewaktu di pertengahan bukit aku ada nampak seorang wanita bertongkat yang dikepit pada kedua belah ketiak. Gigihnya dia. Sentiasa tersenyum saja dan bersemangat. Kaki aku yang sihat ni pun ada rasa lenguh, aku takboleh bayangkan kaki dia. Ada beberapa teman yang membantu wanita bertongkat itu naik. Aku respect. Amar cakap, sebenarnya dengan keadaan dia begitu, dia mungkin akan menyusahkan ramai orang. Yeah, orang harus menunggunya, membantu dan memimpin. Tapi berbekalkan kecekalan hatinya, tiada siapa yang boleh menidakkan impian dia. Kalau jiwa dan minda kuat, dia boleh menakluk apa saja. Sebagai orang yang secara fizikalnya kuat, aku merasa sungguh rendah diri. Jiwa dan minda aku selalu rapuh.

Kami tiba di puncak lebih kurang 50 minit mendaki. Suasana masih gelap, namun dinginnya mencucuk hingga ke tulang. Kami memilih duduk di atas seketul batu besar, sementara menunggu matahari naik. Langit sungguh cantik. Oren, kuning dan sedikit merah jambu terpercik  ke awan. Macam kanvas dengan lukisan yang indah. Sungguh memukau. Bangunan dan bandar dari atas kelihatan seperti ribuan mancis yang dibakar serentak. Puncak meriah seperti sambutan perayaan. Keluh kesah, bunyi nafas dan kepenatan telah terbakar dan diganti dengan suara kegembiraan. Semua orang berpelukan, bergambar, ketawa, berteriak - Yeah, we did it! Semua orang ucap tahniah satu sama lain. Dari atas batu, aku memeluk Amar dari belakang. Meletakkan dagu aku ke bahunya. Peluh kami bersatu. Terasa nyaman bila ekor rambutnya sesekali menampar wajahku. Thankyou Yang, bisik aku perlahan. 

Kami duduk menikmati keindahan puncak Broga dengan memerhati gelagat orang. Seronok. Seperti tepi pantai pula, ada yang berkelah menikmati sarapan pagi. Ada yang tidur di atas batu-batu besar. Kami merakam gambar kenang-kenangan. Meminta seseorang yang berdekatan kami untuk mengabadikannya. Semua orang di atas puncak seolah bersaudara. Mengucapkan selamat pagi tanpa perlu mengenali. Stranger become friends. Ketika matahari mula naik perlahan-lahan, wajah Broga kelihatan seperti sebuah padang hijau yang luas. Lalang-lalangnya bersinar kekuningan apabila disuluh mentari. Burung-burung begitu dekat seolah boleh ditangkap. Angin pagi menghembus sampai ke jantung. Aman dan mendamaikan. Aku pulang dengan senyuman yang puas. Dan berjanji untuk mendaki lagi. Perlahan-lahan aku mengerti istilah cinta pada pendaki tegar, terhadap aktiviti ini. Ada keajaiban yang takmungkin dapat kau terangkan.

Takpernah terlambat untuk kita mencuba sesuatu yang bukan berada di luar lingkungan harian kita. Kita selalu rasa takut dan malas serta tidak mahu mengambil risiko untuk sesuatu yang tidak familiar untuk kita. Dunia ini terlalu luas untuk mencuba satu perkara saja. Ternyata alam memberi banyak inspirasi dan cerita yang menyedarkan diri kita bahawa hidup ini sementara saja. Raikan dan nikmati dengan sebaik-baiknya. Ada yang menganggap aktiviti mendaki ini satu trend. Sekarang semua orang mendaki, kau pun nak mendaki. Apahal? Aku tak melihat ia sebagai sesuatu yang salah pun. Malah kalau trend itu sesuatu yang bermanfaat, untuk tubuh, jiwa dan minda kau, buatlah. Hidup ini terlalu singkat untuk memikirkan apa orang kata tentang kita. Just do it. Setelah mendaki, aku bersemangat menulis kembali, kuat bekerja, positif, mahu menjadi lebih baik setiap hari. Kalau dengan mendaki boleh membuat aku begini, mengapa aku tidak lakukannya?

