Saturday, June 25, 2016

Penulis yang empati.

Dia seorang penulis. Ada sebuah buku bestseller. Karya yang dia tulis di dalam sebuah blog untuk kekasihnya, dibukukan dan kemudian meletup-letup di pasaran. Ke mana saja dia pergi, semua orang mengenalinya sebagai penulis yang empati. Tulisannya kena tepat ke dahi. Begitu realiti. Menyentuh hati dan penuh dengan motivasi. Perempuan-perempuan memanggilnya bidadari. Wahai penulis bidadari, terimakasih kerana menciptakan mimpi dan memusnahkan fantasi. Itu yang mereka kata. Dia tak tahu nak respon apa. Dia selalu terngadah dan senyum saja. Dia takpernah sangka. Puisi-puisi yang dia tulis untuk kekasihnya itu memberi rasa pada sesiapa. Tetapi tidak kepada kekasihnya sendiri. Lelaki itu tidak pernah membaca apa-apa. Tidak membalas rasanya. Dan tidak pun tahu kewujudan tulisan-tulisannya. Kekasihnya itu vokalis Cold Play, Chris Martin. Yang hanya tahu membisikkan padanya;

"Life will guide you home
Light ignite your bones
and I will try to fix you."


Dan setiap kali dia gagal atau patah hati, dia tahu bagaimana cara untuk memulihkannya.

Thursday, June 23, 2016

Kerana realiti yang terbaik adalah fiksyen.

Apa perasaannya apabila menonton sebuah filem yang terlalu 'real'? Perlakuannya, persekitaran, perbualannya, sebab-akibat, plot ceritanya, sinematiknya. Itu yang berlaku pada aku. Ia terlalu real sehingga timbul persoalan : kenapa kehidupan yang aku jalani ini tidak se-real seperti dalam filem itu?  Mengapa filem sebagai medium sebuah fiksyen mampu merakam kehidupan paling hampir dengan kebenaran hidup? Yang mana fiksyen, yang mana realiti sebenarnya?

Kisahnya ringkas. Seorang remaja bernama Adele yang mencari identiti dirinya. Konflik tentang mengenal halatuju seksualiti. Senang kata, Adele seorang remaja naif yang keliru. Pada peringkat awal dia cuba menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki, namun ia tidak sedalam perasaannya pada wanita. Dalam beberapa siri kejadian dan situasi, Adele percaya dia cuma mahu mencintai dan dicintai jantina yang sama dengannya. Rangsangan dan keghairahannya terhadap wanita takmampu dibendung lagi, apabila dia meninggalkan seorang lelaki yang betul-betul mencintainya (lelaki itu menangis saat berpisah). Adele bertemu Emma. Seorang lesbian sejati yang mempunyai aura mempersonakan. Di sini cerita bermula. Mereka dipertemukan di satu kejadian, cuma berselisih saja. Namun kejadian tersebut membawa Adele bermimpi melakukan seks dengan Emma. walhal pada ketika itu mereka tidak kenal satu sama lain. Kemudian mereka secara kebetulan bertemu di sebuah gay club. Emma mendekati Adele yang nampak berminat dengan dirinya, dan perhubungan mereka bermula.

Emma dan Adele jatuh cinta sejatuh-jatuhnya. Ia dipaparkan dengan aksi ranjang beberapa kali yang panjang (ada mencapai sekitar 6 minit tanpa berhenti, serious shit. thats awkward!). Mereka betul-betul di lamun cinta. Sehinggalah pada satu ketika, ada beberapa babak yang membuatkan Adele merasa dia belum benar-benar sempurna di mata Emma, dan Emma yang seringkali push Adele untuk mencapai impiannya. Bukan sekadar bercita-cita yang sederhana saja. Akhirnya Adele menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki di tadika tempat dia berkerja – akibat rasa sunyi dan merasa loser di mata Emma. Satu hari Emma ternampak kecurangan itu, dan mereka bergaduh besar. Sehinggakan Adele dihalau keluar dari rumah. Bagi aku, adegan ini terlalu kuat dan intense serta lebih mengasyikkan dari adegan sex. Mereka berpisah. Adele menjalani kehidupannya dengan rasa bersalah & merasa kehilangan. Dia sedar Emma adalah segalanya. Emma adalah hidupnya. Satu hari dia menghubungi Emma dan ajak beliau bertemu. Emma mendedahkan beliau kini mempunyai keluarga baru. Seorang kekasih dan seorang anak dari kekasihnya (ye kekasih Emma seorang lesbian juga). Adele cuba merayu agar menerimanya semula, namun Emma tidak mahu berundur kembali. Kisahnya bersama Adele telah berlalu. Dia sudah buka buku baru. Walaupun begitu, kerinduan sepasang bekas kekasih yang pernah sungguh bahagia dan sempurna itu dapat dilihat dalam babak ini. Emma sempat memberitahu pada Adele bahawa; "But I Have Infinite tenderness for you." Yang membuatnya menyesal atas perbuatannya mengkhianti cinta mereka. Kalimat itu akan terus menghantui hidupnya di masa depan. Cerita berakhir dengan Emma mengundang Adele untuk datang ke pameran lukisannya. Di sana dia bertemu dengan kekasih Emma dan Emma sendiri. Ketika itu Adele faham bahawa Emma sudah totally move on dan dia hanyalah sebuah kenangan lalu saja.

