Friday, April 13, 2018

4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanjang penglibatan dalam bidang seni dan penulisan. Soalan-soalannya bijak, ulasannya juga bernas. Ia menterjemahkan kata-kata saya dengan lancar dan sangat genuine. Terimakasih Bissme kerana sudi menulis tentang Tari Pasar Perempuan. Saya amat menghargainya. Oh ya, Bissme juga menghadiahkan saya sebuah replika Eiffel Tower bersalut cat keemasan dengan loceng-loceng comel ketika hari pelancaran buku Tari Pasar Perempuan. Akan saya sangkutkan di depan sliding door rumah dan ketika angin berhembus, loceng-loceng itu akan berlaga dan menghasilkan bunyi ting ting taka ting ting ting. Macam lagu Comel Pipi Merah, nyanyian Siti Nurhaliza buat puterinya Siti Aafiyah. Semoga dentingan itu menguatkan semangat saya untuk menulis dengan lebih baik lagi dan menggerakkan saya untuk terus menghasilkan bunyi. Lebih nyaring, berani dan merdu. Terimakasih Bissme. I love you.

Bermula dengan premis.


Cerita-cerita yang saya tulis selalu bermula dengan pemasalahan. Keresahan terhadap sesuatu perkara, benda, kejadian, manusia, persekitaran akan mencetuskan idea untuk dicurahkan menjadi dongeng dalam tulisan. Premis lokasi atau tempat menjadi pasangannya. Tanpa dua perkara ini, saya tak mampu untuk melukiskan penceritaan yang baik.

Kembara bukan saja sebagai terapi setelah penat bekerja, tetapi ia adalah inspirasi terbesar saya untuk mencipta imaginasi. Husband saya tahu benar sikap dan tabiat saya yang memang tak boleh duduk diam di rumah. Bontot ni sentiasa gatal nak berjalan. Terpuruk di rumah adalah perkara terakhir yang akan saya buat kalau diberi pilihan. Melainkan saya sakit dan perlu berehat. Pernah saya shooting selama sebulan, 2-3 hari saja berehat di rumah saya mula resah. Bawalah saya keluar dan berjalan. Pergi kedai mamak pun tak apa. Asalkan dapat keluar menghirup udara dan melihat orang.

Tak mampu nak kembara jauh-jauh lagi, walaupun saya teringin sekali melawat Mekah, India, Jepun dan Turki. Saya cuma sempat berjalan ke beberapa negara tetangga sepanjang hidup. Selainnya, saya cuma berjalan dalam negara. Hujung minggu saya pastikan terisi dengan aktiviti melawat galeri,  muzium, acara seni-budaya dan juga bersosial bersama teman-teman. Ia penting kerana melaluinya saya mencuri ilham untuk dipinjamkan ke dalam tulisan. Mungkin teman penulis lain boleh duduk di rumah dan menulis, tetapi saya tidak. Sepanjang menyiapkan manuskrip Tari Pasar Perempuan, hampir setiap hari saya menumpang di kafe-kafe, order secawan teh/kopi dan menulis. Ada kalanya ke library. Rumah terlalu selesa untuk menulis. Saya perlu nampak orang lalu-lalang, saya mahu lihat senyuman barista yang melayan pelanggan, saya suka diganggu dengan perbualan-perbualan manusia yang ada di sekeliling.

Circa 2016, saya menjalani penggambaran sebuah dokumentasi tentang tokoh-tokoh sejarah yang menyumbang kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Saya diberi tanggungjawab menjadi pengacara. Kami berkelana selama lebih kurang sebulan ke seluruh pelusok Semenanjung, Sabah Sarawak dan juga Singapura.

Pulau Gaya merupakan lokasi terakhir sebelum kami menutup kembara itu. Sebuah perkampungan air di Sabah, yang terpencil mencetuskan inspirasi yang besar kepada saya untuk menulis sebuah cerita yang termuat dalam kumpulan cerpen Tari Pasar Perempuan. Perbualan saya bersama sekumpulan anak-anak yang berumah di lautan, mencetuskan kegelisahan sehingga ketika pulang meninggalkan perkampungan itu dada sebal dan jiwa saya resah bergelora.Hanya dengan menuangkannya dalam bentuk tulisan, saya sedang berusaha melepaskan segala yang terbuku. Sebuah dongeng tentang buih-buih harapan, tentang keadilan, tentang kemiskinan, pendidikan, kekuasaan, kedamaian dan cinta. Proses menulis dongeng ini panjang sekali. Sehingga saat-saat akhir saya masih kekal menyunting dan menyusunnya. Semoga ketika buku ini tiba pada awak nanti, kita semua mampu menyerap semangat dan kekuatan anak-anak terpencil dan terpinggir. Mudah-mudahan.