Aku jatuh cinta lagi. Untuk kesekian kali. Buat pertama kali untuk aktiviti mendaki. Seperti cinta pandang pertama. Kau takmungkin melupakannya. Kau patah hati tapi kau takkan berhenti mencari. Cinta pertama mengajar kau menjadi lebih faham dan mengerti. Cinta tidak semestinya memiliki. Namun jatuh cinta pada bukit dan gunung lebih SAKTI lagi, kerana ia tak tahu melukai. 

Jatuh cintalah berkali-kali.








Tuesday, June 28, 2016

Perempuanku, berjuanglah demi kebebasanmu.

Di Malaysia hari ini;
seorang perempuan muslim meminta hak makan di sebuah restoran popular di kompleks membeli belah secara terbuka, di bulan puasa. Dengan alasan dia datang bulan. Akibat tak puas hati dengan layanan pelayan yang menegurnya agar beradab untuk menghormati bulan puasa, dia angin satu badan dan tulis status di media sosial. Status itu menjadi viral. Ada macam-macam feedback yang boleh dibaca. Menyokong dan mem-bash. Perempuan ini beria-ia mempertahankan haknya. Baginya perbuatan itu merupakan sejenis perjuangan terhadap diskriminasi wanita. Perempuankan datang period, takkan dunia nak marah perempuan makan pada bulan puasa, sedangkan Tuhan izinkan. Apakah period merupakan satu-satunya alasan untuk dia menuntut haknya untuk makan di khalayak ramai ketika di bulan puasa? Siapa pula yang larang dia makan ketika dia period di bulan puasa? Cuma, apakah relevan dia memilih untuk makan secara terbuka ketika bulan ramadhan. Kenapa tidak beli dan makan di rumah, atau pantry office, dalam kereta, di mana saja tempat yang dia dan makanan dia saja tahu. Maryam Lee, nama perempuan itu. Dia terkenal dengan sikap terbuka di media sosial dan bolehlah kita katakan dia seorang pejuang wanita. Yeah, mungkin feminis dan apa saja yang sinonim dengannya. Di sini saya benar-benar mahu tahu apa yang dia cuba buktikan? Kebebasan apa yang dia mahu sebagai wanita di dalam negara Islam? Apa yang Islam ajarkan pada dia tentang adap, bertoleransi, hormat-menghormati, sabar dan segala-gala tentang kemurnian, mana perginya? Lebih baik kita tinggalkan Maryam terjun dengan labu-labunya. 

Minggu lepas aku menonton sebuah filem Israel yang bertajuk Gett The Trial of Viviane Amsalam. Selama 2 jam filem ini hanya berlokasikan sebuah mahkamah kecil. Kisahnya simple tapi intense. Tentang seorang wanita bernama Viviane yang mahu menuntut cerai dari suaminya. Dia perlu berdepan dengan birokrasi undang-undang di Israel yang mana setiap pasangan yang mahu bercerai perlu mendapatkan 'Gett' atau pengesahan dari suami. Suami perlu menyatakan "saya mahu menceraikan isteri saya...bla bla bla" di depan hakim dan peguam. Hanya itu cara dan jalan untuk isteri berhak dilepaskan. Itu undang-undang ortodoks di Israel. Sekurang-kurangnya di Malaysia, isteri boleh meminta fasak kalau suami tidak mahu bercerai. Jadi, Viviane bersama peguamnya mahu menuntut cerai kerana dia tak mahu hidup lagi dengan suaminya itu. Di sini perbicaraan berlangsung lebih kurang 5 tahun. Punyalah lama. Akibat dari suaminya yang pasif-agresif tak mahu menceraikan. Walaupun beberapa kali dia tidak hadir semasa perbicaraan, namun hakim tetap mahu menunggu kehadirannya. Dalam cerita ini jelas-jelas martabat suami jauh lebih tinggi dari isteri. Isteri seolah-olah hanya penurut yang setia walaupun terpaksa menanggung beban bertahun-tahun. Rumahtangga Viviane dan suaminya tidak ditunjukkan langsung dalam filem ini namun dari tingkahlaku Viviane dan suaminya, dari saksi-saksi yang datang, sesungguhnya rumahtangga mereka sudah takmampu diselamatkan lagi. Sehingga di akhir cerita, suami Viviane membuat pertaruhan. Jika dia melepaskan isterinya, dia harus berjanji untuk tidak bersama lelaki lain sepanjang hidupnya. Viviane akur dengan pertaruhan itu. Cerita ditutup dengan Viviane melangkah masuk ke court room. Apa yang terjadi di dalamnya, hanya mereka saja yang tahu. 