Filem "Blue is the warmest color" memenangi banyak anugerah berprestij seluruh dunia. Filem Perancis ini membuka banyak ruang diskusi dan kritikan daripada masyarakat dan pengamal filem. Sebuah filem penuh kontroversi akibat babak sex yang dirakam terlalu panjang (dan banyak babak) di dalam sebuah filem. Aku tak kisah dengan babak sex atau percintaan lesbian dalam filem ini. Aku melihat ia sebuah filem yang penuh nilai artistik. Malah, sinematografi ketika babak sex juga penuh dengan seni sehinggakan kita terpukau dengan aksinya. Penyusunan sudut camera dan aksi pelakon sendiri begitu menyakinkan. Okay jadi kita lupakan tentang babak itu. Biar ia kekal menjadi kontroversi yang manis.

Cinta pertama memang sukar untuk dilupakan. Aku fikir keseluruhan filem ini adalah tentang bagaimana seseorang telah memberi pengaruh yang sangat besar dalam hidup kita, sehingga kita tak mampu hidup tanpanya. Tidak ada patah I love You langsung dalam filem ini. Itu yang aku rasa, aaaaaa babi la cerita ni! Takkan takde langsung! Bukan aku rasa marah sebab takde sebutan I love you, I love you too. Tapi sebab bagaimana sebuah filem itu memberitahu kita tentang cinta tanpa menyebutnya. Gila! Tak pernah sepanjang aku tengok filem, mainstrem atau indie atau, bollywood, hollywood apatah lagi malaywood, kalau kisah cinta sepasang kekasih, mesti ada I love You. Confirm! Potong jarilah! Sehingga sampai satu tahap, aku yang sebut sendiri I love You tu waktu mereka saling berpandangan dan berada dalam keadaan yang memang patut cakap kalimat tu. Tapi mereka tetap tak cakap. Ko rasa? Gila. Pengalaman menonton yang amat amat menggilakan.

Aku memang penggemar filem-filem yang menggunakan komunikasi sebagai tunjang cerita. Dialog-dialog di antara rakan lakon penting dalam menggerakkan cerita itu dari awal hingga akhir. Fave filem aku - Trilogi Before Sunset/Sunrise/Midnight. Aku tak kisah tengok filem 3 jam yang bercakap saja. Sebab conversation adalah perkara paling susah untuk dirakam. Mana-mana penulis, akan cakap benda yang sama. Dialog memang antara perkara yang paling susah untuk ditulis. Apatah lagi untuk dirakam. Trilogi Before Sunset mengambil 10 tahun setiap kali membangunkan filem sequel mereka. 10 tahun aktiviti menulis, brainstroming, research, mengenal psikologi watak dan chemistry. Jadi aku faham kenapa filem itu adalah antara filem conversation terbaik di dunia. Maaflah aku terpaksa bias. Sebab ia filem kegeramarn aku. Kerana Julie Delpy dan Ethan Hawk dalam filem itu terlalu real sehinggakan aku rasa WTF! Asal real sangat ni?? Jadi bila difahami, dan menonton in the making serta artikel mengenai pembikinan trilogi filem ini, maka aku faham dan menerima bahawa ia memang akan jadi real sebegitu kerana dibikin dengan penuh komitmen dan mengambil melibatkan proses yang panjang. Dan mereka sendiri pula yang menulis dialog-dialog itu bersama director. Jadi, no wonder ia boleh jadi sehidup itu.  Aku buat perkara yang sama pada Blue is The Warmest Color. Aku tonton belakang tabirnya, melihat utube temuramah bersama para pelakon dan pengarahnya serta membaca artikel-artikel tentangnya. 2 orang pelakon utama memegang watak Emma dan Adele berkata, pengarah mereka mahu filem itu paling hampir dengan kehidupan seharian. Ia perlu dibuat sama seperti kehidupan sebenar. Mereka berdua membaca hanya sekali saja skrip, dan selebihnya mengikut perasaan mereka pada waktu itu. Mereka cuma perlu tahu 'point' untuk bercakap. Thats it. Mereka juga menyifatkan bahawa pengarahnya kejam sehingga mereka perlu membuat satu babak sehingga 100 take untuk mendapatkan yang paling baik. Scene sex 6 minit dibuat selama 7 hari. Herm. Betapa detailnya pengarah itu. Betapa dia mahu hasilnya nanti menjadi betul-betul rapat dengan khalayak penonton. Seperti melihat cermin. Ia memantulkan kembali wajah kita. Membuat orang percaya pada watak dan perwatakan yang kita bawa dalam filem, tugas yang berat. Sama seperti beratnya untuk kita membawa watak orang lain ketika berjalan dalam kehidupan. Membawa watak sendiri pun susah. Okay filosofi ini untuk aku sendiri.