Di dalam Tari Pasar Perempuan, premis lokasi merupakan perkara yang sangat saya titik-beratkan. Saya cuba berada di setiap lokasi itu untuk merasakan perasaan dan sikap watak yang saya hidupkan. Ia mungkin cuma di dalam sebuah rumah atau ruang makan malam sebuah keluarga, tetapi saya berusaha untuk tenggelam ke dalamnya. Saya harap anda dapat melihat premis-premis ini sedang berteriak meluahkan isi hatinya. Semoga.


Monday, April 2, 2018

Pelancaran Tari Pasar Perempuan

Seksi Ovari dilancarkan di Annexe, Central Market. Ketika itu saya menyampaikan beberapa buah puisi dari buku itu bersama iringan tiga orang adik lelaki (bukan kandung) iaitu Anas, Ajie dan Ken. Buku Bibir Ceri Melati pula di Red Bungalow KL, dilengkapkan dengan persembahan dari Primary (kugiran hubsbaby saya), band saya sendiri Fazleena & The Lasykar (tanpa saya) dan juga Ana Raffali. Saya masih ingat lagi kehangatan kedua buah majlis itu. Khalayak yang datang ramai sekali. 

Kali ini pelancaran buku saya akan diadakan di Publika sempena acara Beauty & The Brain. Acara yang dirangka meraikan wanita dari pelbagai industri. Saya bertuah, buku terbaru saya akan dilancarkan di sini. Tari Pasar Perempuan, ditujukan untuk semua wanita tanpa mengira usia dan lapangan. Cerita-cerita yang tertulis di dalamnya mengangkat citra wanita Malaysia secara sedar atau tidak sedar. Setiap wanita saya fikir akan berjuang untuk membela nasibnya–bezanya mungkin cara dan pilihan masing-masing. 

Saya memilih Raiha Bahaudin kerana pengenalan kami yang lama dan panjang. Bukan saja kerana dia penulis yang bagus, guru yang ikhlas mendidik, aktivis kemanusiaan yang konsisten, tetapi ia lebih dari itu. Seorang pemimpin yang berhati waja, isteri yang sentiasa menyokong suami, juga ibu penyayang kepada anak-anaknya. Dia seorang kakak yang jujur mengkritik dan tegas dalam meletakkan pendiriannya. Dia mengikuti perkembangan saya dari awal. Melihat jatuh bangun saya. Penting untuk saya dapat dengar pendapat dan kritikannya. Untuk saya belajar menulis dengan lebih baik lagi.

Pemilihan Leaism pula kerana saya suka dengan energy-nya setiap kali melakukan persembahan pentas. Dia tak pernah memberikan sekadar-sekadar saja. Sering saja membuatkan khalayak terpukau dengan persembahannya. Kita boleh faham dan rasa setiap emosi yang dicetuskan lewat lirik dan gerak tubuhnya ketika menyanyi. Suaranya gemersik indah sekali. Bertahun-tahun membuat persembahan di jalanan, Leaism membuktikan bahawa passion adalah segala-galanya. Dia akan pergi jauh. Jauh dari apa yang kita bayangkan. Saya yakin.

Walaupun ianya hanyalah sekadar pelancaran buku, tetapi pemilihan untuk setiap watak yang akan dimunculkan lewat naskah ini sangatlah penting. Wanita-wanita kuat dan berdiri dengan kepercayaan untuk selalu memberikan yang terbaik. Seperti mana saya cerewet dalam menyiapkan manuskrip ini, memilih illustrator, memastikan sampul depannya seperti apa yang saya bayangkan, membuat promosi yang berterusan, begitu juga dengan majlis pelancarannya. Apa saja yang kita lakukan, walau sehalus-halus hama, ia harus menemukan kepuasan. Sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. 