Tiada mahkamah yang boleh menilai dan menghukum bila seseorang individu tidak lagi mampu mencintai. Lepaskan dan bebaskan saja. Undang-undang adalah aturan manusia, siapa kita untuk menentukan nilai kebahagiaan seseorang. Kita hanya mendengar cerita dan boleh assume seseorang itu aman dan indah hidupnya, tapi tahukah kita apa yang dihadapinya? We never know. Viviane lambang wanita yang cekal. Tak pernah putus asa, walau bertahun-tahun hidup dalam penderitaan dan kekecewaan. Selagi dia bernafas, dia mahu memperjuangankan kebebasannya sebagai seorang manusia. Jika cinta tidak mampu lagi diselamatkan, mengapa masih bertahan? 

Di sini, kita dapat lihat 2 perjuangan wanita yang berbeza. Ada dari kita beria-ia mempertahankan hak sebagai individu dan mahu mengubah mentaliti dan hukum masyarakat. Dan di sebuah negara lain, kita lihat ada perempuan yang terpaksa hidup dirantai birokrasi undang-undang yang menyekat kebahagiannya untuk nikmati hidup yang lebih aman. Sebelum mengubah masyarakat, kita harus ubah diri kita sendiri, itu yang saya belajar tentang 2 kisah perempuan ini. 

Kita perempuan sentiasa ada pilihan. Pilihlah untuk menjadi Maryam atau Viviane. 


Sunday, June 26, 2016

Seorang rokstar menemui keinsafan melalui mimpinya.

Mahadi merupakan vokalis kugiran alternatif rock yang terkenal. Dia mengorbankan seluruh hidupnya demi muzik. Jatuh bangun berkali-kali. Namun perjuangan tetap perjuangan. Diserahkan seluruh kudratnya untuk mengukuhkan kugirannya. Dia menulis lagu-lagunya sendiri. Dia mencipta semua melodi dan lirik. Bahasanya puitis dan penuh manusiawi. Bagi Mahadi, muzik sama seperti makanan. Bagaimana mahu hidup tanpa makan? Dan siapa pula yang mahu makanan yang tak sedap, atau kurang berkhasiat? Setelah hampir 10 tahun bermain muzik dan mempunyai sekelompok peminat, lagunya mendapat tawaran bermain di sebuah filem. Filem itu meletop. Kugirannya yang bernama 'Lampu Lirih' mendapat undangan bermain di merata tempat. Dalam dan luar negara. Duit seperti hujan yang jatuh. Kehidupan kugiran mereka berubah 360 darjah. Segala-galanya kini mewah. Dikenali dan kaya raya. Apa lagi yang lebih baik dari itu?

Satu malam, Mahadi bermimpi. Dia didatangi seorang pendeta. Pendeta itu telah berbisik sesuatu kepada Mahadi. Sewaktu sedar dari mimpinya, Mahadi menangis teresak-esak. Bini disebelahnya terkejut dan cuba mententeramkannya. Mimpi mainan syaitan, sayang – kata bininya. Mahadi bangun, mandi dan bersembahyang. Bininya terkesima. Memerhati Mahadi dengan rasa yang bercampur-baur. Perbuatan yang dilakukan Mahadi itu terlalu asing buatnya. Buat mereka berdua.