Bukan itu saja, setiap perbualan mereka berisi. Kat sini aku terpaksa compare dengan filem/drama Malaysia. Aku memang terpaksa. Perbualan filem/drama kita sorry to say kebanyakkannya merapu. Takde pengisian langsung conversationnya. Jumpa kat cafe mahal atau hotel, kemudian cerita benda-benda yang takde faedah. Mak dengan anak duduk kat rumah pun cakap merapu. Keluarga kat meja makan pun entah apa-apa bercakapnya. Takde hala tuju. Conversation tak lead kepada jalan cerita. Letaklah at least satu perkara yang boleh dibincangkan. Bila letak topik untuk diskusi, ia dapat memberi energy kepada watak dan persekitaran filem/drama itu. Kita melihat pemasalahan, cara pemikiran secara tak langsung. Dalam Blue Is The Warmest Color, watak Adele naif kerana masih muda dan mencari identit. Namun pengarahnya tidak membuatkan beliau nampak bodoh dan lemah. Mungkin Adele mengikut nafsu mudanya, namun perbualan dan pemikirannya tetap bijak dan sentiasa ada sesuatu untuk didebatkan, dengan rakan sekelas, teman lelakinya, ibu bapa. Emma sendiri dan sesiapa pun yang dia jumpa. Komunikasi akan mengenalkan kita pada watak, emosi, cara berfikir seseorang watak itu, malah komunikasi akan selalu membawa kita memahami tersirat dan tersurat sesebuah cerita. Perbualan-perbualan dalam filem ini bersahaja tapi penuh isinya. Terlalu banyak babak conversation yang aku sendiri belum move on, antaranya :

1) Pengenalan pertama Adele dengan lelaki yang minat pada dia di Universiti. Mereka bercerita tentang muzik. Selera seseorang tentang muzik memainkan peranan penting terhadap sifat dan sikap individu. Ia pengenalan yang bersahaja tetapi hooked.

2) Pertemuan pertama Adele dengan Emma di kelab gay. Mereka bercerita tentang kursus di universtiti yang Adele ambil iaitu kesusasteraan Perancis. Emma pula belajar dalam bidang fine arts. Insan seni dan sastera selalu saja dengan mudah mencapai kimia dalam perhubungan.

3) Makan malam di rumah Emma. Ibu bapa Emma yang bersikap terbuka dalam pilihan anaknya, serta penerimaan mereka terhadap orang lain. Perbualannya nampak mesra dan tanpa prejudis.

4) Setiap kali berlakunya pertemuan di antara Emma dan Adele, pasti akan ada conversation yang terisi dan menarik. Mereka bercerita tentang filosofi, seni, budaya dan kehidupan. Tidak ada sembang kosong yang tidak menjurus kepada jalan cerita.

5) Satu malam Emma meminta Adele untuk keluar dari kepompong keselesaan hidupnya. Kejar dan capailah apa saja impian yang terbuku di hatinya. Namun Adele beritahu yang dia suka dengan apa yang dia ada sekarang. Tak ada yang kurang. Dalam perbualan ini kita dapat lihat bahawa sesetengah individu mencintai 'comfort zone' mereka. Dan sesetengah orang pula sentiasa inginkan perkara baru untuk diterokai. Itulah perkara yang unik tentang manusia.