Jemput hadir ke pelancaran rasmi buku Tari Pasar Perempuan di Publika Solaris Dutamas, 7 April (sabtu) 12 tengahari. Saya akan berkongsi proses kreatif buku ini bersama Yani Mahmud, Illustrator buku saya. Jika mahu membeli, buku juga pasti akan di jual di sana. Jemput datang bawa seisi keluarga.

Sesungguhnya kehadiran awak semua memberi makna yang besar untuk saya. 


Sunday, April 1, 2018

Pra-Pesan Tari Pasar Perempuan

Sepanjang menulis, inilah naskah yang paling sukar saya kerjakan. Selepas beberapa tahun tidak mengeluarkan buku–cabaran menyudahkan kumpulan cerpen ini penuh liku dan ranjau berduri. Banyak airmata yang tumpah, keringat yang meluncur basah juga bersama titisan darah. Saya mengabadikan masa, tenaga dan segala-gala yang saya ada demi menghasilkan yang terbaik. Prosesnya lama, berhati-hati dan penuh kesabaran.

Saya tak pasti penerimaan masyarakat, saya juga berteka-teki tentang apakah tulisan saya masih sudi dibaca, namun saya benar-benar puas mengerjakannya. Ini hadiah buat pembaca setia yang menunggu tulisan-tulisan saya, juga untuk semua penikmat buku seluruh semesta. Hadiah kecil ini ikhlas dari sanubari. 

Dengan terbitnya buku ini, saya sudah bersedia dan berlapang dada menerima sebarang kritikan dan respon dari anda semua. Agar saya dapat memperbaiki tulisan saya dan paling penting untuk terus menulis. Ini adalah semangat besar sebagai transisi saya menulis novel. InshaAllah. 

17 cerita pendek yang disisipkan bersama ilustrasi dari artis muda yang berbakat dan merbahaya–Yani Mahmud. Saya bertuah bekerjasama dengan seseorang yang tidak pernah dikenali, tetapi telah memberikan seluruh jiwanya dalam menterjemahkan tulisan saya. Lukisan-lukisanya penuh magis dan mempersona. 

Ia diterbitkan oleh Roman Buku. Mereka telah memberikan sokongan yang besar dan kerjasama yang tidak boleh saya bayar dengan wang ringgit. Saya harap dengan lahirnya naskah ini, saya dapat membalas kepercayaan mereka dan membantu Roman Buku agar terus sukses menerbitkan buku-buku yang berkualiti. 

Pra pesanan buku ini boleh dilakukan sekarang sehingga 6 April. Majlis pelancaran akan berlangsung sekitar awal April. Nanti saya kongsikan posternya. 