Satu mesyuarat tergempar diadakan. Mahadi mengumumkan kepada seluruh ahli kugiran Lampu Lirih untuk berhenti menjadi vokalis. Perjuangannya sudah tamat. Semua ahli terkejut, campur marah. Mereka sedang dalam kembara ke beberapa buah kota untuk sebuah filem baru. Kontrak sudah diikat. Dan banyak lagi aktiviti dan projek lain yang sudah termaktub dalam jadual. Penuh sehingga tahun depan. Manakan semudah itu dia menarik diri. Ruang bilik mesyuarat itu penuh dengan wap-wap kemarahan. Setiap ahli kugiran merasakan Mahadi tidak adil memperlakukan mereka begitu. Mahadi itu tunggak Lampu Lirih. Seperti lampu, Mahadi yang memegang cahayanya. Siapa lagi vokalis selayak Mahadi? Mereka bungkam.

"Ketika aku membuat persembahan, anak-anak muda di hadapan aku meloncat dan menari-nari. Adakah mereka faham dan tahu moral dari lagu-lagu aku? Sebagai khalifah di muka bumi Allah, aku perlu menyampaikan dakwahku agar masyarakat dapat mencari jalan kebenaran."

Ada air jernih yang terbit dari kelopak matanya. Itulah satu-satunya alasan yang boleh diberikan ketika semua ahli kugiran menembaknya bertalu-talu dengan soalan 'Kenapa?' Pemain drum yang paling muda dalam kumpulan iu bangun dan memegang kedua bahu Mahadi.

"Bukan tugas kau untuk bagitahu mereka semua untuk faham maksud lirik-lirik kau. Kau dah jalankan tugas kau. Kenapa kau risau orang tak faham kau? Ha? Kenapa?"

Mahadi diam. Dia hanya menjawab dengan memeluk pemain drum itu. Dan kemudian beralih memeluk, dari seorang ahli ke seorang ahli. Ruang itu terlalu sunyi dirasakan. Hanya kedengaran bunyi tangisan.

Lampu Lirih membuat ujibakat segera mencari vokalis. Di dada akhbar penuh dengan cerita tentang misteri kehilangan Mahadi. Surat saman bagaikan halilintar yang datang menerpa. Kumpulan Lampu Lirih berdepan dengan bencana. Namun mengapa dan kenapa Mahadi menghilang, dibiarkan tersimpan di dalam saku. Isteri Mahadi yang tidak sanggup bertahan, menfailkan penceraian.


Di atas sebuah puncak gunung. Yang entah di mana-mana. Mahadi kelihatan sedang menyanyi. Dan di sisinya seorang pendeta menari-nari.

Saturday, June 25, 2016

Penulis yang empati.

Dia seorang penulis. Ada sebuah buku bestseller. Karya yang dia tulis di dalam sebuah blog untuk kekasihnya, dibukukan dan kemudian meletup-letup di pasaran. Ke mana saja dia pergi, semua orang mengenalinya sebagai penulis yang empati. Tulisannya kena tepat ke dahi. Begitu realiti. Menyentuh hati dan penuh dengan motivasi. Perempuan-perempuan memanggilnya bidadari. Wahai penulis bidadari, terimakasih kerana menciptakan mimpi dan memusnahkan fantasi. Itu yang mereka kata. Dia tak tahu nak respon apa. Dia selalu terngadah dan senyum saja. Dia takpernah sangka. Puisi-puisi yang dia tulis untuk kekasihnya itu memberi rasa pada sesiapa. Tetapi tidak kepada kekasihnya sendiri. Lelaki itu tidak pernah membaca apa-apa. Tidak membalas rasanya. Dan tidak pun tahu kewujudan tulisan-tulisannya. Kekasihnya itu vokalis Cold Play, Chris Martin. Yang hanya tahu membisikkan padanya;

"Life will guide you home
Light ignite your bones
and I will try to fix you."


Dan setiap kali dia gagal atau patah hati, dia tahu bagaimana cara untuk memulihkannya.