6) Pergaduhan terbesar antara Adele dan Emma setelah Adele kantoi mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Perempuan dengan perempuan kalau gaduh memang habis semua barang nak baling dan hempas. Dan menangis bagai nak rak. Itu berlaku dalam babak ini walaupun sebelum ini kita lihat ke'macho-an sikap Emma dari awal cerita. Pada babak ini kita dapat lihat real-self Emma yang tersimpan. Aku paling suka bila Adele di halau keluar oleh Emma, dia cuba memujuk rayu dan beritahu yang dia hanya ada Emma dan tak boleh hidup tanpa Emma. Tapi dia tak sebut I Love You. Langsung. Oh how come? Kalau filem lain, aku ingat dah berhambur i love you dari mulut. Dalam cerita ini i love you tak perlu lagi. Cinta terlalu besar untuk sebaris ucapan i love you. Kita sendiri tahu, dan boleh merasainya. And i cry.

7) Ketika Adele memujuk Emma untuk bersamanya kembali, setelah Emma sudahpun mempunyai keluarga baru. Kerinduan terpancar di wajah kedua mereka. Namun realitinya Emma sudah mempunyai seseorang dalam hidupnya dan dia bahagia. Kalau Cinta dalam filem Ada apa dengan cinta begitu mudah menerima Rangga setelah 10 tahun Rangga pergi tanpa khabar dan cerita, dia menerima Rangga hanya setelah berjumpa sehari di Jogja. Dan ketika itu dia sudah punyai tunang dan mereka tak mempunyai apa-apa masalah. Dian memilih Rangga. Taraaaaa. Happy ending. Adakah hidup ini semudah itu? Dalam Blue is The Warmest Color, dia memberitahu pada kita semua bahawa – tidak ada yang mudah dalam perjuangan cinta. Kehidupan ini terus berjalan. Mencintai tidak akhirnya memiliki. Emma boleh saja memilih untuk kembali menjalinkan hubungan dengan Adele, secara sembunyi juga boleh, tapi dia tidak. Dia mahu Adele terus melangkah. Jangan pandang belakang lagi. Kejar impiannya. Dan menghormati perhubungan orang lain. Hidup ini bukan semata-mata tentang diri kita saja.

Kisah Emma dan Adele ini memberi kesan mendalam pada aku. Posting ini ditulis sudah hampir seminggu, namun masih belum selesai lagi. Perbualan-perbualannya memberikan aku impak yang besar. Aku rasa dua watak ini mewakili banyak kisah di luar sana. Ramai orang tak boleh lupakan kenangan. Bagi mereka kenangan mempunyai nilai sentimental yang mendalam sehingga setiap langkah yang diambil hari ini adalah kesan dari kenangan yang merantai itu. Aku lebih realistik. Kadang-kadang aku sendiri lupa kenangan pahit-manis yang pernah wujud dalam hidup aku. Atau memang aku sengaja melupakannya. Kerana hidup terlalu banyak mengenang, akan buat aku hidup dalam sarang. Takut untuk terbang. Aku percaya pada kenangan dan nilai sentimentalnya. Namun aku juga percaya kenangan diciptakan untuk kita belajar memperbaiki diri. Menjadi lebih baik dari semalam. Adele dan Emma juga memberitahu bahawa cinta itu terlalu besar untuk sekadar tujuan hidup bersama atau kepuasan sex semata-mata. Ia sumber inspirasi dan motivasi. Cinta adalah motivasi yang menggerakkan. Filem ini juga memberitahu supaya jangan tamak terhadap cinta yang ada. Kasih sayang perlu dikongsi. Mereka berpisah akhirnya, namun persahabatan harus tetap terjalin. Kenapa membenci jika pernah saling mencintai?

Aku takkan habis menulis tentang filem ini. Mungkin dah lama aku tak menonton filem sebaik ni. Aku patut berhenti sekarang. Dan menulis fiksyen yang lebih baik dari realiti itu sendiri.


Saturday, June 18, 2016

Festival Membaca 2016

Hari ni aku dijemput menjadi salah seorang pencerita buat kanak-kanak yang dijemput khas di acara Festival Membaca. Anak-anak ini datang dari seluruh pelusok kota dan desa. Acara diadakan di Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun di TTDI. Pelbagai program dirangka oleh komuniti Womengirls. Dengan rasa besar hati dan teruja aku melapangkan masa untuk menjadi sebahagian dari acara ini.

Acara ini dirangka untuk memberi peluang kanak-kanak beriadah dengan melakukan aktiviti membaca. Apa yang menarik tentang program ini adalah ia mengutamakan peluang dan ruang membaca untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik; cacat penglihatan, pendengaran, anak-anak yatim dan miskin serta yang kurang pendedahan mengenai buku dan pembacaan. Antara programnya adalah pertandingan membaca braile, melukis bersama pelukis Yusof Gajah, aktiviti Interaktif bersama poetry club, storytelling bersama selebriti/penulis juga agihan buku-buku percuma.