Saturday, March 24, 2018

Kembara Seni

Ketika bersetuju untuk turut serta dalam kembara seni sekitar Indonesia, kami (saya dan pihak penganjur) brainstorm untuk mendapatkan pakej terbaik kepada peserta yang bakal mengikutinya nanti. Lingkungan dan persekitaran saya sendiri dikelilingi orang-orang yang mengerjakan seni, sastera dan budaya, justeru eloklah kiranya pengembaraan itu nanti meliputi kegiatan yang bersangkut-hubung dengannya.
Kami memilih tarikh (dari kalender aktiviti tahunan) yang juga akan berlangsung festival/karnival/pesta kebudayaan dan kesenian di setiap tempat terpilih. Perjalanan kembara ini bukan saja meliputi tempat-tempat pelancongan yang menarik, tetapi bonusnya kita akan bersama-sama menikmati perayaan sambutan seni-budayanya dan menekuni adat dan budaya masyarakatnya. Seperti yang kita tahu, Indonesia adalah negara yang dikenali sebagai Sorga Seni dunia.
Saya sertakan bersama info lanjut setiap festival/pesta yang akan kita lawati bagi setiap tempat. Supaya anda semua akan lebih merinding dan teruja untuk menempah tempat anda sekarang, sebelum terlewat. Tempat adalah terhad.
Pakej lengkap termasuk tiket pesawat, makan-minum, penginapan dan jalan-jalan. Bawa duit untuk beli buku dan cenderamata saja. Hubungi Zul di talian +601121852938 untuk menempah tempat anda dan sebarang pertanyaan lanjut. Sebarkan pada kawan-kawan dan kenalan yang berminat.
Jom kita jalan-jalan bersama dan berpesta budaya!
BALI (5-8 JULAI 2018)
PESTA KESENIAN BALI
Pesta Kesenian tahunan di Pulau Bali menyorot seni dan budaya Bali yang unik. Edisi ke 40 tahun 2018, Pesta Kesenian Bali akan diselenggarakan dari 9 Jun hingga 7 Julai 2018, berpusat di Taman Budaya - Art Center di Denpasar, ibukota Bali.
Selama satu bulan, penuh dengan pelbagai acara seperti tarian, muzik dan ekspresi seni Bali yang terbaik. Terdapat pertunjukan tari dan muzik harian bersamaan dengan aktiviti budaya dan komersial yang padat–di mana secara harfiah seluruh Bali akan berkumpul di kota untuk menyajikan persembahan seni dan kebudayaan.
Festival sepanjang bulan akan dimulai dengan parade para pembuat persembahan, sebuah pertandingan seni dan kostum berkilauan dari semua daerah di Bali dan sekitar daerah di Indonesia lainnya.
Selain itu, ada drama tari (Sendratari), teater Bali Moden, bengkel fotografi, festival kuliner dan pertunjukan muzik. Juga akan ada pertandingan menarik seperti bikin filem dokumenteri, ukir tangan, penulisan sastera, lukisan, fotografi dan lain-lain.
Setiap tahun, Bali Arts Festival atau Pesta Kesenian Bali menampilkan tarian klasik pulau ini, seperti legong, gambuh, barong, bola gemblungan, tarian topeng dan sejenisnya.
Sejarah 40 tahun lamanya, Bali Arts Festival atau Pesta Kesenian Bali telah menjadi media untuk melestarikan seni dan budaya Bali yang unik dan ternama, sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.
ACEH (9-12 OGOS 2018)
PEKAN KEBUDAYAAN ACEH 7
Pekan Kebudayaan Aceh (PKA) ke-7 akan berlangsung pada 5 hingga 15 Ogos 2018, dengan lokasi utama di Taman Ratu Safiatuddin. Aktiviti juga berjalan di Taman Budaya, Taman Sari, Lapangan Blang Padang, Muzium Aceh, Museum Tsunami, Taman Putroe Phang, Gedung Chik Di Tiro dan AAC Dayan Dawood.
Berbagai aktiviti budaya akan mengisi jadual, antaranya pertujukan seni tari tradisi dan aneka pertandingan, pameran budaya dan banyak lagi. Antara kesenian terkenal di Aceh seperti Rapa’i, Seurune Kale, Tari Seudati, Tari Ranup Lampuan, Tari Guel, Pakaian Aceh, dan lain-lain.
Pekan Kebudayaan Aceh (PKA) ini merupakan acara pesta kebudayaan Aceh terbesar 4 tahun sekali yang mengumpulkan seluruh khazanah budaya yang ada di daerah Aceh. Acara terakhir dilaksanakan pada 20-29 September 2013 yang lalu di Taman Sulthanah Syafiatuddin, Banda Aceh, yang merupakan PKA ke-6.
Bagi melestarikan warisan budaya, agama dan keragaman suku kaum, maka Pekan Kebudayaan Aceh bertujuan membentuk kepribadian masyarakat yang berbudaya dan pelestarian nilai budaya. Serta menumbuhkan pemahaman, apresiasi masyakarat untuk mengangkat nilai budaya, menumbuhkan minat dan kreativiti. Selain dalam usaha mempromosi adat budaya, produk dan pelancongan di Aceh.