Thursday, June 23, 2016

Kerana realiti yang terbaik adalah fiksyen.

Apa perasaannya apabila menonton sebuah filem yang terlalu 'real'? Perlakuannya, persekitaran, perbualannya, sebab-akibat, plot ceritanya, sinematiknya. Itu yang berlaku pada aku. Ia terlalu real sehingga timbul persoalan : kenapa kehidupan yang aku jalani ini tidak se-real seperti dalam filem itu?  Mengapa filem sebagai medium sebuah fiksyen mampu merakam kehidupan paling hampir dengan kebenaran hidup? Yang mana fiksyen, yang mana realiti sebenarnya?

Kisahnya ringkas. Seorang remaja bernama Adele yang mencari identiti dirinya. Konflik tentang mengenal halatuju seksualiti. Senang kata, Adele seorang remaja naif yang keliru. Pada peringkat awal dia cuba menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki, namun ia tidak sedalam perasaannya pada wanita. Dalam beberapa siri kejadian dan situasi, Adele percaya dia cuma mahu mencintai dan dicintai jantina yang sama dengannya. Rangsangan dan keghairahannya terhadap wanita takmampu dibendung lagi, apabila dia meninggalkan seorang lelaki yang betul-betul mencintainya (lelaki itu menangis saat berpisah). Adele bertemu Emma. Seorang lesbian sejati yang mempunyai aura mempersonakan. Di sini cerita bermula. Mereka dipertemukan di satu kejadian, cuma berselisih saja. Namun kejadian tersebut membawa Adele bermimpi melakukan seks dengan Emma. walhal pada ketika itu mereka tidak kenal satu sama lain. Kemudian mereka secara kebetulan bertemu di sebuah gay club. Emma mendekati Adele yang nampak berminat dengan dirinya, dan perhubungan mereka bermula.

Emma dan Adele jatuh cinta sejatuh-jatuhnya. Ia dipaparkan dengan aksi ranjang beberapa kali yang panjang (ada mencapai sekitar 6 minit tanpa berhenti, serious shit. thats awkward!). Mereka betul-betul di lamun cinta. Sehinggalah pada satu ketika, ada beberapa babak yang membuatkan Adele merasa dia belum benar-benar sempurna di mata Emma, dan Emma yang seringkali push Adele untuk mencapai impiannya. Bukan sekadar bercita-cita yang sederhana saja. Akhirnya Adele menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki di tadika tempat dia berkerja – akibat rasa sunyi dan merasa loser di mata Emma. Satu hari Emma ternampak kecurangan itu, dan mereka bergaduh besar. Sehinggakan Adele dihalau keluar dari rumah. Bagi aku, adegan ini terlalu kuat dan intense serta lebih mengasyikkan dari adegan sex. Mereka berpisah. Adele menjalani kehidupannya dengan rasa bersalah & merasa kehilangan. Dia sedar Emma adalah segalanya. Emma adalah hidupnya. Satu hari dia menghubungi Emma dan ajak beliau bertemu. Emma mendedahkan beliau kini mempunyai keluarga baru. Seorang kekasih dan seorang anak dari kekasihnya (ye kekasih Emma seorang lesbian juga). Adele cuba merayu agar menerimanya semula, namun Emma tidak mahu berundur kembali. Kisahnya bersama Adele telah berlalu. Dia sudah buka buku baru. Walaupun begitu, kerinduan sepasang bekas kekasih yang pernah sungguh bahagia dan sempurna itu dapat dilihat dalam babak ini. Emma sempat memberitahu pada Adele bahawa; "But I Have Infinite tenderness for you." Yang membuatnya menyesal atas perbuatannya mengkhianti cinta mereka. Kalimat itu akan terus menghantui hidupnya di masa depan. Cerita berakhir dengan Emma mengundang Adele untuk datang ke pameran lukisannya. Di sana dia bertemu dengan kekasih Emma dan Emma sendiri. Ketika itu Adele faham bahawa Emma sudah totally move on dan dia hanyalah sebuah kenangan lalu saja.