Aku diberikan 2 slot bercerita. Diberikan beberapa buah buku puisi untuk aktiviti ini. Namun aku fikir, aktiviti membaca saja mungkin membosankan. Jadi aku menambah acara ini dengan memberikan sedikit sebanyak perkongsiaan tentang bagaimana membaca puisi dan memahaminya. Ia tidak datang cuma dari aku saja. Mereka juga membaca bersama. Dengan cara ini, anak-anak ini bukan cuma menerima dan mendengar, malah mereka turut boleh mempratikkan apa yang telah dikongsikan. Serba sedikit ilmu mengenai apa itu puisi, cara pembacaan dan pemahaman dapat mereka kenali. 1 jam slot pastinya tidak cukup, aku tahu. Tapi pendedahan awal itu yang paling utama. Dari sudut hati kecil dan paling dalam,  aku berharap mereka akan terus menggali dan mencintai puisi di masa depan.

Slot pertama aku diberikan 10 orang anak-anak dari perkampungan orang asli di Grik dan Kelantan. Mereka terdiri dari pelbagai etnik; semai, temia, senoi, jakun dan banyak lagi. Anak-anak ini berusia dalam lingkungan 12 hingga 23 tahun. Kebolehan membaca mereka agak perlahan. Ada yang tak boleh mengeja langsung. Namun aku perhatikan sikap dan minat mereka terhadap puisi memberangsangkan. Ia agak sukar apabila ada di antara mereka yang takmampu mengeja langsung. Apa yang aku lakukan ialah dengan sedikit memaksa mereka mendengar dan fokus pada pembacaan kawan-kawan yang lain. Sekurang-kurangnya mereka mampu memahaminya. Aku minta mereka bereaksi dan meletakkan emosi pada setiap patah-patah puisi yang keluar dari mulut rakan-rakan yang lain. Kalau membaca tidak mampu dilakukan sekarang, tidak mengapa. Cukup sekadar menghayatinya dahulu. Sama seperti yang dilakukan oleh ibu bapa yang membacakan buku cerita pada anak-anak kecil mereka sebelum tidur. Mereka mendengar dan memahaminya. Perlahan-lahan beranjak dewasa, mereka akan cuba membacanya sendiri. Aku percaya. Hasilnya dihujung acara, anak-anak ini suka dan memberikan komitmen yang baik dengan membaca puisi di hadapan kawan-kawan yang lain. Meletakkan emosi yang betul dan memberi nafas pada bait-baitnya. Alhamdulillah, aku bersyukur.

Slot kedua-ku lebih mencabar lagi kerana aku harus berada bersama pasukan yang besar. Lebih kurang 30 orang. Ada yang apabila ditanya, memang mahu berada di slot aku. Aku happy. Mereka ini datang dari pelbagai tempat dan latarbelakang. Ada anak-anak yang belajar di sekolah swasta, kolej dan juga home schooling. Ada juga yang english speaking, tapi masih mahu berada di slotku yang sememangnya menggunakan bahasa malaysia sepenuhnya. Aku fikir untuk kumpulan besar seperti ini aku perlu membuat aktiviti yang lebih fun. Syukur kerana slot aku berada di luar dengan bertemankan air pancuran dan pohon-pohon menghijau di sekitarnya. Alam akan selalu memberikan lebih kenyamanan kepada aktiviti pembelajaran, terutamanya puisi. Simbolik dan metafora alam akan lebih jelas dengan melihat kepada persekitaran. Seorang penyair atau penulis puisi perlu menjadikan alam sebagai sahabat karib. Aku takpernah percaya dengan hanya berkurung di dalam bilik kedap bertemankan komputer riba dan dinding kosong yang menganga, inspirasi akan tiba. Tak ada yang paling baik belajar menulis puisi dengan melihat keindahan alam. Justeru, anak-anak ini aku berikan kebebasan untuk menterjemahkan puisi masing-masing dengan cara mereka. Setiap kumpulan perlu membuat persembahan dengan memilih salah satu puisi di dalam buku yang diberikan. Mereka perlu berkerjasama untuk membaca dan mevisualkan kata-kata dari puisi yang dibaca. Mereka seronok melakukannya. Dan aku betul-betul gembira.