JAKARTA (13-16 SEPTEMBER 2018)
INDONESIA INTERNATIONAL BOOK FAIR
Diselenggarakan pertama kali tahun 1980, tahun 2018 adalah perlaksanaan yang ke-38. Sejak tahun 2014 bertransformasi menjadi pameran buku berskala internasional. Menampilkan bukan hanya jualan buku, tapi juga seni budaya, pendidikan dan industri kreatif lainnya.
Pengunjung dari beragam kalangan: pelajar dan mahasiswa, masyarakat umum, dan profesional industri berkaitan. Indonesia adalah pengeluar buku yang aktif, jumlah buku terbit dan pengarang adalah yang terbesar di Asia Tenggara dan sekaligus pembeli terbesar di Asia Tenggara.
IIBF juga menjadi sarana para penerbit dan pelaku industri kreatif untuk berinteraksi dengan konsumer. Indonesia International Book Fair (IIBF) 2018 akan dilaksanakan di Cendrawasih Room dan Plenary Hall, Jakarta Convention Center pada tarikh 12-16 September 2018.
IIBF is not just a book fair, it’s a book affair!
JOGJA (11-14 OKTOBER 2018)
PESTA BONEKA #6
Pesta Boneka adalah pesta boneka antarabangsa yang dimulakan dan dihoskan oleh Papermoon Puppet Theatre sejak tahun 2008 di Yogyakarta-Indonesia. Pada tahun ini akan diadakan pada 12-14 October 2018 dengan temanya 'The Journey".
Papermoon Puppet Theatre telah terkenal sebagai artis boneka kontemporeri dari Jogja, Indonesia yang mempersembahkan karya mereka sama ada di Indonesia, atau di negara lain.
Tidak hanya dihadiri oleh artis-artis wayang kulit, Pesta Boneka telah menjadi tempat di mana orang dapat melihat bagaimana boneka menjadi utusan yang menyampaikan pesan dalam pelbagai bentuk, melalui berbagai budaya yang berbeza-beza.
Bagi penonton, kehangatan pesta itu akan menyambut mereka lebih daripada apa-apa perayaan lain–keintiman menjadi perkara yang pasti memberi kepuasan. Dan bagi peserta, Pesta Boneka pasti membawa mereka perjalanan yang sangat berbeza untuk mengalami kekayaan budaya, dengan cara yang intim.
Boneka yang di gunakan sebagai pertunjukan berupa abstrak dan sesuai dengan namanya Papermoon yang bererti Kertas Bulan. Boneka yang dibuat ini memiliki wajah seperti bulan. Persembahan Papermoon semakin terkenal dengan penampilan mereka di filem Ada Apa Dengan Cinta 2.
Dengarnya seniman teater Fasyali Fadzly akan membuat persembahan teater bonekanya di acara ini. Mewakili Malaysia. Tentu seronok kita bersorak dan menyokong persembahannya nanti.
BELITUNG (11-18 NOVEMBER 2018)
FESTIVAL TANJUNG KELAYANG
Tentu semua tahu mengenai filem Laskar Pelangi? Filem Laskar Pelangi adalah filem pertama yang mengangkat tentang Shurga Kecil di Bangka Belitung, dan salah satu yang sangat terkenal iaitu Pantai Tanjung Kelayang. Keindahan Pantai Tanjung Kelayang mempersonakan, bahkan Pantai Tanjung Kelayang termasuk dalam list tempat wajib kunjung di Indonesia.
Terdiri dari 10 kegiatan pendukung rangkaian acara : festival kuliner khas hasil laut, festival layang-layang, Bangka Belitung Fashion Carnival, festival vlog dan pertandingan fotografi, pameran seni, festival band dan lain-lain. Acara akan berlangsung pada 15-19 November 2018.
JOGJA (6-9 DISEMBER 2018)
JOGJA NETPAC ASIA FILM FESTIVAL
Jogja-NETPAC Asian Film Festival (JAFF) merupakan festival film Asia yang berfokus pada perkembangan film-film Asia. Bermula dari komuniti filem independen yang tersebar di Yogyakarta dan sekitarnya, festival ini tidak hanya bertujuan untuk mengenalkan filem Asia kepada publik yang lebih luas di Indonesia, ia juga memberikan lebih banyak ruang kreatif seperti seni, budaya dan pelancongan.
Sejak penyelenggaraannya yang pertama kali pada tahun 2006, JAFF bekerja sama dengan NETPAC (Network for the Promotion of Asian Cinema), sebuah organisasi filem dan budaya untuk negara-negara Asia yang berpusat di Kolombo, Srilanka. Dalam kegiatannya, NETPAC melibatkan para kritikus, pembuat filem, penyelenggara festival, kurator, distributor dan peserta pameran, serta para pendidik.
Pada tahun 2017, JAFF telah berkembang dengan tidak hanya menayangkan filem-filem Asia, namun juga filem-filem yang berasal dari negara Pasifik seperti Australia, Fiji, dan Selandia Baru. JAFF 2018 akan berlangsung pada 1 hingga 8 Dec 2018.