Filem "Blue is the warmest color" memenangi banyak anugerah berprestij seluruh dunia. Filem Perancis ini membuka banyak ruang diskusi dan kritikan daripada masyarakat dan pengamal filem. Sebuah filem penuh kontroversi akibat babak sex yang dirakam terlalu panjang (dan banyak babak) di dalam sebuah filem. Aku tak kisah dengan babak sex atau percintaan lesbian dalam filem ini. Aku melihat ia sebuah filem yang penuh nilai artistik. Malah, sinematografi ketika babak sex juga penuh dengan seni sehinggakan kita terpukau dengan aksinya. Penyusunan sudut camera dan aksi pelakon sendiri begitu menyakinkan. Okay jadi kita lupakan tentang babak itu. Biar ia kekal menjadi kontroversi yang manis.

Cinta pertama memang sukar untuk dilupakan. Aku fikir keseluruhan filem ini adalah tentang bagaimana seseorang telah memberi pengaruh yang sangat besar dalam hidup kita, sehingga kita tak mampu hidup tanpanya. Tidak ada patah I love You langsung dalam filem ini. Itu yang aku rasa, aaaaaa babi la cerita ni! Takkan takde langsung! Bukan aku rasa marah sebab takde sebutan I love you, I love you too. Tapi sebab bagaimana sebuah filem itu memberitahu kita tentang cinta tanpa menyebutnya. Gila! Tak pernah sepanjang aku tengok filem, mainstrem atau indie atau, bollywood, hollywood apatah lagi malaywood, kalau kisah cinta sepasang kekasih, mesti ada I love You. Confirm! Potong jarilah! Sehingga sampai satu tahap, aku yang sebut sendiri I love You tu waktu mereka saling berpandangan dan berada dalam keadaan yang memang patut cakap kalimat tu. Tapi mereka tetap tak cakap. Ko rasa? Gila. Pengalaman menonton yang amat amat menggilakan.

Aku memang penggemar filem-filem yang menggunakan komunikasi sebagai tunjang cerita. Dialog-dialog di antara rakan lakon penting dalam menggerakkan cerita itu dari awal hingga akhir. Fave filem aku - Trilogi Before Sunset/Sunrise/Midnight. Aku tak kisah tengok filem 3 jam yang bercakap saja. Sebab conversation adalah perkara paling susah untuk dirakam. Mana-mana penulis, akan cakap benda yang sama. Dialog memang antara perkara yang paling susah untuk ditulis. Apatah lagi untuk dirakam. Trilogi Before Sunset mengambil 10 tahun setiap kali membangunkan filem sequel mereka. 10 tahun aktiviti menulis, brainstroming, research, mengenal psikologi watak dan chemistry. Jadi aku faham kenapa filem itu adalah antara filem conversation terbaik di dunia. Maaflah aku terpaksa bias. Sebab ia filem kegeramarn aku. Kerana Julie Delpy dan Ethan Hawk dalam filem itu terlalu real sehinggakan aku rasa WTF! Asal real sangat ni?? Jadi bila difahami, dan menonton in the making serta artikel mengenai pembikinan trilogi filem ini, maka aku faham dan menerima bahawa ia memang akan jadi real sebegitu kerana dibikin dengan penuh komitmen dan mengambil melibatkan proses yang panjang. Dan mereka sendiri pula yang menulis dialog-dialog itu bersama director. Jadi, no wonder ia boleh jadi sehidup itu.  Aku buat perkara yang sama pada Blue is The Warmest Color. Aku tonton belakang tabirnya, melihat utube temuramah bersama para pelakon dan pengarahnya serta membaca artikel-artikel tentangnya. 2 orang pelakon utama memegang watak Emma dan Adele berkata, pengarah mereka mahu filem itu paling hampir dengan kehidupan seharian. Ia perlu dibuat sama seperti kehidupan sebenar. Mereka berdua membaca hanya sekali saja skrip, dan selebihnya mengikut perasaan mereka pada waktu itu. Mereka cuma perlu tahu 'point' untuk bercakap. Thats it. Mereka juga menyifatkan bahawa pengarahnya kejam sehingga mereka perlu membuat satu babak sehingga 100 take untuk mendapatkan yang paling baik. Scene sex 6 minit dibuat selama 7 hari. Herm. Betapa detailnya pengarah itu. Betapa dia mahu hasilnya nanti menjadi betul-betul rapat dengan khalayak penonton. Seperti melihat cermin. Ia memantulkan kembali wajah kita. Membuat orang percaya pada watak dan perwatakan yang kita bawa dalam filem, tugas yang berat. Sama seperti beratnya untuk kita membawa watak orang lain ketika berjalan dalam kehidupan. Membawa watak sendiri pun susah. Okay filosofi ini untuk aku sendiri.