Aku pulang dengan perasaan yang hidup. Anak-anak selalu saja mengisi ruang kesunyian. Mereka menghiburkan. Lately, aku selalu fikir yang mempunyai anak sendiri merupakan satu-satunya impian yang paling aku mahukan. Tidak yang lain. Namun apabila diberikan peluang beberapa kali mengajar dan mendekati anak-anak muda remaja sebegini, pastinya ada isyarat yang Tuhan mahu aku lakukan. Mungkin aku diciptakan memberi ilmu dan segala pengetahuanku buat anak-anak yang kurang bernasib baik. Memberi, memberi, memberi sebanyak-banyaknya sehingga satu hari nanti aku faham bahawa memberi adalah definisi terbaik menghidupi.



Tuesday, January 27, 2015

Nostalgia bunga raya

Sewaktu kecil, kami sekeluarga pernah tinggal di rumah flat. Rumah kami tingkat paling bawah dan paling hujung. Mak memang suka berkebun. Adalah tanah sejemput di belakang rumah untuk mak tanam pokok-pokok bunga kesayangannya. Antaranya pokok cili, bunga raya dan lidah buaya. Mak selalu guna lidah buaya dan daun bunga raya untuk kecantikan rambut dan kulitnya. Kami adik-beradik dari kecil memang mak selalu tonyoh kulit kepala kami untuk lebatkan rambut, hilangkan kelemumur dan jugak sebagai penawar kalau ada luka-luka di badan. Mak percaya tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok yang kita tanam dan jaga dgn baik, akan selalu memberi manfaat pada kita satu hari nanti.

Selain untuk semua manfaat diatas, mak juga mengunakan batang bunga raya sebagai rotan untuk membantai anak-anaknya yang degil tak dengar cakap. Kami adik-beradik akan lari keliling flat bila mak dah mula mencari pokok bunga rayanya dan mencabut semua daun-daun dari batang. Batang yang bogel dilentur-lenturkan menjadi rotan. Kami boleh nampak muka mak yang merah, menyinsingkan lengan dan kain batiknya untuk mula mengejar kami, sambil diangkat tinggi batang bunga raya ditangan kanannya.

Zasss zasssss! Kami kena bantai. Atas sikap-sikap nakal seperti ponteng mengaji, curi duit tabung nak beli aiskrim, membohong, pukul anak jiran, tak jaga adik sebab nak main dengan kawan, mengelinjang waktu maghrib dan macam-macam lagi siri kenakalan waktu kecil. Berbirat sana sini. Kadang-kadang, sebelum waktu tidur, kami adik-beradik kira sesama sendiri jumlah birat yang timbul di punggung, kaki dan badan. Kami ketawa dan mengejek satu sama lain. "Tengokkkk kau kena lagi banyak dari akuuuu. Huhu." Dan kami sentiasa seronok membilang das-das sebatan mak bila salah seorang dari kami yang kena hukum.
Bila dewasa, birat-birat sebatan mak sudah lama hilang. Yang tinggal kini, cuma kerinduan. Rindu riak wajah mak yang merah padam bila kami melakukan kesilapan, rindu jeritan mak di waktu maghrib menjemput anak-anak pulang, rindu melihat debaran mak memetik batang bunga raya kesayangannya, rindu menyaksikan mak mengalirkan airmatanya melihat kesalahan dan kenakalan anak-anak, rindu mak dengan nafas naik turunnya demi memanusiakan kami adik-beradik.

Entah berapa besar sayang mak pada kami. Sekarang ni dah besar takde sapa nak tegur bila buat salah lagi.

Nostalgia kena rotan menggunakan batang bunga raya kekal kukuh menjadi pemanis ingatan dalam hubungan kami adik-beradik.


Kami kena rotan --- dan kami okay!

Friday, January 16, 2015

Memeluk kegembiraan.

Kelmarin Mak telefon dan beritahu satu berita gembira. Kakak iparku yang baru saja menikah dengan Along (abang kandungku),3 bulan yang lalu disahkan pregnant. Ada getaran yang syahdu dari corong telefon. Syahdu yang manis. Suara yang mencairkan. Jika aku berada bersama mak secara jasad bertemu jasad, sudah tentu hangat peluk mak yang sedang kurasai. Hujan rahmat pasti akan turun dengan lebatnya, membasahi bumi dan kontang mata. Pastinya tetesan yang dingin dan menggembirakan.