Pesta Kesenian Bali

Pesta Kesenian Bali

Pekan Kebudayaan Aceh

Pekan Kebudayaan Aceh

International Indonesia Book Fair

International Indonesia Book Fair

International Indonesia Book Fair

Festiavl Tanjung Kelayang, Belitung

Festival Tanjung Kelayang, Belitung

Festival Tanjung Kelayang, Belitung

Pesta Boneka

Pesta Boneka

Pesta Boneka

Jogja Netpac Asian Film Festival

Jogja Netpac Asian Film Festival

Wednesday, March 21, 2018

Semuanya kerana puisi.

Sempena sambutan hari puisi sedunia tahun ini, rasa nak throwback pengalaman naik pentas dan baca puisi. Ia perjalanan yang sangat panjang, melelahkan tapi berbaloi. Ramai adik-adik muda yang datang dan bertanya, "Macam mana kak Faz bermula?" "Apa caranya nak tembus scene puisi?" Selalunya aku akan diam lama dan jawab, "Ia proses yang panjang dan berterusan." 

Acara puisi dulu dan sekarang banyak bezanya. Sekarang setiap minggu ada acara baca puisi. Kadang-kadang terlalu banyak sampaikan dalam satu masa boleh ada beberapa acara yang clash. Aku bercakap dalam area Lembah Klang dan sewaktu dengannya. Jadi bila ada yang kata tak tahu nak cari acara puisi kat mana, aku rasa nak jegil biji mata dan angkat kening Ziana Zain. Herotkan mulut sikit dan jeling tajam. Come on. Jangan menunggu, ikhtiarlah. Berusaha cari informasi. Semuanya ada di hujung cari sekarang ni. Terlalu ramai yang ingin membaca di pentas, ingin dikenali, mahu puisinya diperdengarkan,  tetapi malas. Apa benda pun kita buat dalam dunia ni, memang kena usaha. Semuanya harus kita bayar dengan tenaga, keringat dan pengorbanan. Tak ada yang percuma. 

Zaman aku dulu, punyalah payah nak cari acara puisi. Yelah puisi belum betul-betul in lagi masa tu. Adalah seketul acara yang muncul iaitu Rantai Art Fest, yang mana mengumpulkan acara-acara seni dari pelbagai cabang. Semua orang bergasak nak join Rantai. Aku pun emel ke penganjur Rantai untuk terlibat baca puisi, walaupun takut juga tak diterima. Yelah, kita bukannya siapa-siapa. Tapi disebabkan perasaan yang memuncak nak berpentas dan berkongsi puisi pada khalayak, beranikan diri juga. Acara pertama aku baca puisi secara rasmi adalah di acara Rantai 2006 ke 2007 (tak berapa ingat). Masa tu di The Red Bungalow KL. Bangunan tu pun dah diruntuhkan sekarang ni. Acara tu dianjurkan secara DIY dan totally independent. Jadi memang tak ada pembayaran dibuat. Tapi itu bukanlah soalnya. Nilai dan harga pertama kali membaca puisi di hadapan khalayak, memang takboleh dibayar dengan apa pun. Perasaannya besar. 

Selepas acara Rantai, aku mula mencari apa saja acara baca puisi. Berkenalan dengan penganjur acaranya, berada dalam lingkungan dan kemudian secara tak langsung mengendeng untuk menyelit di acara mereka. Ada yang diterima, ada juga yang tolak. Kadang-kadang ada dibayar token RM50-RM100. Dan kebanyakkannya memang tak dibayar. Tapi aku okay saja. Waktu tu, acara puisi memang susah nak dapat bajet, jadi mostly memang acara dibikin secara sukarela saja. Jiwa tengah muda masa tu, duit belakang kira. Yang penting dapat naik pentas dan menunjukkan apa yang kita ada. 

Aku semakin berani berkongsi puisi, kadang-kadang ditemani adik lelaki yang iring main gitar atau minta tolong kawan-kawan jadi peneman (baca secara berduet atau iring dengan alat muzik). Kalau lama tak naik pentas, rasa kosong. Selepas Rantai, ada beberapa kolektif wujud menyemarakkan lagi scene puisi. Antaranya Frinjan. Frinjan pun dah tak ada sekarang. Jadi dengan penyertaan aku dalam acara yang dianjurkan Rantai dan Frinjan, nama aku mula dikenali. Walaupun ada masanya aku terima undangan, namun aku masih lagi kekal dengan sikap pergi ke acara seni, berkenalan dengan komunitinya, berbagi cerita, hidup dalam lingkungan tu, meraikan persahabatan dan sentiasa mencari peluang menyelinap masuk ke acara-acara itu untuk membaca puisi. Orang kata muka tak malu, aku peduli apa. Yang penting aku tahu apa niatku. Peluang memang tak datang dengan senang. Membina nama bukanlah cuma sehari. Bertahun lamanya. Kalau dikira balik dari 2006 sampai 2018, kalau aku ada anak, dia pun dah masuk form 1. Kakaka. Tua betul rasanya. 