Bukan itu saja, setiap perbualan mereka berisi. Kat sini aku terpaksa compare dengan filem/drama Malaysia. Aku memang terpaksa. Perbualan filem/drama kita sorry to say kebanyakkannya merapu. Takde pengisian langsung conversationnya. Jumpa kat cafe mahal atau hotel, kemudian cerita benda-benda yang takde faedah. Mak dengan anak duduk kat rumah pun cakap merapu. Keluarga kat meja makan pun entah apa-apa bercakapnya. Takde hala tuju. Conversation tak lead kepada jalan cerita. Letaklah at least satu perkara yang boleh dibincangkan. Bila letak topik untuk diskusi, ia dapat memberi energy kepada watak dan persekitaran filem/drama itu. Kita melihat pemasalahan, cara pemikiran secara tak langsung. Dalam Blue Is The Warmest Color, watak Adele naif kerana masih muda dan mencari identit. Namun pengarahnya tidak membuatkan beliau nampak bodoh dan lemah. Mungkin Adele mengikut nafsu mudanya, namun perbualan dan pemikirannya tetap bijak dan sentiasa ada sesuatu untuk didebatkan, dengan rakan sekelas, teman lelakinya, ibu bapa. Emma sendiri dan sesiapa pun yang dia jumpa. Komunikasi akan mengenalkan kita pada watak, emosi, cara berfikir seseorang watak itu, malah komunikasi akan selalu membawa kita memahami tersirat dan tersurat sesebuah cerita. Perbualan-perbualan dalam filem ini bersahaja tapi penuh isinya. Terlalu banyak babak conversation yang aku sendiri belum move on, antaranya :

1) Pengenalan pertama Adele dengan lelaki yang minat pada dia di Universiti. Mereka bercerita tentang muzik. Selera seseorang tentang muzik memainkan peranan penting terhadap sifat dan sikap individu. Ia pengenalan yang bersahaja tetapi hooked.

2) Pertemuan pertama Adele dengan Emma di kelab gay. Mereka bercerita tentang kursus di universtiti yang Adele ambil iaitu kesusasteraan Perancis. Emma pula belajar dalam bidang fine arts. Insan seni dan sastera selalu saja dengan mudah mencapai kimia dalam perhubungan.

3) Makan malam di rumah Emma. Ibu bapa Emma yang bersikap terbuka dalam pilihan anaknya, serta penerimaan mereka terhadap orang lain. Perbualannya nampak mesra dan tanpa prejudis.

4) Setiap kali berlakunya pertemuan di antara Emma dan Adele, pasti akan ada conversation yang terisi dan menarik. Mereka bercerita tentang filosofi, seni, budaya dan kehidupan. Tidak ada sembang kosong yang tidak menjurus kepada jalan cerita.

5) Satu malam Emma meminta Adele untuk keluar dari kepompong keselesaan hidupnya. Kejar dan capailah apa saja impian yang terbuku di hatinya. Namun Adele beritahu yang dia suka dengan apa yang dia ada sekarang. Tak ada yang kurang. Dalam perbualan ini kita dapat lihat bahawa sesetengah individu mencintai 'comfort zone' mereka. Dan sesetengah orang pula sentiasa inginkan perkara baru untuk diterokai. Itulah perkara yang unik tentang manusia.