Wajah emak terus melintas dalam imaginasiku. Mata sepet mak semakin hilang, urat-urat mukanya berombak melanggar satu sama lain, membuah kelopak senyum yang mekar. Dada aku bergetar, perasaannya bercampur-baur. Aku menjerit keriangan memberi sokongan kepada kegirangan emak. Tiada yang paling bermakna dalam hidup ini selain melihat sinaran wajah dari insan-insan tersayang. Doa mak dimakbulkan. Impian yang sudah lama bersarang, sudah diterangkan oleh berita tersebut. Impian semua ibu di dunia ini, mahu menimang cucu sendiri.

Setelah tamat perbualan bersama mak, aku pandang suami di sisi yang faham dan tak perlu menebak emosi aku saat itu. Dia memberi isyarat menggunakan mata, tanpa diucapkan; Takpa yang, jangan sedih. Tuhan belum bagi rezeki lagi. Ada kepiluan dalam dada. Air mata aku yang dari tadi bergenang, jatuh menitik. Aku mengalihkan pandangan membelakangi lelaki di depanku. Betapa aku tak mahu dia melihat ketidak-kuatan aku saat itu.

Ada 2 jenis perasaan besar yang sedang meledak dalam tubuhku. Yang pertama, gembira tentang berita itu. Kedua sedikit terkilan kerana bukan aku yang berikan mak dulu kegembiraan itu.

Ada suara dari dalam kalbu yang perlahan-lahan berbisik; Sabar, tenang. Semuanya akan okay! Berulang-ulang kali. Aku menarik nafas panjang dan mengadap suami yang masih terus memandang aku.

"I okay yang. Nanti kita cuba lagikan?" Laju ia keluar dari mulutku. Entah ayat yang keluar itu untuk memujuk dia atau hatiku sendiri.

Suasana bising kiri dan jalan di kedai makan itu, tiba-tiba seolah angin yang berdesup perlahan. Aku tarik dan genggam tangan suamiku. Menyedut semua kesabarannya dan mengisi penuh dalam pundakku. Agar kami boleh menanggungnya bersama. Selamanya. Jika diizinkan-Nya.

Tiada istilah siapa cepat atau siapa lambat yang menghadiahkan kotak gembira pada seseorang. Kegembiraan selalu boleh dipinjamkan.


Suamiku mengusap lembut telapak tanganku. Terima kasih atas kesabaranmu sayang. Kami sama-sama mengucapkannya tanpa menggerakkan mulut, membiarkan mata yang bercakap.

Kami lagakan gelas teh tarik. Tung! Kami sama-sama ketawa sambil meraikan kegembiraan dan kesabaran.

Tuesday, January 13, 2015

Rutin dan kelesuan hidup

Pernah berada pada satu keadaan dimana --- segala-galanya kelihatan sempurna, tetapi kau tak rasa happy?  Makan pakai cukup, duit ada, boleh pergi mana kau nak pergi, masa flexible dan kau tak sakit atau desperate. Kau juga dikelilingi bersama orang-orang yang kau sayang. Tapi kau tetap tak happy. Kau happylah, tapi happy yang dibuat-buat.

Sejak dua menjak ni saya rasa begitu. Bangun pagi pandang syiling, termenung lama kemudian mengeluh. Tengok handphone, update apa yang patut, baca apa yang perlu, kemudian termenung lagi. Bangun mandi, layan kucing, masak, makan, buat kerja-kerja yang tak selesai, tonton wayang atau dvd dan kemudian waktu malam minum bersama kawan, atau tengok tv di rumah saja. Masa banyak terisi dengan main handphone nampaknya. Entah apa hantu teknologi yang dah masuk dalam minda manusia kini. Handphone seperti melekat dengan tangan. Kebergantungan yang maha hebat.

Macam-macam perasaan yang muncul. Mix feeling. Saya rasa buntu, lesu, cepat marah, stress dan serba tak kena. Saya jenis orang yang tak boleh terlalu lama berada dalam satu situasi tertentu, tanpa berbuat apa-apa perkara baru. Saya perlu cari perkara-perkara atau aktiviti yang berbeza agar hidup saya lebih bermakna. Istilah 'hidup' bagi saya adalah melakukan banyak perkara dari duduk saja. Saya selalu cuba create dan cari benda-benda baru yang boleh saya buat, agar jiwa rasa hidup dan happy.

Sampai satu tahap, keselesaan akan membunuhmu. Membunuh saya, dan membunuh orang-orang yang rapat dengan saya. Rutin membuatkan kita rasa selesa dan tidak mahu mencabar diri kita untuk explore hidup. Kehidupan kita jadi statik. Tiada naik turun. Kita tak melihat perspektif yang baru setiap hari. Kita hanya mempertahankannya, tetapi tidak menambahbaik kualitinya.