Syukur sekarang ini, aku masih boleh baca puisi. Masih diundang mengadakan persembahan. Malah sudah ada band bersama Fazleena & The Lasykar. Aku menghargai setiap pengorbanan yang aku buat sejak dulu. Aku tak pernah menyesal mencintai dunia ini. Pentas puisi menjadikan aku yakin dan berani membuat keputusan. Belajar menguruskan diri dalam dunia seni persembahan yang aku cintai sejak kecil. Membentuk hubungan baik dengan segala jenis manusia. Memperbaiki kelemahan dan ketidakmatangan diri. Menjadikan aku dekat dengan Pencipta. Mengajarkan aku tentang kelembutan dan sentiasa menunduk mengamati rumput di bumi. Menjadikan aku sensitif dengan persekitaran. Membuka banyak peluang dalam bidang-bidang lain yang boleh diterokai. Puisi telah bawa aku sejauh ini. Dan telah menjadi sebahagian dari hidup aku. 

Scene puisi berkembang dengan meriah sekarang ni. Aku seronok melihatnya. Wajah-wajah baru muncul dengan style masing-masing. Selagi kita terus saling menyokong, aku pasti scene ini akan terus bercahaya. 

Hampir setiap hari aku terima DM di media sosial tentang bagaimana untuk terlibat dalam scene puisi. Bagaimana caranya membaca puisi di pentas acara. Aku akan beritahu segala yang aku tahu, juga pengalaman aku memijak pentas sampai ke hari ini. Zaman sekarang lebih mudah kerana media sosial jadi agen penghubung. Di setiap acara boleh dikatakan ada open mic. Jangan malu bertanya atau emel penganjur. Turunlah melihat konsep acara itu. Berkenalan dengan orang-orang yang ada dalam lingkungan. Ia bukanlah tentang puisi itu tak cukup bagus, atau aku ni bukan siapa-siapa jadi susah untuk naik pentas atau menembusi scene. Tapi ia tentang sejauhmana usaha telah kita letakkan dalam mencapai impian itu. Cuba, cuba dan cuba. Jangan kata susah, selagi tak cuba bersungguh. Jangan takut dengan rejection. Itu sepatutnya jadi semangat untuk kita usaha lebih keras. Kalau bukan sekarang, mungkin nanti. Tapi jika betul niatnya, inshAllah Allah akan permudahkan. 

Walaupun aku sekarang lebih banyak menulis cerpen, tapi puisi tak pernah mati. Terus menyala-nyala dalam sanubari. Masih terus belajar dan belajar. Sebab tulis puisi ni payah. Puisi ini ia sangat personal. Harus ada rasa. Harus ada getarnya. Begitu juga ketika membacanya. Aku percaya puisi atau apa saja genre penulisan akan bergerak bersama kematangan usia. Kalau baca puisi aku yang lama-lama, memang rasa nak bakar je. Geli je rasa. Tapi semua penulis pun mengalami transisi hidup. Puisi akan evolve bersama peningkatan cara fikir, pembacaan, pemerhatian, gaya hidup dan persekitaran. Yang pasti jika memilih menjadi penulis, harus terus menulis. Akhirnya kita akan diingati dengan work kita. Penampilan, persembahan akan jadi perkara kedua atau ketiga. Yang penting rajin, konsisten dan penuh kesungguhan. 

Tulislah. Mungkin ia akan menghirismu. Mungkin jadi beban yang harus kau pikul berzaman-zaman. Tapi kau takkan tahu ia mungkin menyelamatkan orang lain.









4 April 2018, The Sun.

Walaupun tak berapa gemar dengan gambar saya yang tersengih nakal-gedik itu, namun ini antara sesi wawancara yang paling saya suka sepanja...