6) Pergaduhan terbesar antara Adele dan Emma setelah Adele kantoi mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Perempuan dengan perempuan kalau gaduh memang habis semua barang nak baling dan hempas. Dan menangis bagai nak rak. Itu berlaku dalam babak ini walaupun sebelum ini kita lihat ke'macho-an sikap Emma dari awal cerita. Pada babak ini kita dapat lihat real-self Emma yang tersimpan. Aku paling suka bila Adele di halau keluar oleh Emma, dia cuba memujuk rayu dan beritahu yang dia hanya ada Emma dan tak boleh hidup tanpa Emma. Tapi dia tak sebut I Love You. Langsung. Oh how come? Kalau filem lain, aku ingat dah berhambur i love you dari mulut. Dalam cerita ini i love you tak perlu lagi. Cinta terlalu besar untuk sebaris ucapan i love you. Kita sendiri tahu, dan boleh merasainya. And i cry.

7) Ketika Adele memujuk Emma untuk bersamanya kembali, setelah Emma sudahpun mempunyai keluarga baru. Kerinduan terpancar di wajah kedua mereka. Namun realitinya Emma sudah mempunyai seseorang dalam hidupnya dan dia bahagia. Kalau Cinta dalam filem Ada apa dengan cinta begitu mudah menerima Rangga setelah 10 tahun Rangga pergi tanpa khabar dan cerita, dia menerima Rangga hanya setelah berjumpa sehari di Jogja. Dan ketika itu dia sudah punyai tunang dan mereka tak mempunyai apa-apa masalah. Dian memilih Rangga. Taraaaaa. Happy ending. Adakah hidup ini semudah itu? Dalam Blue is The Warmest Color, dia memberitahu pada kita semua bahawa – tidak ada yang mudah dalam perjuangan cinta. Kehidupan ini terus berjalan. Mencintai tidak akhirnya memiliki. Emma boleh saja memilih untuk kembali menjalinkan hubungan dengan Adele, secara sembunyi juga boleh, tapi dia tidak. Dia mahu Adele terus melangkah. Jangan pandang belakang lagi. Kejar impiannya. Dan menghormati perhubungan orang lain. Hidup ini bukan semata-mata tentang diri kita saja.

Kisah Emma dan Adele ini memberi kesan mendalam pada aku. Posting ini ditulis sudah hampir seminggu, namun masih belum selesai lagi. Perbualan-perbualannya memberikan aku impak yang besar. Aku rasa dua watak ini mewakili banyak kisah di luar sana. Ramai orang tak boleh lupakan kenangan. Bagi mereka kenangan mempunyai nilai sentimental yang mendalam sehingga setiap langkah yang diambil hari ini adalah kesan dari kenangan yang merantai itu. Aku lebih realistik. Kadang-kadang aku sendiri lupa kenangan pahit-manis yang pernah wujud dalam hidup aku. Atau memang aku sengaja melupakannya. Kerana hidup terlalu banyak mengenang, akan buat aku hidup dalam sarang. Takut untuk terbang. Aku percaya pada kenangan dan nilai sentimentalnya. Namun aku juga percaya kenangan diciptakan untuk kita belajar memperbaiki diri. Menjadi lebih baik dari semalam. Adele dan Emma juga memberitahu bahawa cinta itu terlalu besar untuk sekadar tujuan hidup bersama atau kepuasan sex semata-mata. Ia sumber inspirasi dan motivasi. Cinta adalah motivasi yang menggerakkan. Filem ini juga memberitahu supaya jangan tamak terhadap cinta yang ada. Kasih sayang perlu dikongsi. Mereka berpisah akhirnya, namun persahabatan harus tetap terjalin. Kenapa membenci jika pernah saling mencintai?

Aku takkan habis menulis tentang filem ini. Mungkin dah lama aku tak menonton filem sebaik ni. Aku patut berhenti sekarang. Dan menulis fiksyen yang lebih baik dari realiti itu sendiri.


4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...