Jadi saya seboleh-bolehnya cuba mengubah rutin saya. Kami bangun seawal pagi, breakfast di luar, pergi pasar pagi beli ikan segar, jogging di waktu petang, tukar kedudukan perabot dalam kamar tidur, kemas rumah bersama, mandikan kucing kami bersama, melakukan pekerjaan (menulis kebiasaannya) di cafe atau di mana-mana tempat yang menarik, mencuba tempat makanan baru, memasak makanan yang tak pernah dicuba, plan percutian dan berusaha mencari kebaikan-kebaikan kecil yang boleh diberi kepada makhluk, binatang atau apa saja setiap hari. Ye setiap hari.

Saya dapat merasakan yang adrenalin saya kembali mendesah. Senyum sudah mula terpakai kembali di wajah. Cinta saya semakin besar dan merah.

Saya bersyukur kerana punya pasangan hidup dan orang tersayang yang faham dan mahu bersama saya dalam misi membunuh rutin yang melesukan. Kami berdua belum lagi di anugerahkan oleh Allah SWT cahayamata, ini juga mungkin menambah kelesuan rutin yang ada, namun itu juga bukanlah alasan. Allah SWT tidak membiarkan kita mengeluh dan mengaduh tentang impian yang belum kesampaian. Namun Dia minta kita berusaha, bukan sekadar redha dan terima.

Hidup perlu diraikan.

Monday, January 12, 2015

Kuasa kebaikan

Baru-baru ini, di kawasan perumahan kami ada sistem pengurusan baru yang digubal untuk kesenangan penduduk. Ini kerana ketidakcukupan parking lot, menyebabkan kenderaan bersepah di luar kawasan perumahan apartment kami. Kebanyakan penghuni yang mempunyai lebih dari satu kereta terpaksa meletakkan kenderaan mereka jauh. Pengurusan baru menyebabkan kenderaan bersepah di luar dan pengguna terpaksa berjalan jauh untuk masuk ke kawasan kediaman. Saya dan suami tidak merasa sukar dengan pengurusan baru kerana kami mempunyai hanya satu kereta saja.

Pengurusan telah melantik pengawal keselamatan untuk mengawal kenderaan yang banyak dan bersepah di luar. Ini untuk memudahkan pengguna serta tidak menganggu orang awam yang lain. Jadi kalau sebelum ini post guard hanya satu di hadapan masuk kediaman, kini diletakkan seorang lagi guard yang menjaga di tengah-tengah antara jalan keluar masuk ke apartment kami, dan satu lagi guard house yang sedia ada. Namun mungkin kerana sistem ini baru saja beroperasi, maka tidak ada tempat khas seperti pondok yang dibina untuk guard yang menjaga di bahagian tengah-tengah itu. Penjaga yang harus menjaga di situ, dibekalkan dengan sebuah kerusi plastik sahaja.

Setiap kali kami keluar, saya perasan yang seorang pakcik India yang sama akan berjaga di situ. Suami saya yang selalu mengangkat tangan kepada pengawal-pengawal keselamatan kediaman kami, beritahu pada saya yang pakcik india itu pekerja baru. Pernah sekali, kami keluar rumah waktu hujan lebat, pakcik India itu duduk di bangku plastik warna biru itu sambil memegang payung. Luluh hati saya melihatnya. Pakcik itu langsung tidak berganjak dari kerusi biru itu dan terus menjalankan tugas menjaga kenderaan tanpa mempedulikan cuaca yang mungkin akan menggugat kesihatannya.

Satu hari adik perempuan saya yang tinggal bersama memberitahu yang ketika dia parking keretanya, pakcik itu mengejarnya. Dia lari ketakutan. Kemudian pakcik itu membuat isyarat 'makan' dengan tangannya sambil memegang perutnya. Adik saya yang dalam ketakutan berhenti dan terus membelikan sebungkus makanan kepadanya. Keesokkan harinya, saya dan suami mengambil keputusan untuk membawa apa saja makanan yang kami ada untuk diberikan kepada pakcik itu. Kalau boleh setiap hari. Tanpa jemu.

Saya ingat lagi ketika kali pertama kami memberikan beliau sebungkus biskut coklat, dia terkejut tetapi lekas-lekas senyum. Giginya sudah tiada, mengingatkan saya kepada ibu bapa saya yang sudah perlahan-lahan tua dan tidak kuat lagi. Bangga dan terharu sungguh dapat membantu walau dengan perkara yang kecil.

Sungguhlah hidup ini adalah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan selalu menerima dan berbesar bangga.

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...